About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Thursday, January 28, 2016

Aku Bulan Dia Bintang 8





Sudah hampir tiga minggu berlalu, dan Darin semakin yakin peristiwa di Genting itu akan dilupakan dalam lipatan sejarah hidupnya, dan akhirnya hilang tanpa jejak mahupun kesan. Sekurang-kurangnya, itu yang diharap-harapkan.
Hari itu, sekali lagi Darin terpaksa menjadi bidan terjun selepas beberapa kali dia berjaya mengelakkan diri daripada menjadi jurnalis untuk Ria yang sentiasa mencari peluang untuk memaksanya keluar dari kotak ruangan kerjanya.
Sesungguhnya dia benar-benar tak senang untuk bertemu dengan manusia-manusia di luar sana kerana dengarnya, ramai manusia yang cuma bermuka-muka. Begitu juga dengan jurnalis dan wartawan yang terpaksa menampak wajah lain demi mengambil hati selebriti, sebagaimana selebriti akan bermuka-muka dan bermanis mulut di depan pihak akhbar dan majalah demi menjaga nama baik mereka.
Dunia. Dan ini realitinya. Sekali lagi, Amri juga yang menjadi jurugambarnya kali ini. Elegan bukanlah majalah besar. Cuma ada tiga orang jurugambar, lima orang jurnalis dan tiga orang penulis termasuk dirinya. Di bahagian editorial, namanya ditulis sebagai penyunting, penulis dan juga jurnalis. Memang terbaik!
Nasib badan. Sekurang-kurangnya dia masih punya pekerjaan dan bukannya meminta belas kasihan sesiapa. Selepas makan tengah hari, dia menaiki kereta Amri ke lokasi yang dituju.
Kata Ria, dia cuma perlu mencari berita bagi ruangan eksklusif bulan ini. Ria sudah mempunyai beberapa cerita lain yang boleh dipertimbangkan, tetapi dia belum berpuas hati. Sumber Ria pula ada memberitahu mengenai pertemuan golongan-golongan atasan dan juga ahli perniagaan antarabangsa di sebuah majlis hi-tea dan mereka cuma perlu muncul untuk mencari dan menangkap muat sebarang berita eksklusif yang mungkin timbul, jika mereka bernasib baik.
Kadang-kadang, Darin merasakan majalah Elegan ini lebih kepada majalah gosip golongan berpengaruh dan atasan. Bunyinya macam berbahaya, tetapi Ria tidak pernah gelabah mahupun bimbang dengan apa yang ditulisnya setiap bulan.
Katanya, “Berita-berita tu bukan kita saja yang akan tulis. Kalau kita tak ambil, others will. So who cares? Lagipun, orang-orang kaya suka muncul dalam majalah even though they do nothing. Publicity is the only thing they care about.
Yalah tu Ria... Darin ikut saja pendapat Ria. Tiada guna pun nak membantah sana sini.
Sekarang Darin yakin siapa yang menghasutnya dengan mengatakan golongan atasan ni kadang-kadang tak berguna. Tak lain tak bukan, orang tu ialah Ria. 100 peratus dia yakin!
Sepanjang perjalanan Darin senyap. Fikirannya banyak melencong. Salah satunya,  dia tak rasa dirinya diperlukan pun untuk tugasan begini. Amri sebagai jurugambar saja sudah cukup, tetapi Ria tetap mahukannya ikut serta. Manalah tahu ada sidang akhbar tiba-tiba, boleh dapat berita percuma. Itu kata Ria.
Sebaik saja mereka sampai, mereka terus menyertai kumpulan wartawan lain yang kebanyakannya sudah lama berkecimpung dalam bidang ini. Hampir semua orang kenamaan yang hadir di situ mereka kenal.
Dia yang bernama Darin ini? Seorang pun dia tak kenal. Semuanya wajah asing, dengan pakaian yang mungkin mencecah empat angka harga setiap satu, dan Darin tidak teringin mahu mengenali mereka. Sementara Amri membuat kerjanya, dia berdiri sendirian di satu sudut sambil memeluk tubuh, di celah-celah mereka yang lain.
“Darin...”
Darin menoleh, dalam masa yang sama sedikit hairan. Sejak bila suara Amri berubah ni?
Suaranya pula yang tersekat di kerongkong apabila empunya suara yang memanggil tadi kelihatan di matanya. Bersut kemas dan rambut yang tersisir rapi, lelaki itu tersenyum nipis padanya. Di tangan lelaki itu, ada segelas air berwarna oren. Mungkin air oren?
Darin menelan air liur kelat. Kalau bukan kerana dia kenal orangnya, mungkin dia sudah jatuh tergolek-golek di situ juga kerana lelaki sekacak dan setampan ini memanggil namanya.
Sayangnya, dia cuma mampu berharap angin akan membawanya terbang pergi, ataupun dia boleh menjadi seorang halimunan dan meresap bersama lantai agar lelaki ini tidak mampu melihatnya. Dan dia tahu harapan itu tidak mungkin akan terjadi. Not in the million years! Kerana mata lelaki itu masih melekat padanya, dan dia juga cuma mampu terpacak tanpa suara.
What are you doing here? Working?
Soalan Fakhri kedengaran bodoh di telinga Darin, tetapi dia masih tergamam. Lelaki itu orang terakhir yang dia mahu terserempak di sini, terutamanya di celah orang ramai ketika dia sepatutnya ‘bekerja’. Tapi orang pertama pula yang dia jumpa!
Kejap. Orang ramai? Apabila Darin akhirnya melarikan matanya ke sekeliling, terasa kering wajahnya apabila kini semua rakan wartawan yang sedari tadi sibuk bergosip sesama sendiri sudah memusatkan seluruh perhatian mereka kepadanya, dan juga lelaki itu. Ya, dia, Fakhri. Pandangan mereka ternyata bukannya pandangan suka, tetapi jelik mungkin?
Serta-merta darah gemuruhnya menyerang. Ya Allah, kenapalah mesti Fakhri tegur aku sekarang? Tak boleh ke dia berpura-pura tak nampak aku ke, buta ke, halimunan ke, apa je la!
Darin memandang sekeliling dengan degupan jantung yang semakin kencang, berdoa agar Amri tidak muncul sekarang.  Dia gugup seketika.
“Erm, minta maaf. Saya nak ke tandas.” Ternyata Fakhri sedikit terkejut dengan balasan itu, tetapi riak wajahnya masih tetap tidak berubah. Manis dan menawan, dan peramah.
Baru saja dia mahu membuka langkah…
“Darin! Nak pergi mana?”
Allahuakbar! Masa ni jugak kau nak datang! Darin berpusing kembali dengan senyum yang dipaksa, kini diapit dua lelaki yang paling dia mahu jauhi buat masa ini. Fakhri sudah menyeluk poket seluar dengan tangan kirinya, dan senyumnya masih belum pudar.
Sakit pula hatinya melihat senyuman itu. Ish! Hari ni kau senyum, hari tu bukan main lagi nak tumbuk aku la apa la! Geram pula rasanya bila lelaki itu masih beriak tenang.
Amri yang sudah mula menyedari kehadiran lelaki asing di sebelah Darin memandang kedua mereka silih berganti dengan keningnya sedikit terjongket ke atas. Kumpulan wartawan tadi masih belum menunjukkan tanda-tanda mereka mahu bersurai, apatah lagi berhenti berbisik sesama mereka. Darin sudah dapat membayangkan apa yang sedang mereka fikirkan. Sesungguhnya itu bukan satu petanda yang baik.
“Amri, err... aku nak pergi tandas sekejap. Aku... betul-betul nak pergi tandas ni.”
“Bukan kau baru je pergi tandas setengah jam lepas ke? Kau tak minum apa-apapun, kan?”
Soalan Amri yang berbaur hairan membuatkan Darin terasa seperti mahu saja diluku kepala Amri! Lidahnya terus kelu tanpa kata, cuma matanya dijegilkan kepada Amri.
“Awak nak lari daripada saya, ke?”
Mata Darin terus dihala pada wajah Fakhri, dengan pandangan sayu mengharapkan agar Fakhri mengerti dan  segera beredar sebelum keadaan menjadi lebih parah. Sayangnya, Fakhri memang buta. Mungkin dia suka melihat Darin bagai ayam berak kapur di tengah-tengah keramaian itu.
“Saya tak tahu apa yang awak cuba lakukan, tapi saya rasa saya tak kenal awak. So, boleh awak berundur dan beredar senyap-senyap sekarang?” Darin cuba meminta pengertian Fakhri.
Fakhri melihat sekeliling, dan ketika dia mengangguk sekali dua, Darin kelegaan. Dia tahu Fakhri mengerti apa yang dimaksudkannya.
I have to talk to you. Boleh? Jumpa di lobi setengah jam lagi? My business here is about to finish in fifteen.”
Terlopong mulut Darin mendengar permintaan Fakhri. Bukankah mereka sudah berjanji takkan bertemu atau berjumpa lagi selepas peristiwa di Genting hari tu?
“Kan saya dah kata, saya tak kenal awak. Saya tak ada urusan dengan awak. Kenapa awak perlu bercakap dengan saya pulak?” Masih dengan gaya tadi, dia berusaha untuk tidak menunjukkan riak marah atau menyampah. Tuturnya juga dia maniskan supaya mereka yang lain tidak dapat mengesan ‘hubungan’ yang terlindung di antara Fakhri yang berperwatakan kemas dan dirinya yang cuma menggalas beg berharga RM20.
“Encik ni, Tengku Fakhri Tengku Adnan, kan?” Amri tiba-tiba mencelah dengan riak ingin tahu.
Bukan Amri saja. Wartawan lain di sekeliling mereka sudah mendekat, menunjukkan rasa ingin tahu yang amat kuat. Fakhri tersenyum seraya mengangguk. Tingkah lakunya begitu berbeza ketika dia membantu Darin di Genting tempoh hari.
“Ya, saya. Awak rakan sekerja Darin?”
Apabila namanya sekali lagi meniti di bibir Fakhri, Darin kelemasan, dapat mendengar bisikan-bisikan yang lebih kuat dari tadi. Amri juga ternganga sekejap sebelum mengangguk laju.
“Ya, saya jurugambar majalah Elegan, Amri.” Tangannya sudah dihulur, tetapi Fakhri cuma mengangguk bagaikan baru saja mengerti tentang sesuatu. Dia melirik Darin yang semakin cemas.
“Elegan? Oh, padanlah saya tak jumpa nama Darin di mana-mana. Majalah Elegan tu yang dah beberapa bulan tercorot ke belakang, kan?”
Terkulat-kulat Amri menarik tangannya kembali sementara mereka yang mendengar sudah ketawa sambil tertahan-tahan.
Pandangan Darin sudah memanah Fakhri dengan tajam. Rasa marahnya terhadap peristiwa tempoh hari yang cuba dibendungnya sudah tidak tertahan lagi mahu meletup sekarang ini. Mata mereka bertentang, dan Fakhri mengangkat tangannya, sekali gus meredakan tawa para penonton tidak rasmi yang sudah mengelilingi mereka.
Sorry, I didn’t mean to be rude, but I have really tried to find you and failed. I have to talk to you, Darin. Saya jumpa awak di lobi nanti. I expect you to come,” ujarnya dengan nada yang lebih perlahan, demi mengelakkan keadaan menjadi lebih parah. Apa yang Fakhri tidak sedar, cuma Darin saja tahu keadaan sememangnya sudah parah kerana Fakhri mendekati dirinya tadi!
Fakhri menundukkan kepalanya sedikit kepada yang lain dan juga Amri sebelum beredar menyertai golongan kaya dan mereka yang setaraf dengannya. Sebal Darin melihat Fakhri ketika ini.
Sebelum sempat Amri menyerangnya dengan soalan, Darin mahu beredar terlebih dahulu. Cukuplah mereka menjadi bahan ketawa yang lain. Dia dapat merasakan wajahnya kepanasan menahan malu. Kenapalah Fakhri mesti muncul tiba-tiba macam ni?
Menyesal aku tunjuk diri di sini. Patutnya aku menyorok je kat mana-mana tadi. Macam mana aku boleh terlupa langsung fasal dia? Ini kan majlis keramaian orang-orang kaya! Mestilah dia ada! Aduh! Sambil mengutuk-ngutuk dirinya, langkah kaki terus dilajukan.
“Darin, kau kenal lelaki tadi tu?” Amri menyaingi langkahnya.
Darin menggeleng laju.
“Habis, macam mana dia tahu nama kau? Siap mencari kau lagi?”
Darin menoleh geram lalu mematikan langkah kakinya.
“Aku cakap aku tak kenal, aku tak kenallah! Kau ni tak faham bahasa ke apa? Dah habis kerja? Jom balik!” Ajaknya tanpa menunggu lama.
Tidak mungkin dia akan kembali berdiri di depan rakan-rakan wartawan yang lain yang sudah pastinya sedang sibuk mengutuknya. Raut wajah mereka tadi tak menenangkan langsung, bagaikan dubuk menanti masa mahu menyerang mangsa saja.
Ni baru Amri. Kalau yang lain pun serbu aku, apa aku nak jawab? Si Fakhri ni pun satu. Dia lupa ke dia siapa? Aku memang la tak kenal dia, tapi takkan dia tak tahu aku dari dunia berbeza? Bila putera raja macam dia tu bercakap dengan orang yang selekeh dan bingung macam aku ni, siapa yang tak pelik? Hish!
“Dia tu businessman dari London, baru je balik sini hari tu sebab ada usaha sama baru. Takkan kau tak kenal?” Tujah Amri lagi sambil bersaing langkah dengannya.
Sekali lagi Darin menoleh geram. “Kalau kau tak nak balik lagi, fine! Aku balik sendiri. Jumpa di pejabat.” Darin terus melangkah laju meninggalkan Amri yang terpinga-pinga.

FAKHRI menanggalkan kot yang tersarung di tubuhnya dengan keluhan panjang. Jarum jam sudah menunjukkan pukul 10.00 dan dia tahu nenek sudah tidur. Walaupun begitu, kakinya tetap diatur ke arah bilik nenek. Dikuak pintu itu, dan sekujur tubuh nenek yang berenjut lembut membuatkan rasa bersalahnya semakin kuat.
Dengkuran halus yang kedengaran membuatkan dia tidak sampai hati memikirkan jawapan yang dinanti-nanti nenek mungkin akan lambat kunjung tiba. Sekali lagi dia mendesah kuat, berpaling mahu menutup pintu.
“Fakhri...” Suara perlahan itu membuatkan dia tidak jadi mahu berlalu. Diatur langkah ke arah katil, dan punggungnya mendarat perlahan di sisi katil. Dalam samar cahaya lampu dari luar bilik, Fakhri mengukir senyum manis ke arah nenek.
Sorry nek, did I wake you up?
Nenek memetik lampu sisi katil, dan wajah tampan cucunya itu terserlah di matanya. Dicapai tangan Fakhri, dan digenggamnya erat. Fakhri turut membalas genggaman hangat tangan nenek, dengan harapan nenek tidak akan membaca fikirannya yang resah kala itu.
“Kamu baru balik?”
Fakhri mengangguk sekali. Redup mata nenek yang kini mendarat di wajahnya membuatkan dia melarikan matanya secara automatik.
“Nenek tidurlah. Fakhri nak ke gim sekejap,” beritahu Fakhri tanpa diminta. Dia mahu mematikan lampu sisi apabila nenek menahannya.
“Ada masalah tadi?”
Soalan nenek membuatkan Fakhri tersenyum sumbing. Macam mana aku boleh lupa nenek yang jaga aku dari kecil?
You know me, nek. Fakhri tak pernah gentar dalam hal kerja. Takkan sekali-kali,” ujarnya sedikit kagum dengan diri sendiri, walaupun itu hakikatnya.
Selama hidupnya, dia tidak pernah lari dari cabaran yang dituju padanya. Semuanya disahut dengan rela hati dan semuanya berjaya ditempuh dengan kejayaan cemerlang. Sehingga ke hari ini, walaupun kerjanya acap kali menekannya untuk keluar dari jalan yang telus dan jujur, dia masih dapat bertahan dan menyempurnakan kerjanya setelus mungkin. Rasuah mahupun aktiviti sampingan yang kerap kali melengkapi gaya hidup dan kerja ahli perniagaan sepertinya masih berjaya dijauhkannya.
“Ayah ganggu Fakhri lagi?”
Fakhri menggeleng dengan senyum yang masih belum lekang dari bibirnya.
“Ayah takkan berhenti la nenek. He is my boss, and my father.This is my responsibility, remember?
It’s you, nenek. Nenek yang buatkan Fakhri rasa bersalah sekarang.
Tetapi mana mungkin Fakhri meluahkannya. Tak sampai hati kecilnya. Sebelum sempat nenek bertanya lagi, Fakhri melekapkan bibirnya kemas ke ubun-ubun nenek.
“Tidur ya, nek. Kita sambung esok je.” Tangannya terus memetik suis lampu, sekali gus memalapkan kembali ruang tidur bilik nenek.
Good night, my girlfriend,” ujarnya seraya membetulkan selimut di badan nenek. Nenek tersenyum nipis.
“Jangan tidur lambat sangat ya, my boyfriend,” pesan nenek disambut dengan anggukannya.
Fakhri terus berdiri dan beredar dari bilik nenek tanpa melihat ke belakang lagi. Sebaik saja pintu bilik ditutup, Fakhri melepaskan keluhan panjang sekali lagi, tetapi kali ini dengan nada terkawal. Dia tidak mahu mengganggu tidur nenek lagi.
Malam itu, gim kondominiumnya tidak mempunyai pelawat lain kecuali dirinya. Sebaik saja suis lampu dan penghawa dingin dihidupkan, dia terus memijak treadmill. Aturan yang dimahukannya dipilih, dan kali ini dia memilih untuk berjalan perlahan-lahan dahulu selama beberapa minit bagi memanaskan badannya.
Treadmill atau peralatan larian setempat mula bergerak perlahan, dan langkah kakinya turut sama mengikut gerakan itu. Pandangannya menerobos jauh ke luar cermin lut sinar yang menampakkan seluruh Kuala Lumpur yang bermandikan cahaya di waktu malam.
Di fikiran Fakhri cuma ada wajah seseorang. Darin. Kenapalah tadi aku tak minta nombor telefon dia? Kalau tak, mesti dah settle masalah. Beranganlah perempuan tu akan jumpa aku dengan rela hati lepas apa yang aku buat kat dia di Genting hari tu. Bodoh. Memang kau bodoh, Fakhri. So, apa caranya lagi aku nak cari dia? Elegan? Ya... nasib baik kawan kau sebut nama magazine tu. Tak susahlah nak mencari kalau dah tahu. Bibirnya tersungging sedikit.
Aturan treadmill di skrin di depannya ditekan lagi. Kali ini kelajuannya ditambah dan dia mula berlari anak pula. Kali ini, perbualan nenek dengannya tempoh hari pula terbayang di depan matanya.           
“Nenek nak pergi mana hari ni?” Soalnya seraya menyuap roti bakar bersapu peanut butter dan jem anggur. Gabungan yang pelik, tetapi Fakhri amat menggemari rasanya.
Apabila nenek cuma menjongket bahu lemah, Fakhri mengerutkan dahinya.
“Nenek tak ada plan hari ni?” Nadanya berbaur hairan.
“Nenek dah bosanlah. Kamu tu asyik sibuk kerja je. Nenek nak ke mana pun seorang diri.”
Kunyahan Fakhri yang tadinya laju kini bagaikan sudah hilang momentumnya. Diperhatikan saja nenek mengacau air teh dalam cawannya tanpa sebarang perasaan. Makanan nenek juga masih tidak bersentuh. Fakhri mencari mata nenek.
“Nenek tahu kan, kerja Fakhri, kehidupan Fakhri macam mana... Fakhri nak buat macam mana lagi, this is what sir wants. You know better, right?” ujarnya lembut.
Nenek melepaskan keluhan pendek. Dia mengerti. Dia faham sangat maksud Fakhri. Yang sibuk kejarkan Fakhri ke sana ke mari tu, anak kandungnya juga. Takkan nak dimarah anak sendiri? Kalau di London, tahulah dia mahu ke mana bagi menghabiskan masanya. Di sini, ke mana dia mahu pergi? Kawan pun tiada. Sudah bertahun tinggalkan tanah air, bila kembali, siapa yang mahu dicarinya? Kalau dia mencari kawan lama, paling kurang pun dia akan dikata berlagak kerana pastinya dia akan bergerak dengan pemandu. Jadi, pilihan terbaik adalah duduk saja diam-diam di kondo, atur rancangan sendiri, atau ikut Fakhri jika ada kesempatan dan kelapangan Fakhri untuk melayan kerenah tuanya.
Ditongkat wajahnya yang tidak menampakkan usia sebenarnya itu dengan tangan kanannya.
“Kalau ada Darin kan best…” Amat perlahan tuturnya, tetapi telinga Fakhri tetap dapat menangkapnya dengan jelas.
What?
Nothing. Cepat makan. Nanti lambat kamu ke meeting,” tegur nenek apabila menyedari Fakhri masih belum menghabiskan kepingan roti bakarnya yang cuma ada empat keping itu.
Fakhri akur, dan dia tidak bertanya lagi. Namun,  mindanya masih bersoal jawab. Kenapa Darin yang nenek cari? Gadis biadab itu? Dalam ramai-ramai kawan perempuannya, kenapa perempuan sebegitu yang nenek ingat-ingatkan? Pelik sungguh. Sungguh dia tidak sangka, nenek akan mengingati Darin walaupun berminggu sudah berlalu.
Tetapi Fakhri sendiri tahu. Sayangnya pada nenek melebihi segala-galanya. Oleh itu, dia akan mencari Darin. Dia perlu mencari Darin. Tapi di mana?
Timer di treadmill sudah menunjukkan angka satu, dan kelajuannya sudah hampir ke tahap minimum. Fakhri terus turun dari treadmill tanpa menunggu lama, dan peluh yang merenik di dahi, wajah dan lehernya dilap kering dengan kain tuala berciri microfiber yang merupakan penyerap air terbaik. Terus kering keseluruhan wajahnya.
Sekali lagi Fakhri membuang pandang ke luar cermin kaca, seolah-olah mencari-cari sesuatu di antara cahaya lampu yang menerangi seluruh Kuala Lumpur di malam hari. Benar, sejak dia mendengar nama Darin meniti di bibir nenek, Fakhri sudah memulakan pencariannya dalam senyap. Walaupun dia tidak menyukai gadis itu, tapi nenek jarang sekali meluahkan sukanya pada sesiapa, terutama orang asing.
Semua gadis yang mendampinginya selama ini tidak pernah nenek sebut-sebut untuk kali kedua, dan tidak pernah juga nenek menghalang. Sayangnya, dia tidak punya banyak masa untuk mencari nama itu di setiap majalah. Dia cuma tahu nama Darin saja. Nama penuhnya, nama ayahnya, nama syarikatnya, dia tidak pernah mahu bertanya ketika di Genting tempoh hari.
Kalau dah benci tu, memang tak peduli langsung. Jadi, pencariannya ibarat mencari jarum dalam jerami. Bak kata orang putih, looking for a needle in a haystack. Amat mustahil, ditambah pula dengan kekangan masanya, memang Fakhri tidak dapat menunaikan impian nenek secepat mungkin. Dia perlu mengutamakan yang utama, ditambah pula dengan urusannya yang satu lagi, memang Fakhri tidak sempat.
Kerana itulah bila gadis itu muncul di hadapannya siang tadi, Fakhri bagaikan berada di alam mimpi. Tanpa dia sedar, dia sudah memanggil nama itu di tengah khalayak ramai. Sayangnya, gadis itu tidak sudi bertemunya lagi. Mana-mana gadis yang waras pun, kalau dah hampir ditumbuk, takkan sudi untuk bersua lagi. Mimpilah.
“Mungkin dia fikir aku kaki pukul perempuan kut. Tak apa, Elegan.... Aku akan cari kau, Darin. Demi nenek, aku akan cari kau sampai dapat. Just you wait.”


Snippet yang diterbitkan di blog ini merupakan sebahagian dari bab sebenar dalam versi cetak. Dilarang sama sekali menerbitkan mana-mana bahagian ini di mana-mana dalam bentuk apa sekalipun tanpa kebenaran bertulis dari penerbit.

PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.

No comments:

Post a Comment