About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Thursday, January 28, 2016

Aku Bulan Dia Bintang 6







Fakhri menghempas gagang dengan kasar. Sudah lima  kali dia menelefon tetapi masih tidak berangkat.
Nenek memandangnya dengan riak risau. Boleh hancur gagang tu tiap kali dihempas Fakhri.
“Tak angkat lagi?”
Fakhri menjawab dengan rengusan kasar. Bukan marahkan nenek tapi perempuan di sana tu! Didail sekali lagi nombor bilik sebelah, dan kali ini dia mengetap giginya geram apabila akhirnya gagang itu bersambut.
“Helo…” Suara mamai di hujung sana cukup untuk membuatkan kemarahan Fakhri lebih memuncak.
“Helo! Dah pukul 10 pagi dah ni. Tak reti-reti nak bangun?” Keras suaranya membuatkan nenek menggeleng, tetapi tetap tidak bersuara. Cucunya yang seorang ini lain macam sungguh.
“Pu...pukul sepuluh dah?” Balasan gagap dari sebelah sana membuatkan Fakhri bercekak sebelah pinggang.
“Habis, pukul lapan? Saya bagi masa lima minit je untuk awak bersiap. Tak payah mandi. Tak berpeluh pun kan? Cepat sikit.” Gagang diletak kasar, dan nenek cuma mampu mengeluh dengan gelengan panjang.

DARIN meletakkan gagang dengan sedikit bingung. Di mana dia? Siapa tadi tu?
Apabila matanya menerawang ke seluruh bilik, Darin menggosok kepalanya yang sedikit kusut dengan rengusan geram. Diambil sebiji bantal dan ditekup wajahnya sebelum dia menjerit sekuat hatinya.
“Aku ingat aku cuma bermimpi!!”
Ha! Dia kata lima minit! Dia melompat turun dari katil dengan sedikit kalut dan juga sakit hati yang kini kembali singgah selepas tidur yang terasa sekejap cuma.
Nasib baiklah dia memang uzur dan nasib baik juga ianya sudah hampir kering. Kalau tidak, tak fasal-fasal subuhnya jadi subuh dinosaur.
“Sandal pun tak buang!” Ditanggalkan sandalnya dengan tergesa-gesa sebelum berlari ke bilik air sambil mengemaskan rambutnya.
Seram dia mengingatkan mimpi ngeri sebelum tidur semalam. Darin menggosok gigi mengguna berus gigi yang disediakan pihak hotel sambil mengetuk-ngetuk kepala sendiri.
Lima belas minit kemudian, Darin sudah keluar dari bilik. Berdiri saja di depan bilik Fakhri, tidak berani dia mahu mengetuk. Apabila pintu dikuak, dia dapat mendengar suara lembut nenek.
“Nenek panggil dia… Fakhri jangan marah-marah dah.” Apabila nenek keluar, diikuti oleh Fakhri, kedua mereka sedikit terkejut melihat Darin sudah menunggu.
Darin tidak melihat ke arah Fakhri langsung. Tak rela!
“Assalamualaikum nek,” tegur Darin mesra. Dia tahu Fakhri sedang bernanah mendengar nada mesranya. Biarkan!
“Waalaikumussalam...” Spontan, nenek tersenyum dan meraih lengan Darin lalu menariknya untuk berjalan bersama. Darin sedikit terpempan. Sudahlah pakaiannya tidak bertukar. Tak mandi pula. Memang tak senonoh anak dara ni.
“Lena tidur semalam?”
Darin angguk sekali. Terdengar Fakhri di belakang berdeham kuat.
“Takkan tak nyenyak? Loceng berkali-kali kita tekan. Telefon kali ke berapa entah baru nak angkat.”
Darin terkedu. Berapa kali Fakhri menelefonnya? Terus berubah merah wajahnya. Pagi-pagi lagi dah nak cari gaduh!
“Saya… saya minta maaf, nek. Saya betul-betul tak sedar.” Bergaduh dengan cucu nenek ni, penat jiwa raga!
Nenek tersenyum lagi seraya mengerling Fakhri di belakang.
“Tak apa. Jom, kita makan sama-sama.”
Ujaran nenek sekali gus mematikan bicara Fakhri. Sepanjang perjalanan, Fakhri tidak lagi bersuara. Cuma nenek saja yang bertanya mengenai dirinya, kerjanya dan pelbagai lagi. Berbeza sungguh dengan suasana semalam, semasa dia dan Fakhri naik ke bilik. Dia sedikit bersyukur apabila Fakhri seperti tidak kisah padanya lagi.
Apabila soalan nenek menjurus kepada keluarganya, Darin mula merasa tidak enak.
“Dah lama ke nenek balik sini?” Cepat saja dia mengubah topik.
“Baru je, dalam beberapa hari.”
Darin melopong sedikit.
“Nenek di UK lama ke?” Soalnya berbasa-basi. Sebenarnya dia juga tidak reti mahu beramah mesra begitu. Tetapi mengenangkan kebaikan nenek, Darin tahu dia perlu menjaga hati orang tua itu. Lagipun, mungkin mereka tidak akan berjumpa lagi, dan dia juga sudah melakukan kesilapan terhadap nenek. Sewajarnya dia membalas dengan baik juga.
“Kami memang menetap di sana.”
Kali ini lebih besar lopongan mulut Darin. Dikerling Fakhri yang sudah berada di depan sejak keluar dari lif, tetapi lelaki itu tidak menunjukkan minat mahu menyampuk walaupun dia yakin Fakhri mendengar.
“Menetap di sana dah lama?”
“Sebelum Fakhri lahir lagi.” Kini, mereka mengikut saja langkah Fakhri ke dewan makan.
“Adik Fakhri, Fitri, ada di Australia. Dia pelukis,” beritahu nenek lagi tanpa ditanya. Darin mengangguk-angguk saja.
Memang orang kayalah diorang ni. Padanlah kerek semacam. Sempat dia menjeling Fakhri di depan.
“Kali ni, mungkin kami lama di Malaysia. Fakhri ada hal kerja,” beritahu nenek lagi.
Hajah Nenek bercerita lagi, dan Darin cuma mengangguk dan menyampuk sekali-sekala. Hakikatnya fikirannya sudah menerawang mengingatkan kata-kata Fakhri padanya. Benarlah dia orang berpengaruh. Tengok pakaian dan kereta saja sudah tahu.
Tapi prejudisnya pada golongan seperti ini musnah sama sekali. Bukan selalu orang macam Fakhri ni tak berapa reti berkeluarga ke? Lelaki macam dia, kaya dan kacak, Darin tidak mahu akui tetapi terpaksa juga dia akui, Fakhri mempunyai rupa dan gaya. Bukan ke dia sepatutnya berkepit dengan perempuan di bilik hotel? Bukan ke begitu? Bukan cerita drama memang banyak macam tu ke?
Sampai di dewan makan, Fakhri membawa mereka ke meja yang kosong.
“Nenek nak apa?” Soalnya pada nenek yang sudah berdiri di tepi meja.
“Tak apa. Nenek ambil sendiri. Jom, Darin.” Dia yang baru mahu duduk tidak jadi apabila nenek sudah meraih tangannya. Melihat beg tangan di atas meja, Fakhri tidak jadi mahu ke mana-mana. Ditunggu saja mereka di meja makan sambil membelek telefon pintarnya.
Darin pula tidak tahu apa yang patut diambilnya. Ini kali pertama dia menjadi tetamu di hotel mewah sebegini, dan kali pertama juga dia menyertai bufet sebegini meriah. Terlalu banyak makanan yang dihidangkan, dan kebanyakannya makanan yang tidak diketahuinya.
Nenek sudah mengambil piring dan beberapa ketul kuih berbentuk pau. Darin berkerut dahi.
“Apa ni nek?”
Scones. Nak?”
Darin menggeleng laju. Makanan Melayu.... Mana makanan Melayu?
“Saya nak nasi lemak. Ada tak?” Soalnya perlahan, bimbang disalah erti oleh nenek. Sungguh dia lega apabila nenek cuma tersenyum saja mendengar soalannya.
“Cuba tengok di sana. Rasanya itu bahagian oriental cuisine.” Tunjuk nenek dan Darin terus melangkah tanpa menunggu lama. Tiada nasi lemak pagi itu, tetapi Darin tetap lega apabila ada makanan Melayu yang lain, seperti mi goreng dan lontong. Jadilah. Daripada makan ‘kon’ yang nenek makan, sungguh Darin tidak rela!
Lagipun dia perlu makan untuk tenaga. Kalau tidak, macam mana dia mahu balik nanti? Sudahlah semalam tidur dalam keadaan lapar. Punya bergaduh dengan Fakhri, sudah terlupa dia mencari makan. Duit pun tak ada.
Mereka kembali ke meja dengan sepinggan makanan masing-masing.
Fakhri terus berdiri tanpa disuruh. Tanpa melihat ke arah Darin, dia bertanya kepada nenek.
Coffee or tea?
Tea. No sugar.
Fakhri sudah mahu beredar apabila suara nenek kedengaran lagi.
“Darin?”
Dia terpempan apabila menyedari nenek sedang menanti jawapannya. Dikerling Fakhri yang cuma menggaru dahinya, tetap tidak memandang wajahnya.
Macamlah aku ingin nak minta tolong kau! Darin tersenyum segaris kepada nenek.
“Tak apa. Nenek tunggu sini. Saya ambil sendiri.”
Tanpa sepatah kata, Fakhri terus berlalu ke meja minuman. Hendak tak hendak, Darin terpaksa membuntuti Fakhri juga.
Apabila mereka berdiri sebelah-menyebelah, Darin hampir mahu terlanggar seorang wanita asing yang sedang mengambil jus oren. Kalut dia apabila wanita itu melemparkan pandangan tidak senang padanya. Tertunduk-tunduk Darin meminta maaf.
Sorry. Sorry.”
Fakhri di sebelah sudah menjeling.
“Jangan buat malu saya.” Sebaris amaran itu diberikan tatkala dia mengambil cawan lalu diisi air teh untuk nenek. Secawan lagi diambil lalu diisi kopi.
Malu dengan situasi itu dan juga terkejut dengan amaran Fakhri, Darin cuma mampu mengemam bibirnya geram. Bukan dia sengaja!
Sudahnya, Darin berundur dahulu. Tidak betah dia mahu berdiri di sisi Fakhri. Entah apa-apa lagi akan dibebelkan Fakhri nanti. Selepas Fakhri beredar, baru Darin ke depan tanpa memandangnya langsung. Tengok pun buat sakit hati.
Nenek mengerutkan dahi apabila Fakhri kembali sendirian dengan dua biji cawan.
“Mana Darin?”
“Nanti datanglah dia.”
Nenek menggeleng mendengar jawapan bernada jengkel itu.
“Kalau tak suka, diam je. Biar nenek je bercakap dengan dia.” Bicara tegas nenek pantas dimengerti. Dia juga tidak ingin mahu berbual dengan gadis pendek akal seperti Darin. Prejudis pula tu. Memang menyakitkan hati, dan memalukan dia saja.
Apabila Darin kembali dengan senyum kelat dan segelas air kosong, nenek mengangkat kening.
“Air kosong je? Kan banyak jus tu? Epal, oren, kiwi.”
Darin angguk sekali sambil membetulkan duduk. Matanya terus mendarat ke pinggan, enggan memandang Fakhri yang kini di sebelah hadapan kanannya, di sebelah nenek.
“Saya tak biasa minum yang lain-lain tu,” jawabnya jujur.
Perbualan tamat apabila Fakhri tiba-tiba berdeham perlahan dan meneguk kopi hitam pekatnya.
“Fakhri makan apa?” Soal nenek seraya mencubit scones dalam pinggannya.
Darin cuma menunduk saja, memberi sepenuh perhatian kepada mi goreng dalam pinggannya.
Later. Tak rasa nak makan lagi. Tak ada selera.” Jawapan Fakhri membuatkan Darin hampir berhenti menyuap.
Tak ada selera? Sebab akukah? Ah, lantak la. Bukan aku yang tergedik-gedik tawarkan diri nak ikut dia. Dia yang terhegeh-hegeh nak tolong aku. Malas mahu peduli, Darin terus menyuap tanpa bersuara langsung.
Sekejap saja habis sepinggan mi gorengnya. Apabila dia tidak menunjukkan tanda mahu bangun, nenek mengerling pinggannya yang sudah kosong sebelum memandangnya dengan riak hairan.
“Makan tu saja?”
Soalan nenek tidak dijangkanya. Tetapi dia tahu Fakhri juga mendengar walaupun matanya di telefon pintar dalam tangannya sedari tadi.
Darin tersenyum kekok.
“Kenyang dah.”
“Kan ada lagi tu, dim sum, roti bakar, tak nak?”
Darin menggigit bibirnya.
“Tak makan yang lain-lain tu.”
Terdengar Fakhri mendesis perlahan. Nenek tersenyum tawar.
“Fakhri, nenek nak roti bakar,” pinta nenek. Fakhri terus berdiri tanpa soalan.
“Erm, saya ambilkan untuk nenek ya.” Darin lebih laju menawarkan dirinya. Dia terus berdiri dan berlalu tanpa arah tujuan sebelum sempat Fakhri melangkah.
Nenek dan Fakhri cuma mampu menghantarnya pergi dengan rasa hairan. Nenek akur. Jujur dia tidak faham, bagaimana kedua mereka ini boleh bertemu? Bagaikan langit dengan bumi saja.
“Nenek tunggu sini.” Fakhri turut beredar dari meja.
Hampir saja Darin menjadi bahan ketawa Fakhri kerana tidak jumpa meja roti bakar. Sebaik saja dia tiba di meja itu, Fakhri sudah berdiri di sebelahnya. Tanpa mengendahkan Fakhri, diambil sekeping roti.
“Kenapa makan sikit sangat? Ingat, tu duit orang kaya yang bayarkan bilik hotel awak. Semuanya inclusive. Jangan membazir duit dan usaha saya.” Sindiran Fakhri berdesing di telinga Darin, membuatkan hatinya yang bagaikan lava mahu menyejuk kini membara kembali.
“Saya tak cari fasal dengan awak. Kenapa awak masih lagi nak ungkit hal lama?” Rasa mahu saja ditempek roti di tangan ke wajah Fakhri. Geram betul.
“Hah, tunggu apa lagi. Tangan awak tu pembakar roti ke?” Soal Fakhri sinis. Darin menjeling Fakhri tajam sebelum menumpukan perhatian kepada pembakar roti di depannya, yang sangat aneh rupanya di mata Darin.
Nak letak kat mana ni? Kenapa kat rumah lain rupanya? Walaupun Darin tidak gemar makan roti bakar, tetapi dia pernah juga melihat Iris menggunakannya. Taklah susah pun. Tapi, ini lain macam je?
Fakhri melepaskan keluhan pendek. Diambil sekeping roti lalu diletakkan ke dalam pembakar roti itu tanpa rasa kekok.
Watch and learn. Jangan berlagak tahu kalau tak tahu. Dalam dunia ni, banyak orang yang lalui hidup yang berbeza dari awak. Jadi, jangan memandai-mandai fasal hidup orang lain.” Sekali lagi Fakhri menyindir.
Dengan hati yang membengkak, roti di tangan diletakkan kembali ke dalam bekasnya, dan dia terus beredar tanpa menunggu lama. Malas mahu melayan Fakhri. Lagi lama, lagi sakit jiwa.
“Fakhri buatkan roti nenek,” beritahu Darin ringkas apabila nenek memandangnya pelik kerana kembali dengan tangan kosong.
Nenek mengangguk dengan senyum manis. Darin tersenyum kembali.
Kan senang kalau cucu nenek tu pemaaf macam nenek. Ini tidak. Ada peluang je, nak sindir. Ada peluang je, nak bebel. Silap sikit pun nak marah. Bukan dia sengaja menuduh Fakhri yang bukan-bukan. Sekali saja silapnya, berkali-kali Fakhri mahu menghukum.
Tidak ingin dia bertemu dengan Fakhri lagi. Mati hidup semula pun tak mahu. Lepas balik ke KL, mimpilah dia nak peduli. Darin cuma mampu berdoa agar saat itu cepat datang. Ternyata, dia betul-betul sudah penat.



Snippet yang diterbitkan di blog ini merupakan sebahagian dari bab sebenar dalam versi cetak. Dilarang sama sekali menerbitkan mana-mana bahagian ini di mana-mana dalam bentuk apa sekalipun tanpa kebenaran bertulis dari penerbit.


PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.

No comments:

Post a Comment