About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Thursday, August 6, 2009

Anaknya, Anakku Jua 1

Nisa' mengerling jam di dinding pejabatnya. Sudah hampir pukul 5. Sekejap lagi Daniel akan datang untuk mengambilnya. Habislah, kerja banyak lagi ni. Marah lagi la Daniel. Bukan Nisa' tidak ada kereta, tapi keretanya dihantar ke bengkel untuk dibaiki kerana ada masalah sedikit. Seketika dia teringatkan bebelan Daniel. Nisa' ni workaholic, tak pentingkan dia la, asyik dengan kerja la, macam-macam lagi yang Daniel akan bebelkan. Penat juga nak memujuk. Akhirnya selalu dibiarkan Daniel bercakap sorang-sorang sehingga dia diam sendiri.


Akhirnya Nisa' memutuskan untuk menghentikan juga kerjanya walaupun bukanlah tabiatnya untuk bertangguh kerja. Demi Daniel dan hubungan mereka yang sudah berjalan baik selama 2 tahun, Nisa' mengalah. Lagi pula mereka akan bertunang pertengahan tahun ini. 6 bulan dari sekarang. Dan mengikut perancangan 3 bulan selepas itu pula mereka akan bernikah. Nisa' sedar dia perlu melatih diri dengan komitmen dari sekarang supaya apabila mereka berumahtangga dan munking mempunyai cahaya mata kelak, dia tidak akan kekok untuk membahagikan masa untuk rumahtangga dan kerjayanya.

Tepat pukul 5, dia sudah berada di lobi dan beberapa ketika kemudian, Daniel tiba dengan Proton Gen2nya.

“Awal hari ni?” usik Daniel.


Nisa' mencebik.


“Yelah, kalau tak nanti ada orang tu merajuk susah pulak saya.” Nisa' memulangkan paku buah keras. Daniel ketawa kecil. Dia tidak mengambil hati bicara Nisa' sebaliknya dia bangga kerana buah hatinya itu sudah mula mengambil berat tegurannya.


“Yela sayang. Sekarang kita nak makan kat mana?”


“Tempat biasa je la. Saya penat. Boleh balik cepat sikit.” Ujar Nisa'.


“Ok. As you wish.” Lalu Daniel pun meneruskan pemanduan ke restoran yang dimaksudkan Nisa'.


“Eh, awak. Esok kereta saya dah boleh ambil. Mekanik tu dah telefon tadi. Esok pagi awak jemput saya, kita pergi bengkel sama-sama. Dari situ baru gerak asing-asing. Ok?” Tanya Nisa'.


“Ok je.
Macam tu awal sikit la. Takut lambat pulak masuk office nanti.”


“Ok. Pukul 7.30 kita gerak.”


Apabila tiba di restoran tersebut, mereka terus menempah makanan dan sementara menunggu tempahan mereka tiba, mereka berbual-bual kosong perihal kerja dan majlis pertunangan mereka nanti. Tiba-tiba, Daniel bertanya.


“Nisa', awak nak anak nanti berapa orang?” pertanyaan itu membuatkan Nisa' tergamam.


“Kenapa awak ni? Tak pernah Tanya macam tu tiba-tiba je.” Air mukanya berubah merah menahan malu.


Daniel ketawa kecil melihat reaksi Nisa' yang sudah dijangkakan.


“Kalau saya, saya nak 4 orang. 2 pasang. Kalau kembar lagi bagus.” Ujar Daniel bersungguh-sungguh. Sengaja mahu mengusik gadis itu. Nisa’ bertambah segan.


“Pandaila awak. Awak beranak la sendiri. Saya tak nak.”


“Kalau saya boleh beranak, dah lama saya minta tau tapi tak boleh, nak buat macam mana kan?
Nanti lawan hukum Tuhan pulak.” Ujar Daniel lagi.


“Kita cakap pasal lain la.
Hah, nasik dah sampai!” ujar Nisa' riang apabila melihat pelayan membawakan makanan mereka. Daniel ketawa lagi namun dia sudah berhenti bercakap soal itu.


Mereka makan dengan senyap dan sebaik selesai, terus mereka bergerak pulang ke rumah.


Sebaik tiba di apartmentnya yang didudukinya seorang diri, Nisa' yang keletihan terus membersihkan diri dan menunaikan solat asar. Usai asar dia menunggu maghrib dan terus menunaikannya sebaik masuk waktu. Apabila teringatkan hari itu khamis malam jumaat, dia pantas mencapai naskhah Yasiin lalu membacanya penuh tekun dan khusyuk sehingga selesai. Sebaik azan isya’ dia pantas menunaikan solat terakhir untuk hari itu. Sebaik selesai, dia terus merebahkan diri dan menaip mesej selamat malam kepada Daniel. Apabila mesej balasan Daniel masuk dan dibacanya, dia terus melelapkan matanya dan tertidur.

Nisa' merasakan dia baru sahaja terlelap apabila telefonnya berbunyi nyaring. Dengan mata terpisat-pisat, dia menjawab panggilan itu tanpa melihat nama pemanggilnya.


“Helo…”

“Helo, cik Khairunnisa’ bt Bustaman ke yang bercakap ni?” suara itu kedengaran serius.
Nisa' terdiam. Matanya terbuka sedikit.


“Ye saya. Awak siapa?” pantas dia mengesat-ngesat matanya yang masih kepedihan lantaran mengantuk yang teramat.


“Saya dari Klinik Bersalin Aina. Boleh awak datang ke sini sekarang? Adik angkat awak sedang menunggu awak dan dia sangat memerlukan awak sekarang.”


Adik angkat? Matanya terus segar. Klinik bersalin? Bila masa la aku ada adik angkat? Mengandung pulak tu.

“Saya minta maaf tapi awak salah orang rasanya. Saya tak ada adik angkat, lagi pula yang bersalin. Saya minta maaf…”


“Tapi cik, dia sebut nama penuh cik. Apa kata cik datang dulu? Keadaan dia tak berapa baik dan dia berharap dapat jumpa cik. Berapa kali dia merayu kami supaya menelefon cik.”


“Siapa dia?”


“Nama dia Suraya. Kami mohon cik datang dulu. Apa-apa hal cik cakap nanti bila cik dah bertemu dia.”


“Di mana tu?” Nisa' terus mengambil pen dan kertas yang memang tersedia di meja sisi katilnya lalu bersedia untuk menulis alamat yang dibacakan. Mujur dia tahu kawasan itu.


“Baiklah, saya datang sekarang.” Ujar Nisa' lalu talian dimatikan.


Nisa' termangu-mangu seketika. Dikerling jam telefon bimbitnya. Pukul 2.30 pagi. Aku bermimpi ke? Dicubitnya kedua-dua belah pipinya. Aww! Sakit! Nisa' mengusap-ngusap kembali pipinya yang dicubit. Ini bukan mimpi. Pantas Nisa' bersiap ala kadar, cukup dia menutup aurat, mencuci muka dan menggosok gigi. Seketika, Nisa' teringatkan sesuatu.


Alamak! Mana ada kereta! Daniel? Macam mana ya? Otaknya ligat. Daniel tak boleh diganggu tidurnya. Pantas dia teringat jirannya, Mala yang juga bujang dan tinggal tidak jauh dari rumahnya. Pantas dia mendail nombor Mala. Deringan terbiar lama sebelum kedengaran suara Mala yang serak kerana terganggu tidurnya.


“Mala, sorry sangat kacau tidur kau tapi aku ada hal la, nak pinjam kereta kau boleh? Kau tak payah ikut aku, pinjamkan kereta je. Boleh?” ujar Nisa' pantas.


“Hmm. Ok. tunggu kat luar rumah.”ujar Mala berbasa-basi.


Pantas Nisa' keluar dari rumah menuju ke rumah Mala yang selang beberapa pintu dari rumahnya. Dia menunggu beberapa ketika sebelum kedengaran selak dibuka dan tersembul wajah Mala yang keletihan dan mamai. Matanya masih tidak terbuka sepenuhnya.


“Nah, esok aku ambik balik.” Huluran Mala di sebalik lubang gril disambut Nisa'.


“Thanks. Pegi sambung tidur balik.”


“Hmm…” Nisa' terus melangkah ke bawah. Mencari-cari kereta Mala di petak keretanya.

*********

Sebaik tiba di klinik yang dimaksudkan, Nisa' terus menuju ke kaunter. Klinik itu lengang. Almaklumla, awal pagi begitu. Nisa' terus ke kaunter.


“Tumpang tanya, saya Khairunnisa’ Bustaman, tadi…” belum habis soalan Nisa', misi itu sudah tersenyum dan memintas cakapnya.


“Oh, cik Khairunnisa’! Saya yang telefon cik tadi. Mari, saya bawakan cik kepada adik angkat cik.”


Nisa' Cuma mengangguk lalu menurut langkah misi itu ke sebuah bilik di bahagian belakang klinik itu. Mereka masuk ke sebuah bilik yang sederhana kecil yang memuatkan sebuah katil yang berpenghuni. Wajah gadis itu pucat. Dia kelihatan tidak bermaya. Sangkanya gadis itu tidur namun dia tersentak apabila gadis itu bersuara.


“Misi, dia dah datang?” suara itu lemah. Barangkali dia mendengar bunyi pintu dibuka.


“Ya Puan Suraya.”


“Cik Khairunnisa’, ini dia orang yang memanggil cik datang ke sini. Saya tinggalkan cik dengan dia.” Misi itu berlalu keluar.


Nisa' termangu-mangu. Dia tidak kenal Suraya. Apa yang menjadi tanda tanya ialah bagaimana gadis itu kenal dirinya? Mesti salah orang.


Nisa' menarik kerusi di sebelah katil itu lalu duduk. Dia benar-benar tak keruan. Keliru dengan situasi ini.

“Kak Nisa'.” Suara itu memanggil. Matanya terbuka perlahan-lahan.


“Ya saya.” Nisa' tidak tahu apa yang patut diucapkannya ketika ini.


Dia sayu melihat keadaan gadis itu. Dari pemerhatian Nisa', Suraya gadis yang asalnya cantik, Cuma keadaannya ketika ini membuatkan kecantikannya pudar. Kasihan.


“Akak tak kenal saya, tapi akak mungkin kenal Badri.” Ujar Suraya lemah.


Nisa' tersentak. Badri! Apa kaitan gadis ini dengan Badri?


“Saya isterinya.”


Seakan dapat membaca fikiran Nisa', Suraya menjelaskan tanpa diminta. Nisa' tergamam. Dia tidak tahu Badri sudah berkahwin.


“Saya tak punya banyak masa lagi akak. Saya akan pergi. Tapi saya nak serahkan harta saya pada akak. Saya harap akak dapat terima.” Ujarnya lagi.


“Apa yang awak cakap ni?
Saya tak faham.” Suraya tersenyum tawar. Dengan bersusah payah dia mengambil sesuatu yang diselitkan di bawah bantalnya lalu dihulurkan kepada Nisa'. Nisa' memandang sepi huluran itu. Bingung.


“Akak ambillah surat ni. Akak akan tahu semuanya. Tolong panggilkan misi.” Suraya terbatuk-batuk kuat.

Pantas Nisa' menyambut surat itu lalu bangun memanggil misi tadi.


Apabila misi itu masuk, Suraya bersuara lagi.


“Tolong ambil Hana.” Misi itu terus berlalu menunaikan permintaan itu. Nisa' makin keliru. Hana?


Seketika misi itu masuk kembali sambil mengendong bayi yang masih merah lalu diberikan kepada Suraya yang bersusah payah cuba memegang bayi itu. Dia kelihatan sangat uzur. Dikucupnya bayi itu berulang kali sambil dia berbicara perlahan.


“Hana, ibu tak boleh jaga Hana. Ibu akan pergi. Hana tinggal dengan ibu Nisa' ye? Ibu sayang Hana.” Sayu suara itu. Nisa' sebak dan bingung.


“Suraya, apa yang awak maksudkan ni? Saya tak faham.”


“Akak akan faham segalanya setelah akak baca surat tu. Saya minta maaf sebab tak punya banyak masa untuk memberi akak peluang memahami segala-galanya sendiri. Akak, nak kendong Hana?” dia mengunjukkan bayi itu kepada Nisa'.


Nisa' masih kaku, teragak-agak dengan sikap Suraya dan kata-katanya namun dia menghampiri juga Suraya lalu diambilnya Hana dari Suraya. Comel. Dia menatap wajah itu yang sedang nyenyak tidur. Si kecil yang tidak memahami apa-apa. Dia juga keliru.


“Saya serahkan Hana kepada akak mulai sekarang. Saya harap akak dapat jaga Hana dengan baik dan saya percaya, akak akan menjaga dia dengan baik.”


“Suraya, apa awak cakap ni? Saya tak faham.” Suraya Cuma tersenyum sambil dia mengusap lembut ubun-ubun Hana yang masih di dalam kendongan Nisa'. Suraya kelihatan semakin lemah.


“Badri percayakan akak, jadi saya pun percayakan akak.” Ujar Suraya perlahan. Seketika, mulutnya terkumat-kamit, perlahan suaranya. Kemudian matanya terus tertutup dan tangannya terkulai. Nisa' tergamam. Tak mungkin!


Pantas Nisa' berlari keluar memanggil misi. Riuh-rendah misi itu datang dengan membawa doctor bersamanya. Nisa' meminggir, tidak tahu apa yang patut dilakukannya waktu itu. Jangan Suraya, awak mesti tabah! Ucapnya berulang kali di dalam hati. Tiba-tiba, bayi di dalam kendongannya menangis membuatkan dia bertambah tidak tentu arah. Dalam dia cuba mendodoikan Hana supaya berhenti menangis, dia tetap memerhatikan doctor dan misi yang berusaha sedaya upaya menyedarkan Suraya.

Nisa' bagai tidak percaya apabila doctor berhenti setelah beberapa ketika lalu memandangnya dengan pandangan yang dia tidak sanggup tafsirkan. Tak mungkin! Nisa' tersandar di dinding itu. Antara percaya atau tidak bahawa Suraya telah pergi untuk selama-lamanya. Suraya yang baru dikenalinya dan Hana yang baru lahir di tangannya.

Tanpa disedarinya, pipinya basah dek air mata yang mengalir laju, tanpa dapat ditahan-tahan lagi.

No comments:

Post a Comment