About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru November 2016!

Terbaru November 2016!

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Thursday, August 6, 2009

Anaknya, Anakku Jua 6

Sampai di klinik di mana Hana dibawa, Nisa' bergegas turun dari kereta sebaik kereta diparkir tanpa menanti Daniel. Berlari-lari anak Nisa' memasuki klinik. Daniel memandang Nisa' sepi.

Langkahnya lebih perlahan, tidak selaju dan secepat Nisa'. Banyak yang sedang difikirkannya. Dia tidak dapat menerima apa yang telah terjadi. Sekurang-kurangnya tidak sekarang. Akalnya masih tidak dapat menerima apa yang Nisa' bicarakan sebentar tadi di dalam kereta.

Sebaik Nisa' habis berbicara, Daniel terus diam sehingga mereka tiba. Dia tidak tahu apa yang patut dan apa yang tidak patut diperkatakan. Nisa' juga melayan perasaannya. Hana anak Badri, kekasih pertama Nisa'. Daniel tersandar di pintu masuk klinik. Nisa' sudah hilang ke dalam bilik rawatan. Badri. Nama itu timbul lagi. Daniel sedar cinta pertama bukan mudah dilupakan.

Tambahan pula, Nisa' dan Badri telah bersama untuk jangka waktu yang lama. Apabila Badri tiba-tiba mahu berpisah, Nisa' bagaikan hilang akal. Tidak tahu apa salahnya. Apa puncanya. Dan kini, persoalan yang selama ini menghantui Nisa' telah terjawab. Badri tidak dapat hidup lama. Daniel pasti Nisa' terkilan. Terkilan kerana tidak bersama orang yang dicintai hingga keakhirnya.

Dan kini Hana muncul. Memori Badri dan Nisa' pasti akan timbul kembali. Jika benar itu akan terjadi, bolehkah Nisa' mencintai aku sebagaimana aku mencintai dia? Daniel mengeluh panjang. Dia melabuhkan punggung di kerusi. Kini kasih Nisa' terbahagi lagi. peluang untuk Nisa' mencintainya baru sahaja mahu muncul, Hana pula menjadi penghalang antara mereka.

Benarkah begitu? Daniel meraup wajahnya. Dia tidak pasti apa yang mahu dipercayainya kini. Hatinya masih ragu dengan Nisa'. Hatimu pada siapa Nisa'? mengapa aku tidak merasakan cintamu?

Tersandar Daniel di situ. Cuma ada seorang ibu dan anaknya yang sedang menunggu giliran atau mengambil ubat. Tidak berapa lama kemudian, Nisa' keluar dari bilik rawatan. Seorang bayi dalam kendongannya. Daniel telan liur.

Di belakang Nisa', seorang perempuan separuh umur dan seorang lelaki awal 30-an menurut langkahnya. Daniel mengerutkan dahinya. Siapa tu? Mata lelaki itu tidak lepas dari menatap Nisa'. Api cemburu menguasai Daniel. Dia kenal pandangan itu.

Pantas dia bangun dan mendekati Nisa'. Menjenguk Hana yang sedang lena.

“Hana macam mana?” Tanya Daniel. Nisa' terkedu seketika. Tidak menyangka Daniel akan bersikap begitu setelah mendengar kebenarannya.

“Err, dah ok sikit. Ubat dah ambil, tapi bukan kuning, demam biasa.” Beritahu Nisa'. Matanya tidak lepas memandang Daniel. Dia tahu ada yang tidak kena dengan pertanyaan Daniel. Pertanyaan itu tidak ikhlas. Tapi apa puncanya?

Daniel dan Irfan berbalas pandang tanpa pengetahuan Nisa'. Tajam. Mak Su di sebelah menyampuk.

“Nisa' jangan lupa beri Hana makan ubat. Guna picagari ubat untuk budak-budak tu. Bagi sikit-sikit.” Pesan Mak Su. Nisa' tersenyum nipis.

“Terima kasih Mak Su. Kalau tak ada Mak Su saya tak tau lah apa jadi. Saya tak perasan betul dia demam pagi tadi.” ujar Nisa' kesal. Hana sakit tapi dia tidak menyedarinya. Ibu jenis apakah dia?

“Tak apa. Irfan yang perasan tadi. kalau tak Mak Su pun tak sedar. Mujur ada Irfan. Kalau tak Mak Su pun tak tau nak buat apa tadi.” ujar Mak Su pula. Nisa' memandang Irfan.

“Terima kasih Irfan. Terima kasih banyak-banyak.” Ucap Nisa'. Irfan tersenyum nipis.

“Tak apa. Saya pun sayangkan dia, macam anak saya sendiri.” Jawab Irfan. Dalam maksudnya itu. Nisa' membalas senyuman itu.

Daniel tidak sedap hati. Dia berdehem perlahan. Nisa' yang mendengar perbuatannya itu termangu seketika.

“Oh, lupa pula. Kenalkan, err, kawan saya, Daniel. Daniel, ni Mak Su, pengasuh Hana. Yang ni Irfan, anak saudara Mak Su.” Nisa' memperkenalkan mereka.

Nisa' sedar Daniel memandangnya tajam namun dia tidak mengendahkan pandangan itu. Irfan menghulurkan tangan. Daniel menyambut juga namun jelas dia tidak puas hati dengan Nisa'.

“Err, Mak Su, kami balik dulu lah. Terima kasih banyak-banyak. Jumpa esok, ya.” Nisa' menghulur tangan bersalaman dengan Mak Su. Daniel terus beredar tanpa menunggu lagi. Nisa' menjeling Daniel yang sudah berlalu.

“Maafkan dia. Mood dia tak baik hari ni.” Ujar Nisa'. Amat berharap Irfan mahupun Mak Su tidak berkecil hati.

“Terima kasih, Irfan. Kami balik dulu. Assalamualaikum.” Irfan mengangguk perlahan. Nisa' terus berlalu ke kereta Daniel.

Masuk ke kereta yang sudah hidup enjinnya, Nisa' menjeling Daniel di sisi.

“Awak ni kenapa?” Tanya Nisa'. Suaranya tegang tapi perlahan. Tidak mahu Hana terbangun.

“Tak ada apa-apa.” Jawab Daniel ringkas. Membengkak Nisa' mendengar jawapan sinis itu.

“Awak, kalau awak marah saya tolong jangan libatkan orang lain. Malu saya dengan Mak Su dan Irfan.” Luah Nisa'. Geram dengan perangai kebudak-budakan Daniel.

Daniel mendengus kecil. Nisa' tahu Daniel marahkan dia.

“Saya ni kawan awak ya? Cuma kawan pada awak?” Tanya Daniel. Geram. Suaranya masih terkawal. Dia juga tidak mahu menganggu tidur si kecil. Namun dia terasa hati dengan Nisa'.

Kawan? Sungguh tak masuk akal.

Nisa' memandang Daniel tidak percaya.

“Daniel, awak pun tau saya berbohong dengan diorang. Saya rasa diorang pun dapat tangkap awak siapa. Irfan tak tahu pasal saya. Dia tak tahu pasal Hana. Saya tak mahu orang tahu pasal Hana. Dia orang luar. Takkan saya kena panjangkan cerita di situ?” bicara Hana panjang lebar.

“Awak boleh cover dengan beritahu saya ni suami awak. Kenapa awak tak sanggup cakap macam tu?” tingkah Daniel. Nisa' tergamam.

“Daniel, Mak Su tau Hana bukan anak saya dan saya tak kahwin lagi. saya tersepit tadi Daniel. Kalau saya cakap awak siapa yang sebenarnya, bukan ke Irfan akan fikir lain?” balas Nisa' pula.

“Awak fikirkan apa perasaan orang, apa kata orang, tapi awak tak pernah fikirkan perasaan saya
kan? Pasal Hana, awak tak berterus-terang dari awal. Sekarang, awak kata saya Cuma kawan. Apa semua ni Nisa'?” marah Daniel. Dia menongkat kepala.

“Daniel, pleaselah. Jangan buat saya macam ni. Tolonglah faham keadaan saya. Saya bukan nak ketepikan awak tapi saya buat ni untuk kita juga.” Pinta Nisa'. Amat berharap Daniel tidak meneruskan lagi pertelingkahan itu. amat tidak berasas dan kebudak-budakan.

“Kita? Siapa kita? Awak dan Hana saja kan?” tingkah Daniel sinis. Geram dan marahnya jelas masih beraja. Nisa' terdiam. Dia terguris dengan bicara Daniel.

Dia merenung Hana dalam kendongan, menghilangkan sakit hati yang sudah mula menular. Tiba-tiba, dia teringatkan sesuatu.

“Turunkan kami di pejabat saya. Saya nak ambil kereta.” Arah Nisa'. Tidak langsung melihat ke arah Daniel.

“Tak payah. Esok saya ambil awak dan Hana.” Tegah Daniel.

“Tak apa. Kami boleh hidup berdua. ‘kita’ tu Cuma saya dan Hana. Jadi biarlah kami saja yang berdua.” Ujar Nisa', sinis. Masih tidak memandang Daniel. Dia benar-benar marah kali ini.
Daniel menjeling Nisa'. Melepaskan keluhan panjang. Malas dia mahu memanjangkan cerita. Sedar dia telah mengguris hati Nisa'. Dia melencong ke pejabat Nisa'. Mujur tidak jauh.

Sampai di tempat letak kereta, Nisa' turun terus tanpa banyak bicara. Diambil barang-barang Hana tanpa meminta pertolongan Daniel. Daniel keluar mahu menolong namun tidak diendahkan Nisa'. Bersusah payah dia memasukkan barang-barang ke dalam keretanya lalu meletakkan Nisa' pula. Sebaik selesai, Nisa' terus memandu pergi tanpa menoleh kepada Daniel lagi. termangu-mangu Daniel di situ. Mengenang bicaranya tadi.

Nisa' bukan jenis yang cepat marah dan selama ini Nisa' tidak pernah marah begini. Kali ini marahnya kelihatan serius. Daniel bingung. Salah siapa?

*******
“Aku peninglah Mala. Daniel betul-betul buat aku sakit hati. Pada engkau patut ke dia cakap macam tu kat aku?” Tanya Nisa', meminta pendapat Mala. Mala menarik nafas dalam. Dia juga pening mendengar cerita Nisa'.

“Hmm, entahlah. Aku pun tak boleh nak kata siapa yang salah sekarang. Kau bersalah, memanglah sebab kau rahsiakan tentang Hana dari dia. Dia pun salah sebab buat perangai macam tu. Ish, entahlah, pening aku.” Getus Mala. Nisa' mengeluh panjang.

“Aku sedih Mala. Aku amat harapkan sokongan dari dia. Sekarang ni, dia dah tahu tentang Hana. Aku nak dia berdiri di belakang aku, terutamanya bila aku nak balik kampung bawa Hana nanti. Aku nak dia bantu aku, sokong aku. Tapi kenapa lain yang aku harapkan, lain yang jadi?” keluh Nisa'.

“Hmm, sabarlah Nisa'. Aku rasa dia pun masih keliru. Korang berdua kena slow talk pasal ni. Jelaskan apa yang korang mahu. Apa yang kau mahu. Biar dia tahu dan faham. Dalam masa yang sama, kau pun kena fahamkan dia, fahamkan kehendak dia. Aku tau bukan mudah Nisa'. Tambah pula bila ada orang ketiga dalam hal ni. Sebaiknya korang berdua bawak berbincang.” Nasihat Mala. Nisa' mengalih pandang.

Mendalami kata-kata Mala. Ada benarnya nasihat Mala. Memang mereka patut bersemuka, secara matang. Ya Allah, tabahkan hatiku dalam menghadapi semua ini!

Nisa' sudah menarik selimut. Mala baru saja pulang ke rumahnya 10 minit yang lepas. Diiring badannya ke kanan, menghadap Hana yang nyenyak tidur. Ubatnya sudah diberi. Hana, ummi takkan tinggalkan Hana walau apapun yang terjadi. Tekadnya. Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi. Ada mesej baru. Nisa' amat berharap itu Daniel namun hampa. Irfan yang menghantar mesej.

Salam. Saya harap Nisa' tabah menghadapi semuanya. Good nite.

Ringkas namun mendalam. Apa yang Irfan tahu tentangnya? Nisa' tertanya-tanya sendiri. Dia mahu bertanya.

Apa maksud awak?

Tidak lama kemudian, balasannya masuk.

Kawan awak Nampak marah tadi. saya harap awak dan dia tak bergaduh kerana saya.

Nisa' mengerutkan dahinya. Tak fahamlah. Jemarinya menaip lagi.

Kerana awak? Saya tak fahamlah. Jangan main kias-kias boleh tak?

Balasan masuk lagi.

Tak ada apa-apa. Kirim peluk cium untuk Hana. Good nite.

Nisa' merenung telefon bimbit tidak berkelip. Ish, pening. Dia tidak membalas mesej terakhir Irfan. Diletak telefon ke tepi.

“Hana, uncle Irfan kirim peluk cium. Esok jelah ummi peluk cium Hana untuk dia, ok?” Nisa' berbicara sendiri. Sebelah tangannya diletak di atas badan Hana lembut. Nisa' melelapkan matanya. Cuba melupakan segala-galanya yang terjadi pada hari ini.

**********

“Saya minta maaf,” Daniel memulakan. Hari ini genap 2 hari selepas peristiwa di klinik. Selama 2 hari juga Daniel tidak menghubunginya. Baru hari ini Daniel mengajaknya berjumpa. Nisa' tidak memberi reaksi. Dia memandang hadapan, ke tasik yang terbentang luas.
Kosong. Daniel menoleh kepada Nisa' yang tidak memandangnya.

“Nisa', saya minta maaf.” Ujar Daniel lagi. Sangkanya Nisa' tidak mendengarnya.
Nisa' menunduk. Daniel masih menanti. Nisa' menoleh kepada Daniel. Menatap sepasang mata redup milik Daniel.

“Daniel, awak percayakan saya?” Tanya Nisa'. Tenang.
Daniel tidak terus menjawab. Sebaliknya dia memandang ke hadapan kembali. Melarikan matanya dari Nisa'.

“Kenapa awak Tanya macam tu?” Tanya Daniel, tidak menjawab soalan Nisa'.

“Awak tak percayakan saya kan?” Nisa' bertanya lembut dan tenang. Daniel masih tidak menjawab. Cuma desah nafasnya sahaja kedengaran.

Nisa' menarik nafas dalam.

“Daniel, saya tau antara kita ada jurang yang masih jauh walaupun hakikatnya kita akan bertunang tak lama lagi. Saya hargai awak, dan saya sayangkan awak, Cuma mungkin cinta itu masih belum hadir. Tapi saya masih mencuba Daniel, kerana saya hargai cinta awak. Dalam masa yang sama, saya harapkan satu saja dari awak Daniel. Tolong fahami saya.” Nisa' berbicara lirih tanpa memandang Daniel.

Daniel menarik nafas dalam. Tiada tanda-tanda dia mahu mencelah.

“Saya tak tau apa yang ditulis Tuhan untuk kita, sama ada jodoh kita bersilang atau tidak, saya tak tahu, awak tak tahu, tapi percayalah, saya sentiasa berharap saya berpeluang membalas cinta awak, dalam apa cara sekalipun.” Sambung Nisa' lagi. Nadanya masih tenang.

“Sekarang, ditakdirkan, Hana hadir dalam hidup saya. Saya tahu, awak rasa tak selesa, tambah pula bila awak tau dia anak Badri. Saya tau hakikat itu susah untuk awak terima. Kalau saya di tempat awak pun, saya pun pasti rasa tergugat. Tapi cuba awak fikirkan dari sudut lain Daniel. Anggap dia, anak kawan kita yang sudah menjadi yatim piatu. Dia perlukan sebuah keluarga. Dia masih sangat kecil Daniel. Dia diamanahkan kepada saya. Saya tak sanggup mengecewakan arwah isteri Badri, Suraya yang bersusah payah mencari saya. Dia telah berusaha mencarikan ibu pada anaknya. Jadi Daniel, salahkah kalau saya pula cuba mencari abah yang baik untuk Hana? Bolehkah saya sandarkan harapan saya itu pada awak Daniel?” Tanya Nisa', memandang Daniel.

“Saya tahu permintaan saya keterlaluan kan? Saya tau, saya pentingkan diri. Saya tak berbincang dengan awak tentang hal ni, tapi saya juga tak berbincang dengan Badri dengan hal ni. Saya tak pernah minta Hana dari Badri dan Suraya, jadi sekarang, saya anggap Hana hadiah dari mereka untuk saya. Dan saya telah berjanji akan menjaga Hana selagi saya mampu. Bolehkah awak menyokong saya Daniel? Saya hanya meminta satu dari awak, tolong ketepikan hakikat yang Hana anak Badri, dan terima dia sepertimana awak menerima saya, boleh Daniel?” Nisa' merenung Daniel di sisi.

“Jadi, pada awak, saya sebenarnya, satu kompromi? Begitu?” Daniel mengeluh panjang.

Nisa' terdiam. Dia tidak menyangka kata-katanya menambahkan bisa di hati Daniel. Daniel meghela nafas dalam. Dipusingkan badannya, menghadap Nisa'. Direnung sepasang mata milik Nisa' yang amat mengharapkan pengertian Daniel. Daniel manarik nafas dalam.

“Nisa', terus-terang saya cakap, susah untuk saya tunaikan permintaan awak. Saya bukan malaikat. Saya tak boleh terima hakikat yang dia anak Badri sebab saya tahu, sampai sekarang, hati awak hanya untuk dia, bukan untuk saya. Walaupun dia dah tak ada, dengan adanya Hana, awak ingat, perasaan awak untuk saya boleh hadir? Tak mungkin Nisa', kerana sekarang, sepanjang masa, ingatan awak pada Badri sentiasa mekar. Saya? Ibarat patung bernyawa saja di depan awak.” Ujar Daniel, ada nada sayu di hujung suaranya.

Daniel bingkas dari bangku. Meraup wajahnya.

“Nisa', 2 tahun saya tunggu perasaan awak pada saya. 2 tahun Nisa'. Bukan sekejap. Dan bila perasaan itu hampir ada, Hana pula hadir di antara kita. Nisa', answer me, cakap dengan saya, frankly, awak masih teringatkan Badri, kan? Awak tengok Hana, cakap dengan saya, awak tak teringatkan Badri, cakap Nisa'.” Suara Daniel separuh tinggi. Desakan demi desakan, soalan demi soalan.

Nisa' terdiam, melarikan pandangannya, kolam matanya mula panas, air mata mula bertakung. Daniel berjalan mundar-mandir di situ. Resah dengan apa yang sedang berlaku.

“Saya tak tau apa lagi yang patut saya cakap, but I don’t think we are making any progress, Nisa', seriously.” Ujar Daniel lagi. Ada nada kesal menyusul.

Nisa' memejamkan matanya rapat. Dia tahu dia yang patut menghentikan semuanya jika itu yang terbaik untuk mereka. Air mata sudah menitis.

“Daniel, I don’t know whether this is a wise decision or not, but I think we should put a stop to all this.” Akhirnya, Nisa' memutuskan. Berat hatinya berbicara, dalam sendu.

Daniel memandang Nisa' tidak berkelip. Tidak percaya dengan apa yang didengarinya. Namun dia tidak membantah. Keluhan berat dilepaskan. Direnung Nisa' dalam.

“Daniel, selama ni saya beri awak harapan palsu. Memang saya dah cuba, tapi saya dah penat mencuba Daniel. Saya rasa saya dan awak patut bawa haluan masing-masing and we should have done this long time ago. You should be given the chance to meet a nice girl who will love you deeply unlike me. You should Daniel. Dan saya rasa, jika awak tak boleh terima Hana, tiada apa lagi yang boleh kita buat Daniel. I will not leave Hana. Whatever happens, Hana will stay with me, and I can’t force you to do something you don’t want to do. I think it is best if we break up.” Tutur Nisa', lambat-lambat dan perlahan.

“Nisa',” Daniel tidak dapat meneruskan bicaranya. Pilu menggigit tangkai hati. Amat berat untuk dia menerima keputusan itu.

Namun dia juga tahu itu sahaja jalannya. Nisa' tidak akan berundur dari Hana, dan dia tidak mampu menerima Hana.

Nisa' diam di bangku, melayan perasaannya. Menanti bicara Daniel. Daniel duduk kembali. Dia mengalih pandang pada Nisa' yang merenung kosong pemandangan di hadapan.

“Nisa', are you sure? You know I love you, but it’s just that I can’t accept her, that’s all.” Lirih suara Daniel, cuba memujuk.

“Daniel, tak ada gunanya lagi Kira teruskan kalau antara kita sudah tiada unsur percaya lagi. You don’t believe me, whatever I say. And we have different aims in life. We don’t share the same view. So, how could we be together?” tingkah Nisa' perlahan.

Daniel meraup wajahnya. Masih cuba memikirkan jalan lain walau dia tahu apa yang diusulkan Nisa' itu sahaja satu-satunya jalan yang tinggal jika dia masih berkeras tidak mahu Hana wujud di antara mereka.

“Saya akan balik kampung esok. Saya akan beritahu mak dan abah. Saya akan cakap semua ni salah saya. Saya takkan salahkan awak Daniel. Awak tak bersalah. Semua ni salah saya.” Tambah Nisa' lagi.

Daniel tidak memberi reaksi apa-apa. Sudah tidak tahu apa yang patut dicakapkan lagi.
Nisa' menegakkan duduk. Pada hematnya, dia sudah tiada apa yang perlu diucapkan. Menanti di situ lagi menambah sesak di dadanya.

Digalas tas tangan di bahu. Nisa' bingkas. Daniel masih tidak berkutik.

“Daniel, I’m sorry for everything. It’s just that we could no longer drag our relationship when it is not working at all. Halalkan semuanya yang telah awak beri pada saya, dan terima kasih kerana menyayangi saya. Saya harap, kita masih boleh berkawan baik. Saya harap awak akan berjumpa dengan seseorang yang boleh menyayangi awak sebagaimana awak mencintai dia. Thanks again. Assalamualaikum.” Nisa' mengatur langkah pergi meninggalkan Daniel yang masih di situ.

Air matanya menitis lagi. Walaupun dia tidak mencintai Daniel, namun dia tidak mahu melukakan hati lelaki yang amat menyayanginya. Kini Nisa' pasrah. Maafkan saya, Daniel. Kini ‘kita’ itu hanya untuk dia dan Hana.

No comments:

Post a Comment