Adwa menggaru
kening yang tidak gatal. Sekejap-sekejap dia memicit pelipisnya. Dia masih
belum dapat mencari gadis bernama Azra, seperti yang disuruh Dr Firhad. Sudah
puas dia menggunakan pengaruhnya dan pengaruh Dato' Rahmat, tetapi pencariannya
masih buntu. Tidak ramai yang rajin mahu menyemak kembali senarai lama,
memandangkan dia cuma ada satu nama. Azra. Tiada nama penuh, tiada juga nama
ayahnya.
Ini usaha
terakhirnya. Seorang rakannya di Wisma Putra yang memberi nombor ini kepadanya,
kerana katanya lelaki ini pernah menguruskan pelajar Malaysia di Cardiff dulu.
Dan dari lelaki ini, dia berjaya mendapatkan nombor rumah gadis bernama Azra
yang didaftarkannya semasa di Cardiff. Adwa mula mendail, dengan doa yang tidak
putus-putus. Sudah terbayang sindiran Dr Firhad jika dia gagal juga kali ini.
“Hello,
assalamualaikum. Ini rumah Azra yang pernah belajar di Cardiff ke?” Adwa
memulakan dengan sopan.
“Azra? Tak ada
orang nama Azra di sini. Dan orang di rumah ni cuma belajar agama je. Tak ada
yang ke negara orang putih laknat tu.” Balasan itu berbaur sinis di telinga
Adwa, walaupun penuturnya jelas sekali seorang wanita.
“Cik pasti ke?
Saya dapat nombor ni dari kawan saya di Cardiff dulu, dan saya betul-betul
perlu cari Cik Azra. Kalau cik tau di mana dia sekarang, boleh beritahu saya?”
“Eh, awak ni tak
faham bahasa ke? Tak ada Azra di rumah ni!” Kedengaran gagang diletak kasar.
Adwa merenung
telefonnya tidak percaya.
“Kot ye pun, tak
payahlah nak marah. Ish, perempuan saja, tapi tak ada adab. Kalau student aku
ni, siaplah aku kerjakan.” Bebel Adwa sendiri, sambil meletakkan telefonnya
kasar ke atas meja.
Belum hilang
sakit kepalanya dengan kebiadapan wanita tadi, telefonnya berbunyi nyaring.
Nombor yang
tidak dikenali. Adwa menarik nafas panjang dan berat. Walaupun dia tidak
menyimpan nombor itu, tapi dia sudah kenal benar dengan pemiliknya.
“Hello, you nak
apa?” tanpa salam, Adwa terus saja bertanya.
“Amboi,
garangnya? You kan tunang I. Salah ke I telefon ni?” sinis bicara Yanny
membuatkan Adwa mengurut keningnya lagi sambil memejamkan matanya rapat.
“Tak salah tapi
tak perlu pun.”
“Ad, sejak kita
bertunang, you tak pernah call I pun. Bila I call, I pulak kena marah? I tau
you tak nak pun hubungan ni, but show some effort please. I bukan tunggul, dan
ini bukan kemahuan I jugak.” Keras bicara Yanny membuatkan Adwa semakin
serabut.
“Yelah, yelah,
you nak cakap apa? I sibuk ni.”
“Mama ajak makan
sama malam ni. Kita saja, without your parents. I think they have been told
about this already.”
“Sorry, I tak
dapat datang. Kirim salam saja la.” Laju dia menolak.
“Ad.” Panggil
Yanny keras, namun Adwa sudah enggan lagi berdiplomasi.
“You made plans
without asking me. Sekarang ni siapa yang nak kahwin sebenarnya?”
“Alright.
Another day, maybe? Bila you free?” Yanny mengalah dalam terpaksa.
“I tak free.
Bila I free, I bagitau. Bye Yanny. Got to go.” Terus dimatikan talian tanpa
menunggu lama.
Sekali lagi
telefonnya dicampakkan ke atas meja kasar. Kiri kanan nak menyusahkan aku. Adwa
mengeluh kasar.
Arham mengatur
langkah tanpa arah tujuan. Mungkin rata-rata pengunjung pasar malam itu juga
tiada tujuan sama sepertinya, bezanya mereka mencari makanan, pakaian, atau
alat-alatan dan perkakas dapur, sedangkan dia mencari seseorang. Aurora.
Besar juga pasar
malam ini. Pertama kali dia menjejakkan kaki ke sini, setelah nombor telefon
Raid berjaya diperolehinya dari pakcik kepada Yanny, dan semuanya kerana dia
mahu menjejaki Ara. Dia mahu bersua kembali dengan Ara. Yang paling penting,
dia mahu tahu kenapa Ara di sini dan bukan di institusi pengajian tinggi?
Setahunya, Ara bukan calang-calang pelajar. Dia merupakan pelajar cemerlang
tajaan JPA di Cardiff dulu. Sekurang-kurangnya itu yang dia tahu dari Bunyamin,
rakan baik Ara semasa di sana, orang yang bertanggungjawab memperkenalkan
mereka berdua.
Semasa mereka
bersua dulu, Ara tidak berapa mengendahkannya. Mungkinkah kali ini semuanya
akan berubah? Tanpa disedarinya, harapannya sudah tinggi menggunung. Dia mahu
Ara menyebut namanya nanti. Itupun kalau Ara masih ingat.
Dalam aturan
langkahnya yang tidak pasti dan minda yang memetakan seribu satu kemungkinan
pertemuan mereka kelak, pandangannya disapa satu wajah yang dicari-carinya di
sebalik asap makanan dan orang yang semakin ramai. Kini langkahnya semakin laju.
Hatinya bagai mahu melompat-lompat girang. Ara sudah berada di depannya.
Sekejap saja,
dia sudah berdiri di depan gerai sate Raid. Raid sedang membungkus sate seorang
pelanggan dengan lincahnya, sedang Ara membakar sate di bahagian belakang
sedikit, tanpa memanggung wajah. Arham menelan liur. Dia menanti pelanggan
sebelumnya itu membuat bayaran dan beredar, sebelum dia bergerak ke hadapan,
dan tersenyum dengan hujung bibir yang sedikit menggeletar.
“Sate dik? Nak
berapa cucuk?” soal Raid spontan sambil mencapai kertas pembungkus.
Arham memandang
Raid yang merenungnya, dan Ara yang tidak melihatnya langsung, silih berganti.
“Erm, boleh
jugak. Bagi saya 20 cucuk.” Pintanya dengan senyum kelat.
Raid tersenyum
sumbing.
“Boleh jugak?
Kalau awak tak nak beli sate, awak terpacak depan gerai ni buat apa?” usikan
Raid akhirnya membuatkan Ara mengangkat muka, namun sekilas sahaja dia melihat
Arham, tanpa sebarang perubahan riak wajah.
Arham hampa.
“Sebenarnya...
saya macam kenal cik sate tu.” Beritahunya di luar sedar. Mungkin kerana dia
terlalu kecewa Ara cuma melihatnya sepintas lalu, laju saja mulutnya berbicara.
Raid angkat
kening mendengar pengakuan jujur itu. Dia menoleh ke arah Ara yang jelas tidak
mendengar perbualan mereka. Dia memandang ke hadapan kembali, menyambut not 50
Arham.
“Ara? Awak kenal
adik sedara saya tu?” soal Raid penuh minat. Selama Ara berniaga dengannya, ini
kali pertama pelanggannya mengaku mengenali Ara. Teruja Raid sekejap.
Arham angguk
lagi seraya menyambut bakinya.
“Tapi tak
apalah. Dia tak ingat saya kot.” Arham sudah mahu berlalu, tetapi Raid pantas
menahan.
“Ara!” panggil
Raid sedikit kuat, dan Ara panggung muka memandangnya dengan dahi berkerut.
“Kawan Ara ni?”
ditunjuk ke arah Arham yang cuma melihat adegan itu dengan penuh minat, dan
harapan yang tinggi. Tak sangka Raid akan bertindak demikian.
Ara memandang ke
arah itu, dan Arham menanti. Lama mereka bertatapan, tetapi riaknya masih sama.
“Siapa eh?” soal
Ara dengan suara yang sedikit kuat, dengan mata yang dipicingkan.
Jatuh bahu
Arham, dan senyum kelat diukir. Malu pula bila ditanya begitu di tengah-tengah
orang ramai begini. Seorang pelanggan lain muncul di sebelahnya, dan Arham
terpinggir tanpa diminta. Raid terus melayan pelanggan itu tanpa berlengah, dan
Arham masih belum mahu mengangkat kaki. Ara menjelingnya sekejap-sekejap,
tetapi gadis itu tidak menunjukkan tanda-tanda mahukannya di situ. Dalam erti
kata lain, Ara tidak mengingatinya.
Bingung seketika
Arham di situ, sebelum akhirnya dia mengatur langkah pergi. Gunung harapannya
hancur, musnah dalam sekelip mata. Jika Ara tidak mengingatinya, mustahil dia
akan dapat memulakan semuanya kembali. Mustahil. Kerana dia masih ingat betapa
kerasnya gadis yang bernama Ara itu.
Raid
memerhatikan sekeliling, tetapi lelaki tadi sudah tiada. Dihampiri Ara yang
sibuk mengatur cucuk sate baru di atas pemanggang. Peluhnya diseka dengan kain
di tangan dengan pantas.
“Ara tak kenal
laki tadi tu?” soal Raid lagi.
Ara geleng
kepala.
“Tak. Siapa
entah. Apa dia cakap dengan abang Raid?”
“Katanya dia
kenal Ara. Cik sate.”
Ara angkat
kening.
“Suka hati je
panggil Ara cik sate. Pernah nampak kat pasar malam lain kot.” Tingkahnya tidak
berminat, sekaligus mematikan tanda tanya di minda Raid. Apabila Raid tidak
lagi bertanya, Ara melepaskan nafas lega tanpa disedari Raid.
Kenapa lelaki tu
harus muncul di sini? Tolong jangan datang lagi. Doanya tidak putus-putus. Dia
tidak mahu apa-apa jua perkara atau manusia yang berkaitan dengan masa lalunya
muncul di depannya sekarang. Dia belum bersedia. Semuanya terlalu pahit untuk
dikenang. Sangat pahit.
“Assalamualaikum...”
Ara panggung muka mendengar salam itu.
Dia terus
memandang ke sekeliling dengan mata meliar. Setelah dipastikan Raid masih belum
kembali, Ara mengerutkan dahinya.
“Waalaikumussalam.
Nak apa?” soalnya acuh tak acuh.
Arham tersenyum
tawar. Tidak sia-sia dia datang kembali. Dia tetap mahu memastikan Ara benar-benar
tidak mengingatinya. Tak sangka pula Ara akan berseorangan tanpa Raid.
“Mana tokey?”
Ara tidak terus
membalas, sebaliknya dia membuang pandang ke arah lain, tanda tidak berminat
mahu melayan.
“Solat.”
Arham angguk
mengerti.
“Awak... Ara
kan? Betul awak tak ingat saya?”
Ara menoleh
pantas, riaknya jelas menunjukkan dia terganggu dengan kehadiran lelaki ini.
“Dah cakap
sekali dah kan? Awak ingat kalau awak tanya saya seribu kali lagi, jawapan tu
akan berubah ke?” sinis bunyinya, membuatkan Arham tersengih malu.
“Taklah. Sebab
saya rasa taklah lama sangat masa berlalu sejak kita jumpa di Cardiff. Belum
sampai setahun pun. Saya kawan Bunyamin, dari website The Eyes of Beholder.
Awak tak ingat?” Arham mencuba lagi, tetapi gadis itu memandang ke hadapan
kembali.
“Tak. Sorry. Pelanduk
dua serupa kot. Dan saya tak kenal mana-mana orang nama Bun.” Bicaranya di
bawah nafas.
Arham tersenyum.
“Saya tak cakap
pun nama dia Bun. Saya sebut Bunyamin.”
Ara kulum liur. Alamak.
Terlepas pulak.
“Awak saja je
buat-buat tak kenal saya, kan?” Arham terus mencuba.
Akhirnya Ara merengus
kasar. Dia melihat ke arah surau sekali lagi, memastikan Raid masih belum
selesai. Dia tidak mahu Raid melihatnya dengan lelaki ini.
“Fine. I know
you. Puas hati? Sekarang boleh tak awak pergi? Saya tak nak bos saya tengok
saya bercakap dengan awak.”
“Kenapa? Boyfriend
awak ke?”
Bulat mata Ara mendengar
tekaan yang lebih berbaur tohmahan itu.
“Saudara saya
la. Dah, pergi.” Halaunya lagi.
“Saya boleh
jumpa awak lagi?”
“Tak boleh.”
“Kenapa pulak? Dah
lama saya cari awak.”
Ara angkat
kening.
“Kenapa awak
cari saya? Carilah Bun. Awak kan kawan dia?” sinis bunyinya, membuatkan Arham semakin
yakin ada yang tidak kena antara Ara dan Bun.
“Bun dengan saya
dah lost contact. Sejak dia balik Malaysia, dia pun senyap je. Awak tak contact
dia?”
Ara mengeluh
panjang.
“This is what I don't
want. Tracing the past. Saya harap saya takkan jumpa awak lagi. No, I don't want
to. Tolong faham, kalau awak faham bahasa.”
Arham mengerutkan
dahinya.
“Eh, kata tak
kenal?” entah bila Raid menghampiri, Ara sudah menepuk dahi.
Menyesal melayani
Arham.
“Kawan Ara, kan?”
Raid bertanya lagi, apabila keduanya menyepi sebaik saja dia tiba.
“Hai bang, saya Arham.”
Ara membuang pandang ke arah lain. . Sebetulnya dia
sudah tidak ingat nama lelaki ini. Dia cuma mengenali wajahnya.
“Raid. Kenal Ara
di mana?” soal Raid lagi selepas bersalam ringkas, jelas ditujukan soalan itu
kepada Arham apabila Ara cuma menunduk di kerusinya.
“Erm, saya kenal
kawan Ara semasa di Cardiff dulu. Ada jumpa sekali.”
Raid mengangguk
faham sambil menjeling Ara yang sudah membisu. Mengertilah dia, Ara tidak mahu
melayan Arham di depannya tadi kerana lelaki itu berkait dengan masa lampaunya
yang tidak pernah diceritakan langsung kepada Rasha dan dirinya sejak Ara
bekerja dan tinggal bersama mereka.
“Oh, erm, nak
sembang lagi ke?” soalan Raid membuatkan Ara menoleh pantas.
“Tak, tak ada
apa-apa dah yang nak dibincangkan. Jom balik bang. Ara lapar.” Ajak Ara tanpa
menunggu lama, sekaligus mematikan niat Arham untuk berbual lebih lama.
Ara sedang
melarikan diri. Itu saja yang dapat Arham fikirkan sekarang. Raid cuma
menggeleng apabila Ara sudah masuk ke dalam kereta tanpa mempamit Arham selamat
tinggal.
“Nanti mesej
abang. Ada nombor abang kan? Abang bagitau lokasi esok. Datang tau.” Ajak Raid di
luar dugaan Arham. Arham mengangguk dalam keliru.
Pucuk dicita
ulam mendatang. Hairan juga dia dengan tindakan Raid yang mengalu-alukan
kedatangannya, tetapi dia tidak mahu menolak ajakan itu. Dia yakin Raid akan
membantunya, walau dengan apa cara sekalipun, walaupun mereka baru pertama kali
bersua.
Arham menghantar
Raid pergi dengan senang hati. Hairan. Kenapa Ara begitu? Memang dinginnya
masih sama, tapi kali ini bicaranya bernada bimbang, seolah-olah Arham bakal
membawa masalah kepadanya. Apa sebenarnya yang menyebabkan Ara begitu
defensive? Hairan. Dia benar-benar hairan.
Arham membelek
Nicon di tangan dengan hati yang senang. Dia yakin hari ini Ara tidak mampu
menghalaunya jika Raid sudah memberi keizinan untuknya menyertai mereka. Dia mahu
merakamkan gambar gadis itu sebanyak mungkin. Mungkin ini saja peluangnya. Mungkin
ini kali terakhir mereka akan bersua.
Seperti yang
diberitahu Raid, Arham tiba di tapak pasar malam Taman Sentosa tepat jam 5
petang. Sekali lagi dia memulakan pencarian di celahan orang ramai, mencari
gerai sate Raid. Apabila Arham terpacak di depan gerai, Raid menggamitnya untuk
masuk ke sebelah dalam. Bulat mata Ara melihat Arham menyertai mereka.
“Abang Raid!” suara
Ara sedikit keras, tapi Raid tidak mengendahkannya.
“Hai, awak.” Ara
membalasnya dengan jelingan tajam.
“Tepilah! Orang nak
buat kerja!” marahnya pada Arham yang sedikit menghalang laluan.
Arham meminggir,
bingung sekejap.
“Nah, duduk
sini.” Raid menolak sebuah bangku ke arahnya, dan Arham tersenyum akur.
Ara cuma
menjeling kedua mereka dari ekor matanya. Malas mahu melayan. Dia tahu Raid sengaja
mahu memancingnya untuk bercerita. In his dreams!
“Busy ke?” soal Arham
berbasa-basi pada Ara yang sedang sibuk mengipas bara.
“Tak nampak? Dah
buta ke?”
Arham tersengih
mendengar balasan sinis itu. Disediakan Niconnya tanpa disedari Ara. Sekejap saja
beberapa keping gambar sudah tersimpan dalam memori kad. Berbunga-bunga hati Arham
dapat melihat Ara. Buat masa ini, biarlah hati Ara tertutup untuknya. Dia yakin
dia masih punya masa kelak untuk menambat hati Ara.
Apabila angin
tiba-tiba bertiup ke arahnya, Arham terbatuk-batuk kecil kerana asap dari
pemanggang itu menyelubunginya. Ara tersenyum puas.
“Nak sangat
menyibuk kat sini kan? Rasakan asap tu. Sedap tak?”
Arham masih
tersenyum dalam perit tekak dan pedih mata.
“Berbaloi sebab
dapat tengok awak setelah sekian lama nampak dalam mimpi je.”
Ara meluruskan
kembali bibirnya. Sekali lagi Arham dijelingnya tajam. Selepas itu, Ara berdiam
saja. Arham pula rancak bercerita dengan Raid sambil menolongnya membungkus
sate, walaupun sedikit terkial-kial. Di luar jangkaan Ara, Arham menolong
mereka sehingga habis. Apabila mereka sudah dalam perjalanan pulang, Ara terus
menyerang Raid.
“Abang Raid,
kenapa abang panggil dia? Ara tak suka.”
Raid tersenyum
nipis.
“Abang tau. Tapi
abang nak Ara berhenti melarikan diri dari masa lalu. Apapun yang dh jadi,
abang tak tau, tapi abang dan kak Rasha kesian dengan Ara, dan kami nak Ara berkawan.
Sejak Ara dengan kami, Ara tak ada kawan lain selain si Nini tu. Abang rasa
bagus jugak Arham ni ada dengan kita. Sekurang-kurangnya Ara ada kawan.”
“If I need
anyone, Ara akan cari. For now, Ara tak perlukan sesiapa. I want to be alone.” Tingkahnya
perlahan.
Raid menggeleng.
“Ara, abang tak
pernah mintak apa-apa dari Ara, kan? Kali ni, abang mintak tolong dengan Ara,
jangan seksa diri sendiri. Lagipun Arham tu budak baik. Abang tak nak Ara layan
dia macam tu. Kesian dia.”
“Abang nak dia
datang ke tapak pasar malam lain jugak ke?” soal Ara tidak percaya.
Raid mengangguk.
“Abang dah mesej
dia, lokasi full kita.”
Ara menepuk
dahinya. Dia akan berjumpa Arham hari-hari. Satu perkara yang tidak pernah
dijangkanya. Wait. Macam mana Arham boleh cari dia?
PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.
No comments:
Post a Comment