Di depan kaunter,
Darin menadah telinga mendengar Fakhri bertanyakan mengenai bilik tanpa merujuk
padanya terlebih dahulu. Bimbang dengan harganya dan keadaannya yang tidak
berduit, Darin memberanikan diri mendekat.
“Erm, awak, siapa nak bayarkan bilik
tu nanti? Saya tak ada duit ni.” Darin bersuara perlahan.
Dia terundur ke belakang apabila
Fakhri menoleh dengan pandangan tajam.
“Habis, awak nak tidur dalam kereta?
Maaf, kereta saya bukan tempat tidur walaupun kereta tu memang selesa. Kalau
awak nak, saya caj seribu ringgit untuk satu malam dalam kereta tu. Nak?” Nada
sinisnya membuatkan Darin tidak lagi berani membantah mahupun bertanya.
Dia memeluk tubuhnya geram tanda
protes tetapi bibirnya terus terkunci rapat. Hairan agaknya petugas itu melihat
gelagat mereka kerana dia sedikit terkejut apabila Fakhri bertanya lagi
mengenai bilik itu dan kemudiannya memberi arahan mudah.
“Charge the room under my name,”
pintanya dan petugas itu mengangguk tanpa banyak bicara.
Darin semakin resah. Kereta dia dah
seribu ringgit. Berapa ribu pula bilik hotel ni? Macam mana mahu membayar
nanti?
Darin mengeluh panjang. Dia tiada
pilihan lain. Cuma Fakhri saja yang dia kenali sekarang, walaupun hakikatnya
mereka baru mengenali satu sama lain. Darin sedikit terkejut apabila Fakhri
menoleh lalu menghulurkan sekeping kad kepadanya. Dipandang kad yang sudah
bertukar tangan itu dengan pandangan kosong.
“Apa ni?”
Raut wajah Fakhri berubah pelik
mendengar soalan yang terpacul dari bibir Darin.
“Kunci bilik awak. Tak tahu ke hotel
pakai kad je untuk kunci bilik? Kunonya awak,” kutuknya tanpa ditapis-tapis.
Ternganga Darin mendengar balasan yang
agak biadab itu. Darin sudah tidak berani mengangkat matanya untuk memandang
petugas kaunter itu. Malu yang teramat. Tanpa riak bersalah, Fakhri terus
membuka langkah meninggalkan kaunter dan Darin yang masih terkebil-kebil.
Dia cakap aku kuno? Dia ingat semua
orang kaya ke yang setiap malam tidur hotel? Aku bukan macam dia! Sampai hati
dia! Sampai hati!
“Oi, cepatlah. Perempuan simpanan saya
dah tunggu.”
Sekali lagi Darin tersentak dengan
bicara bersahaja Fakhri yang ternyata tidak menghiraukan sekelilingnya. Darin
pantas mengerti. Fakhri sedang membalas dendam. Tanpa berlengah, Darin terus
membuka langkah mengejarnya.
“Sebab saya cakap awak ada perempuan
simpanan, awak boleh malukan saya depan orang macam tu saja?” Luahnya geram.
Fakhri cuma mengerling Darin sekilas, masih dengan riak neutral.
“Tak adalah. Saya jujur cakap awak
kuno,” balasnya senada.
Darin mengetap bibir sambil merenung
wajah Fakhri geram.
“Hotel sekarang memang banyak guna keycards.
Awak tak tahu, sah-sahlah awak kuno. Bukan macam tu ke?” Ditekan butang lif dan
Fakhri melangkah masuk ke dalam lif diikuti oleh Darin.
Darin semakin terkedu dengan
kelancangan mulut Fakhri. Dia benar-benar kehilangan kata. Mahu saja dia
memuntahkan balasan pedasnya, tetapi mengenangkan dia kini sudah berhutang
dengan Fakhri, dia terpaksa menahan mulutnya daripada terus memuntahkan
kemarahan. Kalau nak diikutkan, sudah Darin carutkan dan marahkan di situ juga.
Dengan perasaan membengkak, dia membuntuti langkah Fakhri hingga sampai ke
depan sebuah pintu bilik.
“Kunci,” pinta Fakhri dengan nada
mendatar. Memang sudah tiada kemesraan dalam nadanya.
Darin menyerahkan kunci tanpa banyak
soal. Tidak dapat tidak, ternganga juga mulut Darin apabila melihat Fakhri
menggunakan kunci itu. Dia cuma memasukkan kunci itu ke dalam slot di tombol
pintu sehingga lampu hijau menyala dan dibuka pintu itu seluas-luasnya. Kad
tadi kemudiannya diselitkan ke dalam satu slot lain yang terletak sebaris
dengan suis-suis di dinding, dan lampu menyala serta-merta.
“Tutup mulut tu,” tegur Fakhri
tiba-tiba, menyebabkan mula termalu sendiri.
Sejujurnya, ini kali pertama dia
melihat kunci bilik dalam bentuk kad begitu. Sepanjang hidupnya, babah tidak
pernah membawanya ke hotel mahal. Ke mana mereka pergi, babah mengamalkan
konsep balik hari ataupun menumpang di rumah kawan atau saudara. Selepas babah
pergi, memang Darin tidak pernah bercuti bermewah-mewah lagi. Sudah terbiasa dengan
ajaran babah dan duit pencen babah lebih bagus digunakan untuk pelajaran Iris.
Jadi, betul cakap Fakhri...dia memang kuno.
Terbuka luas mata Darin, tidak
berkelip-kelip mata apabila seluruh bilik kelihatan di matanya. Bilik itu
dilengkapi dengan tv, sofa dan katil bersaiz queen.
“Nothing else? Perempuan
simpanan saya dah tunggu. Saya pergi dulu.”
“Nanti!” Terjerit Darin di situ, dan
Fakhri memanahnya dengan pandangan yang masih sama seperti tadi. Beku sahaja.
Darin tertunduk malu.
“Erm, bilik awak kat mana? Kalau saya
nak cari awak, macam mana? Saya tak ada handphone.” Perlahan saja dia
bertanya.
“Telefon bilik ni ada. Esok pagi saya call.
Jangan tidur mati. Maklumlah, tidur bilik mahal. Orang berduit je mampu tidur
bilik ni. Orang macam saya yang ada perempuan simpanan. Ingat tu…” Sempat
Fakhri mengutuk dan menyindir sebelum mengorak langkah pergi.
Tetapi kutukannya kali ini tidak
berbekas di hati Darin. Ada perkara lebih penting untuknya. Cepat-cepat Darin
ekori langkah Fakhri dengan seperlahan mungkin, sambil berjengket-jengket.
Apabila Fakhri berhenti di depan pintu bilik di sebelah biliknya sahaja, Darin
menjatuhkan bahu.
“La, sebelah saja?” Ujarnya geram,
tetapi kelegaan.
Bimbang juga jika berjauhan, pasti ada
lagi orang yang sesat esok.
Fakhri menoleh dengan riaknya yang
masih beku. Darin tidak betah menentang matanya lama. Terasa betul aura
kemarahan lelaki itu padanya.
“Ingat saya berani ke bagi awak tidur
jauh dari saya? Jadi apa-apa nanti, saya jugak yang susah sebab bilik ni under
my name.” Fakhri terus memasukkan kunci ke dalam slot dan dikuak pintu itu
tanpa menunggu lama.
Tanpa sebarang pamitan, Fakhri terus
hilang di sebalik pintu. Darin melepaskan nafas berat tetapi dengan senyum
tawar. Nasib baik dia di sebelah saja. Darin mendapatkan tombol pintu biliknya,
dan ditolaknya tetapi pintu itu tidak terbuka.
Gulp! Pintu ini automatik! Kuncinya
pula di dalam bilik! Untuk dua saat, Darin terpempan sambil memeluk tombol.
Dia menepuk dahi. Ah sudah. Macam mana
ni? Mundar-mandir dia di depan biliknya sendiri. Nak cari dia lagi ke… ke tak
payah cari dia? Tapi, kalau tak cari Fakhri, apa yang perlu dia lakukan? Bukan
dia yang tahu tentang semua ini, tapi Fakhri!
Aduhai… kalau diketuk pintu bilik
Fakhri, pasti dia akan malu lagi malam ni. Tapi tak mungkin. Dah la ada orang
lain dalam bilik tu. Dia tiada hati dan rasa mahu tahu pun siapa orang yang
bermalam bersama Fakhri.
Macam mana kalau betul itu perempuan
simpanan? Tapi tak mungkin. Gaya marah Fakhri tadi seperti dia memang
betul-betul bersalah. Tapi, takkanlah dia mahu ketuk pintu bilik Fakhri, walau
siapa pun yang ada dalam bilik itu dengannya?
Argh! Darin mengetuk dahi sendiri.
Memanglah dia kuno! Apa nak buat ni? Apa nak buat!
Setelah hampir setengah jam dia
mencangkung, mundar-mandir dan berjalan tanpa arah tujuan yang pasti sambil
menimbang-nimbangkan keputusan yang patut dibuat, dia menyerah diri.
Dengan kepala yang tertunduk, dia
menekan loceng bilik Fakhri dengan pasrah. Dia sudah bersedia mendengar
hamburan daripada siapa pun yang akan membuka pintu kelak. Apabila pintu
dikuak, Darin menguatkan semangatnya. Aku tak sengaja. Ingat tu.
“Ya, cari siapa?”
Dia sedikit terkejut mendengar suara
yang lembut itu seraya memanggung muka. Semakin kaku dia apabila empunya suara
menyapa matanya. Selama lima saat, dia cuma mampu memandang dengan mulut
separuh ternganga sebelum dia tersedar akan tujuannya berdiri di situ.
“Saya… erm… saya cari lelaki yang
menginap di bilik ni?” Ragu-ragu dia bertanya. Apabila wanita itu tersenyum,
Darin sedikit lega.
“Cari Fakhri ya? Cik ni siapa?”
Oh, namanya Fakhri. Hampir Darin
terlupa.
“Saya… err, saya jiran sebelah. Erm,
dia yang bawa saya ke sini.” Darin hampir mahu menekup mulutnya sendiri. Kelat
wajahnya serta-merta. Mak oi, cara aku bercakap, macam aku pulak perempuan simpanan
Fakhri!
Anehnya, wanita itu tidak memberi riak
yang dijangkanya, sebaliknya dia tersenyum manis, dan ikhlas kelihatannya. Dia
bukanlah perempuan muda dan cantik seperti yang Darin sangkakan, tetapi dia
seorang wanita berusia yang masih kelihatan anggun.
“Masuklah dulu. Fakhri mandi. Sekejap
lagi dia keluar. Mari, mari masuk.” Jemputnya ramah, membuatkan Darin bagai
dipukau.
Rupa bilik mereka sama seperti
biliknya di sebelah. Bezanya, ada beg-beg pakaian yang terletak di sudut bilik.
Darin tergamam apabila wanita berusia itu menyentuh lengannya tanpa rasa kekok
dan menariknya ke sofa. Dia terpaksa akur. Tidak sampai hati mahu menolak
pelawaan wanita itu.
“Panggil nenek je. Nenek ni nenek
Fakhri. Nenek ikut dia balik sini dari UK sebab dia seorang diri, kesian pulak.
Jadi nenek temankan. Nenek pun tak ada kerja nak dibuat. Meneman anak dan cucu
saja,” ceritanya ramah tanpa dipinta.
Darin cuma mampu mengangguk dalam
kekok. Fakhri dari UK? Fakta kedua mengenai lelaki itu pada hari ini.
Wanita yang menggelar dirinya nenek
itu turut duduk di sofa bertentangan dengannya.
“Nama siapa?”
“Darin.”
“Oh, Darin… tadi Darin cakap Fakhri
bawa Darin ke sini?”
Darin mengangguk dalam risau.
Moga-moga nenek tidak salah faham dengan ayatnya tadi.
“Ya, tapi saya tak kenal dia pun,”
balasnya sedikit kalut.
Nenek cuma tersenyum.
“Eh, kalau kenal pun apa salahnya. Nak
air panas? Sejuk malam-malam ni. Nenek buatkan air. Nak air apa? Teh? Kopi?”
Darin menelan liur. Sedapnya kalau
dapat pekena air panas waktu sejuk-sejuk begini. Tetapi mengenangkan tujuan dia
mengetuk pintu bilik ini, dia tidak jadi menerima layanan baik nenek.
“Tak, tak apa. saya sekejap je. Saya
nak cakap dengan Fakhri sekejap je,” tolaknya sopan. Rasa bersalah sudah
menebal memandangkan dia sudah tersalah anggap dengan nenek dan Fakhri.
Tiba-tiba pintu bilik dikuak dan
Fakhri keluar dengan cuma bertuala di paras pinggang. Secara automatik, Darin
melarikan matanya ke dinding dengan rasa kalut. Dari ekor matanya, dia dapat
melihat kekalutan Fakhri menyarung T-shirt.
“Hah, ni apa hal pulak datang bilik
saya ni? Don’t tell me you wanna check on her. Nak kenal perempuan
simpanan saya?”
Sindiran Fakhri yang berbisa
membuatkan Darin pantas menoleh ke arahnya yang sudah berbaju.
“Saya tak sengajalah! Sorry
okey.” Keras nadanya, geram kerana malu disindir begitu di depan nenek. Tak
boleh ke Fakhri menjaga air mukanya? Tetapi Darin kembali kalut apabila Fakhri
dengan selamba menyarung seluar pula di depannya. Cepat-cepat dia melarikan
matanya.
Mudah betul orang lelaki ni. Fakhri
tak fikir ke aku ada ni, boleh tengok dia free gitu je? Darin tarik
nafas sekejap. Lebih-lebih lagi seumur hidupnya, lelaki yang ada cuma babah.
Itulah kali pertama dia melihat lelaki bertuala saja, live depan mata!
Mahu tak terkejut! Lelaki asing pula tu.
“Nak apa datang sini?” Mendatar nada
Fakhri bertanya. Darin menelan liur. Rasa takut kembali beraja. Habislah. Confirm
kena sebakul lagi dengan Fakhri. Dia bermain dengan jemarinya, berkira-kira
mahu bersuara atau tidak. Semakin resah apabila dia menyedari dua pasang mata
sedang merenungnya.
“Saya… saya terkunci di luar bilik.”
“What?” Terbeliak mata Fakhri.
Darin pasrah. Gelaklah, gelak.
Terpaksa dia berterus-terang. Jika tidak, nak tidur di laluan hotel saja ke?
Memanglah elok berkarpet, tapi dia belum ada hati mahu jadi perempat begitu.
Lagipun, bukan dia sengaja.
“Sebab awak kejar saya tadi?”
Dia mengangguk tanpa memandang Fakhri.
Panas wajahnya. Malu kerana kesilapan yang begitu bodoh, dia kini menagih
bantuan Fakhri lagi. Dia tersentak apabila Fakhri tiba-tiba ketawa besar.
Bertambah merah wajahnya menahan malu. Fakhri ketawa sehingga terduduk di sofa,
namun nenek cuma menggeleng melihatnya.
“Fakhri, tak baik macam ni. Dah, pergi
telefon receptionist.” Arahan nenek ringkas tetapi tegas.
Nenek kembali tersenyum kepada Darin.
“Darin minum teh dulu ya. Nenek
buatkan sementara menunggu orang datang tolong bukakan pintu.”
Fakhri kembali serius mendengar
pelawaan nenek.
“Tak payah la nek. Biarkan je dia ni.”
Satu tepukan lembut singgah di paha
Fakhri, menegur tetapi lelaki itu cuma memandang Darin selamba tanpa riak
bersalah.
“Fakhri dah tolong dia banyak nek,
tapi mulut dia celopar. Biarkanlah dia uruskan sendiri. Bagus sangat kan.”
Sindirannya kali ini membuatkan bibir Darin bergetar.
Direnung wajah lelaki itu geram. Jika
bukan kerana keadaannya sekarang, tidak ingin dia berlama di sini. Kata-kata
lelaki itu kali ini telah menghiris hati perempuannya. Sakitnya hati apabila
terpaksa membiarkan saja Fakhri menguasai keadaan.
Memang dia sudah tersilap kata, tapi
tak bolehkah Fakhri memaafkannya? Dia tak sengaja. Bukan dia suka tersepit
dalam keadaan begini. Malang yang tidak henti-henti. Seumur hidupnya, inilah
kali pertama dia terasa betul-betul mahu menjerit dan meraung marah. Tetapi dia
tetap mengemam bibirnya kemas mengenangkan nenek di situ. Lagipun, memang dia
salah. Tuduhannya melampau, tetapi perlukah Fakhri memburukkan keadaan lagi?
“Biar dia rasa, nek.”
“Saya tak tahu. Saya minta maaf.”
Akhirnya terpacul ayat itu dari mulutnya. Dia tak mahu Fakhri berterusan
menyakiti hatinya di depan nenek.
“Saya tak dengar.”
“Saya cakap, saya minta maaf. Saya tak
tahu.” Dikuatkan suaranya berbanding tadi, tetapi Fakhri masih tidak beriak
senang.
“Apa dia? Apa salah awak?” Fakhri
memanggung muka mendengar soalan itu, dan dua pasang mata mereka bertentang.
Darin mengetap bibir. Kesabarannya
semakin tipis. Kalaulah aku masih ada babah… Sakit hatinya semakin kuat
mencengkam, menyesakkannya lebih-lebih lagi apabila Fakhri menentang wajahnya
tanpa rasa bersalah walau sekelumit.
“Awak memang lelaki kaya yang kurang
ajar. Hanya kerana awak yang tolong saya, yang bayarkan duit hotel yang saya
tak minta dan tak ingin pun nak duduk ni, awak ingat awak boleh perlakukan saya
sesuka hati? Saya pun ada maruah! Ya! Saya silap sebab ingatkan nenek awak ni
perempuan simpanan awak! Saya silap! Puas hati? Puas? Kalau setakat nak
main-mainkan saya je, awak tak perlu buat baik pada saya! Biar je saya merempat
di stesen bas tadi!” tempiknya sepenuh hati ke muka Fakhri sebelum menuju ke
pintu tanpa sebarang pamitan kepada nenek yang turut tergamam di sebelah
Fakhri.
Belum sempat Darin memegang tombol
pintu, tangannya direntap kuat dan tubuhnya ditarik keluar dari bilik bagaikan
sehelai patung kertas saja. Badannya kemudian ditolak kuat ke dinding dengan
agak kasar, dan dia mengaduh kuat, tetapi Darin masih enggan mengalah. Marahnya
semakin membuak-buak apabila mengenangkan Fakhri menyentuhnya tanpa izin.
Ditentang mata Fakhri yang mencerlung tajam. Kali ini dia yakin, kemarahan
Fakhri sudah memuncak.
“Eh, apa masalah kau sebenarnya, hah
perempuan? Perlu ke kau tempik aku depan nenek aku?” Nada kasar Fakhri
membuatkan hati perempuan Darin sedikit gentar, tetapi dia masih tidak mahu
berganjak.
“Apa masalah awak? Kalau awak nak
tolong, tolong biar ikhlas! Yang awak nak mengata dan menyindir saya depan
orang lain, kenapa? Ada saya buat pengumuman cakap awak ada perempuan simpanan?
Tak ada kan?” Dibesarkan matanya ke arah Fakhri.
“Mama!” jerit Darin kuat apabila
penumbuk Fakhri tiba-tiba melayang di depan wajahnya. Sekali lagi hari ini, dia
terjerit sambil memejamkan matanya, dan satu bunyi kuat menerpa cuping
telinganya. Apabila dibuka matanya, penumbuk Fakhri sudah singgah di dinding di
sebelahnya, betul-betul berjarak beberapa sentimeter dari kepalanya.
Darin kaku. Dikecilkan matanya ke arah
Fakhri. Dada Fakhri berombak laju, dan desahan nafasnya juga kuat kedengaran di
telinganya kerana wajah mereka kini cuma berjarak kurang dua jengkal. Bau
syampu rambut Fakhri yang masih basah juga menerpa ke hidungnya, tetapi dia
sudah tidak mampu berfikir lagi.
“Awak nak tumbuk saya?” Darin tidak
percaya.
“Kau memang layak dipukul, tahu tak!
Sudahlah tak berduit, tak beradab pulak! Dah terima pertolongan, tak boleh ke
berterima kasih? Itupun susah sangat ke?”
Sama ada Darin tersalah dengar, dia
tidak pasti. Tetapi Fakhri bukan lagi marah. Nadanya lebih kepada kecewa.
Kecewa yang teramat. Riak wajah Fakhri yang begitu keras dan garang tadi juga
sudah mengendur, sebaliknya Fakhri kini merenungnya dengan pandangan yang sukar
dia mengertikan.
Fakhri menjatuhkan tangannya dan
menjarakkan diri mereka seraya menendang kakinya ke dinding.
“Damn it!” Bentaknya sendiri.
Darin terkedu. Dirinya bagai sudah
bersatu dengan dinding, tidak mampu lagi dia bergerak ke mana-mana walau
seinci.
Apabila Fakhri kembali memandangnya,
dia cuma mampu melihat saja. Bibirnya sudah kelu.
“Kau terkunci kan? Kau pandai-pandai
la urus sendiri. Malam ni, aku dah tak nak tengok muka kau lagi, faham?”
Darin tersentak lagi. Fakhri terus
berlalu masuk ke dalam bilik, meninggalkan Darin kaku di situ.
Apabila pintu terkuak lagi, Darin
pantas menoleh. Lega apabila mendapati cuma nenek di situ, tetapi dia sudah
tidak mampu menanggung malu. Tubuhnya terus dipalingkan membelakangi nenek, dan
air matanya sudah tidak mampu ditahan lagi. Wajah hangat nenek membuatkan
perasaan yang cuma dibendung sekuat mungkin tadi terlepas jua. Apabila bahunya
disentuh lembut, dia terus teresak-esak di situ. Malu dengan nenek, dan marah
dengan Fakhri bercampur-baur.
Darin terus terduduk mencangkung di
situ, menangis semahu-mahunya. Nenek pula tidak bersuara, tetapi Darin tahu dia
belum ditinggalkan sendirian. Apabila telinganya menangkap derap kaki
menghampiri mereka dan suara nenek bercakap dengan seseorang, dia cuba mengawal
esakannya dan berdiri dengan lutut yang sudah sedikit kejang.
Seorang wanita cina tersenyum ke
arahnya sebelum beredar, dan baru dia perasan pintu biliknya sudah dibuka dan
ditahan oleh nenek. Dia menghampiri nenek dengan wajah tertunduk dan mereka
sama-sama masuk ke dalam biliknya. Tanpa sepatah kata, nenek menarik Darin erat
ke dalam pelukannya.
“Maafkan Fakhri. Nenek minta maaf bagi
pihak dia,” ujar nenek penuh kehangatan, dan air mata Darin tumpah lagi di bahu
nenek.
Kini sudah ada dua orang asing yang melihatnya
dalam keadaan yang begitu buruk itu. Darin sudah tidak peduli. Untuk beberapa
ketika, dia teresak-esak di bahu nenek. Apabila menyedari nenek bukan sesiapa
padanya, Darin meleraikan pelukan dengan rasa kekok dan wajah yang masih basah.
“Saya… saya minta maaf.”
Nenek tersenyum manis.
“Tak apa. tidurlah ya. Esok pagi kita
sarapan sama-sama. Nenek akan panggilkan Darin esok. Rehatlah…”
Darin angguk tanpa sebarang kata.
Selepas menghantar nenek keluar, Darin terus saja menanggalkan tudungnya. Katil
dan bantal yang empuk di depannya begitu menggoda saat itu, dan dia benar-benar
penat. Penat jiwa dan raga. Persetankan Fakhri.
“Nasib baik aku faham apa yang dia cakapkan. Kalau semua
BI...hurm...” Darin sedikit kelegaan bertemu orang kaya yang bukan setiap masa
nak ber Bahasa Inggeris.
Dan Darin terus terlelap dengan wajah
yang masih ada sisa basah, bekas tangisnya.
APABILA
pintu ditutup, Fakhri mengerling neneknya sekilas. Dia tahu nenek akan
memarahinya, tetapi dia sudah tidak peduli. Matanya terus melekat di kaca TV di
depannya, tidak mempedulikan nenek yang sudah duduk di sebelahnya.
Nenek menghela nafas dalam, sebelum
menoleh ke arah Fakhri yang sengaja tidak memandangnya.
“Fakhri kenal dia?”
Fakhri tidak terus memberi reaksi.
Lama kemudian baru dia menggeleng tanpa menoleh.
“Tak kenal dia, kan?” Soalan nenek
kali ini membuatkan Fakhri menoleh dengan dahi berkerut.
Nenek tersenyum nipis.
“Kalau tak kenal, jangan berlagak
macam kenal. Dia bukan Hanim. Ingat tu…” serentak dengan itu, nenek terus
bangun meninggalkan Fakhri termangu-mangu.
Fakhri cuma mampu melihat apabila
nenek sudah memanjat katil dan menarik selimut.
“Esok pagi kita sarapan sama-sama
dengan dia. Jangan lupa tu. Nenek nak tidur dah. Letih mengait tadi,” beritahu
nenek lalu memadamkan lampu sisi katilnya.
Fakhri meraup wajahnya kasar. Dia
tetap marah. Bukan kerana gadis itu Hanim. Tetapi kerana gadis itu memang
biadab. Bukan kerana Hanim. Bukan!
Snippet yang diterbitkan di blog ini merupakan sebahagian dari bab sebenar dalam versi cetak. Dilarang sama sekali menerbitkan mana-mana bahagian ini di mana-mana dalam bentuk apa sekalipun tanpa kebenaran bertulis dari penerbit.
PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.
No comments:
Post a Comment