About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Sunday, November 8, 2009

Diari Amar, Warkah Aisyah

Warkah Aisyah, untuk Amar.

20 Julai 2005

Salam kehadapan Amar.

Amar apa khabar? Harapan Aisyah tak lain tak bukan hanyalah supaya Amar gembira dan bahagia selalu. Aisyah dan keluarga, abang Amal, walid, ummi, semuanya sihat, Alhamdulillah. Semakin hari, keceriaan di rumah ni dan kebahagiaan semakin melimpah ruah.

Andainya Amar dapat melihat wajah ummi dan walid yang berseri-seri saban hari, pasti Amar juga akan terdetik di hati, “Tak pernah mereka segembira ini,” kerana itu yang Aisyah rasakan sekarang. Walid dan ummi menghitung hari, mengalahkan Aisyah dan abang Amal. Mereka yang sibuk ke hulu ke hilir menyediakan segala keperluan, sedang yang akan diijabkabulkan bukan mereka, tetapi kami.

Namun Aisyah tidak membantah, kerana Aisyah amat mengerti isi hati mereka. Impian mereka hampir terlaksana. Dan harapan abang Amal hampir dipenuhi. Harapan keluarga juga akan tertunai. Kedua-dua buah pihak. Hmm...

Oh ya, mesti Amar tertanya-tanya, kenapa Aisyah tiba-tiba mengutus surat kepada Amar? Dan pastinya Amar tidak pernah mengharapkan kehadiran surat ini, kan? Sebenarnya semalam, Aisyah ada tercuri dengar perbualan walid dan abang Amal, yang Amar tidak akan pulang ke Malaysia dan menghadiri walimah kami namun tidak pula sempat Aisyah tanyakan sebabnya kepada abang Amal kerana selepas tu, abang Amal bergegas ke hospital, ada panggilan kecemasan.

Untuk seketika, Aisyah tertanya-tanya, dan jujur Aisyah katakan, Aisyah mengharapkan kehadiran Amar di walimah kami nanti. Sibukkah Amar sampaikan walimah kami, abang Amal yang begitu rapat dengan Amar sedari kecil ini, tidak boleh langsung Amar hadiri? Begitu banyakkah kerja Amar? Pensyarah Amar terlalu mendesakkah? Jika Aisyah juga mendesak Amar untuk pulang, bolehkah begitu? Aisyah sedar, kita terlalu jauh biar kita bernaung di dalam sebuah keluarga. Tapi Aisyah amat mengharapkan kehadiran Amar. Amar, pulanglah, ya?

Amar,

Mungkin itu bukan tujuan sebenar Aisyah mengutus surat ini kepada Amar. Aisyah ada tujuan lain. Namun, sebelum Amar meneruskan pembacaan Amar, Aisyah mohon Amar membaca dengan hati terbuka, dan tolong jangan salahertikan segala yang akan Aisyah luahkan kelak, sebelum Amar menghabiskan surat ini, Aisyah pohon dengan Amar.

Amar,

Masih ingatkah Amar kali pertama kita bertemu hampir 15 tahun yang lalu? Bagaimana penerimaan Amar pada Aisyah? Bagaimana baiknya abang Amal dengan Aisyah, dan bagaimana bencinya Amar pada Aisyah?

Sehingga sekarang, Aisyah masih tidak boleh melupakan tohmahan Amar, dan pujukan abang Amal. Amar cakap, “ Mak kau bunuh mak aku! Aku benci kau!” Jika Amar masih belum lupa, ayat itu merupakan ayat pertama Amar, untuk Aisyah. Dan untuk pengetahuan Amar, Aisyah menitiskan air mata.

Dan abang Amal pula, dengan gayanya tenangnya seperti selalu, tersenyum nipis memujuk Aisyah sebaik Amar berlalu dengan amarah. “Dik, abang Amar memang begitu. Dia rapat dengan arwah ibu. Sebab tu dia susah nak terima adik dan ummi baru. Adik jangan ambil hati ya? Abang Amar sebenarnya baik. Cuma dia masih tak dapat lupakan ummi kami.”

Kata-kata abang Amal menusuk ke kalbu, dan Aisyah pegang kata-kata itu, sehinggalah setahun kemudian, apabila Amar mula boleh berbicara dengan Aisyah. Walaupun Cuma dengan memberi arahan. Dan Aisyah amat gembira, melihat Amar sudah boleh menganggap ummi, sebagai ummi Amar sendiri. Aisyah amat gembira, dan bahagia.

Mungkin Amar tidak sedar. Acap kali Amar terpacak di hadapan kanvas lukisan Amar, Aisyah akan mengintai di balik dinding, menanti-nanti Amar memanggil Aisyah, dan meminta Aisyah menemani Amar. Sebagaimana yang abang Amal selalu lakukan, setiap kali dia membedah katak. Aisyah akan ikut mencangkung di sisinya, memerhati abang Amal mengeluarkan setiap isi perut katak itu, dan diceritakan satu persatu dengan Aisyah.

Terus terang Aisyah rasa mual melihat perbuatan abang Amal, tapi melihat kesungguhannya, Aisyah tak sanggup menolak bila dia memanggil Aisyah. Abang Amal terlalu baik, terlalu baik untuk dikecewakan. Dan kini, abang Amal juga telah mencapai cita-cita yang diinginkannya sekian lama, untuk menjadi seorang pakar bedah, dan Aisyah amat berbangga dengan abang Amal. Aisyah tau Amar, walid dan ummi juga begitu, kan?

Amar juga apa kurangnya. Sudah ke luar Negara dengan azam dan semangat untuk menjadi pelukis terkenal. Aisyah turut berbangga dengan Amar. Walaupun mungkin pada pendapat abang Amal dan walid, pekerjaan Amar tu nanti tidak begitu menjamin masa depan Amar, pada Aisyah, itu semua tak penting. Yang penting apa yang ada di hati kita, dan azam kita untuk mendapat semua tu. Betul tak?

Amar,

Amar ingat tak, dulu, Amar suka melukis di bawah pokok mangga depan rumah. Sebelum Amar masuk asrama penuh. Ingat? Dan kebetulan, bilik Aisyah pula bertentangan dengan pokok mangga tu. Dari situ, Aisyah selalu memerhati Amar. Bukan apa, suka melihat ketekunan dan ketenangan wajah Amar bila Amar melukis.

Bila Amar dah tiada, kerap kali Aisyah jenguk di balik langsir, dan seakan-akan Aisyah dapat melihat Amar di situ, sedang melukis, dengan penuh ketekunan. Aisyah rindukan saat itu. Teramat rindu...

Amar ingat lagi tak, masa kami pergi melawat Amar untuk pertama kalinya di sekolah, Amar datang berlari-lari dan Amar peluk walid, ummi, dan abang Amal. Masa tu, Amar tak pandang Aisyah pun, tapi Aisyah tak ambil hati, sebab Aisyah tau, Amar perlukan masa untuk semua tu. Bila Amar rasa pudding jagung kegemaran Amar dan Amar puji sedap, hati Aisyah berbunga riang kerana Aisyah yang menyediakan pudding itu dengan bimbingan ummi. Tapi bila Amar tau Aisyah yang buat dari ummi dan Amar terus berhenti menyuap dengan alasan Amar kenyang, Aisyah terguris kerana Aisyah tau kenapa Amar berhenti makan. bukan kerana kenyang tapi kerana Aisyah yang buat kan? kerana itu air tangan Aisyah, kan?

Tapi terubat juga hati Aisyah bila Amar tetap ambil pudding tu untuk dijamu pada kawan-kawan. Sekurang-kurangnya, tak membazir walaupun bukan Amar yang makan pudding tu.

Amar,

Mungkin Amar perasan sejak dari itu, Aisyah tak pernah lagi ikut berkunjung ke asrama Amar. Bukan kerana marahkan Amar tapi kerana Aisyah sedar, kehadiran Aisyah tak diperlukan. Tapi entah kenapa, setiap kali walid dan ummi sampai di rumah, Aisyah amat mengharapkan mereka berkata, “Amar cari Aisyah, dia Tanya kenapa tak datang? Dia kirim salam.” Namun kata-kata itu tak kunjung tiba. Tau lah Aisyah, Aisyah mengharapkan buah yang tak gugur. Maafkan Aisyah.

Tapi Aisyah tak marahkan Amar, tiada langsung secubit rasa marah. Aisyah mengerti, dan Aisyah sedar kedudukan Aisyah di mata Amar. Aisyah amat memahami.

Sehingga apabila Aisyah juga menerima tawaran ke sekolah berasrama penuh, Amar pula sudah habis belajar. Acap kali melihat Estima walid masuk ke pekarangan asrama, Aisyah berlari-lari turun dengan harapan sekujur wajah Amar akan muncul, namun acap kali juga Aisyah kecewa, kerana Amar tidak ada. Selama 2 tahun Amar di rumah, 2 tahun Aisyah di asrama, 2 tahun jugalah kita bertemu Cuma di hari perayaan.

Entah kenapa, Aisyah dapat rasakan, Amar tidak betah di rumah bersama kami sekeluarga jika abang Amal yang kala itu sudah memulakan pengajiannya di university selama beberapa tahun itu ada di rumah. Aisyah rasa, Amar bukannya bencikan kehadiran abang Amal, tapi kehadiran Aisyah kan? Kerana jika abang Amal pulang, Amar dan dia akan bersembang bersama bagaikan tiada henti, dan seperti biasa, Aisyah Cuma mampu melihat dari jauh. Kerana Aisyah tahu jika Aisyah mendekat, Amar akan bangun meninggalkan kami serta-merta.

Kerana itulah yang kerap Amar lakukan. Aisyah sedar semua itu. Kerana itulah Aisyah tidak lagi mahu menyertai kalian, kerana Aisyah mahu Amar rasa selesa di rumah, rumah kita.

Kemudian, Amar pula pergi menyambung pengajian, dan tinggallah kami di rumah. Kadang kala, Aisyah rasa, Amar akan pergi jauh dari rumah, jika Aisyah ada di rumah. Entahlah, mungkin perasaan Aisyah saja. Dan sejak itu hingga sekarang, jika Aisyah tidak silap, sudah 4 tahun 5 bulan dan 18 hari, kita tidak bertemu. Amar tetap di sana, menyambut perayaan aidilfitri pun di sana. Dan sejak itu juga kita tidak pernah bersua, apa lagi berbicara. Kadang-kadang, bila ummi dan walid dapat panggilan dari Amar, Aisyah amat berharap, dan menanti walid memanggil Aisyah, “ Aisyah, Amar nak cakap.” Tapi, hmm...ayat tu tak kunjung tiba. Dan Aisyah pasrah. Maafkan Aisyah.

Oh ya, Amar pasti sudah tahu kan bagaimana perancangan walid dan ummi untuk mengahwinkan Aisyah dan abang Amal? Hmm.. pastinya abang Amal sudah bercerita dengan Amar. Kalian kan rapat? Aisyah sedar, keluarga kita keluarga yang paling beruntung, kerana kita saling melengkapi. Kerana itu bila ummi menyampaikan hasrat untuk menyatukan kami, Aisyah terkedu seketika. kerana, kala itu, di hati Aisyah, rupanya sudah ada yang bertakhta. Namun melihatkan keceriaan ummi saat hasrat itu disampaikan, Aisyah Cuma mampu menunduk. Tidak mampu terkata apa-apa.

Dan ummi pula, menyangka tindakan itu sebagai satu jawapan, “ya.” Sedang Aisyah sendiri tidak pasti. Walid turut gembira, dan tanpa Aisyah sangka, abang Amal turut menerima cadangan itu, sedang Aisyah, sebenarnya...

Amar,

Entah kenapa, Aisyah rasa sayu saat Aisyah mengetahui Amar takkan pulang menghadiri walimah kami. Aisyah pilu, kerana sehingga ke saat itu kelak, Aisyah tetap tidak mampu menjadi seorang insan di mata Amar, biarpun sebagai seorang adik tiri. Terukkah Aisyah? Jahatkah Aisyah? Sampai begitu sekali Amar membenci Aisyah?

Amar,

Walau segunung tinggi benci Amar pada Aisyah, Aisyah mahu Amar tahu, bahawa tiada sekelumit rasa benci Aisyah pada Amar, dan tiada sekelumit rasa marah dengan layanan Amar. Aisyah tak tahu apa sebabnya, namun Aisyah tak mampu memarahi Amar. Mungkin...kerana selama ini.... maafkan Aisyah Amar.

Aisyah harap, Amar tak akan melihat tindakan Aisyah ini sebagai sesuatu yang kurang manis, kerana Aisyah tidak sanggup lagi menanggung derita menyimpan rasa. Biar Cuma Aisyah yang merasakannya, Aisyah tetap ingin Amar tahu, bahawa di hati Aisyah Cuma ada Amar, entah bila, entah mengapa, Aisyah juga tiada jawapan. Namun Aisyah tau, harapan Aisyah pada Amar akan selamanya tinggal harapan, kerana yang ada Cuma benci Amar pada Aisyah, kan?

Aisyah pasrah, Aisyah redha. Abang Amal lelaki yang baik, dan Aisyah tau dia akan menjadi suami yang baik, dan taat pada perintahNya. Tapi entah kenapa, hati ini tetap rawan mengingatkan Amar. Maafkan Aisyah...

Biarpun Amar membenci Aisyah, namun tidak pernah perasaan itu wujud di hati Aisyah, dan Aisyah sentiasa melayangkan doa memohon yang terbaik, Cuma yang terbaik untuk Amar. Jadi, sebelum segalanya ternoktah, dan Aisyah menguburkan rasa ini untuk selamanya, Aisyah pohon kepulangan Amar supaya kita dapat bertemu buat kali terakhir sebagai insan yang bebas, sebelum Aisyah terikat dengan tali perkahwinan. Pastinya Amar tidak setuju jika Aisyah membuai rasa pada insan lain sedang di sisi sudah ada yang setia, kan?

Aisyah juga tidak mahu begitu. Kerana itu Aisyah mahu menamatkan segalanya, dengan memberitahu Amar tanpa rasa ragu, kerana Aisyah tau, apa jua tindakan Aisyah kini, segala-galanya tetap sudah terlambat. Lagipun, mana mungkin Amar akan menerima Aisyah di sebalik benci Amar. Kan?

Amar,

Rasanya surat ini sudah menemui noktahnya. Pinta Aisyah, untuk kali terakhir, pulanglah. Aisyah perlukan sinar kebencian Amar, untuk menguatkan Aisyah bagi meneruskan semuanya. Dan pinta Aisyah, juga, sekiranya surat ini sudah sampai ke tangan Amar, Amar bakarlah. Walaupun hati kecil Aisyah kuat mengatakan Amar tidak akan menyimpan surat ini tanpa Aisyah memberitahu Amar. Aisyah mengerti, namun andainya Amar terlupa, Aisyah pohon, hilangkan jejak surat ini.

Aisyah tidak mahu ada hati yang robek, jika surat ini terlepas ke tangan yang tidak sepatutnya, kerana bukan itu tujuan Aisyah. Apa juga yang terjadi, Aisyah tetap akan meneruskan perkahwinan ini, dan selepas diijabkabulkan, cinta Aisyah Cuma untuk abang Amal seorang, suami Aisyah kelak.

Amar,

Doa Aisyah, semoga Amar bahagia ditemani yang Amar sayangi, hingga ke akhir hayat Amar. Dan lupakanlah benci Amar pada Aisyah, kerana Aisyah juga akan melupakan Amar. Itu janji Aisyah. Terima kasih Amar, kerana mengajar Aisyah erti cinta sejati, terima kasih, untuk segalanya. Dan maafkan Aisyah.

Yang tulus mengharapkanmu,

Aisyah

Teresak-esak dia di situ saat matanya singgah di perkataan terakhir warkah itu. Sungguh dia tidak menyangka perasaan sebegitu wujud dan sehingga ke akhirnya, rasa itu tersimpan kemas, dan rapi. Tangan kirinya erat menggenggam diari hitam. Dengan air mata yang masih berlinangan, dia membuka diari itu, dan diselaknya ke muka pertama, 15 tahun lalu.

3 Disember 1991

Walid kawin baru. Aku kecewa dengan walid, dan juga abang Amal. Ummi baru setahun pergi, walid sudah mencari pengganti. Aku kecewa. Dan pilu.

Benci melihat wajah itu. Dia dan umminya sama saja. Menyibuk di dalam rumah aku. Aku takkan terima mereka sampai bila-bila. Takkan.

Puas hati aku tengok dia menangis bila aku tengking dia. Padan muka! Aku benci kau Aisyah!

9 Disember 1992

Aku mula memahami walid, dan aku sudah boleh menerima kehadiran ummi.

Aisyah? Entah mengapa, aku masih rasa bersalah dengan tindakan aku memarahinya setahun lalu. Aku nak minta maaf, tapi dia terlalu asyik dengan abang Amal. Nampaknya, dia sudah bencikan aku. Pastinya dia benci aku kerana tuduhan aku tempoh hari. Nanti la, aku akan minta maaf dengan dia.

Aisyah, maafkan Amar.

7 Julai 1993

Kami belum lagi bercakap secara baik. Setakat ini, aku Cuma berani memberi arahan kepada Aisyah. Sampai bila, aku pun tak tau. Cemburu jugak tengok dia dan abang Amal tapi aku tau. Salah aku. Abang Amal memang baik. Semua orang suka. Aku pun sayang abang Amal. Tapi kalau tiba-tiba aku bercakap dengan dia baik-baik, kalau dia tak suka macam mana?

Dia tak pernah pun kisah dengan aku walaupun aku melukis. Dia tak suka la tu dengan apa yang aku buat. Abang Amal jugak yang akan dia cari akhirnya. Hmm, salah aku..

20 September 1994

Aku ada cara lain untuk tegur dia. Aku dah bawak semua kanvas aku dan alat lukisan semua ke depan rumah, di pergola, bawah pokok mangga. Bilik dia depan tu je. Nanti bila-bila dia jenguk boleh la aku panggil dia supaya join aku, betul tak?

Yes! Amar! U r a genius!

18 November 1994

Hmm.. dia tak pernah jenguk pun. Sia-sia je aku menapak kat sini hari-hari. Sekalipun dia tak jenguk. Sedarlah diri, Amar, dia benci kau.

Hmm...

5 Januari 1995

Hari ni hari pertama aku di sekolah berasrama. Aku dah tinggalkan dia, dan aku Cuma boleh berharap satu hari nanti dia akan maafkan aku. Aku teringin nak bersembang dengan dia, macam abang Amal dan dia selalu buat. Mereka serasi. Aku pulak? Hmm..

Sebab tu aku pilih untuk duduk di asrama. Biarlah aku jauh, sekurang-kurangnya dia takkan rasa kekok dengan kehadiran aku di rumah. Biar dia bahagia dengan ummi, walid dan abang Amal. Aku takkan mencelah. Aku dah putus asa menanti dan mencuba. Dia perlukan masa untuk terima aku.

Aku harap dia tenang bila aku tak ada. Harap-haraplah...

28 Januari 1995

Hari ni buat pertama kalinya walid, ummi dan abang Amal melawat aku di asrama. Seronok betul! Dia pun ada, tapi mesti walid yang paksa dia datang. Hmm...

Aku rasa pudding jagung yang ummi bawak, dan ummi kata, dia yang buat. Terus aku berhenti makan. mesti dia nak yang lain makan jugak. Kalau aku habiskan, apa pulak kata dia nanti. Tapi ummi paksa jugak aku bawak ke bilik, bagi kawan-kawan. Mesti dia tak puas hati. Tapi dia tak bantah pun. Yelah, dia kan anak kesayangan... Hmm.. bawak je la.

Tapi serius pudding tu sedap. Kalau aku baik dengan dia, boleh aku mintak dia buat selalu. Tapi...

18 Mei 1997

Dah 2 tahun lebih aku kat asrama ni. sejak hari tu, dia dah tak pernah datang lagi melawat aku. Cuma walid, ummi dan abang Amal je yang datang, tu pun kalau abang Amal free. Abang Amal dah masuk u. Dia dah sibuk nk jadi doctor. Pekerjaan yang dia idam-idamkan.

Tahniah abang Amal!

Setiap kali walid dan ummi datang, aku nak tanyakan Aisyah, tapi aku takut dia tak suka pulak. Nak kirim salam, risau dia tak selesa. Hmm...

Bila cuti, cepat-cepat aku join program luar. Aku tak nak balik rumah. Tak nak buat dia tak selesa. Lagipun, salah aku jugak sebab tuduh dia macam-macam dulu.

Masa raya je kitorang jumpa. Tu pun, aku mengelak dari dia sebab aku tak nak dia rasa meluat pulak dengan kehadiran aku. Dia kan benci aku...

8 Februari 2001

Dia dah duduk asrama. Mesti dia tak betah duduk rumah sebab aku dah habis belajar, dan aku dah duduk rumah semula. Hmm, so, dia pulak keluar. Tiap kali walid dan ummi melawat dia, aku rasa nak ikut, nak tengok keadaan dia, tapi, nak ke dia terima kehadiran aku?

Nanti, dia menyampah pulak dengan aku. Hmm, tak payah ikut la. Sampaikan salam dalam hati je. Bila aku tau dia akan balik cuti sekolah, cepat-cepat aku ikut program luar. Aku nak dia habiskan masa di rumah dengan tenang. Kalau aku ada, mungkin dia takkan rasa selesa.

Aisyah, semoga Aisyah gembira selalu. Itu saja harapan Amar.

Abang Amal pulak dah grad. Sedang buat in-house training dia. Bila abang Amal balik, aku baru boleh sembang lama-lama dengan abang Amal. Tapi, bila dia join, cepat-cepat aku angkat kaki. Takut dia tak selesa sebab mesti dia nak sembang dengan abang Amal je.

Macam masa aku di asrama dulu, dia dan aku berjumpa pun masa raya je. Teringin nak bercakap dengan dia, macam mana abang Amal dan dia bersembang. Tapi, macam tak de harapan je?

Hmm...

20 Disember 2001

Aku dah dapat offer ke Dublin. Sebuah universiti artistic, untuk minat aku. Walid dan ummi tak berapa senang aku nak sambung dalam lukisan, sebab diorang rasa kerjaya ni tak ada masa depan. Abang Amal tak membantah, katanya “ apa yang baik untuk Amar, baiklah untuk abang.”

Aisyah? Macam biasa, dia tak memberi pendapat. Dia bukan kisah dengan aku. Dia kisah dengan abang Amal je. Dan aku rasa mesti dia pun tak setuju dengan aku punya pilihan. Yelah, macam tak ada masa depan.

Tapi, aku nak pergi jugak. Walid dan ummi dah izinkan. Aku kena pergi, sebab aku dah tak sanggup duduk rumah, mengadap muka dia tanpa mampu buat apa-apa. Entahlah, kenapa ya?

Kadang-kadang, bila aku tengok dia dan abang Amal bersembang, ada rasa pelik. Aku sentiasa mengharapkan aku di tempat abang Amal. Dan dia bersembang baik dengan aku. Aku teringin sangat, bercakap dengan dia.

Tapi, harapan tinggal harapan.

Selamat tinggal Malaysia, selamat tinggal Aisyah. Maafkan Amar.

25 Mac 2002

Dah setahun lebih aku di bumi Dublin. Aku rindukan semua di rumah, namun aku tak mampu jejak kaki di sana lagi. Bukan sekarang. Aku selalu telefon ke rumah, dengan harapan, dia akan minta gagang dari ummi atau walid, untuk bercakap dengan aku. Tapi hampa.

Dia tak pernah bersuara pun bila aku telefon ke Malaysia.

Sampai macam tu dia benci aku? Dan entah kenapa, saban hari, aku semakin sedih mengenangkan dia.

Menyesal sebab aku sakitkan hati dia dulu. Entah kenapa, aku rasa, aku rindu dia!

1 Ogos 2004

Hari ini abang Amal call aku. Buat pertama kalinya, dan suara dia girang.

“Amar, abang ada berita baik!”

“apa bang? Happy semacam je ni? nak kawen ke?”

“eh, macam mana Amar tau?”

“eh, ye ke? Tahniah bang! Siapa orang yang bertuah tu?”

“Amar kenal sangat, Aisyah.”

“ha?”

Hancur luluh hati dan perasaan aku saat aku mendengar sebaris nama itu, dan baru aku sedar, sebaris nama itu sudah bertakhta di hatiku sejak sekian lama, dan baru kini aku mengerti, punca rasa pedih yang bertandang, kala aku melihat abang Amal dan dia bergurau senda. Cemburu namanya.

Dan kini, Aisyah semakin menjauh, tanpa aku berpeluang mencuba membuang bencinya padaku, tanpa aku berpeluang menemuinya dan meminta maaf, tanpa aku berpeluang meluahkan segala rasa yang terpendam jauh di dasar hati.

Aisyah akan menjadi milik orang lain, dan orang itu juga insan yang aku sayangi. Tak mungkin aku membantah. Aisyah juga pastinya gembira dengan berita ini. Aku dapat membayangkan senyum manisnya saat berita ini sampai ke telinganya. Pasti dia tersenyum lebar. Manis, seperti selalu.

Aisyah,

Maafkan Amar kerana menyakiti Aisyah, Amar tak mampu untuk meluahkan kata maaf. Namun Amar mahu Aisyah tau, Amar rasa bersalah dengan kata-kata Amar. Dan Amar ingin pohon ampun dan maaf, kiranya selama ini Aisyah membenci Amar.

Percayalah, tidak pernah ada rasa benci Amar terhadap Aisyah, walau sekelumit pun. Walau Amar tau Aisyah membenci Amar. Maafkan Amar.

Aisyah,

Sebelum Aisyah dan abang Amal diijabkabulkan dan Aisyah sah menjadi milik abang Amal untuk selama-lamanya, Amar nak Aisyah tau, Aisyah tetap di hati Amar, dulu, kini, selamanya, sehingga ke akhir hayat Amar. Aisyah gadis istimewa selamanya di mata Amar.

Pada Amar, Aisyah bukan adik tiri Amar, malahan tempat Aisyah di hati Amar lebih tinggi dari itu. Namun Amar tau, Aisyah tidak menganggap Amar begitu. Mungkin Amar bukan seorang saudara tiri pun, dia mata Aisyah. Jika diikutkan hati Amar, mahu sahaja Amar terbang ke Malaysia sekarang juga dan membawa Aisyah pergi, namun Amar tau semua itu tidak perlu. Amar Cuma bertepuk sebelah tangan.

Terima kasih Aisyah, kerana sudi hadir ke dalam hidup Amar. Terima kasih kerana mengajar Amar erti cinta sejati. Amar mengharapkan yang terbaik, Cuma yang terbaik untuk Aisyah.

Maafkan Amar...

Kali ini, Amal sudah tidak terdaya lagi. Terduduk dia di situ, dan esakannya bertambah kuat. Aisyah dan Amar, keduanya insan yang dia sayangi, dan rupanya, mereka memendam rasa terhadap satu sama lain.

Biarpun kini dia sudah mengetahuinya, namun segalanya sudah terlambat. Sudah terlalu lewat untuk segalanya dibetulkan.

Walid menghampiri Amal. Dia mengerti, amat mengerti perasaan Amal.

“walid! Apa kita dah buat, walid?” rintih Amal saat walid meletakkan tangannya di bahu Amal.

Walid tertunduk. Air matanya turut bergenang.

Dia telah kehilangan dua orang anaknya yang amat disayangi, tanpa mampu menyelami isi hati mereka masing-masing. Wajarkah dia digelar ayah lagi?

“Amal, mereka dah pergi, jangan ada sesal Amal. Kita Cuma boleh mendoakan yang terbaik untuk mereka, di sana.” Pujuk walid.

Amal menggeleng dalam sendu. Warkah Aisyah di dalam tangannya, sudah lunyai. Warkah dan diari itu akhirnya terlepas dari tangannya. Amal sudah tidak sanggup lagi.

Masih terbayang-bayang peristiwa 2 hari lepas. Yang mengubah segala-galanya.

********

“abang Amal, Amar nak balik Malaysia.” suara Amar ceria memberitahunya.

“hah? Biar betul? Kata tak nak balik hari tu, beriya je. Ada exhibition la, projek la..” usik Amal.

Amar ketawa ceria.

“Amar nak balik, nak jumpa buah hati.”

“ha? Oo, senyap-senyap ye? Siapa dia?”

“ala, nantilah Amar kenalkan. Amar punya flight malam ni. beritahu ummi dan walid ya, Aisyah sekali.” Pesan Amar bersungguh-sungguh.

Kehadiran warkah itu telah mengubah segalanya.

“ok la. Abang mintak Aisyah ambik Amar la. Abang on-call. Ummi dan walid pun sibuk sikit. Yelah, hari dah semakin hampir.” Suara Amal juga tak kurang cerianya.

“ok. Jangan lupa beritahu Aisyah tau.” Pesan Amar lagi.

Dan itulah kali terakhir mereka berbicara. Seperti yang dijanjikan, Aisyah yang mengambil Amar di airport.

Dan semalam, Amal menerima berita yang mengejutkan sekaligus mengubah segalanya.

“doctor Amal, saya mintak doctor bertenang. Tunang doctor, dia kemalangan. Sekarang ada di wad kecemasan.”

Dan Amar bersamanya, mereka kemalangan di dalam perjalanan pulang ke rumah dari airport, dan mereka sama bertarung-tarung dengan maut.

Namun Tuhan lebih menyayangi mereka. Setelah dua Jam di dalam bilik pembedahan, Amal redha dengan ketentuan Ilahi. Mereka akhirnya pergi.

“doctor, ni barang peribadi arwah. Saya kutip dan simpankan sejak tadi.” Seraya berbicara, inspector polis itu menghulurkan sebuah beg pakaian, beg galas, dan sebuah diari, yang di dalamnya terselit sepucuk surat.

Amal menahan sebak.

Dia terduduk di situ, dan apabila ummi dan walid tiba, Amal Cuma mampu menghulurkan barang-barang itu, tanpa sepatah kata.

Aisyah dan Amar telah pergi, saat cinta mereka baru terluah. Segala-galanya baru bermula, dan segalanya telah berakhir, dengan sekelip mata. Amal meraup wajahnya yang basah dengan air mata.

“Amar, Aisyah, maafkan abang!”

Diari dan surat itu dikutip semula, dan diselitkan surat itu ke dalam diari itu kembali. Diari Amar, dan warkah Aisyah. Dipeluknya ke dadanya kejap. Kisah mereka belum berakhir. Dengan seluruh alam sebagai saksi, Amal mendoakan agar jodoh mereka bertemu di sana, dan mereka kekal bersama, untuk selama-lamaNya.

Amiinn..

"andai ada rasa di hati, jangan dipendam selama ini..

andai enggan menyesal nanti, pastikan jangan dibiar sepi..

mengapa dibiar sangka membuai rasa,

bila rasa menyubur jiwa..

mengapa dibiar cinta melara,

bila cinta itu bahagia..

cinta itu sejati,

bila layangan doa menguntai harapan.

cinta itu mati,

bila harapan, cuma tinggal harapan..

cinta itu pasti,

bila rasa bersambut rasa..

cinta itu abadi,

bila cinta bertemu, dan berakhir,

di syurga yang hakiki...

semoga beroleh cinta yang Hakiki...

salam cinta untuk semua...

love,

anarif

11 comments:

  1. ehm..
    ape kate wat 2 ending..
    sad endinng n happy ending
    wa~~~
    sedey la citer nih..
    klu boleh nk jgak hepi ending

    harap sangat~
    thanx anarif

    ReplyDelete
  2. mnangis afie bce ctew nie...
    meleleh siot...
    sad ending but ctew yg pnuh ngan pngajaran...
    5 star 4 u writer...

    ReplyDelete
  3. besh nyer citer nie....
    tp sad ending,huhu~

    ReplyDelete
  4. ya Allah sedeyhnye cerita.. :((
    tapi best..
    huhu..
    luahkan cinta sebelum terlambat..

    ReplyDelete
  5. writer buat cerita kejadian mereka dalam kereta..
    ape sebab dorang eksiden?
    dorang gaduh ke masa dalam keta?
    timbulkan persoalan yang meragukan..

    wahh..dah menunjuk2 lak aku nih..kekekeke

    ReplyDelete
  6. sedihnya citer ni....baca beberapa kali pn tak jemu..

    ReplyDelete
  7. huhuuu
    bila nk wat yg hepi ending punye..
    x sabar dh ni nk tau...

    ReplyDelete
  8. meleleh air mata baca..hukhuk good job (thumbs up)

    ReplyDelete
  9. ya Allah..sdihnyer cte ni...
    bsarnye pgorbanan mereka...
    emmm..nk mohon share puisi tu blh x???\sdap sgt puisi tu...
    =)

    ReplyDelete