Hari yang dinantikan tiba juga. Hampir semua barangan seperti perabot, pakaian, dan pelbagai lagi sudah dinaikkan ke atas lori. Hampir 2 buah lori besar penuh dengan barang mereka.
Paan termenung di kaki lima rumahnya. Lastiknya di tangan. Ditendang batu-batu kecil di kaki. Dia merenung kosong pekerja-pekerja yang sedang sibuk mengangkat barang. Tak langsung dipedulikannya.
Riuh suara Haliza mengarah pekerja ke sana ke mari. Nazri turut sibuk menguruskan segala keperluan. Telefonnya tak lekang dari telinga.
Mereka kelihatan gembira. Cuma Paan yang kurang ceria. Sepatutnya, mereka ada lebih kurang sebulan lagi. Tapi Paan terdengar ibunya mendesak supaya perpindahan mereka dipercepatkan dan Nazri menurut sahaja.
Peristiwa hari tu masih terakam elok di mindanya, bermain berulang kali tanpa disedarinya.
Wajah tegang datuknya, wajah pilu Isabelle, dan wajah sinis ibunya. Perit tamparan tempoh hari masih terasa. Anehnya, pulang ke rumah, Haliza memberi amaran kepada Paan supaya tidak memberitahu apa-apa pada ayahnya. Baik mengadu tentang dia ditampar Haliza atau mengkhabarkan perihal Tuk Khalid menampar Haliza.
Paan tak kisah. Dia bukan pengadu. Dia tak peduli pun tentang ibunya ditampar. Kebelakangan ini, ibunya menjadi semakin perengus. Geram jugak dia.
Chan dan Aman sudah langsung tidak bertandang ke rumahnya. Takut benar mereka dengan Haliza.
Paan juga dilarang sama sekali keluar rumah, mengaji pun tak boleh lagi.
Paan benar-benar bosan. Duduk di rumah tengok tv saja. Haliza sentiasa memerhatikannya.
Semalam, mereka berkunjung ke rumah datuknya. Ayahnya yang mencadangkan kunjungan itu. Tujuannya untuk memberitahu perihal perpindahan mereka, padahal Nek Zizah dan Tuk Khalid sudah tahu, dan apa yang sudah berlaku begitu jauh dari sangkaan Nazri.
Pelik. Mereka semua bereaksi seakan-akan tiada apa yang berlaku. Samada Nek Zizah, Tuk Khalid, ibunya, semuanya seperti biasa. Paan benar-benar pelik.
Isabelle tak keluar langsung. Mungkin Nek Zizah yang melarang. Paan terasa sayu mengenangkan kata-kata kasar ibunya tempoh hari pada Isabelle. Kesian dia.
Idea!
Paan tiba-tiba terfikirkan sesuatu. Semua orang sedang sibuk. Apa kata kalau…
Paan mencari peluangnya. Apabila dia pasti ibunya tidak melihat, Paan pantas membuka langkah, dan destinasinya tak lain tak bukan, rumah neneknya.
“nenek!” Paan termengah-mengah di bawah rumah.
Bukan nenek yang keluar. Isabelle.
“you!” jerit suara kecil itu.
Senyuman terukir di bibirnya. Lama dia tak melihat wajah itu, sejak kejadian tempoh hari.
Paan turut tersenyum.
“hai Isabelle. Awak sihat?”
Isabelle angguk. Dia duduk di anak tangga teratas.
“sihat. And you?”
“ok. Nenek mana?”
“eh, Paan buat apa kat sini? Mak mana?” suara terkejut Nek Zizah menyapa membuatkan kedua mereka berpaling.
Paan menunjuk ke satu arah.
“mak kat rumah. Tengah sibuk angkat barang.”
Wajah Nek Zizah kerisauan.
“mak tau ke tak Paan datang? Nanti, mak marah pulak, macam mana?”
Paan geleng.
“biarlah. Takkan nak datang buat kali terakhir sebelum pergi pun tak boleh?” rungut Paan.
Dia memanjat anak tangga apabila nafasnya sudah kembali tenang.
“Isabelle, nah.” Dihulurkan lastik itu.
Isabelle merenung lastik itu pelik.
“for what?” disambut juga lastik itu, teragak-agak.
“hadiah. Entah bila kita akan jumpa lagi. Paan tak sempat pun nak jumpa Chan dan Aman untuk kali terakhir, nek.”
Nek Zizah senyum tawar. Dia melabuhkan punggungnya di sisi Isabelle. Diusap kepala cucunya itu.
“sabarlah. Mak marah ada sebab. Paan boleh balik ke sini bila-bila masa, kan?”
Paan memuncungkan mulutnya.
“haraplah mak bagi balik sini. Macam tak ada harapan je.”
Nek Zizah menggeleng tidak setuju.
“ish, tak baik Paan cakap macam tu. Mak mesti bagi. Kan nenek dan atuk ada di sini. Takkan mak tak bagi datang pulak?”
“alah, kalau dekat pun dia marah, kalau jauh lagilah.” Rungut Paan lagi.
“why does she hate me?” tiba-tiba suara itu mencelah. Lastik Paan di tangannya.
Nek Zizah menoleh kepada Isabelle dengan wajah ragu-ragu.
“eh, tak, dia tak benci Isabelle.”
Paan angguk.
“haah la nek. Kenapa mak benci Isabelle? Sebab Isabelle dia tak benarkan Paan datang sini dah. Nak mengaji pun dah tak boleh. Hari tu Paan ada tanya mak.”
Nek Zizah terkedu.
“mak jawab apa?”
Paan jungkit bahu.
“mak kata tu urusan mak.”
Nek Zizah melepaskan nafas lega tanpa mereka sedari.
“Paan, memang hal ni hal orang tua. Tapi, mak tak benci Isabelle.” Nek Zizah cuba meyakinkan mereka.
Isabelle merenung lastik itu kosong.
“she was mad at me. I can see that. Nek Zizah, why does everybody hate me? Now, Paan is going away. His mother hates me too. My father, my mother, my grandfather, grandmother, they didn’t even come and see me. Why?” seolah-olah berbicara sendiri, suara Isabelle semakin perlahan.
Nek Zizah pantas menarik tubuh itu ke dalam pelukannya.
“tak Isabelle. Nenek sayang Isabelle. Tuk Khalid sayang Isabelle. Paan pun suka Isabelle. Kan, Paan?” Nek Zizah memujuk.
Paan angguk laju.
“betul. Saya suka awak, walaupun mak saya tak suka awak. Jangan sedih ya.”
Isabelle merenung Paan lama.
“but you’re going away. Just like my parents, my grandparents.”
Paan mengeluh perlahan.
“ya. Sebab mak saya nak pergi, saya terpaksa pergi. Tapi saya akan datang semula untuk awak.”
Mata bulat itu tidak berkedip.
“promise?”
Paan senyum lebar. Dia mengangkat sebelah tangannya, gaya berikrar.
“saya janji!”
Isabelle tersenyum nipis.
“thanks for this.”
Paan angguk.
“Paan!”
Serentak mereka bertiga menoleh. Isabelle memeluk Nek Zizah erat seraya terpandang wajah garang itu.
Paan pantas menuruni tangga, mendapatkan Haliza.
Ditariknya tangan Paan kasar.
“mak kata jangan datang sini lagi kan? Nak kena lagi ke, hah?” tengking Haliza.
Nek Zizah terasa sentakan dari tubuh Isabelle, terkejut dengan tengkingan itu.
“Liza, dia Cuma nak ucap selamat tinggal je.”
Mencerlung mata Haliza merenung Isabelle tajam.
“pada siapa? Budak tak guna tu??”
“Liza! Tak baik kamu cakap depan budak-budak macam tu!” tegur Nek Zizah, suaranya lebih keras sedikit dari tadi.
Haliza memalingkan mukanya.
“maafkan Liza mak. Tapi, Liza nak mak tau. Selagi budak tu di sini, kami takkan balik ke sini lagi.”
Paan mendongak pantas, terkejut dengan kata-kata ibunya.
“tapi mak.. kan nenek dan atuk…”
“diam! Dengar cakap mak! Kita takkan balik ke sini lagi selagi dia kat sini! Faham?!” jerkah Haliza lagi.
Paan tertunduk. Sakit pergelangan tangannya dicengkam ibunya.
“Liza, sampai hati kamu buat mak dan ayah macam ni.” Sayu suara Nek Zizah.
Haliza merengus kasar sebelum dia merentap tangan Paan kasar, memaksa Paan berjalan mengikuti langkahnya.
Isabelle Cuma mampu melihat sehingga wajah Paan hilang dari pandangan. Setitis air matanya turun lagi.
Nek Zizah memeluk Isabelle erat. Hatinya disayat pilu. Anak sendiri sanggup buang saudara kerana seorang anak kecil yang tak bersalah.
Deruman enjin kenderaan sayup-sayup membuatkan perhatian kedua mereka terganggu. Pandangan mereka tertumpu pada sebuah kereta asing berwarna hitam yang sudah berhenti betul-betul di depan rumah.
Seorang lelaki keluar. Mungkin umurnya hujung 40-an. Nek Zizah pelik. Tak pernah dia melihat lelaki itu.
“assalamualaikum.” Lelaki itu menyapa mesra. Di tangannya ada sebuah beg, juga berwarna hitam.
“waalaikumussalam. Encik ni, siapa?” soal Nek Zizah.
Isabelle turut merenung hairan.
Lelaki itu menghampiri, dan kini dia berdiri betul-betul di depan tangga. Kemas orangnya. Wajahnya juga manis, tenang, penuh karisma.
“ini rumah Encik Khalid bin Deraman?”
Nek Zizah angguk.
“ya. Tapi encik ni siapa?”
Lelaki itu tersenyum nipis.
Dia mengeluarkan sesuatu dari kocek bajunya. Dihulurkan pada Nek Zizah.
Nek Zizah melangkah turun dua langkah, dan huluran itu disambutnya.
“saya Rashid. Peguam Dato' Dini. Encik Khalid ada?”
Nek Zizah memandang lelaki itu pelik. Peguam Dini? Kenapa peguam dia yang datang? Bukan dia?
“dia di kebun. Belum balik lagi. Kenapa encik nak jumpa dia?” tanpa ragu-ragu Nek Zizah menyoal lagi.
Rashid tersenyum lagi.
“maafkan saya. Saya tak dapat beritahu puan sebab saya datang sini. Saya perlu bercakap dengan Encik Khalid sendiri. Bila dia akan pulang agak-agak?”
Nek Zizah jungkit bahu.
“tak tentu.”
Rashid tersenyum mendengar jawapan itu. Perhatiannya tertumpu pada Isabelle. Dengan wajah yang begitu berbeza, Isabelle menarik perhatian semua orang.
“hi little girl. You must be Isabelle, daughter of Zainal. Right?” dia menyapa Isabelle pula.
Nek Zizah mula menaruk syak. Kenapa dia kenal Isabelle?
Isabelle turut merenung lelaki itu pelik. Sudah sekian lama tiada orang yang bertutur dalam bahasa inggeris dengannya.
“yes. And who are you?” air mata di pipi dikesat dengan belakang tangannya.
Lastik Paan masih di tangan kirinya.
“I’m a good friend of you grandfather. Nice to meet you.”
Isabelle tidak membalas. Hairan.
Rashid kembali memusatkan perhatiannya pada Nek Zizah.
“puan, tolong beritahu suami puan, saya akan datang semula ke sini esok. Saya perlu berjumpa dengannya. Pukul dua, boleh?” Rashid menetapkan temujanji mereka.
Nek Zizah angguk, ragu-ragu.
Rashid turut mengangguk senang.
“baiklah, kalau macam tu, saya mintak diri dulu. Kita jumpa esok. Assalamualaikum.”
Nek Zizah mengangguk lagi.
“waalaikumussalam.”
Rashid memusingkan badannya, ke kereta mewahnya semula. Enjin dihidupkan dan kereta itu mula bergerak keluar dari pekarangan rumah mereka.
Nek Zizah mula khuatir. Kenapa peguam Dini yang datang? Mana Dini?
Nek Zizah memanjat doa, supaya apa yang bermain di fikirannya tidak betul-betul berlaku. Kalau tidak, kesian Isabelle.
Pelukannya bertambah erat.
jgn2 dtuk isabelle kmalangan x??
ReplyDeleteksiannya kt isabelle..
kejam btol lah haliza 2...
semakin menarik......... ...........................
ReplyDelete