About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Tuesday, July 13, 2010

Khilafku bukan Isteriku 2

Hilman pulang awal hari itu. Sebaik saja dia masuk ke dalam rumah, bau harum masakan menusuk-nusuk hidungnya membuatkan dia tertanya-tanya sendiri. Dijenguknya ke dapur dan mendapati Sofia sedang sibuk menyediakan sesuatu.

Kandungan Sofia yang sudah berusia 5 bulan sudah mula menampakkan rupanya. Hilman menghampiri dari belakang.

“Masak apa tu?”

Sofia yang terkejut tersenyum manis melihat Hilman. Senduk di tangan diletakkan, dan disalaminya suaminya itu.

“Nasi tomato. Abang suka kan?”

Hilman angguk laju. Perutnya sudah mula menyanyi lagu keroncong membuatkan dia tersedar bahawa dia belum makan apa lagi sejak sarapan pagi tadi.

“Abang mandi dan solat dulu.” Ujar Hilman seraya menghadiahkan ciuman ke pipi Sofia.

Sofia angguk.

Hilman menghilang ke dalam bilik Sofia yang sudah beberapa bulan dihuninya. Hubungan mereka sudah bertambah baik. Hilman benar-benar yakin bahawa Sofia jodohnya, bukan Maria, bukan juga orang lain.

Di meja makan, Hilman mula teringatkan sesuatu.

“Tak nak balik jumpa papa dan mama?” soal Hilman, membuatkan Sofia terhenti mengunyah.

Mereka berpandangan, dan Hilman menanti dengan tenang. Dia tidak mahu mendesak. Semuanya terpulang pada Sofia.

“Abang betul-betul dah sedia?”

Hilman tersenyum sambil meletakkan sudunya.

“Sofia, sampai bila kita nak macam ni? Hmm? Baby tu, macam mana pun, mesti balik jugak kan? Kita tak pernah balik rumah papa dan mama lagi. Abang sentiasa bersedia. Abang cuma tunggu Sofia je.”

Sofia turut meletakkan sudunya, memandang Hilman lama. Lambat-lambat dia mengangguk. Hilman tersenyum lagi.

“Weekend ni kita balik ya?”

Akur, Sofia mengangguk lagi.

**************

Kereta Sofia yang dipandu Hilman meluncur masuk ke pekarangan rumah banglo mewah yang tidak pernah termimpi akan dikunjungi oleh Hilman. Untuk seketika, dia kagum sendiri. Namun, tidak sedikit pun rasa takut atau bimbang menyelinap ke dalam hatinya.

Mereka sudah berbincang tentang apa yang akan diperkatakan di hadapan mertuanya itu kelak. Mereka beriringan sambil Sofia memeluk lengan Hilman erat. Entah kenapa dia takut untuk berhadapan dengan ibubapanya.

Mereka dipersilakan masuk oleh orang gaji dan diminta tunggu di ruang tamu. Kehadiran mereka sudah diketahui, cuma identity sebenar Hilman saja yang masih menjadi rahsia. Sofia cuma memberitahu mereka bahawa dia datang berteman. Hilman tidak merasa dingin walaupun penghawa dingin terpasang begitu banyak di setiap ruang. Dia masih tenang. Sofia saja yang kelihatan sedikit resah.

Tidak lama kemudian, Dato' Hilmi dan Datin Syafi yang berpakaian sedondon warna ungu muncul di ambang ruang tamu. Hilman dan Sofia pantas berdiri. Mereka jelas terkejut melihat Sofia muncul dengan berpakaian muslimah anggun bertudung.

Hilman mengucap panjang di dalam hati melihat rambut Datin Syafi yang berwarna oren terang. Mereka menghampiri Hilman dan Sofia. tanpa berlengah, Sofia menghulurkan tangan dan menyalami kedua mereka.

Walaupun sudah agak lama mereka tidak berjumpa, reaksi mereka tidak menunjukkan sebegitu.

Datin Syafi melirik Hilman yang tenang di sebelah Sofia.

“Siapa ni?”

Sofia menelan liur sambil memegang erat lengan Hilman.

“Suami Sofia, mama.”

Dato' Hilmi jelas terkejut mendengar pengenalan diri Hilman membesarkan matanya.

“Suami? Sofia! kan papa dah cakap, kamu boleh berkawan dengan semua lelaki, tapi bukan berkahwin dengan sembarangan lelaki!” herdikan itu tiba-tiba kedengaran, membuatkan Sofia terundur ke belakang.

Hilman mengerti kini, mengapa Sofia begitu takut mahu pulang. Hilman juga bukan menantu idaman keluarga ini.

Hilman tersenyum tenang. Dia tetap berlagak tenang, dan dihulurkan tangannya, mahu bersalam dengan kedua mertuanya, namun keduanya tidak mengendahkannya. Datin Syafi sebaliknya menghampiri Sofia dan menariknya menjauhi Hilman sedikit.

“Kamu balik ni sebab nak tunjuk suami kamu ni? Sofia sayang, kan mama dah cakap, kalau kamu dah bersedia nak kahwin, kamu cakap dengan mama. Mama akan aturkan. Hidup ni sekejap saja. Tak perlu kamu susahkan diri kamu dengan, tutup satu badan kamu yang cantik tu. ini ke kehidupan yang kamu nak?”

Sofia mengetap bibir. Dilirik Hilman dari sisi, dan dia tahu Hilman terkejut dengan suasana itu.

“Mama, papa, Sofia minta maaf. Sofia dah kahwin. Dan Sofia takkan tinggalkan Hilman.” Nadanya perlahan, namun tegas.

Dato' Hilmi merengus kasar, angkuh.

“Kamu nak apa sekarang? Nak duit? Dah pandai-pandai kahwin, jangan harap papa akan bagi sesen pun pada kamu.” Tengking Dato' Hilmi lagi.

Dia mengalihkan pandangannya pada Hilman pula.

“Kamu ingat kamu kahwin dengan dia, kamu akan dapat harta aku sewenang-wenangnya? Jangan mimpi. Selagi papa hidup, papa tak akan bagi sesen pun pada kamu. Sekarang, pergi dari sini. Jangan balik selagi kamu dibomoh lelaki ni. Faham?!” serentak dengan itu, Dato' Hilmi berpusing dan meninggalkan mereka dengan wajah yang tegang.

Datin Syafi menurut langkah suaminya tanpa secebis rasa bersalah, ataupun kasih sayang yang sewajarnya ditunjukkan seorang ibu kepada anaknya.

Sofia mendapatkan Hilman yang masih terpacak di situ.

“Maafkan Sofia, abang. Sofia tak patut bawak abang balik ke rumah ni…” lirih suaranya.

Hilman mencapai jemari Sofia, dan digenggamnya erat. Dia tersenyum lagi.

“Sofia tak salah. Sekurang-kurangnya mereka dah tahu kita dah kahwin. Tak ada apa yang perlu dirisaukan lagi. Hmm?”

Sofia angguk dengan air mata yang sudah berlinangan. Hilman menarik nafas dalam seraya memeluk bahu Sofia untuk beredar.

Tuhan, berikan mereka petunjuk dan hidayahMU…..

*************

“Abang…” malam itu, Sofia mendapatkan Hilman yang sudah berbaring di atas katil.

Kepalanya dilentokkan ke dada Hilman. Ada sesuatu yang ingin dicakapkannya.

“Ya, ada apa sayang?” soal Hilman seraya mengucup kepala Sofia yang sudah berwarna hitam semula.

“Kita ni, dibuang keluarga masing-masing, kan?” mendengar bicara itu, Hilman tersenyum sendiri.

“Siapa kata?”

“Yalah, mak abang pun tak suka Sofia. papa pun tak suka abang. Kita dah tak ada kampung. Sofia… Sofia bersalah sebab libatkan abang dalam hidup Sofia…” sebak lagi.

Hilman melingkarkan tangannya ke pinggang Sofia, dan menarik Sofia mendekatinya, erat.

“Sofia, jangan fikir macam tu. satu hari nanti, kita akan diterima semula. Percayalah. Kita takkan diuji kalau kita tak kuat untuk diuji. Anggap saja ni ujian untuk kita, atau balasan untuk dosa kita yang dulu-dulu. Kita kena redha, dan percaya dengan takdir. Apa yang dah berlaku, jangan disesalkan. Abang tak pernah menyesal kenal Sofia bt Hilmi. Sofia pun tak menyesal kan kahwin dengan abang?”

Sofia geleng laju. Dipeluknya Hilman erat.

“Sofia bertuah sebab dapat kenal abang. Kalau tak, sampai bila-bila Sofia takkan dapat ketenangan. Sentiasa dihimpit dosa masa lalu. Sofia banyak dosa, tapi abang ialah perkara terbaik yang pernah terjadi pada Sofia.”

“Pada abang, Sofia pun macam tu jugak. Jadi, kita mesti sabar, dan terus berdoa supaya hati ibu bapa kita dilembutkan. Ok?”

Sofia angguk laju.

“Abang…”

“Hmm…”

“Abang tak nak balik rumah mak ke?”

Mendengar nama itu, Hilman melepaskan keluhan perlahan.

“Bukan tak nak balik, tapi abang tak nak mak lukakan hati Sofia lagi..”

Sofia menegakkan duduknya, menghadap wajah Hilman dengan ceria yang dibuat-buat.

“Abang baliklah seorang. Sofia faham. Kesian mak. Abang satu-satunya anak lelaki dia. Abang balik ya?” pujuk Sofia lagi.

“Tapi…”

“Abang, isteri boleh berganti, tapi mak seorang je bang.”

Hilman menggeleng.

“Pada abang, isteri abang takkan berganti. Sofia jangan cakap macam tu lagi. Abang tak suka.” Suara Hilman agak mendatar.

Sofia memeluk Hilman kembali, erat. Terharu dengan bicara suaminya itu.

“Abang, maafkan Sofia. Sofia cuma nak abang balik jumpa mak…” suara itu lirih.

Hilman menghela nafas dalam. Diletakkan bibirnya lama ke dahi Sofia, memahami niat murni isterinya itu.

“Baiklah. Kita balik sama-sama…”

Sofia angguk dalam sedu. Pelukannya bertambah kejap.

************

Sofia resah di dalam kereta. Tangannya terletak elok di atas perutnya, membuatkan perasaannya semakin tidak menentu. Hilman sudah menghilang ke dalam rumah itu 10 minit yang lalu, dan dia masih belum keluar. Sofia bertambah resah.

Entah-entah, suaminya ditahan oleh ibu mertuanya? Adakah dia akan ditinggalkan lagi?

Rasa bimbang mula menguasai diri. Sofia teragak-agak di situ. Mahu keluar dan menunjukkan diri, atau tunggu saja di sini?

Belum sempat akalnya menimbangkan tindakannya, jemarinya sudah menarik pemegang pintu itu dan dia sudah berdiri di luar kereta.

Telinganya dapat menangkap suara dari dalam rumah sebaik dia berdiri di luar, terpacak bagaikan patung di antara kereta dan pintu rumah. Dia tahu dia tidak boleh terus melangkah. Dirinya tidak diperlukan sekarang. Berdiri di situ sudah cukup untuk membuat hatinya rawan. Suara ibu mertuanya bagaikan halilintar, menempik dan mengherdik suaminya.

Jika diikutkan hatinya, mahu saja dia masuk dan memeluk Hilman untuk menenangkannya, namun dia tahu, dia akan lebih membantu jika dia menunggu saja di situ. Mustahil ibu mertuanya akan melayan mereka dengan lebih baik dengan melihat dia di situ.

“Selama ni mak ingat kamu anak yang boleh diharap! Tapi, mak salah! Kamu tak pernah hormat mak, dan kamu tak anggap mak ni mak kamu. Kamu derhaka!” Sofia memejamkan matanya rapat-rapat apabila ayat-ayat itu menerjah ke cuping telinganya.

“Mak, Hilman cintakan dia. Dia isteri Hilman mak. Bukan orang luar. Kenapa mak tak boleh terima dia? Maafkan dia? Setiap orang buat silap mak. Dan dia dah bertaubat. Bukan hak kita manusia untuk menghukum. Itu kerja Tuhan.” Suara Hilman memujuk membuatkan Sofia bertambah sayu.

Perutnya direnung sayu. Satu kesilapan. Tapi dia takkan melakukan kesilapan lagi. Dia akan mendidik anaknya dengan sempurna.

“Hilman, kamu jangan nak mengajar mak. Mak ni mak kamu!” marah Puan Syarifah masih berapi.

Bertambah marah dia bila Hilman mengingatkannya tentang agama. Jelas dia terlupa bahawa dia sudah terlupa kepercayaan yang dipegangnya, kemarahannya sudah menguasai diri, membuatkan hatinya tertutup untuk apa jua nasihat walaupun nasihat itu benar.

Tidak kedengaran suara Hilman menjawab. Sofia tertunduk lagi. Abang…

“Mak, apa caranya Hilman boleh buat supaya mak terima kami? Cakaplah mak. Hilman tak nak kita sekeluarga jadi macam ni. Tak lama lagi, Sofia akan bersalin. Kami perlukan keluarga untuk menyokong kami.”

“Humph! Kata dia anak orang kaya! Upahlah orang gaji untuk jaga anak luar nikah dia tu!”

“Mak, tak baik mak cakap macam tu. kalau mak hina dia, mak menghina saya jugak.” Sepi.

“Ibubapa dia pun dah halau dia sebab dia kahwin dengan Hilman. Sebab Hilman cuma orang biasa.” Sofia dapat mendengar keluhan Hilman di hujung bicaranya.

Kasihan suamiku, menderita kerana aku.

Tanpa disedarinya, dia menyalahkan diri sendiri kerana melibatkan Hilman. Jika mereka tidak berjumpa tempoh hari, pasti semua ini tidak akan terjadi.

“Baik. Kamu nak mak terima kamu dan dia kan? Satu saja caranya.”

Sofia berdiri tegak mendengar bicara Puan Syarifah yang seterusnya itu.

“Apa dia mak? Asalkan mak terima kami, Hilman akan senangkan hati mak. Cakaplah mak..”

“Kamu madukan dia. Kahwin dengan Marina.”

Lemah lutut Sofia mendengar cadangan itu. Cepat-cepat dia berpaut pada tembok rumah supaya badannya masih dapat berdiri tegak. Dia perlu mendengar jawapan Hilman. Sekurang-kurangnya dia perlu kekal sedar dan waras untuk sekarang.

“Mak, Hilman minta maaf. Hilman takkan madukan Sofia.” suara Hilman seolah-olah tenaga elektrik yang mengalir ke dalam tubuhnya, membuatkan dia mampu berdiri tegak kembali.

Suaminya itu betul-betul menyayanginya. Tapi mak?

“Kalau macam tu, sampai bila-bila mak takkan terima kamu! Balik sajalah. Selagi kamu berdegil dengan keputusan kamu, mak juga akan berkeras. Jangan balik lagi tanpa jawapan yang mak inginkan tu.”

Sofia cepat-cepat membuka langkah ke kereta dan masuk ke dalam kereta kembali. Dia pasti sekejap lagi Hilman akan keluar. Air matanya sudah bergenang, namun cepat disekanya. Wajahnya dibelek. Dia tidak mahu Hilman tahu dia mendengar perbualan itu.

Seperti yang dijangkanya, Hilman keluar dari rumah dan masuk ke dalam kereta. Wajahnya keruh namun dia masih mampu tersenyum. Berpura-pura tidak tahu apa-apa, Sofia merenung Hilman dengan penuh rasa ingin tahu.

“Mak kata apa?”

Hilman memandang ke hadapan, tersenyum pahit.

“Mak masih macam tu. marah-marah. Tak apa. Kita cuba lain kali pulak ya?” Hilman bersuara tenang.

“Tak ada cara untuk pujuk mak?” sengaja Sofia bertanya, menduga hati Hilman.

Hilman geleng.

“Tak. Tak ada apa yang boleh ubah fikiran mak.”

Sofia terus diam. Suaminya mahu menjaga hatinya. Tindakan Hilman membuatkan Sofia bertambah rawan. Rasa bersalahnya makin menebal. Jika itu saja caranya untuk mengembalikan Hilman pada keluarganya, mungkin dia juga perlu mengorbankan kebahagiaan dirinya.

Mereka tidak terus pulang, sebaliknya mereka mengambil angin di taman. Hilman membisu sepanjang perjalanan, dan dia masih tidak bersuara apabila mereka beriringan mengambil angin di tepi tasik itu. Sofia memeluk lengan Hilman, berkira-kira ayat yang sesuai untuk meluahkan buah fikirannya.

Dia tahu suaminya terganggu, dan tindakan suaminya mendiamkan diri membuatkan hormatnya kepada lelaki itu semakin menebal. Hilman mahu menjaga hatinya.

“Abang…”

“Hmm…”

Sofia menarik Hilman ke bangku kosong, dan mendudukkan Hilman di situ. Dia memegang kedua tangan Hilman dan berdiri di depannya. Hilman tertanya-tanya sendiri tujuan isterinya itu berbuat demikian.

“Abang, Sofia minta maaf. Sebenarnya… Sofia dengar apa yang abang dan mak cakapkan tadi…” Sofia menggigit bibir.

Bimbang Hilman marahkannya kerana mencuri dengar. Hilman mengalih pandang ke arah lain sebaik saja Sofia habis berbicara.

“Abang marah ke?”

Sofia memegang kedua pipi Hilman, memaksa Hilman menentang wajahnya kembali. Hilman tidak tersenyum, dan reaksinya juga tidak menunjukkan dia marah.

“Sofia nak abang buat apa?” Hilman bertanya seraya menarik Sofia duduk di sisinya.

Sofia tersenyum tawar.

“Abang, ada caranya kan untuk mak terima kita? Kenapa abang tolak cadangan mak?” Sofia menyoal lembut.

Jemarinya menggenggam jemari suaminya erat. Suaminya tersenyum pahit.

“Abang takkan duakan Sofia. Sofia pun tau kan?”

Sofia menunduk seketika.

“Abang, mengenali abang memang membuatkan hidup Sofia lebih bermakna. Dan kerana abang, Sofia mula mengenali Dia. Sofia cintakan abang, hormatkan abang, kerana Dia. Dan kalau memberi keizinan untuk abang berkahwin lagi akan membuatkan kedudukan Sofia lebih tinggi di sisiNya, abang pun tau jalan yang Sofia akan pilih, kan? Sofia nak dekatkan diri padanya, dan Sofia tau, tindakan Sofia memang dianggap tidak berperikemanusiaan, tapi di sisi Dia, tindakan ini mulia bang. Besar pahalanya. Abang tak nak tolong Sofia buat pahala?” secara berjenaka, Sofia mula memujuk.

Hilman tertunduk. Isterinya itu sudah mula memahami agama Allah lebih dari dia sendiri.

“Abang, kalau itu caranya mak akan terima abang, apa salahnya? Sofia tak nampak cacat celanya cadangan tu. Sofia tau abang akan mampu berlaku adil, kan? Dan abang juga mampu dari semua segi. Jadi, tak ada salahnya abang berkahwin lagi. Dan calon pilihan mak, mesti bukan calang-calang orangnya, kan? Kami mesti akan jadi kawan baik. Kan?” Sofia kelihatan ceria, tetapi Hilman tahu, dia menderita.

Wajarkah dia menurut kehendak mak, dan menduakan isterinya itu?

“Abang, esok, kita balik rumah mak lagi sekali. Sofia sendiri yang akan cakap dengan mak. Ok?”

Hilman tidak terkata apa-apa lagi, sebaliknya dia cuma mampu merenung terus ke dalam mata isterinya itu, dan dia dapat melihat kesungguhan di situ. Hilman bingung.

“Sofia pasti Sofia nak semua ni? Kita tetap boleh hidup tanpa mak, kan?”

Sofia tersenyum nipis.

“Abang, hidup tanpa mak, mungkin tak apa, tapi hidup tanpa restu mak? Sofia tak nak abang disumpah mak seumur hidup. Sofia redha bang. Kalau tak, Sofia takkan cadangkan semua ni. Sofia takkan sebut pun pasal ni.” Sofia bertutur yakin.

Hilman menghela nafas dalam.

“Kita istikharah dulu ya…”

Sofia mengangguk bersama senyum. Dia pasti suaminya akan setuju. Jauh di sudut hatinya, pahit hempedu mula terasa, namun dia amat berharap, madunya kelak akan lebih manis, jauh lebih manis untuk mengatasi kepahitan itu. Sofia tahu Allah itu Maha Adil. Semuanya akan baik-baik saja. Dia pasti.

7 comments: