About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru November 2016!

Terbaru November 2016!

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Monday, June 13, 2011

Seindah Aurora: Ray 1




Aurora Azra, Januari, 2010.
Ara meneruskan kipasannya yang kadang-kadang diperlahankan apabila dilihatnya api di bawah jaring itu membesar. Dia tidak mahu sate yang sedang dimasak hangus dan berwarna hitam. Pasti tidak menarik perhatian nanti. Biarpun sudah hampir 6 bulan dia memegang kipas itu, dia tidak mahu berlagak. Bila rasa sudah pandai, masa itulah kita melakukan kesilapan.

Majlis keramaian yang sedang berlangsung di depannya langsung tidak menggugat tumpuannya. Tugasnya di sini membakar sate. Keramaian ini diadakan untuk tujuan apa juga dia tidak tahu. Malas mahu ambil pusing.

“Dah cukup kot?” satu suara dari kanannya membuatkan dia menoleh sekilas. Peluh di dahi sudah membasahi bahagian tepi tudung di sebelah dalam. Percayalah, di luar nampak tenang, dalam sudah lencun.

“Sikit lagi je. Banyak lagi kan kat dalam?”

Raid angguk. Talam segi empat yang bersisa kuah sate yang dibawanya diletakkan di sebelah pemanggang. Dijeling ke dalam besen berisi sate mentah, cuma tinggal 3 ikat, bermakna 60 cucuk saja lagi. Cepat betul sate mereka kehabisan.

Sate Raid. Nama yang mampu dibanggakannya setelah 5 tahun. Hasil titik peluhnya, namanya sudah mula dikenali sejak dia mula berniaga kecil-kecilan di pasar malam. Kini, tempahan tidak putus-putus.

Ara mengangkat sate yang sudah berbau harum dan berwarna kuning keemasan itu lalu diletakkan ke dalam talam di sebelahnya.

“Ara angkat masuk dalam. Biar abang pulak bakar.” Raid mengarah.

Ara tarik muka.

“Ala bang, Ara kat sini jelah. Malas nak masuk dalam.” Enggan menjejakkan kaki ke dalam rumah mewah itu, Ara menggeleng laju.

Raid turut menggeleng dengan keluhan panjang.

“Apa nak jadi la anak dara ni. Orang suruh berehat, tak nak. Ara tau tak dari tadi Ara tak makan apa-apa?” tegur Raid seraya bercekak sebelah pinggang.

Ara sengih saja.

“Abang angkat eh? Ara sambung bakar yang lain ni.”

Rela atau tidak, Raid akur. Dia malas mahu memaksa Ara. Gadis itu degil. Kalau tidak, masakan dia di sini. Raid mengeluh lagi sebelum diangkat talam itu.

“Rehatlah kejap. Banyak lagi kat dalam. Makan dulu. Tu, banyak makanan lain kalau dah muak telan sate Kak Rasha kamu. Cendol ada, rojak ada, mee goreng mamak ada, roti canai. Pergilah makan.” Pesan Raid sebelum dia beredar ke dalam.

Ara berdiri tegak. Matanya mengintai-intai setiap gerai lain yang ada. Nak makan apa? Mee goreng? Roti canai? Bila disuruh makan, baru terasa lapar yang amat.

Dia membuka langkah. Roti canai itu pilihannya. Digunakan laluan pemilik gerai untuk mengelakkan orang ramai di bahagian depan. Mereka berpakaian cantik, dia cuma berseluar jeans lusuh dan t-shirt serta apron yang agak berjelaga di bahagian tengahnya. Tompok-tompok minyak jangan cakaplah. Macam peta dunia rupanya.

“Bang, roti telur ada?”

Peniaga roti canai yang sedang mengalihkan roti canai di atas kuali leper itu menoleh.

“Ada. Nak berapa? Dua?”

Ara berfikir sejenak, sebelum mengangguk.

“Boleh jugak. Nanti dah siap saya datang eh. Saya bakar sate kat sana tu.”

Lelaki itu mengangguk sebelum mengerling sekilas ke gerai Raid dan Ara yang sudah mengatur langkah pergi. Ara menggeliat kecil seraya mengambil tempat di atas kerusi. Lenguh mula terasa. Dia mula memerhatikan sekitar majlis ini.

Majlis apa agaknya? Orang kaya. Macam ni punya meriah pun cuma sedikit saja pada mereka. Banglo sudah bertingkat-tingkat. Nak buat apartment ke gamaknya?

“Sate dah habis ke?” entah dari mana muncul lelaki ini, Ara panggung muka.

Berbaju melayu cekak musang, sulaman di bahagian butang dan lengan bajunya amat cantik. Sempat dia memuji dalam hati. Lelaki itu berbaju melayu lengkap hingga ke bawah, cuma tidak bersongkok. Manis wajahnya, namun riaknya murung sedikit.

“Cik sate, sate dah habis ke?” sekali lagi soalan itu diulang apabila Ara tidak menjawab soalan pertamanya.

“Erm, sate ambik kat dalam. Kat sini, yang dah bakar tak ada. Baru je angkat masuk dalam.” Beritahunya jujur.

Lelaki itu mengerling ke arah pintu rumah sebelum mengeluh panjang. Dia kembali memandang Ara dengan pandangan yang sedikit sayu.

“Boleh bakarkan untuk saya? Saya dah malas nak masuk dalam rumah.” Pintanya.

Ara terdiam, berfikir sekejap. Apalah salahnya, memang kena bakar bagi habis pun. Dia akhirnya akur.

Bingkas lalu diambil seikat sate mentah dari dalam besen, dibuka ikatannya lalu diatur di atas pemanggang. Dia mula mengipas supaya bara yang ada menyala lebih kuat. Sekali-sekala dia mengerling lelaki itu yang berpeluk tubuh dan khusyuk memerhatikannya bekerja.

“Duduklah encik.” Kerusi di sebelahnya ditolak sedikit.

Mulanya dia ragu-ragu, namun akhirnya dia mengalah. Diatur langkah ke sebelah Ara lalu dilabuhkan punggungnya di situ setelah dikibas dan dibuang kotoran yang melekat dengan jemarinya.

“Sorry, comot sikit. Kami kan bakar sate, so tak perlu bersih-bersih sangat pun.” Sempat dia meminta maaf, simpati kerana lelaki itu berbaju cantik dan bersih, tapi terpaksa duduk di tempat yang agak tidak sesuai dengan penampilannya. Tak ada siapa panggil dia ke sini pun. Nasiblah.

Lelaki itu tidak membalas, sebaliknya dia termenung sendiri. Ara malas mahu ambil pusing, ditumpukan perhatian pada satenya. Tiba-tiba...

“Dik, roti telur dah siap.” Panggil peniaga roti canai dari kejauhan.

Ara ketap bibir. Ala, macam mana nak tinggal sate ni? Resah sendiri, dikerling lelaki di sebelahnya.

“Encik...”

Lelaki itu angkat muka.

“Boleh tolong saya?”

Lelaki itu kelihatan teragak-agak, dipandang sate di atas pemanggang.

“Tolong tu?”

Ara geleng laju.

“Bukan, bukan, tolong ambilkan roti canai saya dekat pakcik tu. Tadi saya order, lepas tu encik datang. So, sekarang saya tak boleh tinggal ni, boleh?”

Sekali angguk, lelaki itu bangun. Ara kelegaan. Beberapa ketika kemudian, dia kembali dengan pinggan polisterin di tangan.

“Nah, nak letak mana?” Ara menghulurkan tangan, disambut pinggan itu lalu diletakkan saja di sebelah pemanggangnya.

“Tak apa ke letak situ?”

Dia mengangguk. Lelaki itu tidak bersuara lagi, dia duduk kembali.

“Terima kasih.”

Lelaki itu tidak lagi menjawab. Sekali lagi, dia membisu. Macam ada masalah, tapi Ara tidak mahu bertanya.

“Adwa!” satu suara menjerit dari arah dalam.

Lelaki itu tersentak, Ara turut terkejut. Berpaling ke arah suara itu serentak.

“Kau buat apa kat luar tu? Orang semua bergambar kat dalam ni.” Panggil suara yang memanggilnya.

Ara dapat mendengar rengusan kasar dari lelaki bernama Adwa itu.

“Malas.” Satu perkataan saja.

Dia berpaling ke depan kembali, malas mahu melihat ke arah itu lagi. Lelaki yang memanggil itu menggeleng seraya menghilang kembali ke dalam rumah.

“Sorry la aku nak entertain orang dalam majlis ni. I didn’t ask for it.”

Ara masih rancak mengipas, namun telinganya dapat menangkap setiap butir bicara lelaki itu. Jelas lelaki itu sedang memberontak. Padanlah dia keluar rumah.

“Ni majlis encik ke?”

Sangka Ara lelaki itu akan meningkah kerana marah, namun dia cuma melepaskan keluhan panjang.

“Haah. Malas nak campur. Tengoklah, aku takkan kahwin dengan dia. Buatlah apa pun.” Tekadnya.

Ara menelan liur.

“Keluarga encik yang aturkan?”

Dia angguk sekali. Ara melepaskan keluhan panjang.

“Beruntung keluarga encik ada di sisi.” Berbasa-basi saja bunyinya.

Lelaki itu panggung muka, teragak-agak dia mahu bertanya.

“Kenapa? Cik tak ada family dah ke?”

Ara senyum kelat.

“Yang penting, mereka sentiasa di hati. Encik bertuah. Ada keluarga yang mengaturkan walaupun tak seiring dengan kemahuan encik. Saya rasa tak baik encik buat perangai macam ni. Alang-alang encik setuju, apa salahnya bermanis muka di majlis ni. Apa kata orang nanti kalau tengok orang yang diraikan ada di luar, sorang-sorang. Apa kata tunang encik...” Tak semena-mena dia bersyarah pada lelaki itu.

“Saya tak suka dia.”

Ara senyum lagi.

“Sekurang-kurangnya dia sempurna.”

“Mana awak tau? Awak tak kenal dia.” Laju saja dia meningkah.

Ara tersenyum nipis.

“Kalau parents encik dah suka, takkan dia ada cacat celanya? Dari rupa rumah ni, mesti parents encik dikenali ramai, kan?”

Lelaki itu tidak menjawab, sebaliknya dia memandang ke dalam rumah, dan Ara turut mengikut sorotan matanya, mengerti.

“See. Takkan mereka nak bermenantukan gadis yang tak sempurna. Mesti dia sempurna. Kalau tak, dia takkan terpilih.”

Lelaki itu panggung muka lagi, merenung Ara dari sisi.

“Awak ni bukan gadis sempurna ke?”

Ara tersenyum lagi, pahit.

“Mungkin ya, mungkin tak. Itu bukan isunya sekarang ni. Encik bukannya nak kahwin dengan saya, tapi tunang encik tu.”

“Hanya sebab awak dah tak ada family, awak tak sempurna?”

Ara tidak membalas. dikalih satenya empat-empat.

“Kesempurnaan itu bergantung pada mereka yang menilai. Pada keluarga encik, dia sempurna. Saya tidak. Kan?”

Lelaki itu tertunduk sedikit.

“Kalau saya yang nak dijodohkan dengan encik, mesti mereka akan menentang, kan?”

Dia terdiam lagi.

“Itu yang saya katakan sempurna dari mata encik, dan keluarga encik. Encik pun takkan nak perempuan macam saya berdamping di sisi encik, kan?”

Diam lagi.

“See? Itu sempurna yang saya maksudkan. Jadi saya rasa tak guna encik nak merajuk di majlis encik sendiri. Sekurang-kurangnya, jaga air muka mak ayah encik. Nanti, kalau ada jodoh, takkan ke mana. Kalau tak, tak ada la. Buat macam mana pun, takkan bertemu jugak.”

Ara mengangkat secucuk dua sate yang sudah masak, lalu diunjukkan pada lelaki itu.

“Nah, dah masak.”

Lelaki itu menyambut, lalu digigitnya dengan berhati-hati kerana sate itu masih lagi berasap. Ara angkat muka, dan seorang gadis sedang merenung tajam ke arahnya dari tepi pintu sorong. Pasti dia tunang lelaki ini berdasarkan dari warna pakaian mereka yang sedondon.

“Encik..”

“Hmm...”

“Tu, tunang encik dah tengok saya macam nak telan.”

Lelaki itu melihat ke arah yang dimaksudkan. Dia melepaskan keluhan panjang. Dia bingkas. Dua cucuk sate tadi sudah habis dimakannya. Laju juga ditelannya dalam panas-panas berasap lagi. Mungkin dia sudah kelaparan sangat.

“Nah... Thanks.” Lidi yang digunakan diletak di pinggan roti canai Ara.

Ara jungkit bahu.

“Saya dibayar untuk sate tu.” Ara tersengih, mengenangkan terima kasih yang tidak perlu.

Lelaki itu tersenyum nipis. Kali pertama dia tersenyum sejak tadi.

“Not for the sate, but for your words. Thanks. Saya pergi sebab awak, bukan dia tau.” Sempat lelaki itu berbicara sebelum dia mengatur langkah dan mencelah-celah di antara tetamu lalu menghilang ke dalam rumah.

Ara kelegaan. Sekurang-kurangnya dia berpahala kerana membantu lelaki itu memahami ibu bapanya.

“La, kan abang suruh makan?” suara Raid menegur membuatkan Ara tersenyum sumbing.

“Sabarla bang. Ara nak makan dah tadi tapi tetiba ada alien datang mintak Ara bakar sate untuk dia.”
Raid angkat tangan, mengusik.

“Aku cepuk kang. Degil betul. Ara tu perempuan, bawak-bawak la jaga diri. Bila time makan, kena makan. Kang Rasha mengamuk kat abang, bukan Ara.” Ara susun sepuluh jari.

“Sorry, sorry. Ara makan sekarang, ok? Abang jaga ni, nah.” Kipas itu bertukar tangan.

Raid menggeleng seraya memerhatikan Ara yang sudah mula menikmati roti canainya. Apa nak jadi budak ni. Ish. Aku yang pening. Sekejap saja, habis semua sate mereka dibakar. Raid dan Ara mula mengemas. Begitu juga peniaga-peniaga lain yang sudah menyelesaikan tugasan mereka malam ini.

“Hai. Dah nak balik?” mereka menoleh.

Gadis tadi yang merenungnya bagai mahu ditelan kini berdiri di depannya. Tunang Adwa.

“Haah. Cik nak sate? Ada lagi kot sate kat dalam. Cik tengok kat dalam ya...” Raid berbasa basi.

Gadis itu menjeling Raid sebelum berpaling pada Ara yang sedari tadi memerhatikannya sambil mengutip sampah dan dimasukkan ke dalam plastik dalam tangannya.

“Cik, datang tempat orang, sila jaga diri ya. Kat sini, sepasang mata lebih bernilai dari diri cik tu. Kalau ada orang nampak tadi dan bawa mulut, susah keluarga ni. Saya cuma harap cik tak ulang kesilapan tu di mana-mana. Kalau dah kerja jual sate, pastikan cik cuma jual sate saja, tak perlu jual diri yang sememangnya dah tak berapa laku tu. Saya harap, kita takkan berjumpa lagi. Bye.” Dengan itu, gadis itu beredar setelah satu lagi senyuman sinis dlemparkan pada Raid.

Raid mendekat.

“Kenapa dengan minah tu?”

Ara jungkit bahu.

“Entah. Ara pun bingung.”

Raid memandang Ara pula.

“Ara, jangan buat hal. Nama kita elok selama ni. Rumah ni rumah dia kalau tak silap. Itu orang yang bertunang tu, kan?”

Ara geleng.

“Mana Ara tau. Abang yang tau, kan? Tapi memang dia la kot yang bertunang tu.”

Raid geleng kepala.

“Ara, Ara, hati-hatila. Kita cuma datang sebab dipanggil dan dibayar. Jangan melanggar batas.” Raid mengingatkan.

Ara mengulum liur. Bukan aku kisah dengan semua tu. Macam aku akan jumpa laki kau tu balik. Boleh jalan la...






PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.

7 comments:

  1. Best juga permulaan cerita ni. Nak lagi...

    ReplyDelete
  2. ok gk permulan...xsbr nk bc lg...smbng cpt cket ekk...thnkz

    ReplyDelete
  3. hurm..interesting..interesting..
    tibe2 ase nk mkn sate..hehehe

    si kaye dan si penjual sate ^^

    ReplyDelete
  4. Eh! Bukan dulu anarif dah janji nak gune nama saye kan?hehehehehehehehe
    Gurau jer!
    Permulaan yang baik..Harap2 boleh meletup mcm AAJ!

    ReplyDelete