Sofia menggenggam stereng di tangan, kejap. Rumah yang tersergam di depan matanya ditenung lama. Sekejap-sekejap, dia menahan nafas dek penangan insan kecil yang sedang membesar di dalam rahimnya.
Sofia tahu, jika dia tidak bertindak, suaminya dan ibu mertuanya akan terus renggang, dan dia tidak mahu itu terjadi. Dia mahu suaminya yang baik itu memiliki semua kebaikan di dunia, dan disayangi ramai orang. Walaupun dia dibenci yang lain, suaminya tidak patut dibenci kerana kehadirannya. Dia saja yang layak menanggung semua itu kerana kesalahannya yang lalu. Hilman tidak bersalah.
Sofia mengumpul kekuatan untuk melangkah keluar dari kereta, dan di hadapan pintu rumah, sekali lagi dia menghela nafas dalam.
“Assalamualaikum…” dengan suara yang sedikit terketar-ketar, bibirnya mula bergerak-gerak.
Lama dia menanti, tiada jawapan. Dia tahu rumah itu berpenghuni dari gaya langsirnya yang cuma diselit di celah-celah bilah tingkap kaca itu. Sofia mencuba lagi, dan kali ini dia berjaya apabila satu wajah terjengul di muka pintu.
“Ya, cari siapa?” wanita separuh umur itu bertanya.
Sofia menguntum senyum.
“Ustazah Marina ada?”
“Ada, naiklah…” jemput wanita itu.
Matanya singgah di perut Sofia yang sudah begitu ketara, namun cepat-cepat dia melarikan matanya. Tidak mahu tertangkap oleh Sofia. Siapa dia? Mereka belum pernah bersua seingatnya.
Sofia akur, dan kakinya mula memanjat anak tangga merah di depannya.
Sekejap saja dia menanti di ruang tamu, seorang wanita muda ayu bertudung litup mendekatinya.
“Assalamualaikum, saya Marina.” Mereka bersalaman.
Marina tersenyum dalam hairan. Siapa dia? Mereka tidak pernah bertemu sebelum ini. Orang asing itu benar-benar menganggu benaknya.
Sofia turut tersenyum manis.
“Ustazah tak kenal saya, kan?”
Marina geleng.
“Saya… Sofia, isteri Hilman.”
Berubah wajah Marina tatkala mendengar pengenalan diri itu. Dari gayanya, Sofia tahu banyak yang dipendamnya selama ini untuk dihamburkan pada empunya badan. Marina melarikan matanya dengan pandangan yang jelas menyampah.
“Apa awak nak?”
Sofia tersenyum lagi. Reaksi Marina lebih baik dari yang dijangkanya.
“Saya tau, Marina pasti dah dengar banyak cerita tentang saya, kan?”
Tiada jawapan. Marina berpeluk tubuh.
“Kalau awak datang nak menyakitkan hati saya, tolong balik sekarang. Saya tak ada hati nak cakap dengan pelacur.” Habis ayatnya, Marina berpusing mahu pergi namun pantas ditahan Sofia.
“Saya nak cakap pasal Hilman. Ustazah tolong dengar dulu, boleh?” pinta Sofia, separuh merayu.
Marina merengus kasar. Direntap tangan Sofia dari lengannya sebelum melingkarkan kedua tangannya di dada. Tanpa memandang Sofia, dia bersuara.
“Cepat sikit. Saya tak ada masa.”
Sofia tersenyum pahit. Dia menelan liur.
“Ustazah, saya mintak jasa baik ustazah, kahwini Hilman sebagai isteri kedua dia.” Tegas nada suaranya membuatkan Marina menoleh pantas, merenungnya dengan pandangan tidak percaya.
“Awak gila ke?” tukasnya.
Sofia geleng.
“Tak, saya masih waras, dan saya tau, tak salah kan bermadu? Saya harap ustazah pertimbangkan baik-baik. Ini nombor saya. Kalau ustazah setuju, beritahu saya, ya..” Sofia meletakkan kad namanya di tangan Marina yang masih tergamam.
Dia mencapai tas tangannya untuk beredar. Baru saja kakinya mencecah ambang pintu, suara Marina memecah kesunyian.
“Hilman setuju?”
Sofia tersenyum nipis seraya memusingkan badannya.
“Persetujuan ustazah saja yang diperlukan sekarang. Saya akan uruskan yang lain.” Sofia bertutur yakin.
Marina menggigit bibir. Wajah Sofia yang masih tersenyum benar-benar membuatkan hatinya sakit. Namun apa yang ditawarkan itu terlalu bagus untuk ditolak.
Marina menelan liur.
“Baiklah.”
Sofia tersenyum lebar. Dia menghampiri Marina. Dicapai tangan Marina dan digenggamnya erat.
“Saya betul-betul gembira ustazah. Terima kasih! Saya amat berbesar hati menerima kehadiran ustazah dalam hidup kami. Saya percaya kehadiran ustazah akan menyerikan lagi rumah tu.” ujar Sofia.
Marina tidak membantah, tidak membalas. Dia cuma mampu merenung wajah Sofia yang ceria dengan penuh kehairanan dan keanehan. Bermadu bukan sesuatu perkara yang mudah. Dan mungkinkah Sofia akan menyesal di kemudian hari?
*************
Hilman pulang ke rumah dengan mendapati rumah itu kosong. Sofia tiada di mana-mana. Di dapur, di bilik tidur, di beranda, di ruang tamu. Kosong. Cuma ada satu sampul yang sepi menantinya di atas meja, ditindih di bawah baling kuih.
Namanya tertulis di situ.
Isinya dikeluarkan dengan penuh debaran.
"Assalamualaikum, abang…
Saat abang membaca surat ini, mungkin Sofia sudah pergi jauh. Sofia pohon, jangan cari Sofia. bila sampai masanya, Sofia akan kembali. Percayalah. Sofia takkan tinggalkan abang.
Abang,
Terlebih dahulu, ampunkan Sofia bang. Sofia dah berdosa kerana melakukan sesuatu di luar pengetahuan abang. Sofia… dah aturkan perkahwinan kedua abang dengan Ustazah Marina. Ya, semua pihak sudah bersetuju, dan Sofia tahu, abang boleh tunaikan permintaan Sofia yang satu ini, kan bang?
Abang,
Demi kebahagiaan abang, Sofia mahukan sebuah keluarga yang sempurna untuk abang. Kerana itu, Sofia tahu ini saja jalannya. Abang nikahi Marina, dan mak akan menerima abang semula. Bagi seorang wanita murahan yang diangkat martabatnya oleh seorang lelaki bergelar suami, tiada apa yang lebih membahagiakan dari melihat kegembiraan suaminya sendiri. Permintaan Sofia tak membebankan abang, kan?
Abang lelaki yang adil, dan abang mampu dari semua segi. Jika selepas ini Sofia dilupakan pun, takkan wujud walau sekelumit rasa sesal kerana membenarkan pernikahan abang dan Marina kerana kehadiran abang dalam hidup Sofia, di depan mata Sofia saja sudah cukup untuk memberikan Sofia sebab bagi meneruskan hidup dalam lingkungan rahmatNya. Tiada apa yang mampu menggantikan rasa ini, walaupun itu mungkin bererti Sofia akan ditinggalkan lagi.
Abang,
Jangan anggap perbuatan Sofia ini sebagai satu khianat, atau sebagai satu tanda Sofia tidak menyayangi abang dan mencintai abang sepenuhnya. Sofia tau abang lebih memahami perasaan Sofia yang sebenar-benarnya, dan kerana itu Sofia yakin abang akan bersama Sofia, dan abang akan mengikut rancangan Sofia.
Kerana kasihkan dan cintakan seorang lelaki bernama Hilman, Sofia rela berkongsi kasih.
Sofia akan pulang ke rumah ini apabila semuanya sudah selesai. Abang janji dengan Sofia, abang akan patuh pada permintaan mak. Ya, abang? Tak lama lagi, mak akan telefon ke rumah, dan selepas itu, cuma satu patah perkataan dari abang, semuanya akan selesai. Tak susah, kan?
Sebelum Sofia terlupa, Sofia dah hiaskan bilik tidur tetamu seadanya. Ya, kita akan berkongsi rumah. Sofia suka juga kalau ada teman. Taklah sunyi bila abang tak ada, kan? Marina juga sudah bersetuju. Seperti yang Sofia cakap dari awal tadi, cuma persetujuan abang saja yang diperlukan sekarang. Tolong abang, tolong Sofia kembalikan kegembiraan dalam keluarga abang, boleh kan? Sofia tak dapat bayangkan jika apa yang berlaku adalah sebaliknya kerana Sofia tidak mengharapkan itu terjadi.
Sofia akan menanti khabar dari mak. Cuma mak saja tau Sofia di mana. Sofia harap bila Sofia kembali, rumah ini akan bertambah surinya.
Salam sayang dari Sofia."
Hilman terduduk di kerusi, surat di tangannya digenggam erat. Ke mana Sofia? Seperti yang diberitahu Sofia, telefon rumah itu berdering tiba-tiba. Hilman berkira-kira sendiri, mahu mengangkat telefon atau tidak, mahu menerima panggilan itu atau tidak.
Akhirnya, dia bingkas juga, melangkah longlai ke meja hiasan.
“Hello..”
“Hello, Hilman, macam mana?” suara Puan Syarifah di hujung talian berbaur ceria, jelas tidak sabar menanti jawapan dari mulut Hilman.
Hilman terdiam. Wajah Sofia bermain di mata. Di mana Sofia? Sampai hati Sofia bertindak di belakangnya. Berat kepalanya, sesak dadanya. Keputusan yang akan diberikan akan menentukan hidup mereka selepas ini. Benarkah ini yang dimahukan Sofia?
“Mak…”
“Ya, kamu setuju ke tak?”
Diam kembali. Sukar untuknya meluahkan perkataan itu.
“Baiklah, kalau itu yang mak dan Sofia mahukan.”
“Ha, macam tu lah!” riang suara Puan Syarifah di hujung sana.
Belum sempat Hilman bersuara lagi, talian di sebelah sana sudah dimatikan. Hilman melepaskan keluhan berat.
Di mana Sofia?
Hilman meraup wajahnya, surat di tangan di lembarkan kembali, dan direnung satu persatu ayat itu. Telinganya seolah-olah dapat mendengar bicara Sofia membaca bait-bait patah yang tertulis di situ. Dia menghela nafas dalam. Sebelum satu langkah itu diambil, Hilman perlu mendapatkan kepastian. Cuma seorang saja yang boleh memberikan jawapan kepadanya.
***********
Hilman menanti dengan penuh debar. Tangannya berpeluh-peluh. Kali ini, debarannya lebih hebat dari semasa dia bernikah dengan Sofia. Nampaknya Puan Syarifah memang beriya benar dengan perkahwinan ini, kerana bilangan tetamu yang hadir di majlis pernikahan ini agak ramai juga. Berbeza dengan semasa dia dan Sofia dinikahkan. Cuma ada tok imam, dan dua orang saksi.
Sofia, ke mana dia?
Orang ramai kelelahan menanti pengantin perempuan yang belum tiba. Hilman menjeling jam di dinding. Mengapa terlalu lama mengambil masa? Puan Syarifah juga keresahan di duduknya. Kalau boleh, selagi belum selesai pernikahan, selagi itu hatinya tidak akan tenang.
Tiba-tiba berlaku kekecohan di luar masjid. Puan Syarifah baru saja mahu berdiri untuk melihat punca kekecohan itu apabila Marina muncul di tengah-tengah orang ramai dengan pakaian biasa, tanpa hiasan, tanpa mekap.
Hilman kelu sebentar. Puan Syarifah turut terkejut. Cepat-cepat dia berdiri mendapatkan Marina yang beriak tenang seolah-olah dia tidak melakukan apa-apa kesalahan.
“Marina, kenapa pakai macam ni?” marah Puan Syarifah dengan nada yang masih dikawal.
Ibu Marina turut berdiri di sebelah Marina dengan wajah bersalah.
“Dia tiba-tiba tak nak tukar baju, tak nak berhias. Saya pun tak tau kenapa…” jelas ibunya.
Tebal muka mereka dilihat yang lain.
Marina tersenyum nipis.
“Maafkan saya kerana menimbulkan kekeliruan dan menyebabkan kekecohan, tapi malam ni, tak ada siapa pun yang akan bernikah. Bukan saya, bukan Hilman. Kamu semua boleh pulang. Maafkan saya…” lancar Marina bertutur sebelum berpusing meninggalkan para tetamu dengan mulut terlopong.
Hilman menghela nafas dalam. Dia kemudiannya tersenyum tawar.
“Hilman, betul tak jadi bernikah?” tok imam bertanya.
Tanpa keraguan, Hilman mengangguk.
“Kalau tak ada pengantin perempuan, kan tak sah pernikahan?”
Tok imam menggeleng-geleng seketika sebelum bangun diikuti yang lain. Puan Syarifah sudah hilang, barangkali mengejar Marina.
Hilman saja yang masih bersila di situ. Tidak lama kemudian, adiknya menghampiri.
“Bang, macam mana boleh jadi macam ni?” rungut Safinah.
Hilman tersenyum nipis.
“Sebab planner dah lari.”
Safinah terdiam. Mengerti maksud abangnya.
“So, kak Sofia bila nak balik?”
Hilman geleng.
“Cuma mak saja yang boleh hubungi dia. Nampaknya, penatlah abang malam ni, nak pujuk mak pulak.”
Safinah terdiam terus seraya melepaskan keluhan perlahan. Hilman sudah berkira-kira sendiri, bagaimana mahu meminta maklumat penempatan Sofia dari Puan Syarifah.
Sofia, pulanglah. Abang perlukan Sofia…
best!
ReplyDeletetak sabar nak tahu apa jadi akhirnya.
sambung2.
cpt pujuk mak, hilman,,,
ReplyDeletebest2,,,,
nk lg,,,
asal marina x nak kawen..
ReplyDeletehmmm..
tulusnya cinta diorang
ReplyDeleteterharu betul baca
pulak..
ReplyDeletecamana nak cari sofia lak ni
wah...!
ReplyDeleteada kejutan...
wondering...
kenapa marina tiba2 x aetuju?
kemana hilangnya sofia...?
n family hilman boleh accept x ek apa yg terjadi ni..?
ni yg nk suh writer cpt2 update ni..
hehe...
sedih + lucu=???
ReplyDeleteso interesting..i like
ReplyDelete