Nisa' sedang leka menonton televisyen apabila deruman enjin kereta kedengaran di hadapan rumah Mak Su. Nisa' bingkas, menjengahkan kepala. Irfan. Dia mencapai tudung lalu disarung ke kepalanya. Duduk kembali. Sudah seminggu peristiwa di restoran itu berlalu, dan Nisa' semakin pasti bahawa dia tidak akan mampu berpisah dengan Hana walau sekejap.
Seminggu juga Nisa' dan Mala ketawa acap kali mereka mengimbas kembali peristiwa di restoran itu.
Irfan memberi salam, Nisa' menjawab perlahan. Menghadiahkan segaris senyuman kepada Irfan yang baru melangkah masuk.
“Lama tak Nampak tokey lori ni? sibuk ke?” Nisa' beramah. Irfan senyum nipis. Dia melabuhkan punggungnya di sofa tunggal.
“Biasalah, making a comeback is not that easy if you have to start it all over again.” Nisa' sengih mendengar kata-kata Irfan. Tumpuannya kembali pada televisyen.
Sudah menjadi tabiatnya pula berlama di rumah Mak Su sebelum pulang ke rumah, sejak hubungan dia dan Daniel ternoktah. Daniel. Nisa' mengeluh perlahan.
Irfan mengerlingnya.
“Ai, mengeluh?” tegur Irfan. Nisa' menoleh sekilas melihat Irfan, tersenyum nipis.
“Teringatkan sesuatu.” Jawab Nisa' ringkas.
“Apa dia?”
Nisa' menarik nafas dalam.
“Nothing, hal office.” Bohong Nisa'. Dia masih belum bersedia mendedahkan semuanya kepada Irfan biar dia menyenangi kehadiran Irfan di situ. Sekurang-kurangnya, ada teman berbual.
“Ha, Irfan, baru sampai?” tegur Mak Su yang datang dari belakang membawa sebakul baju yang baru diangkat dari ampaian. Mak Su duduk di atas lantai di tengah-tengah ruang tamu itu.
Nisa' turut turun dari sofa dan duduk di sisi Mak Su. Tidak manis orang tua di bawah sedang yang muda di atas. Dia memanjangkan tangan mengambil sehelai pakaian untuk dilipat.
“Eh, Nisa', tak apa. Sikit saja ni.” tegah Mak Su.
Nisa' senyum nipis.
“Tak apa, sikit saja. Bukan banyak pun,” dia memulangkan kembali ayat Mak Su.
Mak Su tersenyum saja mendengar usikan Nisa'. Irfan turut tersenyum mendengar ayat Nisa'. Pandangannya jatuh pada Nisa', dan dia khayal dengan wajah itu. Tiada siapa tahu tujuannya pulang setelah seminggu hilang. Selain dari Mak Su sebagai ibu saudaranya, ada tujuan lain yang lebih membuatkan dia sesak nafas sekiranya dia tidak pulang.
Rindunya pada sekujur wajah itu. Sekujur wajah yang beriak tenang, dan memancarkan ketabahan yang menggunung. Dia rindu mahu mendengar bicara gadis itu. Entah bila hatinya terpaut, dia tidak sedar, dia tidak pasti. Yang pasti, rindunya terubat setiap kali bersua dengan gadis itu.
Puas dia cuba menidakkan rasa hati, sedar kedudukan dirinya yang tidak menyenangkan mereka yang mengetahuinya. Bimbang juga kasih pada insan lain yang telah lama bertapak di hatinya terkikis digantikan kasih dan cintanya pada gadis itu. Dia tidak mahu itu terjadi, namun bicara hatinya lebih kuat dan lebih meresahkan dari bicara akal warasnya.
Mengapa hati ini terpaut pada dia yang begitu mulia di mataku? Mengapa dia yang Berjaya membuka dan mencairkan hati beku ini selama ini? Mengapa dia? Puas dia bertanya, tiada jawapan yang pasti. Cuma dia tahu, gadis itu membuatkan tidurnya tidak lena, mandinya tidak basah, makannya tidak kenyang. Rasa yang sudah lama hilang, dan terkunci rapat di satu sudut hatinya terbit kembali.
Irfan sedar, dia sudah jatuh cinta lagi. Namun dia tahu cintanya takkan menghasilkan irama kerana dia bertepuk sebelah tangan. Status dirinya juga tidak memungkinkan mereka menjalinkan hubungan. Tak mungkin.
“Irfan, tengok tv tu,” tegur Mak Su bersahaja, gerakan tangannya melipat kain masih lincah. Nisa' mengerling Irfan yang gelabah mendengar teguran itu. Kenapa Mak Su cakap macam tu? Nisa' tertanya-tanya sendiri.
“apa Mak Su... Irfan tengok tv lah ni,” Irfan menyembunyikan kalutnya. Mak Su senyum penuh makna.
“Hmm, yelah tu. Nisa', Mak Su ke dapur dulu. Nak keluarkan lauk untuk makan malam. Dah siap nanti letak tepi ya,” pinta Mak Su seraya bingkas, meninggalkan Nisa' dan Irfan di situ.
“Baik Mak Su.” Nisa' meneruskan kerjanya. Sekali-sekala dia menjeling tv. Irfan leka merenung tv, namun fikirannya kosong. Masih terganggu dengan teguran Mak Su sebentar tadi. Dia kalut sendiri. Mujur Nisa' tidak menyedari tingkahnya. Jika tidak, berlipat ganda lah perasaan malunya.
“Irfan, tukar channel boleh? Saya teringat satu drama tv la. Nak tengok kejap.” Pinta Nisa', tiada jawapan.
Nisa' mengerling Irfan sekilas.
“Irfan, tukar tv3 kejap.” Pinta Nisa' lagi. Sangkanya Irfan membantah, kerana itu dia meminta lagi. Masih tidak bertukar siaran.
Nisa' meletakkan baju yang hendak dilipatnya. Dia menatap Irfan, beralih ke televisyen. Iklan. Khusyuk betul dia tengok iklan. Apa yang bestnya? Eh! Nisa' tutup mulut. Iklan tuala wanita!
Nisa' bingkas, mencapai remote tv di sisi Irfan, menukar siaran. Irfan tidak berkutik.
Nisa' duduk kembali. Matanya tidak lekang dari Irfan. Hairan, pelik, aneh. Dia tak tengok tv.
“Irfan,” panggil Nisa'. Tiada respons.
“Irfan,” diam.
“Irfan!” sedikit kuat, dan serentak itu, rengekan Hana kedengaran dari dalam bilik.
Irfan seakan tersedar dari lamunannya, pantas menoleh ke Nisa'.
“Eh, Hana nangis.” La, dia terkejut Hana nangis, bukan sebab aku panggil. Hampeh betul.
Nisa' menggeleng perlahan, senyum sendiri. Luculah dia ni.
“Awak senyum kenapa?” manis. Pujinya di dalam hati.
“Ha, tak ada apa-apa.” Dalih Nisa'. Malas hendak berbicara panjang.
Nisa' meneruskan kerjanya, tidak menghiraukan Irfan yang sudah bingkas.
“Nak ke mana?” Nisa' hairan.
“Saya nak buat susu Hana.” Ujar Irfan seraya berlalu. Nisa' terdiam seketika, sebelum mengukir senyum kembali.
Menghantar kelibat Irfan sehingga hilang dari pandangannya. Umur macam dah awal 30-an. Kenapa agaknya dia tak kahwin lagi? Nak kata tak suka komitmen, rajin pulak nak susukan Hana. Hairan aku. Nisa' meneruskan kerjanya, sehingga selesai. Mak Su datang menjenguk.
“Dah siap? Terima kasih Nisa'.”
“Sama-sama.”
Nisa' menggeliat kecil. Irfan keluar dari bilik Hana, duduk kembali di sofa. Dia menyandarkan tubuhnya. Sesekali matanya melirik Nisa' yang tersandar di sofa, di atas lantai.
“Mak Su, Irfan ingat nak buat makan-makan sikitlah. Sempena bisnes yang baru nak naik semula.” Irfan memberi usul. Mak Su duduk di sisi Irfan.
“Bila?” Tanya Mak Su. Irfan memandang Nisa' dan Mak Su silih berganti, yang menanti jawapannya.
“Weekend ni?” dia melirik Nisa' yang sudah menongkat kepalanya. Seperti tidak berminat mahu ikut serta dalam perbincangan itu.
“Boleh. Nisa' boleh datang?” soalan Mak Su yang mendadak itu membuatkan Nisa' termangu-mangu seketika. Aku termasuk sekali ke dalam rancangan ni?
“Err, weekend ni? Saya free.” Irfan bersorak di dalam hati mendengar jawapan Nisa'.
Mak Su menoleh kepada Irfan semula.
“nak buat apa? Soto?”
Mata Irfan bercahaya.
“Boleh jugak. Lama tak makan soto Mak Su.” Irfan bersetuju.
Mak Su menoleh pada Nisa' pula.
“Nisa' makan soto?”
Nisa' terkebil-kebil lagi.
“Err, makan, makan.” Aish, aku dijemput ke ni? confuse betullah.
“Nisa' datang ya, bawak kawan sorang lagi tu, siapa namanya? Mila?” telah Mak Su. Nisa' senyum nipis.
“Mala, Mak Su. insyaAllah, kami datang.”
Irfan tersenyum senang. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu.
“Mak Su, Irfan nak ajak abang ngah sekali lah.” Irfan memaklumkan.
“Ha, baguslah tu. Dah lama anak mak teh kamu tu tak jenguk Mak Su.” Mak Su pantas bersetuju.
Nisa' tidak menyampuk. Mengerling jam di tangan. Dah lambat. Nak balik lah.
*********
“Irfan ada hati dengan Nisa' kan?” telah Mak Su tiba-tiba, tidak lama selepas Nisa' pulang. Irfan menoleh melihat Mak Su sekilas sebelum sorotan matanya ke televisyen kembali.
“Tak lah, Mak Su, ni pandai-pandai je.” Mak Su senyum nipis.
Memandang Irfan yang jelas gelisah.
“Irfan, Mak Su ni dah jaga kamu dari kecik lagi. Mak Su tau apa yang tersirat di hati kamu. Walaupun kamu nafikan, tapi Mak Su faham sangat apa yang kamu rasa. Lagipun, ni bukan kali pertama. Dulu, masa dengan Zila pun kamu macam ni. Mak Su juga yang kena tolong.” Leter Mak Su.
Irfan terdiam. Zila. Nama itu terbit kembali. Nama yang tersimpan kemas dalam lipatan sejarahnya, nama yang tak mungkin akan pupus dari ingatannya. Mak Su yang menyedari perubahan Irfan mengeluh panjang.
“Irfan, yang sudah tu sudah lah. Kamu tak boleh terus macam ni. Zila dah lama pergi. Dah lama kamu berkabung. Kamu masih muda. Beri peluang pada diri kamu untuk terus menikmati hidup.”nasihat Mak Su. Irfan tidak menjawab.
Wajahnya keruh, tidak seceria tadi.
“Mak Su percaya kalau Zila sedang melihat kamu sekarang, dia pasti takkan gembira melihat kamu begini. Yang pergi jangan diratapi, kita yang hidup ni harus teruskan hidup. Nisa' tu, dia budak baik. Mak Su pun berkenan dengan dia. Tapi, tu lah kan, dia dah ada kekasih. Dengarnya, mereka bakal bertunang.” Mak Su pula yang bersedih dengan keadaan itu.
Irfan masih diam. Mendengar sahaja bicara Mak Su.
“Tapi kan, Mak Su hairan. Dulu, masa mula-mula Mak Su jaga Hana, dia selalu balik lewat. Sekarang, dia selalu awal, lepas tu, tak terkejar-kejar nak balik. Mak Su rasa dia ada masalah dengan bakal tunang dia kot.” Mak Su membuat telahan sendiri.
Irfan kerling Mak Su.
“Ish, Mak Su, tak baik fikir macam tu. Saya rasa diorang ok. Cuma mungkin Nisa' keluar malam ke, lunch time ke jumpa bakal tunang dia, kita tak tau,” Irfan menafikan.
Mustahil. Dari raut wajah Daniel ketika mereka bertemu di klinik tempoh hari, dia dapat melihat cinta Daniel untuk Nisa' yang begitu mendalam. Kalau tidak, masakan api cemburu terbit di mata Daniel kala matanya disapa kehadiran Irfan di situ?
“Hmm, sayang betul. Kalau dia tak berpunya, Mak Su sendiri akan risik dia untuk kamu.” Bersemangat Mak Su berbicara.
“Ish, Mak Su, siapa yang nak kahwin pulak ni?” Irfan mengusik.
“Kamu kan suka dia? Apa salahnya?” Irfan telan liur.
“Mak Su, suka tak sepertinya memiliki. Sayang tak semestinya dihargai. Dengan status saya ni, Mak Su ingat Nisa' tu nak ke?” Irfan meluahkan keraguannya.
“Ish, Mak Su percaya Nisa' tu tak macam tu. Dia tu baik. Kalau tak, dia takkan sanggup jaga anak yatim piatu sedangkan dia masih belum berkahwin. Susah tau orang nak berkorban macam tu.” Mak Su memberi hujah, menolak dakwaan tidak berasas Irfan.
Irfan mengeluh panjang.
“Hmm, suka hati Mak Su lah. Tapi saya nak minta tolong Mak Su boleh?” Irfan menggenggam tangan Mak Su erat.
“Apa dia? Cakaplah.”
“Mak Su jangan beritahu Nisa' apa-apa? Irfan tak nak dia takut dan berhenti datang sini. Bagi Irfan, cukup hanya dengan melihat dia bahagia, Irfan akan bahagia.”
Mak Su terdiam. Dia mengelus rambut Irfan penuh kasih.
“Baiklah, Mak Su janji.” Mereka berbalas senyum.
No comments:
Post a Comment