About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Thursday, January 28, 2016

Aku Bulan Dia Bintang 4









“Kenapa saya patut percayakan awak? Mana saya tahu awak bukan orang jahat yang nak jual saya atau nak buat perkara buruk ke atas saya?” Darin masih menjarakkan diri dari lelaki itu yang sudah berdiri di sebelah pintu keretanya.
Fakhri menggaru dahi. Tidak dapat tidak, riak meluat sudah terpampang di wajahnya saat itu.
“Awak, saya ni kan, kalau saya nak buat jahat kat awak, baik saya habiskan awak di balik kereta tadi. Tak guna saya bawa awak ke sini, ke tengah-tengah jalan ni dan bertekak dengan awak. Awak nampak tu?”
Darin mengikut arah tudingan jari telunjuk lelaki itu, ke sebelah kirinya. Sebuah kamera litar tertutup menala betul-betul ke arah mereka.
“Kalau saya tinggalkan awak sekarang, saya akan jadi suspek utama kalau apa-apa perkara buruk menimpa awak malam ni. Sekarang, hari dah nak malam. Perkhidmatan bas masih ada lagi di bawah, kalau tak silap saya. Kalau awak nak balik naik bas, silakan. Tapi sekarang, saya kena bawa awak keluar dari sini dulu. After this, you are free to decide. So, what do you say?
Kakinya masih terpaku di situ. Bagaikan mengerti dengan apa yang berada di fikiran gadis itu, Fakhri pantas menjongket bahu.
Fine. Suit yourself. Tunggulah kat sini. Saya yakin takkan ada orang lain yang akan tolong awak. Tunggulah teksi ke, bas ke, jin ke, lalu sini. Suka hati awak la. Your choice. Saya tanya sekali lagi, nak ikut saya, atau tak?”
Darin masih membatu. Entah kenapa, wajah kaku itu membuatkan perasaannya tergores, dan egonya tercalar.
“Saya tak fahamlah. Apa masalah awak ni? Kenapa nak gelabah sangat? Bukannya saya nak makan awak pun!” Suaranya sedikit meninggi lantaran rasa sakit hati yang sudah memutik.
Tersentak Darin dengan kemarahan lelaki itu yang tidak dijangkanya.
“Awak tu kenapa? Suka hati sayalah nak ikut ke tak! Awak pergi je la! Saya lagi rela mati kat sini dari ikut awak!”
Fakhri meraup wajahnya, bengang apabila gadis itu tidak mengendahkan tawarannya. Peristiwa di kedai Kei tempoh hari kembali menjengah mindanya.
Hari itu dia berpakaian ala kadar saja. Mungkin kerana itu gadis ini tidak mengendahkannya. Tetapi hari ini dia memandu Jaguar! Jadi, apa masalah perempuan ini? Sangat tak faham!
“Saya sebenarnya malas nak cakap macam ni, tapi awak tahu tak siapa saya?”
Darin menggigit bibirnya. Kad di tangan dikerling sekali lalu.
“Saya ni, kalau setakat awak ni, boleh je saya nak hilangkan jejak awak. Proof! Confirm orang takkan jumpa awak, walaupun seurat benang, tahu! Takkan berkudis langsung pun pada saya dan keluarga saya! Setakat cctv tu, tak ada hal la. Simple matter. Tapi saya… Argh! Kenapalah aku susah payah nak tolong kau! Fine! Suka hati awaklah! Tunggulah kucing bertanduk! Bodoh sombong!” Fakhri terus menghilangkan dirinya ke dalam perut kereta dengan menghempaskan pintunya kasar.
Kereta itu memecut laju ke hujung bangunan meninggalkan Darin yang sedikit tergamam. Dua saat kemudian, Darin sudah memijak-mijak kad di tangannya sebentar tadi dengan sepenuh perasaannya. Puas hati aku!
Tapi, tiba-tiba saja lot parkir itu terasa sunyi yang teramat. Cuma nafasnya saja yang kedengaran. Dia memandang ke kiri dan kanan. Cuma kereta-kereta yang tidak bernyawa saja mengelilinginya. Lelaki tadi betul-betul sudah pergi. Pergi takkan kembali.
Rasa sesal mula mengetuk-ngetuk warasnya.
“Apasallah aku sombong sangat tadi? Dia kan nak tolong aku! Alamak, macam mana ni? Nak pergi mana ni? Bas. Cari bas. Tapi kat mana?” Air matanya kembali mengalir tanpa segan-silu.
Darin kini sendirian lagi. Kakinya terus melangkah, tanpa tujuan yang pasti. Nak patah balik ke? Atau terus je?
Saat itu, telinganya disapa bunyi kereta yang menghampirinya dari belakang dengan sangat laju. Dia menoleh pantas, mendapati sebuah kereta sedang menghala ke arahnya tanpa tanda-tanda mahu berhenti. Untuk sesaat, matanya terbelalak manakala jantungnya bagai mahu melompat keluar dari sangkar rusuk.
“Mama!!!” Matanya dipejam rapat, dan dua tangan menekup telinganya.
Screeettt!
Turun naik dadanya apabila dia membuka mata. Kereta itu kini berhenti betul-betul di depannya, beberapa jengkal saja berjarak dengan badannya yang tegak di situ. Di dalam kereta, lelaki yang menjengkelkan tadi sedang menahan tawa.
Darin melangkah pantas ke pintu pemandu itu. Tangannya terus mengepal penumbuk dan dipukul-pukul tingkap pemandunya sekuat hati.
“Woi! Nak bunuh orang ke!” Herdiknya sekuat hati sehingga perit tekaknya.
Terkejut dengan tindakan Darin, Fakhri terus membuka pintu kereta dan keluar dengan wajah yang bengang.
“Hei! Awak nak bayar ke kalau tingkap kereta saya pecah, hah?” Fakhri bercekak pinggang.
Darin turut mencekak pinggangnya, tidak mahu kalah.
“Awak nak tanggung ke kalau saya mampus tadi, hah?”
Fakhri tersengih sinis.
“Humph… saya acah je. Gelabah betul. Saya belum gila lagi, nak bunuh orang.”
“Tahu pun takut. Saya pun tak gila lagi la, nak rosakkan kereta orang!”
Fakhri menoleh kasar.
“Jom, cepat. Saya hantar ke bawah,” pelawanya separuh hati.
“Tak nak!” Darin menekup mulutnya pantas. Terlepas cakap lagi!
Fakhri menjongket sebelah bibirnya lagi sambil memandang Darin dengan pandangan sinis.
“Betul tak nak? Ni dah menangis lagi. Nanti saya dah tak ada, merengek la awak, menangis la sorang-sorang. Sombong! Orang nak tolong je! Bukannya ajak kahwin!” tempelaknya dengan tidak semena-mena.
Darin menggigit bibirnya. Geram betul dengan lelaki ni. Nak je dicili-cili mulut itu. tetapi mengenangkan lelaki itu saja harapannya, maka dia pun…
“Okey…”
Mendengar jawapan yang begitu perlahan itu, Fakhri merenung wajah itu tidak berkelip.
“Hah, apa dia? Tak dengar.”
“Okey! Saya ikut awak! Puas hati?”
“Betul ke ni? Nanti tengah jalan ada pulak sarkas nak turun dari kereta.”
Sindirannya membuatkan Darin semakin geram.
“Yalah. Orang dah cakap, nak... tanya banyak kali lagi kenapa?” marah betul Darin.
Fakhri tersenyum nipis. Ada idea nakal dalam kepalanya.
“Cuba cakap ayat penuh, saya nak dengar.” Dia sudah menadah telinga.
Darin mengetap bibirnya geram. Dengan rasa terpaksa…
“Encik, saya nak minta tolong boleh tak? Hantarkan saya ke stesen bas. Terima kasih.”
Dia tersenyum. “Ha, kan senang cerita. Masuk,” arahnya sambil membuka pintu di sebelah pemandu.
Dengan hati yang membengkak, Darin turutkan juga. Sangat tak logik. Kenapa mamat ni patah balik dan tolong aku?
Dan sehingga kini, soalan demi soalan Cuma bermain di minda, tak satu pun yang dia luahkan sejak mereka duduk sebelah-menyebelah dalam kereta mewah milik Fakhri itu. Cepatlah sampai. Dah malas nak menghadap muka lelaki ni!
Cat got your tongue?
Darin menoleh sekali. Mana datang kucing tengah-tengah maghrib ni?
“Hmm…”
“Hmm? Kenapa? Dah meluat nak bertekak dengan saya?” Fakhri pula sangka Darin akan menyinga mendengar peribahasa Inggerisnya tadi. Mana tidaknya, dari tadi asyik marah-marah, tiba-tiba membisu seribu bahasa. Bak kata orang putih, kucing dah tangkap lidahnya.
Darin menelan liur. Lelaki ni ada kuasa psikik ke? Macam mana dia tahu apa aku fikir? Darin terus mengunci mulutnya. Dia membuang pandang ke luar tingkap yang gelap-gelita. Hari sudah gelap.
“Awak ni, dah la tak reti nak berterima kasih bila orang dah tolong. Bila dah sakitkan orang pun tak reti nak minta maaf. Saya tak tahu pulak orang Melayu ni dah makin kurang adab.” Sindiran itu berjaya membuatkan Darin menoleh dengan riak bengang. Diketap giginya geram.
“Ish! Bila pulak saya sakitkan awak?”
“Ni!” Spontan jari telunjuk kirinya ditala ke hidungnya.
Ha! Melopong sekejap Darin. Baru dia perasan dalam samar cahaya lampu di tepi jalan itu, ada sedikit tanda merah di hidung Fakhri. Tapi, bila pulak…
“Tadi awak kan yang kelam-kabut tolak pintu sampai tak menyempat nak berhati-hati, kemik hidung mancung saya ni! Tengok! Apa dah jadi?” Ditunjuk-tunjuk lagi hidungnya dengan riak bengang.
Spontan Darin menekup mulutnya lalu ketawa.
“Padan muka.”
Bulat mata Fakhri mendengar Darin mengutuk. Lagi sakit hati apabila gadis itu masih tertawa senang.
“Awak gelakkan saya? Say sorry!
“Tak nak!” Balas Darin dengan tawa yang masih meleret.
Fakhri mengetap gigi.
“Awak nak saya tinggal awak tepi jalan ke?”
“Tak nak!!” Kali ini tawa Darin serta-merta mati diikuti dengan riak gerun mendengar ugutan Fakhri. Walaupun mereka baru bertemu, tetapi dia yakin Fakhri mampu melakukan apa saja padanya. Dan kali ini, giliran Fakhri ketawa senang. Puas hatinya.
“Tahu takut! Penakut rupanya! Tadi bukan main sombong lagi,” ejeknya dengan senyum meleret.
Darin terus mengunci bibir. Risau pula dia melihat keadaan sekeliling yang gelap, dengan hutan belantara di pergunungan ini. Ish, bahaya kalau dia tercampak di sini. Hari sudah malam pula.
“Diam pulak. Takut la tu…” usik Fakhri apabila Darin terus-terusan berdiam.
Memang Darin kerisauan. Jadi, lebih baik dia biarkan saja Fakhri ‘menang’. Dia bermain dengan jemarinya sendiri. Ada perkara yang sedang menyesakkan mindanya sedari tadi, tapi dia bimbang mahu bertanya, bimbang disalah anggap pula.
“Awak…” panggil Darin perlahan.
Fakhri cuma mengerling sekali lalu.
What?
“Erm, kenapa awak tak tinggal je saya tadi?” Mendengar perubahan nada gadis itu, Fakhri menoleh pantas. Bibirnya terjongket sebelah.
“Oho, boleh jugak awak cakap baik-baik. Ingatkan volume awak tu tak boleh rendah dah. Baru la saya sedar ada anak gadis kat sebelah saya ni. Ingatkan tadi, puntianak.”
“Ish! Malam-malam ni apa sebut-sebut benda tu…” Spontan  Darin menjeling ke luar tingkap. Seriau!
Fakhri ketawa senang. “Apa awak tanya tadi? Kenapa tak tinggal je awak?”
Darin malas mahu mengeyakan. Pekak ke? Dah dengar, lagi nak tanya. Cemiknya dengan rasa menyampah.
“Sebab saya orang baik, bukan orang jahat. I know you’re in trouble, so I offer my help. Plus, saya tak ada urusan penting malam ni. It’s my off night. Memang saya nak rehat lepas event tadi. Tapi, tak sangka pulak kena jadi driver tak bertauliah.” Sempat Fakhri mengusik lagi di hujung bicaranya.
Darin cuma menelan liur. Lelaki asing di sebelahnya itu dipandang lama.
“Awak sebenarnya kerja apa?”
Fakhri menghela nafas dalam.
“Beli syarikat, buat syarikat, bubar syarikat, semua benda yang berkaitan dengan transportation and logi…stic…”
Achoom!
Tersentak Fakhri mendengar bunyi bersin yang agak tiba-tiba itu, sementara Darin mengesat hidungnya tanpa rasa bersalah.
“Alhamdulillah…” ujar Darin sendiri. Dia menayang sengih sesaat kepada Fakhri yang ternyata terkejut.
Sorry. Saya gatal hidung. Sejuk. Erm, apa awak cakap tadi? Loji? Loji pun ada orang buat bisnes ke? Awak main-main eh?”
“La, bila pulak saya main-main? Awak tu yang merepek. Memanglah ada orang buat bisnes loji. Kalau tak, Indah Water tak ada la.”
Darin sempat menangkap jemari Fakhri menaikkan suhu aircond.
“Eh, tak apa. saya okey je.”
Penipuan yang jelas lagi nyata. Tetapi Fakhri tidak mengendahkannya.
“Saya kerja dalam bidang transportation and logistics. Dengar betul-betul. Logistics.” Tekan Fakhri di hujung bicara.
Darin mengangguk sekali. Sungguh dia tak faham apa benda  yang dicakapkan Fakhri. Lantaklah. Asalkan tak bergaduh. Kena tinggal sini kang, naya je.
Fakhri kelihatan berpuas hati.
What’s your job?” Soal Fakhri pula.
“Saya? Writer.
“Datang sini cover event tadi?”
Darin mengangguk sekali.
Writer bukan menulis saja ke?”
“Sepatutnya memang saya kena cari bahan jugak, tapi selama saya kerja ni, saya tak pernah kena keluar cari bahan or cover event. Ini pertama kali kena keluar. Bos nak saya jadi jurnalis jugak,” balas Darin dengan separuh hati, mendatar saja nadanya.
Fakhri menoleh sekali lalu. “Macam tak ikhlas je?”
“Haah. Sebab saya tak suka jumpa orang ramai-ramai macam tadi.”
“Oh, patutlah perangai macam singa betina. Selama ni awak kawan dengan benda alah dalam zoo je kan?” Sindiran Fakhri disambut dengan jelingan tajam. Mulut tu, nak kena cili!
“Saya geram sebab kalau dia tak hantar saya datang sini hari ni, saya takkan jumpa awak dan saya takkan terlibat dalam masalah!” Keras nadanya tiba-tiba.
“Salah. Awak dalam masalah dulu, kemudian baru kita ditemukan. Tapi, ayat awak tu salah dari awal lagi. Perkataan ‘kalau’ tak patut wujud. Tiada kebetulan dalam dunia ni. Whatever happened, has happened. Takdir bukan di tangan kita. Awak tak boleh salahkan takdir. Lagipun, saya nak bantu awak. Awak yang macam orang meroyan, terjerit-jerit marahkan saya. Itu salah saya ke?”
Darin mencemik geram. Terus dikunci mulutnya. Melayan lelaki asing ini memang tambah pening kepala. Diam lagi bagus!
Doanya diperkenankan kerana tidak lama selepas itu, mereka tiba di stesen bas yang menyediakan perkhidmatan bas dari Genting ke KL Sentral dan juga beberapa kawasan lain di sekitar KL. Sebaik saja kereta diberhentikan, Darin terus menarik tuil pintu dengan rasa tidak sabar. Apabila pintu tidak terbuka, dia menoleh ke arah Fakhri dengan hairan.
“Bukak la pintu ni. Saya nak keluar.”
Don’t you have anything to say?” Soal Fakhri dengan riak tidak percaya.
Darin mengetap bibirnya.
“Terima kasih, encik sekian sekian! Saya nak balik dah ni. Dah!”
Bulat mata Fakhri mendengar namanya menjadi ‘sekian’.
It’s Fakhri. My name,” ujarnya dengan rasa jengkel.
Darin mencemik.
“Baiklah, Encik Fakhri. Whatever. Dah!”
Fakhri membuka kunci pintu sambil menggeleng. Apa punya orang la. Belum pernah dia bertemu dengan gadis sepelik Darin. Tak ada adab sopan langsung!
Darin terus keluar sebaik saja kunci dibuka. Terasa lapang dadanya sebaik saja dia memijak kaki di atas tanah dan melihat orang lain yang berada di stesen itu. sepanjang dengan Fakhri tadi, rasa seperti tercekik saja. Laju saja dia mengatur langkah ke kaunter tiket tanpa menoleh ke belakang lagi.
“Hai, tiket ke KL Sentral berapa ya?”
“RM3.50 saja.” Darin tersenyum mendengar harga itu.
“Okey, saya nak satu.”
“Jam berapa?”
“Yang paling cepat.”
Dia terus mengeluarkan purse dan membukanya. Buntang matanya apabila cuma ada sekeping seringgit sahaja dalam purse. Nasib benar-benar tidak menyebelahinya. Semalam, dalam tangannya cuma ada RM100 saja, dan itu wang terakhir sebelum gaji masuk Isnin ini. Dalam akaunnya kini cuma berbaki nilai yang sudah tidak boleh dikeluarkan lagi.
Iris minta duit pagi tadi kerana dia tidak sempat keluarkan dari ATM, dan Darin hulurkan RM50. Tadi, dia sudah hulurkan duit minyak dan tol pada Amri dengan wang berbaki. Wang makannya sebelum masuk ke dewan tadi juga dari duit yang tinggal. Duit syiling tak payah cakaplah kerana dia baru saja keluarkan dari purse pagi tadi supaya ringan pursenya ini. Semuanya sudah selamat masuk ke dalam tabung.
Darin tidak sedar dia sudah ternganga di situ hampir beberapa ketika. Macam tidak percaya saja, dia tidak berduit langsung. Nak ke mana pun tak boleh. Teksi? Malam-malam begini, kalau naik teksi, kena jual pun orang takkan tahu!
Dia memandang ke kiri dan kanan, kebingungan.
“Dik, kenapa ni?”
Darin semakin bingung.
“Err, tak. Tak apa. Saya tak jadi beli. Sorry kak.” Dengan itu, dia terus berlalu dengan langkah selaju mungkin. Malunya! RM3 je pun!
Dengan lemah longlai, dia menghenyakkan punggung di atas salah sebuah kerusi di tempat menunggu. Seorang demi seorang penumpang bas naik, sedangkan dia masih kaku di kerusi. Apa yang boleh dia lakukan sekarang? Ini namanya sudah jatuh ditimpa tangga! Betul-betul malang!
Darin cuma mampu menghantar bas itu pergi dengan pandangan sayu. Kala itu, wajahnya sudah terasa panas dan kolam matanya sudah bergenang dengan air mata. Nak meminjam, malunya yang amat. Siapa yang akan percayakan dirinya? Dia terus tertunduk 90 darjah.
“Bas dah jalan. Kenapa awak tak jalan-jalan lagi?” Spontan pemilik suara itu duduk di sebelahnya tanpa dipelawa. Darin mengangkat muka lalu menoleh.
Lelaki ni lagi! Dikesat air matanya laju.
“Saja. Nak tunggu lama sikit.” Suaranya sudah sedikit serak. Cepat-cepat dia berdeham, tidak mahu lelaki itu meraguinya.
Liar. Saya perhatikan awak dari tadi. Kenapa tak beli tiket?”
Darin terus menunduk, mengemam mulutnya. Memang dia menipu pun tadi,
Handphone ada?”
“Tertinggal.”
“Duit?”
“Tak cukup.” Spontan Darin memandang Fakhri yang sudah mengangguk mengerti. Terkena juga dengan soalan Fakhri.
Darin bermain dengan jemarinya sendiri. Kalau dia meminjam daripada Fakhri, boleh kut? Tapi, balik ke KL Sentral kena ambil bas lagi. Tapi kalau tak sempat, kena ambil teksi. Kalau naik teksi di KL malam-malam begini, sama saja macam menjual diri. Entah selamat sampai ke rumah entah tidak. Jadi, jika dia perlu meminjam, berapa yang perlu diminta? RM50 cukup ke?
Beratnya mulut untuk meminta. Sesusah-susah mereka selepas babah pergi, tak pernah mereka berhutang dengan sesiapa. Jadi, untuk meminjam sekarang bukanlah pilihan pertamanya. Sudahlah orang asing. Tapi, dia tiada pilihan lain juga. Darin membelek pula tali begnya. Buntu. Telinganya dapat mendengar desahan nafas Fakhri yang panjang.
So, tak cukup duit. What now?” Fakhri memandang Darin, yang cuma mampu menyandar lemah. Sudah malas dia mahu melayan Fakhri, tetapi sekarang, cuma Fakhri yang mengenalinya.
“Entah. Tunggu kucing bertanduk.”
Fakhri tergelak kecil. Lucu agaknya jawapan Darin di telinganya.
“Kenapa susah sangat awak nak mintak tolong? I’m here, right?” Dia menawar diri tanpa berlengah.
Gadis itu merenungnya malas.
“Kenapa awak nak tolong saya?”
Fakhri jongket bahu.
Bored, I guess. And you’re quite an entertainment.
Darin menjegil mata mendengar jawapan itu. ada ke patut dia dikatakan hiburan? Apa Fakhri ingat dia channel Astro?
Kidding. Saya cuma nak menolong. Tu pun susah ke? Suka hati saya la, apa pun sebabnya. Lagipun, saya tak pernah jumpa perempuan yang sembarangan menengking orang yang nak tolong dia, especially someone like me.”
Darin mencemik. Nak tolong ke nak kutuk?
So, nak ikut saya?”
Darin menoleh dengan penuh minat, keningnya kini terangkat.
“Pergi mana? Awak jangan main-main!” Spontan dia menjauh dari lelaki itu. Fakhri tergelak senang.
“Helo! Saya bukan nak jual awak! Saya ada bilik kat hotel di atas. And somebody’s waiting for me. Well, saya datang dengan dia. Kejap lagi dia pelik pulak saya tak naik-naik lagi padahal event dah tamat. So, you’ll have to stay with us. Esok kita balik. Saya hantar awak ke mana awak nak.”
Darin terdiam. Diamati wajah lelaki itu yang bersungguh mempelawa. Siapa yang menunggunya di bilik hotel itu?
“Saya…tidur mana?”
With us. Dengan siapa lagi?”
Darin menelan liur. Prasangka mula memenuhi fikirannya.
“Siapa yang menunggu awak? Perempuan?”
“Eh, pandai awak teka. Yup. Takkan lelaki kut,” jawabnya bersahaja.
“Awek ke?” Curiganya semakin beraja.
“Lebih kurang, tapi dia tua lagi dari saya. Memang saya selalu dengan dia, sebab dia rapat dengan saya. Dia jugak yang teman saya ke mana-mana,” jelasnya tanpa sebarang syak wasangka.
Darin terus menggeleng laju dengan senyum kelat.
“Tak apalah. Saya tunggu sini. Esok pagi awak ambik saya ke, saya tak kisah. Tak pun, pinjamkan saya RM50. Saya boleh terus naik bas malam ni, dan nanti saya bayar balik. Awak bagi je nombor telefon awak, boleh?” Cadangan yang bermain di fikirannya laju saja dimuntahkan tanpa teragak-agak.
Berkerut dahi Fakhri merenungnya dengan riak yang hairan. Mata mereka bertentang, tidak berkelip masing-masing untuk beberapa saat.
“Apa yang awak fikir?”
“Erm, tak. Tak ada apa-apa. Saya cuma segan,” dalihnya seraya melarikan matanya dari Fakhri.
Hey! She is not my mistress!” Nada Fakhri sedikit keras, nyata terganggu dengan sangkaan Darin.
Darin tersengih malu. “Sorry… saya ingat…” Secara tidak langsung, dia membuat pengakuan.
“Apa? Saya ada perempuan simpanan?” Nada Fakhri meninggi, membuatkan Darin merasa tercabar.
“Mana saya tahu. Lain kali, cakaplah terang-terang. Lelaki kaya macam ni bukan betul sangat pun!” balasnya juga dengan nada meninggi, geram.
“Apa awak cakap?”
Darin terus mengunci mulut. Terlepas cakap lagi!
“Tak… tak ada apa-apa.”
Dia tersentak apabila Fakhri terus berdiri dan melangkah meninggalkannya. Dia ragu-ragu. Adakah tawaran Fakhri masih terbuka? Nampaknya, Fakhri betul-betul marah kali ini. Darin mendesis kecewa. Bukan dia saja tahu marah. Akhirnya, Darin memeluk tubuhnya geram tanpa melihat ke arah Fakhri lagi.
Piiin!
Darin tersentak. Apabila dia melihat ke arah datangnya bunyi itu, dari jauh dia dapat melihat pandangan mata Fakhri yang tajam menikam ke arahnya dari dalam kereta yang berbuka tingkap kacanya dengan tangan menekan hon berkali-kali.
Tergesa-gesa Darin berdiri dan berlari anak ke arahnya. Ingat dah tak nak peduli. Entah kenapa, risau pula Darin mendengar bunyi hon bertalu-talu. Masuk saja ke dalam keretanya, auranya sudah berbeza.
Sehingga ke depan kaunter pertanyaan hotel, mereka tidak lagi berbalas kata. Entah kenapa, akal waras Darin menegahnya daripada bersuara kerana dia tahu kali ini lelaki asing itu benar-benar marah padanya.




PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.

No comments:

Post a Comment