About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Monday, May 4, 2009

Sufi, Sufiah 1

Sufiah memeluk Sufi kejap. Terasa gigilan dari tubuh kurus itu. Sufiah juga kecut perut. Suara orang bergaduh dan bunyi barang-barang berlemparan menambahkan lagi kecut perutnya. Di bilik yang hanya layak dibuat stor itu, mereka terperuk di satu sudut.

Inilah lumrah hidup mereka. Setiap hari hidup mereka bersulamkan pergaduhan ibu dan ayah, dihiasi kata-kata kesat yang menjadi makanan harian. Rumah yang sepatutnya menjadi syurga pada mereka, sudah menjadi lebih dari neraka. Apalah yang kanak-kanak seumur mereka tahu?

Di umur yang semuda ini, sepatutnya mereka pergi ke sekolah, bermain dan belajar bersama kawan-kawan.

Hari-hari mereka selayaknya dihiasi tawa dan senyum riang, tiada gundah bersarang di hati. Namun reality hidup tidak selalunya indah. Mereka sentiasa hidup dalam ketakutan. Sekiranya ayah pulang, akan bermulalah hari mereka. Apabila ayah tiada, tidak juga aman dengan sikap ibu yang menganggap mereka tak ubah seperti sampah yang menyusahkan. Jadi mengapakah mereka dilahirkan?

Jika hadirnya mereka tidak diingini, mengapa mereka dijadikan? Kejadian Tuhan sentiasa ada sebabnya.

Sufiah tersentak apabila pintu bilik ditendang kuat dari luar. Tubuh besar dan tinggi itu mendekat. Di tangannya sebotol air syaitan yang menjadi minuman harian lelaki itu. Sufi menggigil kuat. Bertambah kuat dari tadi. Sufiah menatap mata itu. Ayah, apa dosa kami?

‘kau, mari sini.’ Panggil suara garau itu.

Sufiah tidak berganjak. Dia tahu siapa yang dimaksudkan dan dia tahu apa yang ingin dilakukan lelaki keji itu. Umur mudanya tidak membataskan pengetahuannya. Di mana ibu? Biar ibu juga seperti tidak menghargai kehadiran mereka, namun ibu tidak akan sekali-kali membenarkan ayah berlaku keji dengan mereka. Sekeji binatang yang memakan anaknya.

Air mata mengalir laju membasahi pipi. Ibu, datanglah. Sufiah perlukan ibu.

Lelaki itu menatap Sufiah tajam. Berang apabila Sufiah tidak berganjak dari sudutnya.

‘mari sini!’ panggilnya lagi, keras dan garang. Sufiah tersentak. Terkejut mendengar suara bak halilintar itu.

Dan tiba-tiba, muncul kelibat seseorang yang amat disayanginya. Di tangan ibu ada sesuatu. Ibu mengangkat tinggi besi di tangannya sebelum dihayun kuat ke kepala ayah. Sufiah terjerit kuat apabila ayah tersungkur di kakinya sambil mengerang kuat. Sufi mencuri-curi lihat. Gementarnya masih belum hilang.

‘Sufi, Sufiah. Pergi. Jangan balik lagi. pergi!’ arah ibu. Sufiah tergamam. Ibu jangan begini!

Sufiah bangun menolak Sufi yang sudah menangis. Mendekati ibu yang kusut masai. Darah di muka ibu dan di mana-mana. Dia menggapai tangan ibu. Dipeluk dicium.

‘ibu, kami takkan tinggalkan ibu! Jangan halau kami ibu! Kami janji kami tak akan susahkan ibu!’ rayu Sufiah. Ibu menghela nafas kuat. Dadanya berombak kuat. Besi di tangannya dilepaskan. Berdenting bunyinya. Ayah sudah tidak mengerang. Pengsan barangkali.

Sufiah masih memegang tangan itu. Tangan yang diharapkan akan membelainya dengan penuh kasih sayang.

‘pergi aku kata. Pergi!’ tangan itu menolaknya kuat. Sufiah tersungkur di atas lantai. Air mata membasahi pipi dan lantai. Sufi mendapatkannya.

‘akak. Akak.’ Jerit Sufi. Dia tidak mahu kakaknya pergi meninggalkannya. Hanya kakak yang dia ada. Suasana gamat dengan tangisan mereka.

Sufiah bingkas dari jatuhnya perlahan-lahan. Air mata Sufi dikesatnya. Sufi mengesat air matanya pula. Namun tiada tanda kesatan mereka diperlukan. Air mata masih turun laju membasahi pipi mereka.

‘ibu, maafkan Sufiah. Sufiah akan pergi dengan adik. Ibu, jaga diri.’ Tutur Sufiah matang dalam esakan yang masih bersisa.

Dia menarik Sufi lalu memeluknya.

‘jom adik. Kita pergi.’ Mereka mengatur langkah bersama keluar dari rumah itu. ibu tidak mengejar.

Air mata Sufiah bertambah laju. Terima kasih, ibu dan ayah. Kerana ibu dan ayah kami ada. Rintih Sufiah. Dia memandang rumah itu buat kali terakhir. Kami tidak akan pulang lagi. Sufiah memasang tekad.

Dan berjalanlah dua beradik itu tanpa arah tujuan. Mengikut sahaja langkah kaki mereka dan kata hati. Hari sudah semakin gelap. Tengah malam sudah memunculkan diri. Sufi memeluk erat kakaknya. Risau dengan kegelapan malam.

Rumah mereka yang memang terletak di kawasan terpencil menyukarkan mereka untuk berjalan keluar dan bertemu jalan besar. Namun digagahkan juga kaki melangkah.

Sufi sudah longlai dalam pelukan Sufiah. Berjalan dalam tidur. Sufiah masih setia menjadi mata adiknya. Dia menggagahkan dirinya menampung tubuh Sufi yang sudah lembik.

Akhirnya, mereka bertemu jalan besar. Sunyi keadaan sekeliling. Sufiah terpandang sesuatu. Dia mengatur langkah ke arah itu. Perhentian bas. Malam ini, di situlah bilik mereka. Esok, di mana pula Sufiah tidak pasti. Dia membaringkan Sufi perlahan.

Dalam keadaan sebegini, Sufi lebih nyenyak tidur dari semasa berada di rumah. Tidur mereka sentiasa terganggu. Tiada satu saat di mana mereka boleh menghela nafas lega.

Tidurlah adik. Di sini lebih aman. Sufiah turut merebahkan diri di sisi Sufi dan sekejap sahaja, kepenatan tubuhnya menjalar ke mata. Dia terus terlelap.

Baru sahaja rasanya matanya direhatkan, tidurnya terganggu oleh satu suara.

‘adik, adik.’ Sufiah membuka matanya. Terpisat-pisat. Pandangannya singgah pada seraut wajah yang tenang. Sufiah mendudukkan diri. Sufi masih tidak berkutik.

‘adik tak ada rumah? Kenapa tidur sini?’tanya Dato' Ibrahim.

Perjalanannya terganggu melihat dua batang tubuh yang tersadai di perhentian bas.
Sufiah menelan liur.

‘ibu halau kami. Kami tumpang tidur saja pakcik. Nanti kami pergi.’ Jelas Sufiah takut-takut.
Dato' Ibrahim mengukir senyum. Belas dan simpati melihat wajah comot itu.

Apakah dosa mereka? Sekecil ini dihalau keluar?

‘jom ikut pakcik. Pakcik ada bilik kosong di rumah.’tawar Dato' Ibrahim.
Sufiah diam. Benarkah ada insan yang mulia di muka bumi ini?

‘jangan risau. Pakcik ada isteri. Dia tengah tunggu pakcik di rumah. Mari. Kita balik rumah. Bangunkan adik tu.’

Sufiah masih kaku. Rumah. Dia membangunkan Sufi perlahan. Sufi mendengus kecil. Tidur amannya terganggu.

Dato' Ibrahim tersenyum melihat telatah Sufi. Dia mencempung tubuh kurus itu lalu dibawa ke keretanya. Sufiah mengekor di belakang.

Inikah rupa insan bernama ayah? Jika benar, apakah ini hikmahnya mereka dihalau keluar? Untuk ditemukan dengan malaikat bertopengkan manusia?

Sufi ditidurkan di belakang. Sufiah duduk di sebelah pemandu.

Kereta sudah meluncur laju. Ke destinasi yang sudah pasti Sufiah tidak tahu.

‘siapa nama adik?’ Tanya Dato' Ibrahim. Lembut supaya kanak-kanak itu tidak takut.

‘saya Sufiah. Adik Sufi.’ Jawab Sufiah. Suaranya sudah lebih yakin dan tenang berbanding tadi.

‘Sufiah dah makan?’ tanyanya lagi.

Sufiah diam. Memegang perut yang sudah terbiasa makan selang dua-tiga hari. Mendengar soalan itu, membuatkan dia teringat yang kali terakhir dia mengisi perut itu ialah semalam. Itupun Cuma roti kering.

‘belum.’ Jawab Sufiah seraya menunduk. Dato' Ibrahim sayu. Dia mendail nombor di telefon bimbitnya.

‘helo, yah. Abang dah nak sampai ni. Tolong sediakan makanan. Bukan untuk abang. Sediakan saja. Ok. Bye.’ Sufiah mendengar sahaja.

‘nanti kita sampai, Sufiah makan dulu ya.’

‘Sufi?’ Tanya Sufiah laju. Tidak tega dia makan tanpa Sufi.

Dato' Ibrahim tersenyum mendengar soalan itu.

‘kalau Sufi nak tidur kesian pulak nak dikejutkan. Sufiah jangan risau. Rumah pakcik banyak makanan.’ Sufiah diam kembali.

‘Sufiah tinggal di mana?’

‘di hujung kebun.’ Jawab Sufiah. Itu sahaja yang dia tahu.

Dato' Ibrahim mengerutkan dahinya.

‘hujung kebun mana?’

‘tak tau. Hujung kebun.’ Jawab Sufiah lagi. Dato' Ibrahim diam.

Dia akan mencari maklumat mengenai rumah mereka sendiri kelak.

Sampai di rumah, Sufiah tergamam melihat rumah seindah itu. Besar dan tersergam indah.

Dato' Ibrahim mematikan enjin. Dipandang Sufiah yang tidak berkata-kata.

‘Sufiah, ini rumah pakcik. Jom, turun. Makcik dah tunggu.’ Sufiah dapat melihat seorang perempuan separuh umur menjengah di pintu dan keluar mendapatkan Dato' Ibrahim.
Sufiah keluar dari kereta.

Dia melihat sahaja lelaki yang baik itu berbicara dengan isterinya sehingga isterinya mengangguk-angguk.

Perempuan itu kemudian mendapatkan Sufiah yang berdiri tegak di sisi kereta.
Dia mengelus-elus rambut Sufiah.

‘Sufiah ya? Jom, makcik dah sediakan makanan. Sufiah lapar kan?’ tanyanya prihatin. Sufiah dapat melihat mata wanita itu berkaca-kaca. Dia menangis?
Sufiah mengangguk-angguk.

Dato' Ibrahim mencempung tubuh Sufi yang kurus keluar dari kereta lalu dibawa masuk ke dalam. Sufiah dan wanita itu menurut dari belakang. Di dalam, Sufiah bertambah terkedu melihat hiasan rumah itu. luas ruang tamunya sahaja lebih besar dari keluasan rumah yang baru ditinggalkan. Sufiah melangkah lambat-lambat. Adakah ini mimpi?

Dato' Ibrahim dan Sufi sudah menghilang. Datin Sariyah mengiring Sufiah ke ruang makan. Di atas meja makan, sudah terhidang nasi, kari ayam, ikan goreng dan sayur masak lemak. Sufiah menelan liur.

‘sebelum makan, basuh tangan dulu.’ Ajar Datin Sariyah lalu dibawanya Sufiah ke sinki kecil khas untuk mencuci tangan. Dia menggosokkan tangan Sufiah yang diletakkan sabun. Sufiah terharu dan terkedu. Kasih ibu yang didambakannya selama ini mula dirasai. Air matanya menitis. Teringatkan ibu yang sepatutnya melakukan semua itu.

Sufiah mengesat matanya dengan tangan yang sudah bersih.

Datin Sariyah yang perasan dengan tindakannya mendekat.

‘Sufiah, kenapa ni?’ tanyanya. Air mata bertambah laju mengalir. Datin Sariyah mengesat air mata itu. Dan air mata keibuannya turut tumpah. Dia menarik tubuh Sufiah ke dalam pelukannya.

Menangislah mereka berdua di situ. Sufiah memeluk tubuh wanita itu kejap. sememangnya dia mendambakan kasih sayang seorang ibu.

Dato' Ibrahim yang sudah kembali ke ruang makan itu turut terharu melihat adegan itu.

‘yah, sudah lah tu. Budak tu nak makan.’ Tegur Dato' Ibrahim. Datin Sariyah merenggangkan pelukannya.

Dia mengesat air mata Sufiah. Sufiah turut berbuat demikian padanya. Diciumnya kedua-dua pipi Sufiah yang comot. Tidak dia kisah dengan keadaan Sufiah yang jauh berbeza dengan dirinya.

‘Sufiah jangan menangis lagi ya.’ Sufiah mengangguk laju.

‘dah. Sufiah, mari makan.’ Panggil Dato' Ibrahim lembut. Sufiah menghampiri meja makan lalu duduk di kerusi yang mungkin lebih mahal dari rumah buruknya.

Datin Sariyah mencedokkan nasi dan lauk. Sufiah makan dengan lahap sekali. Dato' Ibrahim dan Datin Sariyah saling memandang. Simpati melihat keadaan kanak-kanak ini.

Sufiah sudah tidur di dalam bilik tetamu. Datin Sariyah dan Dato' Ibrahim duduk di ruang tamu. Mata mereka jelas tidak mengantuk. Masing-masing memikirkan dalam reality hidup. Jika selama ini mereka hidup dalam kemewahan, ada insan yang semuda Sufi dan Sufiah terpaksa hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan biar mereka punya ibu dan ayah.

Datin Sariyah menghela nafas berat.

‘abang, yah nak ambil diorang jadi anak angkat kita.’ Datin Sariyah berbicara yakin. Dato' Ibrahim mengangkat muka, menatap wajah isteri yang telah 14 tahun dikahwininya.
Diam.

‘Hadi macam mana?’ Tanya Dato' Ibrahim.

Datin Sariyah membalas renungan suaminya.

‘Hadi mesti tak ada halangan. Dia pun pernah cakap teringin nak adik kan? Lagi pun, yah dah jatuh kasih pada diorang bang. Yah tak sanggup nak lepaskan diorang pada orang lain. Ibu bapanya apatah lagi.’ luah Datin Sariyah geram.

Dato' Ibrahim diam lagi. dia merenung ikan-ikan yang dibela Hadi dalam akuarium.

‘hmm, abang pun rasa baik kita ambil diorang jadi anak angkat kita. Nanti abang akan uruskan.’

Akhirnya Dato' Ibrahim bersetuju. Datin Sariyah melepaskan nafas berat.

‘apalah malang nasib diorang kan bang? Kecil lagi tapi dah dihalau keluar rumah. Dua orang pulak tu. Yah sedih tengok diorang.’ Luah Datin Sariyah lagi. sebak.

‘hmm, dah lah. jangan sedih lagi. nanti Hadi balik dari asrama kita beritahu dia. Dah, jom masuk tidur. Dah lewat ni. Esok abang nak uruskan hal diorang.’ Janji Dato' Ibrahim. Dia bingkas mengatur langkah naik ke bilik. Datin Sariyah setia mengikut di belakang.

‘akak, akak.’ Suara Sufi kedengaran, menganggu mimpi indah Sufiah. Sufiah membuka mata dan mendapati Sufi di sebelah. Wajahnya ketakutan.

‘kenapa dik?’ Tanya Sufiah seraya mendudukkan dirinya. Sufi ditariknya ke dalam pelukan.

‘adik takut. Kita kat mana ni?’ Tanya Sufi. Sufiah senyum.

‘adik, kita dah selamat. Adik jangan bimbang.’ Sufiah menenangkan.

‘adik lapar?’ Tanya Sufiah. Sufi mengangguk laju. Sufiah turun dari katil empuk. Ditariknya Sufi bersama dan mereka menuruni tangga. Sufiah terdengar suara orang di ruang tamu. Ramai saja bunyinya. Dia melangkah berhati-hati. Sufi menyembunyikan muka di belakang Sufiah.

Sebaik mereka turun di bawah, semua mata tertumpu pada mereka. Datin Sariyah tersenyum melihat mereka. Dia menggamit mereka supaya menghampirinya.

Sufiah mendekat. Sufi takut-takut.

‘Sufiah, Sufi, kamu berdua nak jadi anak makcik tak?’ Tanya Datin Sariyah lembut. Dia menggenggam tangan Sufiah dan Sufi, lembut dan penuh keibuan. Sufiah tergamam.

‘betul ke makcik?’ tanyanya tidak percaya. Orang lain yang melihat turut tersenyum.

‘betul Sufiah. Kamu nak jadi anak pakcik dan makcik?’ Tanya Dato' Ibrahim pula.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, Sufiah mengangguk laju. Keceriaan jelas terpancar di wajahnya. Sufi yang masih tidak mengerti apa-apa Cuma memandang kosong.

Dato' Ibrahim dan Datin Sariyah berbalas pandang. Mereka juga tersenyum gembira.

‘mulai hari ini, panggil makcik ummi ya.’ Ajar puan sariyah. Sufiah mengangguk lagi.

‘baik ummi.’

‘dan pakcik abah.’ Tambah Dato' Ibrahim. Sufiah mengalih pandang kepada Dato' Ibrahim pula.

‘baik abah. Terima kasih, abah, ummi.’ Ucap Sufiah. Datin Sariyah menarik mereka berdua ke dalam pelukannya. Menangis lagi.

6 comments:

  1. awal2 lgi dah best!!
    smbg cpt k..

    ReplyDelete
  2. best..best...lg please.....

    ReplyDelete
  3. alamak aih...asal name die sufiah???

    cm nme saya la pulak..hohohoho

    neway, nice cite ni..

    ReplyDelete
  4. best sgt...
    asa nak menitik ja air mata..huhuhu..
    kecian kat bdk tu..

    ~aku insan biasa~

    ReplyDelete
  5. sedih wei..tp best cita yg anarif tkis ni ng lain dr yg lain..kagum aku..tp kn kesian kat bebudak 2..

    ReplyDelete
  6. best arr najah..baru bekesempatan nak bace

    ReplyDelete