About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Thursday, January 28, 2016

Aku Bulan Dia Bintang 7




“Saya dah buat keputusan.” Darin sedikit teragak-agak untuk menuturkannya.
            Fakhri yang sedang menikmati peanut butter waffle dan nenek yang sedang menyapu butter pada roti bakarnya sama-sama memanggung muka, tetapi Darin cuma mampu memandang wajah nenek.
“Saya berterima kasih sangat sebab nenek dan cucu nenek dah menolong saya yang tersesat dan tersangkut di Genting ni. Saya akan balik sendiri menaiki bas. Jadi, saya cuma minta dihantar ke sana saja. Saya harap, nenek dan cucu nenek  tak keberatan.”
Fakhri tidak berbunyi, sebaliknya dia meneruskan suapannya. Cuma nenek mengeluh panjang.
“Darin betul-betul dah buat keputusan? Tak mahu sekali dengan kami? Kan kita memang sehala, nak balik KL juga.”
Dia mengangguk sekali. Berbeza betul sikap dua orang manusia di depannya ini. “Tak apa nek, cukuplah dah pertolongan yang ada ni. Tak terbayar nanti saya budi nenek.”
“Mana awak nak dapat duit beli tiket bas?” Fakhri bersuara tanpa memandang Darin.
Darin menggigit bibir.
“Saya… saya nak pinjam duit. Cukup untuk tambang saya. Saya akan bayar balik,” balasnya lancar sambil memandang nenek dengan penuh harapan.
Nenek tersenyum lagi.
“Tak apa. Tak perlu bayar. Nenek halalkan. Kami cuma menolong sesama manusia saja.” Nenek terus mengeluarkan dompetnya dari beg tangannya.
Fakhri mengelap mulut dengan napkin. Matanya melirik ke arah nenek yang sudah mengeluarkan not seratus dan dihulurkan kepada Darin.
Tergamam Darin melihat wang sebanyak itu.
“Hah, ambiklah. Mana lagi awak nak jumpa orang yang macam nenek ni? Dah dituduh macam-macam tapi masih tak berdendam.” Fakhri bersandar ke kerusinya dengan penuh lagak.
“Fakhri.” Suara nenek sedikit keras menegur, dan Fakhri merengus perlahan sebelum bingkas.
I need to go to the restroom.” Dia terus berlalu tanpa berkata apa-apa lagi.
Bagaikan dipukul, huluran nenek tidak dapat disambutnya. Darin tertunduk di situ, panas wajahnya.
“Nek, maafkan saya. Saya tak tahu...”
It’s okay. Nenek tak berkecil hati pun. Biasalah tu. Cuma nenek tak faham kenapa Fakhri mesti marah sangat sampai macam ni sekali.” Sejujurnya dia tahu Fakhri terbawa-bawa, dan bukan sengaja Fakhri mencari kesalahan Darin begitu sekali. Selalunya Fakhri dapat mengawal dirinya. Entah kenapa Fakhri begitu jujur kali ini.
Bukan sekali dua dia dianggap liar. Itu memang tanggapan ramai orang terhadapnya, berdasarkan kerjanya dan juga rupanya. Tetapi Fakhri tidak pernah melenting sebegini hebat. Kerana Hanim kah?
“Nah, Darin ambillah ni. Nenek halalkan.” Nenek mengunjukkan lagi not seratus itu dan Darin menyambut dengan berat hati.
 Apabila Fakhri kembali, mereka menghabiskan hidangan masing-masing dalam sepi. Tidak berapa lama kemudian, mereka sudah beriringan ke tempat letak kereta. Nenek memeluk lengan Darin, hangat dan erat, sedangkan dia tidak tahu apa yang patut dikatakan lagi.
Tidak kuasa lagi dia mahu bersuara di dalam kereta. Dibiarkan saja Fakhri dan nenek berbual dalam Bahasa Inggeris. Hendak menyampuk pun tiada keperluan.
Sampai di stesen bas, nenek turut keluar bersamanya dan memeluknya erat.
“Terima kasih nek. Terima kasih banyak-banyak. Saya takkan lupakan jasa baik nenek. Jasa baik Fakhri juga,” ujarnya perlahan ke telinga nenek sambil membalas pelukan hangat itu.
“Sama-sama. Ada umur dan jodoh, kita akan berjumpa lagi.” Ada secebis harapan dalam suara nenek, membuatkan dia terus terdiam.
Mahukah dia bersua lagi dengan Fakhri?
Apabila kereta mewah milik Fakhri sudah menyusur meninggalkan stesen, Darin terasa lapang dadanya tiba-tiba. Berakhir sudah segalanya. Episod ngeri dalam hidupnya.
FAKHRI mengerling nenek di sisinya yang senyap saja sejak Darin ditinggalkan di stesen bas.
“Nek, marah ke?”
Nenek menoleh, terkejut dengan soalan itu.
“Marah? Taklah. Kenapa Fakhri tanya?”
Fakhri menjongket bahu.
“Entah. Tengok nenek senyap je sejak tadi.”
Nenek tersenyum nipis.
“Dah rindu pulak dengan dia.”
Fakhri menggeleng sekali. Inilah perangai nenek. Mudah sangat tersentuh hati dengan sesiapa saja yang baik dengannya. Orang tualah katakan...
“Rasa-rasanya kita akan jumpa Darin lagi?”
Fakhri angkat kening.
“Nak jumpa dia lagi?”
Nenek mengangkat tangannya, menidakkan soalan Fakhri.
Just asking. Dia pun dah tak nak jumpa kita tu,” balas nenek tanpa sekelumit rasa marah. Tindakan Darin berdiam tadi sudah memberi jawapan dengan kuat dan jelas. Darin tidak mengharapkan pertemuan seterusnya antara mereka.
“Perempuan tu cakap macam tu?” tingkah Fakhri sedikit terkejut. Nampaknya dia masih belum serik. Mulutnya masih tak berlapik!
Nenek menggeleng seraya memandang Fakhri tidak setuju.
“Darin, Fakhri. Bukan perempuan tu. Dia ada nama.”
Fakhri merengus perlahan.
Whatever.” Tidak ingin dia menuturkan nama gadis itu lagi.
Nenek melepaskan keluhan pendek.
“Dia tak cakap pun. Nenek dapat teka.” Nadanya sedikit kecewa.
Fakhri meraih tangan kanan nenek dan digenggamnya erat.
“Tak apa. You have me.”
You have your business. Nenek cuma meneman Fakhri, tapi nenek yang selalu keseorangan,” luahnya tanpa sedar.
Fakhri tersenyum tawar. Memang itu hakikat. Dia dihantar ke sini oleh ‘sir’ bukan untuk membuang masa. Dia ada tugasan besar. Kerana itu, dia tiada masa mahu menemani nenek. Sudahlah nenek tiada kawan di sini. Maklumlah, sudah lama meninggalkan Malaysia.
“Nak balik UK?”
Nenek menggeleng lemah sambil menghela nafas dalam. “Sini atau di UK sama saja. Nenek tetap sendirian juga.”
Fakhri tidak lagi mampu berkata apa-apa, kerana itu hakikat yang harus ditelan. Hidup yang dikelilingi kemewahan tetapi membosankan.
Fakhri menoleh lagi apabila nenek melepaskan keluhan yang panjang.
“Kalaulah Darin nak tinggal dengan kita...”
Fakhri terdiam. Sudah… nenek dah mula dah…
Walaupun itu cuma keluhan nenek, cuma Fakhri saja mengerti. Nenek mahukan Darin bersamanya. Tetapi Fakhri tidak sukakan Darin, dan dia juga yakin Darin teramat bencikannya. Tapi nenek? Aduhai….
“ANGAH! Kau pergi mana? Kenapa tak balik semalam?” Bagaikan petir suara Iris menyapanya sebaik saja dia menguak pintu rumah.
Muk di tangan Iris berisi air milo terus dirampasnya, tanpa bantahan daripada Iris. Dia menghenyakkan punggung di sofa sebelum meneguk air itu laju sehingga habis sambil diperhatikan Iris yang menunggu dengan riak bimbang.
“Kau tak apa-apa kan? Aku risau tahu tak?”
Diserahkan kembali muk itu kepada Iris. Lega. Dia benar-benar sudah tiba di rumah dengan selamat.
“Aku okey. Kalau risau, lain kali, guna telefon aku tu reti-retilah simpan balik dalam beg!” Ditunjal kepala Iris perlahan.
Terus Iris menarik muncung lalu ditarik Darin ke dalam pelukannya. “Syukurlah kau dah balik. Aku hampir nak buat report polis. Nasib baik along tak bagi,” beritahunya dalam kelegaan.
Tersedak Darin mendengar kata-katanya.
“Cu, kau bagi tahu Along?” Ditolak tubuh Iris sekuat hatinya. Iris mengangguk dengan naifnya.
“Yalah. Kau tak pernah tak balik, dan telefon kau pun tertinggal. Mestilah aku kena bagi tahu Along.”
Darin menepuk dahinya. Apa lagi nak dikata. Tunggu sajalah Along membebel nanti. Yang penting, dia sudah selamat tiba di rumah. Terima kasih kepada Fakhri dan nenek.
“Aku nak tidur. Sakit kepala.” Dia terus berdiri, mahu beredar.
“Kau sure kau okey? Kau tidur mana semalam? Genting?”
Tanpa membalas, Darin mengayunkan langkahnya. Masuk saja ke bilik, dia terus menutup daun pintu dan menguncinya bagi menghalang Iris dari masuk.
“Aku okey. Aku perlu rehat je. Nanti aku cerita.” Laungnya bagi mendiamkan Iris yang sudah mengetuk-ngetuk pintu biliknya.
“Okey. Aku tak ke mana-mana hari ni. Jangan lupa mesej Along!” Pesan Iris dari luar.
Darin mengangguk malas. Sebelah tangannya menanggalkan tudung manakala sebelah lagi mencapai telefon di atas meja solek.
“Mak aih, 15 missed calls?” Daripada Amri. Mestilah Amri mencarinya kalau tiba-tiba hilang dari pandangan.
Dia mendail kembali nombor Amri dengan malas. Semalam, memang dia marahkan Amri. Tetapi kini dia teramat lega kerana dia sudah selamat pulang. Jadi, tidak perlu lagi dia mengamuk pada Amri. Mujur hari ini hari Sabtu. Selamatlah dia mahu bermalasan di rumah.
“Helo, Darin!” Suara cemas Amri kedengaran di hujung corong selepas sekali saja nada deringan.
“Hmm, aku dah sampai rumah. Kau jangan risau.” Hajatnya mahu berbicara sependek mungkin. Tetapi dia sedikit tersentak apabila Amri bersuara keras.
“Kau pergi mana? Aku risau sangat! Puas aku cari kau. Kalau kau tak telefon ni, memang aku dah buat report polis.”
Darin mencemik. Apasal semua nak report polis ni? Dia menghempas tubuhnya ke atas katil dengan rasa malas. Malas mahu memanjangkan cerita.
“Nanti la aku cerita. Aku selamat. Jangan risau. Bye.” Darin terus mematikan talian tanpa menunggu balasan Amri.
Baru saja mahu terlena, terdengar bunyi mesej sayup-sayup. Dengan malas Darin mencapai telefon bimbitnya di sebelah dan mesej dibuka.
Daripada Amri. Dengan mata yang dibuka sebelah saja, dia membaca.

Thank God kau selamat. Tuhan je yang tahu betapa risaunya aku bila tak jumpa kau semalam. Take care.

Apa pulak Amri merepek ni? Emo lebih la pulak. Dipadam terus mesej itu dan profile terus ditukar kepada silent. Dia perlukan rehat. Sudah-sudahlah dia bermimpi ngeri.

TERGESA-GESA Lily keluar dari keretanya. Angah tak balik semalam! Bila dia mendengar berita itu, terus tidak senang duduk dia jadinya. Nasib baiklah perniagaannya ada orang lain yang menguruskan bersama. Kalau tidak, memang tak berasaplah terus.
Ditolak pagar rumah yang dahulunya menjadi kediamannya itu dengan sedikit kalut.
“Acu, bukak pintu!” Spontan pintu kayu rumah dibuka dari dalam oleh Iris yang sememangnya sedang menanti kedatangannya.
“Mana dia?”
“Tidur. Dah sejam lebih.”
Lily terus menuju ke arah bilik Darin dan membuka pintu bilik dengan kunci pendua. Dia menghela nafas lega apabila tubuh Darin yang terdampar menjamah matanya. Betullah Darin selamat. Itu yang penting. Tapi jarum jam sudah menunjukkan pukul 2.00. Zohor sudah masuk. Dia duduk di sisi katil sambil menggeleng panjang melihat pakaian kerja Darin yang belum bertukar.
“Ngah…” Ditepuk paha Darin perlahan.
Apabila adiknya itu membuka mata, Lily menggeleng lagi.
“Kau buat aku risau, kau boleh pulak tidur tak ingat dunia. Bukan nak call aku dulu.” Lily sudah membuka kata.
Darin terpisat-pisat kerana dikejutkan dari tidur yang enak. Kata-kata Lily membuatkan dia menggagahkan diri untuk duduk. Disentuh paha along lembut.
Sorry. Aku penat.”
“Kau tidur mana semalam?”
Darin menggaru belakang kepala. Soalan itu amat payah untuk dijawabnya. Dengan Acu, dia boleh mengelak lagi. Dengan Along, bagaimana caranya? Alonglah yang menjadi tempat berlindung mereka sejak babah pergi dua tahun yang lalu. Susah mahu menipu Along.
“Aku selamat. Tak ada apa-apa yang jadi. Itu yang penting. Kau jangan risau ya, long.”
Lily melepaskan nafas panjang.
“Mestilah aku risau. Aku ada korang je sekarang ni. Ni Alhamdulillah tak jadi apa-apa. Kalau jadi apa-apa, macam mana aku nak teruskan hidup?”
Bebelan Lily membuatkan Darin tersenyum nakal.
“Abang Marzuki kan ada...”
Pap!
“Aduh! Sakitlah!” Darin menggosok bahu yang perit ditampar.
Lily mengetap giginya.
“Padan muka. Aku serius, kau main-main kenapa?”
“Aku cakap betullah. Kau kan ada family kau, ada anak-anak. Bukannya kitorang je family kau.”
Lily mengetap bibirnya geram.
“Pandainya bercakap! Aku kan kakak korang. Mestilah aku kena risau!” Suaranya yang sedikit meninggi membuatkan Darin memeluk bahunya lembut.
“Along, aku okeylah. Kau tengok ni, aku okey, kan? Kau janganlah risau. Kau ada suami, ada anak-anak...Itu kepentingan kau. So, kau janganlah risaukan aku sebab aku okey. Itu maksud aku.”
Lily menjeling Darin tajam.
“Kau tak nak cakap kau tidur mana, kan?”
Darin mengangguk sekali.
“Sebab pada aku, aku dah tutup buku hari semalam. Aku dah tak nak ingat apa-apa. Tapi aku bukan menipu kau. Aku jamin tak ada apa yang jadi pada aku, sebab tu aku dah tak nak sebut apa-apa pun fasal semalam. Tak ada apa yang menarik pun. Yang penting, aku selamat.” Usaha Darin meyakinkan Lily berhasil apabila akhirnya Lily melepaskan keluhan panjang.
“Okey. Aku percayakan kau, dan Acu. Aku yakin korang takkan malukan aku, dan arwah babah.”
Darin angguk berkali-kali, setuju.
“Aku sayang kau.” Pelukan bahu Lily dieratkan, dan Lily turut menyandarkan kepalanya ke kepala Darin.
“Aku sayang kau jugak. Kalau ada masalah, jangan diam-diam. Bagi tahu aku,” pesan Lily.
“Hurm...” Pelukan kian erat.
“Aku nak peluk jugak!” Kedua mereka terdorong ke belakang apabila Iris tiba-tiba menerpa dan memeluk keduanya erat.
Darin merengus perlahan sebelum tersenyum lebar dan mengalih tangan kanannya untuk merangkul Iris juga. Itulah keluarganya. Susah senang bersama, gaduh manja bersama, resah gelisah pun bersama juga.
“Hah, sudah-sudah. Basi nasi aku bawak tu nanti, melayan korang tak sudah.” Lily merungkai pelukan dengan tiba-tiba, tetapi Darin dan Iris tidak menunjukkan tanda marah, sebaliknya masing-masing tersenyum lebar.
“Nak makan!” Darin terus melompat turun dari katil dan mengikut langkah Lily yang sudah keluar dari bilik.
Darin kelegaan. Episod semalam yang sudah tamat tidak akan sekali-kali disebut lagi. Dia benar-benar mahu menutup kisah di Genting. Jadi, dia tidak akan membuka mulutnya kepada sesiapa pun. Biarlah cuma tiga orang manusia saja yang tahu.
Dia, nenek, dan… lelaki itu. Titik.



Snippet yang diterbitkan di blog ini merupakan sebahagian dari bab sebenar dalam versi cetak. Dilarang sama sekali menerbitkan mana-mana bahagian ini di mana-mana dalam bentuk apa sekalipun tanpa kebenaran bertulis dari penerbit.


PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.

No comments:

Post a Comment