Nisa' menguap panjang untuk kesekian kalinya. Rasa mengantuknya masih belum hilang. Kini dia sedar betapa berat dan besarnya tanggungjawab seorang ibu. Tidurnya sering terganggu sejak Hana menjadi penghuni tetap di rumahnya namun tiada sekelumit rasa sesal di hatinya. Hana anaknya dan akan menjadi anaknya sampai bila-bila.
Sampai di pejabat, Liza memandangnya pelik.
“Cik Nisa', kenapa muka cik lesu je 2-3 hari ni?” tegur Liza. Nisa' yang baru sampai tersenyum tawar.
“Entah. Banyak kerja kot?” ujar Nisa' beralasan sedang dia tahu jawapan yang sebenar-benarnya.
“Eh, cik tak ada bawa balik kerja pun saya tengok. Kerja apa yang banyak sangat tu?” korek Liza lagi. Nisa' terdiam.
Dia sedar Liza seorang yang prihatin namun kali ini keprihatinannya menyesakkan kepala Nisa'.
“Liza, saya masuk dulu. Tolong buatkan kopi secawan. Thanks.” Pinta Nisa' seraya memulas tombol pintu dan masuk ke dalam pejabatnya.
“Ok cik Nisa'.” Jawab Liza perlahan. Aku buat dia marah ke? Liza pantas beredar ke pantry menyediakan minuman Nisa'.
Seketika kemudian dia kembali membawa minuman Nisa'. Diletakkan cawan itu perlahan di hadapan Nisa'.
“Err, cik Nisa'. Cik Nisa' marahkan saya ke?” Tanya Liza lambat-lambat.
Nisa' memanggung kepalanya.
“Kenapa saya nak marah? Awak ada buat salah ke?” Tanya Nisa'. Liza menggaru kepala yang tidak gatal.
“Er, tak lah. Kalau macam tu, saya keluar dulu.” Liza meminta diri. Nisa' pantas menahan.
“Liza thanks for your concern. I really appreciate it.” Liza tersenyum nipis.
“Ok. Saya keluar dulu.” Liza beredar tanpa menunggu lagi. Nisa' menyandarkan badannya ke kerusi. Melepaskan keluhan panjang.
Tiba-tiba Nisa' teringatkan Hana. Semalam Hana menangis sahaja tidak mahu tidur. Sudah pelbagai cara Nisa' buat (cara yang dia tahu saja, apa sangat yang dia tahu) untuk menenteramkan Hana. Sehingga pukul 4 pagi baru Hana tidur nyenyak.
Apabila dihantar kepada Mak Su pagi tadi, Hana kelihatan ok sedikit. Harap-harap Hana tak mengamuk pulak dengan Mak Su. Susah nanti.
Menguap lagi. berair matanya menahan ngantuk. Apalah nasib aku. Tak kahwin tapi dapat anak.
Hujung minggu ini Nisa' bercadang mahu pulang ke rumah ibu bapanya, bersama Hana. Bimbang juga dia dengan penerimaan mereka nanti. Hendak mengambil anak angkat mungkin takkan ada masalah pada mereka tapi jika anak itu anak Badri, bagaimana pula reaksi mereka. Badri tidak berapa disukai ibunya semasa mereka bersama. Nisa' Cuma mampu berdoa Hana akan diterima ibu dan bapanya.
Telefon bimbitnya berbunyi. Lagu yang berdering menandakan Daniel yang menelefonnya.
“Hello, assalamualaikum.” Nisa' memberi salam.
“Waalaikumussalam. Petang ni cam biasa?” Tanya Daniel. Nisa' tersenyum. Memang itu rutinnya.
Bila masanya mereka takkan dinner bersama? Lagipun hanya itu sahaja masa yang mereka ada.
Hujung minggu masing-masing sibuk dengan hal lain. Cuma kadang-kadang mereka bertemu, beralih angin ke tempat lain.
“Ye, saya tau.” Ujar Nisa'.
“Ok, kita makan tempat lain pulak boleh?” Tanya Daniel.
“Err, kat mana?” Tanya Nisa'. Sebenarnya dia tidak mahu pergi terlalu jauh. Bimbang dia akan lambat pulang. Kesian pulak Mak Su.
Sejak peristiwa Nisa' terlupakan Hana tempoh hari, Nisa' tidak pernah lagi mengulangi kesilapannya. Dia benar-benar kesal dengan dirinya.
“Ada tempat baru kawan saya cadangkan. Seafood. Sedap katanya. Ok? Tapi jauh sikit.” Jelas Daniel. Nisa' diam. Macam mana ye?
“Err, kita makan area sini je tak boleh? Saya kena balik awal la.” Nisa' menolak secara baik.
“Kenapa? Awak ni macam ada anak pulak nak jaga. Padahal bukan ada siapa pun kat rumah tu.” Tingkah Daniel. Nisa' garu kepala yang tidak gatal.
“Hmm, oklah.” Akhirnya dia bersetuju dengan berat hati. Mana mungkin Daniel akan memahami?
“Ok. Saya ambil awak. Ok?”
“Ok. Jumpa nanti.” Nisa' bersuara perlahan.
Talian dimatikan. Nisa' memicit kepala yang tidak sakit. Mana nak jaga laki, mana nak jaga anak? Haish, susah betul. Dia mencapai pen, menyambung kerja yang tergendala.
********
“Awak mengantuk ke?” Tanya Daniel. Nisa' menutup mulut yang menguap lagi.
“Hmm? Haah.” Jawab Nisa' jujur. Dipandangnya ke luar tingkap. Destinasi mereka hanya Daniel yang tahu. Nisa' malas mahu bertanya. Mengikut sahaja.
“Muka awak letih je, tak bermaya saya tengok. Awak sakit?” Tanya Daniel lagi.
Alamak, malasnya aku nak melayan cakap dia sekarang. Nak tidur ni. Namun Nisa' tahu Daniel akan bimbang yang bukan-bukan jika dia tidak melayan atau menunjukkan bukti yang dia sihat dan tidak sakit.
“Saya ok la. Cuma mengantuk saja.” Nisa' memandang Daniel sekilas.
“Awak buat apa malam-malam tak tidur? Takkan awak bawak balik kerja pulak?” korek Daniel lagi. sungguh dia hairan.
Dia tahu Nisa' bukan jenis yang suka keluar malam. Habis kerja terus terperuk dalam rumah dan tidur awal. Daniel sering juga bertemu kawan-kawan namun tidak selalu.
“Saya, saya bersembang dengan Mala semalam.” Habis Mala pulak kena!
“Sembang? Aik, tak pernah-pernah rajin sembang tiba-tiba nak menyembang pulak?” Tanya Daniel. Pelik.
“Yelah, sebab tak pernah lah kena bersembang.” Jawab Nisa' laju.
“Tapi kan baru je you all pergi shopping sama hari tu? Tak habis bersembang lagi?” Tanya Daniel lagi. Nisa' garu kepala. Ish, susah betul orang tua ni.
“Daniel, saya penat. Please. Nak tidur kejap. Dah sampai awak kejutkan saya.” Nisa' tidak menunggu lagi, terus dia memejamkan matanya dan mengiringkan kepalanya ke tingkap.
“Hmm yelah, yelah. Tidurlah.” Daniel memicit punat radio dan radio dihidupkan. Lagu nyanyian Sudirman ‘Salam Terakhir’ berkumandang memenuhi ruang kereta.
Mata Nisa' terbuka kembali. Lagu ini pernah dinyanyikan Badri padanya satu masa dulu.
Namun waktu itu Badri menyanyikannya untuk tujuan suka-suka sahaja. Tidak sangka Badri telah pergi meninggalkannya.
Nisa' sebak. Teringat Hana, teringat suraya, teringat Badri. Air matanya menitis namun tidak disedari Daniel yang tekun memandang ke hadapan. Bait-bait kata dalam lagu ini benar-benar menusuk perasaannya.
Badri, semoga kau aman di sana. Dan Nisa' terlelap jua bersama kenangannya dan Badri.
“Nisa', bangun, dah sampai.” Suara Daniel memenuhi gegendang telinganya. Apa yang dah sampai?
“Ha? Dah sampai?” terkulat-kulat Nisa' cuba mengingati apa yang sedang berlaku.
Daniel tertawa kecil.
“Itulah awak. Tidur waktu asar, mewarisi kegilaan. Kan dah tak betul tu?” usik Daniel.
“Kita kat mana ni?” Tanya Nisa' termangu-mangu.
“Dah sampai restoran tu. Jom.” Ajak Daniel. Dia sudah keluar dari kereta.
Oh, restoran. Ok. Baru aku ingat. Nisa' membetulkan tudung. Pipinya terasa melekit dek air matanya tadi. Setelah pasti rupanya ok, Nisa' keluar dari kereta dan mendapatkan Daniel. Jam menunjukkan pukul 6.00 petang. Lama juga perjalanan mereka ke sini.
Nisa' tiba-tiba terasa seperti mahu ke tandas. Daniel yang sedang meneliti menu dikuisnya.
“Awak, saya nak ke tandas dulu.” Beritahu Nisa'. Dia menolak kerusi. Ditanyanya pelayan kedudukan tandas sebelum dia menuju ke arah yang dimaksudkan.
Tiba-tiba, telefon bimbit Nisa' berbunyi nyaring. Daniel yang masih meneliti menu tersentak.
Dicapainya beg Nisa' lalu dikeluarkan telefon bimbitnya.
“Siapa ni?” Daniel bertanya sendiri apabila melihat nombor asing. Ditekan punat hijau.
“Helo,” sapa Daniel.
“Helo, Nisa'. Hana demam ni. Makcik dah bawak dia ke klinik. Makcik dengan Irfan. Nisa' lama lagi ke?” Daniel terkedu. Tidak tahu apa yang patut dijawabnya. Siapa Hana?
“Err, Nisa' ke tandas. Ini siapa?”
“Oh, bukan Nisa' ke? Saya Mak Su, yang jaga anak dia, Hana. Nanti tolong beritahu dia minta dia call Mak Su semula ya.” Pesan Mak Su. Suaranya cemas sedikit.
“Err, ok, ok. Saya sampaikan.” Tutur Daniel. Sesak dadanya mendengar bicara Mak Su. Anak Nisa'?
Telefon diletakkan di atas meja. Menu sudah tidak menjadi perhatiannya lagi. Apa sebenarnya ni? Siapa Irfan? Hana anak Nisa'? Daniel meraup wajahnya. Apa yang dia pasti, Nisa' menyembunyikan sesuatu darinya.
Dari kejauhan dia sudah melihat kelibat Nisa' yang sedang berjalan kembali ke meja mereka. Ditenung wajah itu tajam sehingga Nisa' sampai ke meja.
“Dah order?” Tanya Nisa'. Daniel tidak menjawab.
Nisa' perasan wajah Daniel tegang dan telefon bimbitnya berada di luar beg tangannnya.
“Ada orang call ke?” Tanya Nisa' lambat-lambat. Janganlah Mak Su.
“Mak Su.” Jawab Daniel pendek. Nisa' telan liur.
“Mak Su? Dia nak apa?” suaranya perlahan namun tegas. Dia bimbang ada yang buruk berlaku.
Daniel tidak menjawab sebaliknya dia mengalih pandang. Wajah Nisa' tidak ada raut bersalah.
Sakit hati Daniel melihat riak Nisa' yang masih bersahaja.
Nisa' tahu saat ini Hana lebih penting. Daniel tidak mahu menjawabnya. Biarkan dulu. Didail nombor Mak Su. Tidak berangkat. Eh, tak ada kat rumah ke?
Daniel masih tidak bersuara. Nisa' tahu segala soalannya pada Daniel saat ini tidak akan dilayan.
Dia memeriksa panggilan masuk. Didailnya nombor yang terbaru.
“Helo,”
“Helo,” suara garau lelaki menyapanya. Eh, salah orang ke? Tapi ini je nombor yang tak dikenali.
“Err, sorry, salah nombor.” Nisa' mahu mematikan talian apabila suara itu menahannya.
“Cik Nisa', saya Irfan. Nak cakap dengan Mak Su?” Irfan? Oh, lelaki garang tu.
“Mak Su ada situ?”
“Ada, kejap ya.”
Kedengaran bunyi di hujung sana seperti telefon itu bergesel dengan sesuatu. Beberapa ketika kemudian, suara Mak Su kedengaran.
“Nisa', Hana demam. Mak Su dah bawa ke klinik. Mujur Irfan ada. Kalau tak susah juga.” Suara
Mak Su kedengaran lega walau ada nada cemas terselit.
“Teruk ke?” Nisa' risau. Dijeling Daniel sekilas yang memandangnya tajam.
“Entahlah. Doctor tengah check ni. Nisa' bila nak datang?”
“Saya balik sekarang. Nanti saya call Mak Su balik.”
“Ok, hati-hati ya.”
Talian dimatikan. Nisa' mengetap bibir. Kereta tak ada.
“Daniel, saya kena balik sekarang. Kalau awak nak tunggu terpulang. Saya ambil teksi.”
Nisa' bingkas. Daniel tidak berganjak. Nisa' terus beredar tanpa menunggu lagi.
Sudah lama dia tidak menahan teksi. Berdiri di tepi jalan, Nisa' menggapaikan tangannya setiap
kali ada teksi yang lalu. Namun hampa. Tiba-tiba, sebuah kereta berhenti di depannya. Daniel.
Nisa' senyum tawar. Dia tahu Daniel tidak akan membiarkannya pulang sendiri. Sudah hampir malam pula. Dia masuk ke dalam kereta. Daniel tidak memandangnya tapi kereta sudah meluncur laju di atas jalan.
Tiba-tiba, Daniel bersuara.
“Kita ada banyak masa sebelum sampai. Tolong jelaskan pada saya apa yang sedang berlaku dan kenapa saya rasa macam orang bodoh sekarang.” Sinis ayatnya.
Nisa' menoleh melihat Daniel. Pedih.
“Hana, anak angkat saya.”
“Then who am I? Why can’t you tell me? Is it that hard to tell me Nisa'!?” tingkah Daniel. Nisa' menunduk.
Dia sedar, salah dia juga.
“I don’t think you will accept her Daniel.” Nisa' menjelaskan. Perlahan.
“Why? Am I that bad? I love you Nisa', you know I will support you in whatever you do!” keras suara Daniel.
“Because she is Badri’s daughter!” suara Nisa' tinggi. Air mata sudah mula mengalir. Daniel
terpaku. Terdiam tidak berkata apa-apa.
“He got married not long after we broke up. And he died soon after that. His wife was pregnant but she was also going to die because she was sick. Right after she delivered Hana that night, she called me. The night that we were talking to go to the workshop to take my car back. That night. She talked to me, and asked me to accept Hana because she trusted me as Badri did. And she gave Hana to me. She died right in front of me. With Hana in my arm.” Nisa' teresak-esak kecil. Kenyataan itu perit dan pahit untuk ditelan.
Daniel menongkat kepala. Perasaannya bercampur-baur.
“So, tell me, Daniel. If you were in my place will you let me know about her?” Tanya Nisa' pada Daniel yang sudah kehilangan kata.
Sepi menyelubungi suasana. Cuma esakan Nisa' yang kedengaran. Dia tidak meminta semua ini terjadi dan dia amat berharap Daniel memahaminya. Namun, fahamkah Daniel isi hatinya?
No comments:
Post a Comment