About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Thursday, January 28, 2016

Aku Bulan Dia Bintang 3










Darin sudah berada dalam kereta Myvi milik Amri menuju ke Genting selepas makan tengah hari. Darin yang memang tak pernah jejak kaki ke Genting tak peduli pun nak ambil tahu fasal Genting.
Masuk saja ke dalam kereta, Darin terus memejamkan matanya, buat-buat tidur supaya Amri tak sibuk mahu bersembang dengannya. Akhirnya, dia betul-betul tertidur tidak sedarkan diri. Dia terjaga bila mereka betul-betul sudah sampai di Genting. Sebaik saja keluar dari kereta, suara Darin meninggi pada Amri.
“Kenapa tak cakap Genting sejuk!” Marahnya sambil memeluk tubuh, cuba mencari matahari tapi sayang, dengan kabus yang agak tebal dan hujan renyai-renyai, mimpilah cahaya matahari akan menyelit.
Amri dah menyarung jaketnya elok. Darin pula sudah mula terlaga-laga gigi sambil melihat Amri yang kelihatan begitu selesa sekali dengan jaket tebalnya.
Sorry. Aku tak tahu kalau datang weekdays sejuk sampai macam ni. Aku pernah datang weekend je sebelum ni, orang ramai so taklah sejuk sangat. Jaket ni memang aku spare dalam kereta,” jelas Amri dengan nada simpati yang tidak dibuat-buat.
Hendak menawarkan jaketnya pada Darin, dia teramat yakin Darin tidak akan menerimanya. Gadis itu pelik, tetapi menarik.
Darin sudah tidak mampu bersuara lagi. Menggigil dia cuba mencari perlindungan dari sehelai tudung bawal, sehelai kemeja dan sehelai jean. Lebih malang lagi, hari ini dia cuma memakai sandal. Sudahlah tak tahan sejuk. Sekejap lagi, confirm hidungnya berair.
Darin mengikut saja langkah Amri hingga ke dewan di mana majlis itu berlangsung. Dengarnya, fasal pelancaran produk sukan. Sungguh, Darin tak faham kenapa Ria menghantarnya hari ini sedangkan dia yakin masih ada orang lain di pejabat yang lebih arif tentang selok-belok mencari liputan.
Sudahlah produk sukan, bila entah aku bersukan? Ish... Kalau bukan Ria tu bos aku, dah lama aku tempik.
Harapan Darin, bila masuk saja ke dalam hall itu, kesejukan yang dirasai akan berkurang, tetapi malangnya, sejuknya bertambah-tambah. Orang lain yang turut hadir juga berpakaian kasual. Yang terlebih dedah dengan dress seksi dan bergaya pun ada, membuatkan Darin hairan sendiri.
Tak sejuk ke diorang ni? Aku dah nak beku dah rasanya.
Apabila majlis berlangsung, Darin semakin tidak senang duduk kerana mereka ditempatkan di belakang dewan, betul-betul di bawah penghawa dingin. Jika diikutkan hatinya, mahu saja dia meminta aircond dimatikan, tetapi Darin masih waras lagi. Membebel di dalam hati sajalah Darin.
Pen di tangan tidak mampu langsung mencoret walau satu huruf kerana jari-jemarinya sudah tidak terasa lagi. Garisan yang terbentuk di atas kertas itu memang kalah cakar ayam. Darin akhirnya berputus asa. Terpaksa juga dia meminta Amri mengambil gambar sebanyak mungkin, terutamanya gambar slaid yang dimainkan.
“Bila habis ni?” Soalnya dengan kepayahan kerana bibirnya sudah tidak terasa lagi.
Amri mengerling jam di tangan.
“Dalam setengah jam lagi. Kenapa?”
Darin mengeratkan pelukan tubuhnya sambil menggoyangkan kakinya. Dia perlu memanaskan badannya walau dengan apa cara sekalipun. Jika tidak, dia mungkin akan mati kebekuan sementara majlis tamat.
“Aku dah tak tahan. Nak pergi tandas. Nanti kau tunggu aku kat luar ya. Apa-apa hal, call aku.” Tanpa menanti balasan Amri, Darin sudah berdiri untuk keluar dari dewan.
Menonong saja langkahnya, tanpa melihat ke kiri kanan lagi. Di pintu masuk, dia menolak pintu itu kasar.
“Ouch!” Satu suara garau mengaduh kuat.
Sorry, sorry. Saya dah tak tahan ni.” Bila lelaki itu berdiri tegak sambil mengaduh, Darin sudah berlari anak meninggalkannya, mencari-cari tandas.
Pundinya sudah tidak mampu membendung lagi perasaan ini. Sebaik saja dia selesai melepaskan hajat, dia tersandar lega di dinding tandas yang agak terjaga rapi itu. Tiba-tiba, matanya tertancap pada pengering tangan yang tersedia di dalam tandas itu.
“Nasib baik kau ada...” Darin terus meluru ke arah mesin itu tanpa berlengah. Tangannya dihulurkan di bawah pengering tangan itu dan haba panas yang keluar seolah-olah nikmat yang tidak terkira. Seluruh tubuh badannya yang membeku sebentar tadi seolah-olah dialirkan dengan tenaga baru, haba yang membuatkan dia terasa hidup kembali.
Darin menanti panggilan daripada Amri sambil memanaskan badannya. Bermula dari tangan, kakinya, wajahnya, semuanya dihulurkan ke bawah pengering tangan itu yang tidak berhenti-henti bekerja sejak Darin masuk ke dalam tandas itu.
Dari 15 minit, beralih ke setengah jam, dan kini 45 minit, telefonnya masih belum berdering. Darin mula tidak sedap hati.
“Amri ni mana pulak dia pergi? Tak call call aku pun. Takkan tinggalkan aku kut...”
Beg sandang berhampiran singki diseluk, mencari-cari telefon bimbitnya.
“Eh, kenapa macam tak ada? Tak mungkin.”
Diseluk lagi, dan lagi hingga ke semua penjuru yang ada, tetapi jemarinya tidak mencapai telefon bimbitnya. Dia mula resah. Isi begnya mula dikeluarkan satu persatu.
Purse, bedak kompak, lipbalm dan tuala wanita. Tak ada! Sah! Telefonnya tertinggal di rumah!
“Argh! Ni mesti Acu punya kerja! Mesti dia pinjam telefon aku semalam tapi tak masukkan balik ke dalam beg! Ya Allah... Macam mana ni? Hesy! Menyesal aku tak belikan dia telefon lain.”
Sebab itulah Iris kerap meminjam telefonnya. Dengan tergesa-gesa, dimasukkan kembali semua isi begnya dan langkahnya terus diatur laju ke luar tandas. Jarak tandas dan dewan tadi tidaklah begitu jauh, tetapi kedudukannya yang agak terlindung membuatkannya sedikit terpencil.
Darin yakin dia tidak mendengar sebarang bunyi atau apa-apa pun di luar sebentar tadi. Hampir dia berlari-lari anak, tetapi dia yakin apa yang ditakutinya tidak terjadi. Amri mesti sedang menunggunya di depan dewan. Malangnya, tiada seorang pun manusia di depan dewan ketika dia tiba.
Oh, mungkin belum habis.
Pintu ditarik, dan mimpi ngerinya sudah bermula. Jatuh rahangnya apabila mendapati dewan tersebut sudah kosong! Yang ada cuma janitor yang sedang membersihkan dewan.
Aunty, majlis tadi dah habis?” Soalnya kepada salah seorang janitor yang hampir dengannya.
Mak cik India itu mengangguk dengan riak hairan.
“Sudah setengah jam habis.”
Darin terkedu. Kali ini, dia sudah berlari keluar dari dewan selepas mengucapkan terima kasih dengan kalutnya.
Di luar dewan, matanya meliar mencari Amri tetapi jangankan Amri, tiada seorang pun di luar dewan kala itu. Haba badan yang baru saja kembali sudah hampir hilang lagi, berlawan dengan cuaca dingin yang semakin terasa memandangkan hari sudah menjengah petang senja.
Ke mana dia harus pergi sekarang?
Dalam keadaan begitu, Darin begitu menyesal kerana tidak berbaik-baik dengan Amri. Kenapa Amri pergi tanpa menunggunya?
Sepatutnya masa ini, mereka akan pergi menikmati jamuan. Tetapi di mana tempatnya?
Lemah langkah kakinya diatur, sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Ke mana dia harus pergi? Tiada sesiapa pun yang dikenalinya di situ. Wajahnya sudah terasa panas.
Dia mengatur langkah tanpa tujuan. Apabila matanya tertancap pada papan tanda, langkahnya mati serta-merta.
Parking! Mungkin aku boleh tunggu Amri di sana.
Harapan Darin mekar kembali. Dia terus mengikut panduan papan tanda untuk ke lot parkir bertingkat. Tetapi sampai di depan pintu, sekali lagi langkahnya mati.
Amri parking tingkat berapa? Aduhai! Kenapalah aku tak perhatikan sekeliling tadi...
Darin gelisah lagi. Yang dia tahu, turun saja dari kereta tadi, mulutnya tidak berhenti marahkan Amri kerana kesejukan yang dirasainya.
Padan muka aku! Darin menggigit bibir. Ke mana harus dia pergi?
Tanpa tujuan yang pasti, dia turun juga ke lot parkir tersebut. Dengan sedikit bingung, dia menoleh ke kiri kanan. Sekali lagi, cuma dia saja manusia yang ada di situ.
Ke mana nak pergi? Semua nampak sama saja. Tingkat berapa Amri parking tadi? Semua soalan itu tidak berjawab. Darin semakin panik. Jam sudah menunjukkan pukul 7.00 petang, tetapi keadaan bagaikan sudah pukul 8.00 malam. Gelap di luar menunjukkan tanda-tanda hujan yang akan turun sebentar lagi.
Tanpa sedar, dia memeluk tubuhnya lagi. Kesejukan yang mencengkam membuatkan otaknya bertambah buntu. Langkah kakinya semakin berat. Dia cuma berjalan sambil memerhatikan kereta-kereta di sekelilingnya, kalau-kalau ada kereta Amri di situ. Tapi sayang. Selain dari warna kereta Amri, Darin tidak ingat apa-apa lagi. Nombor plat? Jangan haraplah.
Adakah ini balasan Allah padanya kerana tidak berbaik dengan Amri? Darin menekup mulut dengan tangan yang sudah membeku. Matanya sudah berkaca-kaca. Hatinya sudah dipenuhi dengan perasaan takut yang amat dan mindanya sudah mula membayangkan sebarang kemungkinan buruk yang mungkin berlaku padanya jika dia tidak bertemu dengan Amri.
Apabila terdengar bunyi kereta, Darin cepat-cepat menoleh dengan harapan bahawa kereta tersebut ialah Amri yang sedang menunggunya. Hampa. Cuma sebuah kereta asing yang lalu. Hampir tiga buah kereta melintasinya, dan setiap kali Darin akan menoleh sebelum menunduk hampa. Dia terasa seperti sedang mengecut saja. Takut yang dirasai bukan main-main lagi. Terasa seperti orang bodoh saja, dan tanpa disedarinya, air matanya yang hangat sudah mengalir membasahi pipinya yang dingin.
“Amri, kenapa kau tinggal aku…” rintihnya tanpa sedar.
Dari jauh kedengaran lagi bunyi kereta menghampirinya. Kali ini, Darin tidak lagi melihat. Dia yakin Amri sudah tiada. Jika ada pun, bagaimana Amri mahu mencarinya? Dia yakin dia sudah ditinggalkan seorang diri di Genting dengan hari yang menghampiri senja!
Dalam masa yang sama, dia menanti saja kereta yang kedengaran di belakangnya tadi melintasinya, tetapi tiada. Akhirnya, dia menoleh laju dan hampir mahu gugur jantungnya apabila mendapati sebuah kereta berada di belakangnya, bergerak dengan begitu perlahan seolah-olah mengekori langkahnya. Tanpa melihat ke dalam kereta yang bercermin agak gelap itu, Darin terus membuka langkah seribu meninggalkan kereta itu di belakang.
Kenapa kereta itu mengekorinya?
Itu bukan Amri! Dia nak culik aku ke?
Dengan air mata yang masih belum kering di pipi, Darin menyusup di antara kereta-kereta yang ada lalu menyorok di belakang salah sebuah kereta. Debaran jantungnya semakin menggila. Dia dapat mendengar bunyi enjin kereta itu menghampiri tempat persembunyiannya, dan juga bunyi pintu kereta dibuka. Darin semakin gugup. Terus ditekup mulutnya, cuba menahan nafas.
“Cik!”
Suara seorang lelaki menerjah telinga Darin  membuatkannya semakin takut. Siapa lelaki itu? Kenapa dia nak kacau aku? Ya Allah selamatkanlah hambaM ini!
“Dah ke mana pulak perempuan ni?” Kedua tangannya sudah mendarat di pinggang.
“Aku nak tolong dia, dia boleh pergi menyorok pulak. Cik!” Dia memanggil lagi, tetapi masih tiada sahutan.
Fakhri menghela nafas dalam.
“Nak biarkan ke, nak tunggu ni?” Fakhri mengetuk-ngetuk bumbung keretanya pula, berfikir-fikir sendiri sambil matanya meliar mencari kelibat perempuan tadi.
“Cik, saya nak tolong cik ni. I think you know me.” Fakhri bersuara lagi, tetapi sayangnya, masih tiada sahutan.
Oh fine. I don’t have any other choices,” ujarnya sendiri. Serentak dengan itu, Fakhri terus mendaratkan kedua lututnya ke atas lantai, sebelum kedua tapak tangannya turut mendarat di atas lantai yang sedikit berdebu bagi membolehkan badannya diimbangi. Kepalanya turut direndahkan, dan di sebalik tayar-tayar kereta, Fakhri dapat melihat satu susuk yang sedang mencangkung tidak jauh darinya.
Fakhri senyum. Dia berdiri kembali sambil membersihkan lutut seluar sleknya dan juga kedua tapak tangannya.
Tak fasal-fasal kotor seluar aku.” Langkah kakinya diatur perlahan ke arah susuk yang dilihatnya sebentar tadi, dan sebaik saja dia menghampiri, belakang tubuh itu yang sedang mencangkung mula kelihatan, dengan wajahnya rapat ke lutut yang dipeluk.
Fakhri meneguk liurnya. Menggeleng juga dia. Sungguh dia tak faham dengan perempuan ini.
“Cik!”
“Argh!!” Spontan Darin menghadap tubuh Fakhri dengan wajah yang basah, dan juga dada yang berombak.
Fakhri yang turut terkejut melangkah dua tapak ke belakang secara spontan, dengan tangannya diangkat tanda dia datang dengan aman.
“Kau siapa? Jangan apa-apakan aku!” Jerkah Darin segarang-garangnya dengan jari telunjuknya sebagai senjata untuk mempertahankan dirinya.
Mengerti dengan situasi itu, Fakhri pantas membetulkan dirinya. Dia tidak mahu dilihat mengancam gadis itu.
“Sabar, sabar. Saya nak tolong cik. Tadi sebenarnya saya dah lalu di sebelah cik dan bila cik toleh, saya rasa macam saya pernah nampak cik. Sebab tu saya datang balik ke sini. Tadi, cik ada joinevent di atas kan?”
Mendengar soalan itu, Darin mengetap bibirnya.
“Cik tak ingat saya?” Soal Fakhri lagi apabila gadis itu tidak lagi bersuara, Cuma memandangnya dengan bola mata yang jelas berair.
Darin menggeleng sekali, tanpa melarikan matanya dari wajah Fakhri. Masih dalam keadaan berjaga-jaga.
“Awak siapa?”
“Betul tak ingat?”
“Ish, cakap jelah. Main-main pulak,” desis Darin. Orang dah cakap baik-baik, lagi nak buang masa. Sudahlah kepala otaknya sedang serabut!
“Kedai handphone hari tu, yang cik pergi repairhandphone kalau tak silap. Ingat?”
Berkerut-kerut sebentar dahi Darin, sebelum jantungnya bagai terhenti sesaat. Lelaki ni, yang di kedai tempoh hari…
Darin terus melarikan matanya dari menentang mata lelaki itu yang masih melekat padanya. Dia teramat pasti wajahnya sudah memerah kerana terasa panas wajahnya secara tiba-tiba.
Adoi, bala, bala! Hari tu menyombong bukan main lagi!
Fakhri masih tersenyum. Pastinya gadis itu sedang mengimbau pertemuan mereka tempoh hari. Dia berdeham perlahan.
So, cik nak pergi mana ni? Menangis macam ni seorang diri. Kawan tinggal ke?”
Darin sudah menunduk, malu!
“Saya... saya sesat.”
Terangkat kening Fakhri.
“Sesat? Saya yang jarang datang sini pun tak sesat. Kenapa cik sesat? Mana kereta cik?” Melingas mata Fakhri ke kiri dan kanan.
“Tak ada.”
Sekali lagi Fakhri mengangkat kening, kali ini diikuti dengan kerutan dahinya.
“Hah, tak ada kereta? Habis, cik datang dengan apa?”
Kali ini, Darin mengangkat matanya dan mendapati lelaki itu tersenyum semakin lebar. Sakit pula hatinya.
“Kawan,” balasnya begitu perlahan.
“Jadi betullah cik kena tinggal?” Fakhri sudah menunjukkan bunga-bunga mahu ketawa. Lucu melihat Darin begitu.
“Gelaklah! Ya, saya memang kena tinggal!” Tengking Darin geram.
Tidak jadi Fakhri mahu ketawa, tetapi senyumnya masih belum pudar.
“Garang tak bertempat. Memang patutlah kena tinggal.”
Darin menjeling tajam. Perlahan suara lelaki itu tapi dia tetap dengar juga.
“Apa awak cakap?”
“Eh, tak. Tak ada apa-apa. So, sekarang ni, do you need my help?”
Entah kenapa, soalan itu Darin rasa berdesing di telinga nya. Sekilas, matanya mengerling pakaian yang tersarung di tubuh yang agak tegap itu. Kemas dan berkarisma. Walaupun pakaiannya kasual, tetapi Darin tahu nilainya pasti lebih dari apa jua pun yang tersarung di badannya kini. Siapa dia ni sebenarnya?
Kalau tak silap, hari tu lelaki ni begitu selekeh. Hari ini, penampilannya berbeza 100 peratus. Matanya jatuh pada kereta yang berkilat gagah di belakang lelaki itu. Bodoh-bodoh dia pun, dia tahu kereta itu mahal. Jujurnya, Darin tidak pernah melihat kereta seperti itu. Sempat pula Darin mencari-cari lambangnya.
Tapi, kalau nampak pun, bukan aku tahu ni kereta apa. Dan dia cuma mampu mengeluh lemah.
“Awak orang baik ke?” Soalan itu terpacul dari mulutnya, yang akhirnya memecahkan tawa lelaki itu dan kemudiannya bergema di seluruh ruang parkir yang sememangnya cuma ada mereka berdua dan kereta-kereta yang mati.
Tanpa diminta, lelaki itu mengeluarkan sesuatu dari dompetnya yang nampak sangat mahal, dan sekeping kad dihulurkan kepada Darin.
“Nah, saya Tengku Fakhri Tengku Adnan. Nice to meet you, cik…”
Teragak-agak Darin menyambutnya.
“Darin… Darin.”
“Oh, nama comel. Kalau tak garang dan sombong, mesti lagi comel.”
Sindiran itu jelas menyapa telinganya, membuatkan Darin turut tersenyum sesaat.
“Dah? Cukup dah perli-perli saya? Sekarang nak tolong ke tak?” Jegilnya kembali. Memang tak padan langsung dengan gaya orang yang mahukan pertolongan. Garang...
Senyum lelaki itu memudar dan riaknya berubah serius serta-merta. “Awak nak saya tolong ke?” Dari ‘cik’ berubah kepada ‘awak’.
Darin menyeka sisa air mata di wajah yang sudah mula terasa melekit. “Kalau nak tolong, tolong. Tak nak tolong, tak apa.”
Fakhri menggeleng. Hei...ada juga manusia macam perempuan ni. Nak minta tolong tapi sombongnya bukan maain lagi.
“Saya tanya ni, nak saya tolong ke tak?” Kali ini, nada Fakhri lebih serius, tak mahu kalah dengan kesombongan gadis di depannya ini membuatkan Darin sedikit tidak keruan. Ditelan liurnya, kelat.
“Tolong.” Begitu perlahan dia menjawab.
What? Couldn’t hear you.”
“Ish, pekak ke? Tolong!” Hampir Darin mahu menjerit ke telinga lelaki bernama Fakhri itu.
Fakhri tersengih sinis.
“Ha, kan bagus kalau mintak tolong. Jom, saya hantar awak. Nak balik mana? KL?”
“Haah.”
“KL kat mana?”
“Cheras.”
“Okey. Jom.” Dia terus berlalu ke keretanya. Lambat saja Darin membuka langkah, masih teragak-agak. Kad di tangannya dikerling.

Tengku Fakhri Tengku Adnan
Executive Director

Tu je? Dia mencebik. Kad berwarna keemasan itu dibelek depan belakang, tetapi cuma itu saja yang tertulis di atas kad itu. Apa punya kad ni? Membazir je ada nama dia seorang, dengan jawatan. Aku pun boleh buat kad macam ni. Langkahnya semakin perlahan.
Nak ikut ke… tak? Cuak pula dia.
 
Snippet yang diterbitkan di blog ini merupakan sebahagian dari bab sebenar dalam versi cetak. Dilarang sama sekali menerbitkan mana-mana bahagian ini di mana-mana dalam bentuk apa sekalipun tanpa kebenaran bertulis dari penerbit.


PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.

No comments:

Post a Comment