About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Thursday, January 7, 2010

Ini Bubur Cinta: Bowl 9



Tuk Khalid mengemaskan duduknya di atas kerusi rotan yang sudah menghuni rumah itu selama hampir 15 tahun. Kusyennya sudah nipis. Boleh terasa rotan yang menjadi ‘tulang’ di bahagian bawah jika seseorang itu terlalu kurus.
Isabelle di sebelahnya, dengan gaun kembang dan mata perang bulatnya. Tumpuan mereka sama.
Lelaki berkemeja biru belang-belang di hadapan mereka yang sedang sibuk mengeluarkan sesuatu dari beg bimbit hitam yang dibawanya semalam.
Nek Zizah masih belum muncul dari dapur. Menyediakan sedikit juadah buat tamu asing itu.
Bunyi kipas angin yang sudah longgar wayarnya itu membuatkan suasana sedikit bingit, namun itu tidak menghalang kedua mereka dari menumpukan sepenuh perhatian pada Rashid, yang mengaku dirinya peguam Dato' Dini.
Apa itu peguam, Isabelle tidak betul-betul mengerti. Namun pemandangan asing itu tetap menarik perhatiannya, walaupun dia sudah biasa dengan pemandangan sebegitu semasa di rumah datuk dan neneknya yang sentiasa berpakaian anggun dan kemas.
Ini kerana setelah sekian lama dia di rumah itu, yang menyapa matanya Cuma pakaian lusuh Tuk Khalid, baju kurung dan kain batik Nek Zizah, seluar pendek Paan, Chan, dan Aman yang sekali-sekala berganti dengan seluar panjang lusuh. Jadi untuk melihat seseorang berpakaian kemas di rumah itu merupakan sesuatu yang lain padanya.
Nek Zizah muncul beberapa ketika kemudian bersama sedulang minuman dan kuih-muih yang dibuatnya khas mengenangkan mereka akan menyambut tetamu yang sama besar kedudukan dan taraf ketinggiannya dengan Dato' Dini.
Rashid mengukir seulas senyum, dan dia setia menanti Nek Zizah menghidang minuman dan kuih-muih itu sebelum dia memulakan bicaranya. Seperti semalam, dia kelihatan tenang, dan karismanya amat menyerlah. Memang sesuai dengan jawatannya sebagai seorang peguam professional.
Nek Zizah mengambil tempat di sebelah Isabelle, menjadikan Isabelle di tengah-tengah, antara dia dan suaminya.
Rashid berdehem perlahan.
Dia memandang kedua mereka silih berganti. Tak dilupakan Isabelle di tengah-tengah, yang menatapnya penuh minat.
“pertama sekali, saya nak sampaikan berita buruk kepada Encik Khalid dan Puan Azizah.”
“berita apa tu?” Tuk Khalid terus menyampuk didorong oleh debaran dan resahnya yang disimpan sekian lama, sejak dia dikhabarkan tentang kedatangan peguam itu semalam, dan bagaimana perlunya peguam itu bertemu dengannya.
Rashid tertunduk seketika. Jelas kelihatan berat untuk dia meneruskan bicaranya.
“Dato' Dini, dan Datin Rahmah, terlibat dalam kemalangan ngeri seminggu yang lalu. Mereka… dah pergi.” Bicara Rashid terhenti seketika.
Tuk Khalid tersandar lemah. Bagai terhenti nafasnya mendengar khabar itu. Nek Zizah turut tersentap. Kelu lidah mereka. Tidak terkata apa-apa lagi.
“innalillahiwainnailaihi rajiuun…” akhirnya Tuk Khalid mampu meluahkan sepotong ayat itu.
Rashid menggigit bibir. Dia sudah menjangka reaksi itu dari mereka. Dari cerita Dato' Dini, mereka orang yang kuat agama. Mereka juga sahabat baik Dato' Dini. Jadi, dia turut memberi penghormatan yang serupa yang diberi kepada Dato' Dini kepada mereka.
Rashid berdehem lagi sebelum meneruskan bicaranya. Sekilas pandangannya jatuh pada Isabelle, yang tidak menunjukkan reaksi serupa yang terpancar di wajah kedua orang tua itu. Mana mungkin dia mengerti. Dia baru berumur 4 tahun. Sedarkah dia apa yang telah diwarisinya?
“Dari cerita yang saya dengar, mereka dalam perjalanan ke Kampung Durian Rapat, iaitu kampong ini, untuk melawat Isabelle. Dato' Dini memandu sendiri semasa kejadian. Hujan lebat menyebabkan Dato' Dini hilang kawalan, dan mereka merempuh sebuah treler yang tersadai di tepi jalan. Dato' Dini meninggal di tempat kejadian. Datin Rahmah pula menyusul tak lama lepas dia dibawa ke hospital kerana kecederaan parah di kepala dan seluruh badan.”
Nek Zizah menekup mulutnya. Matanya turut terpejam, dan beberapa ketika kemudian, titisan jernih mula menitis membasahi pipinya.
Perasaan tidak sedapnya selama ini membawa berita buruk. Mereka telah pergi, untuk selamanya. Nek Zizah menoleh ke sisi. Ditarik Isabelle ke dalam pelukannya.
Terpinga-pinga Isabelle dengan tindakan spontan Nek Zizah, namun dia tidak menolak. Dibiarkan saja Nek Zizah memeluknya erat.
Rashid menunduk seketika, dan kertas di tangannya direnung kosong. Dia sedar dia membawa khabar buruk pada keluarga itu, terutamanya pada Isabelle. Lambat-laun, dia akan mengerti.
Tuk Khalid tidak terkata apa-apa. Dia senyap di duduknya, terkunci bibirnya. Bukan itu khabar yang dimahukannya, namun kuasa Tuhan, tiada siapa yang mampu melawan kudratNya. Mereka Cuma insan yang lemah, hambanya yang Cuma mampu berdoa.
Rashid membetulkan duduknya. Dia menarik nafas dalam.
“kedatangan saya ke sini, saya rasa, mesti Encik Khalid dan Puan Azizah dapat menekanya. Saya diamanahkan untuk menguruskan harta Dato' Dini sejak dia masih hidup, dan semua urusan undang-undang hartanya dan syarikatnya diuruskan oleh saya, secara tak langsung, oleh firma guaman saya. Jadi….”
Rashid berhenti sekejap, mengambil nafasnya, dan perhatiannya tertumpu pada kertas di tangannya. Pandangan mereka di depannya turut terpaku pada kertas itu, dan masing-masing tertanya-tanya, apakah keistimewaan kertas itu sehingga Rashid boleh merenungnya begitu lama.
“saya di sini untuk membacakan wasiat Dato' Dini.” Diangkat kertas di tangannya sedikit.
Tuk Khalid menelan liur. Fahamlah dia. Dia mengangguk perlahan.
“tuan peguam boleh teruskan dengan wasiat tu. kami sedia mendengar apa jua yang diwasiatkan Dini.” Tuk Khalid memberi persetujuannya, walaupun Rashid tidak meminta.
Rashid mengukir senyum nipis.
Dia berdehem lagi.
“baiklah. Sekarang, saya akan bacakan wasiat Dato' Dini…”
Nek Zizah mengesat titisan jernih yang masih menghuni wajahnya, cuba menenangkan dirinya. Pelukannya direnggangkan, dan Isabelle menghela nafas lega, nafasnya sudah kembali.
“dengan ini, saya, Dini b Mehat, mewasiatkan 1/3 harta saya kepada rumah-rumah anak yatim yang akan diuruskan oleh Encik Rashid b Riduan, 1/3 lagi untuk hospital-hospital dan klinik-klinik, yang juga akan diuruskan oleh Encik Rashid b Riduan, dan selebihnya, akan diserahkan kepada waris saya satu-satunya, Isabelle bt Zainal. Harta itu termasuklah seluruh perniagaan saya yang sedang berjalan sekarang. Oleh kerana Isabelle masih di bawah umur, maka harta ini akan diuruskan oleh Encik Rashid sebagai pemegang amanah sehingga Isabelle mencapai umur 18 tahun dan layak untuk mentadbir semua harta ini dengan sendirinya.”
Tuk Khalid menarik nafas dalam sebaik sahaja wasiat itu selesai dibacakan. Nek Zizah tersenyum tawar. Diusap kepala Isabelle lembut.
Gembira kerana masa depan Isabelle terjamin kelak. Jadi dia tak perlu bimbangkan keadaan Isabelle jika dia dan Tuk Khalid menyertai Rahmah dan Dini di alam sana.
Rashid menatap ketiga-tiga mereka silih berganti. Semua mereka senyap.
“err.. Encik Khalid nak tengok wasiat ni?” Rashid menawarkan.
Tidak mahu dianggap tidak jujur dan amanah dalam menjalankan tugasnya.
Tuk Khalid menolak sopan.
“tak perlu. Saya puas hati dengan wasiat ini. Sekurang-kurangnya…”
Dia menoleh ke sisinya, dikerling Isabelle yang tidak mengerti apa-apa.
“kalau kami pun dah tak ada nanti, hidup Isabelle terjamin. Itu saja yang kami mahukan.” Bicara Tuk Khalid tenang.
Rashid tersenyum nipis, dia mengangguk, puas hati dengan reaksi Tuk Khalid.
Nek Zizah turut mengangguk perlahan. Menyokong balasan suaminya.
“jadi, saya rasa Encik Khalid dan Puan Azizah sudah faham dan jelas dengan semuanya. Memandangkan Dato' Dini sudah tiada, saya akan mengambil alih tugas memasukkan wang bulanan ke dalam akaun Isabelle, seperti yang dilakukan oleh Dato' Dini sebelum ini. Setiap bulan, berapa yang dimasukkan Dato' Dini ke dalam akaun?” soal Rashid ingin tahu.
Tuk Khalid menoleh ke sisi, melihat isterinya, seolah-olah isterinya tahu jawapan kepada soalan itu. Nek Zizah termangu-mangu.
Tuk Khalid memandang ke hadapan kembali seraya tersenyum kelat. Teragak-agak.
“err..sebenarnya, saya tak pernah lagi gunakan duit Dini. Isabelle tak perlukan begitu banyak keperluan sekarang. Makan pakai dia masih boleh kami sediakan. Jadi, saya tak pernah tengok berapa jumlah duit dalam akaun tu.” Tuk Khalid berterut-terang.
Rashid terdiam, sebelum dia mengangguk lambat-lambat.
“oh, macam tu..”
Senyap.
“kalau macam tu, macam ni lah. Saya akan masukkan duit sebanyak mana yang saya rasakan perlu setiap bulan. Kalau Encik Khalid, dan Puan Azizah memerlukan duit untuk menyara Isabelle dan jugak untuk keperluan seisi rumah ini kelak, jangan segan silu untuk keluarkan duit tu. itu hak Isabelle, dan jugak hak Encik Khalid dan isteri. Itu yang pernah Dato' Dini cakapkan pada saya sebulan lepas…” jelas Rashid.
Tuk Khalid tenang mendengar bicara Rashid.
“baiklah. Kami amat hargai perhatian Dini, dan Encik Rashid pada kami. Tapi, sedaya upaya kami akan menyimpan duit itu, untuk kegunaan Isabelle di masa depan. Saya percaya, Isabelle lebih memerlukan duit itu dari kami.” Tenang juga bicara Tuk Khalid, membuatkan Rashid tersenyum lagi.
Mereka ini orang yang jujur, dan besar hati. Pujinya di dalam hati.
“baiklah kalau begitu. Saya rasa, itu saja yang perlu saya sampaikan.” Rashid mahu meminta diri namun pantas ditahan Nek Zizah.
Dia meminta Rashid menjamah hidangannya dulu. Rashid dengan malunya mengaku dia sudah terlupa tentang hidangan di depan matanya.
Sambil makan dan minum, mereka bercerita sedikit sebanyak tentang arwah Dato' Dini, Datin Rahmah, Zainal dan Marriot juga tidak terkecuali, dan juga Isabelle. Yang paling penting, nasib malang yang menimpa Isabelle.
Rashid amat bersimpati kerana Isabelle telah kehilangan kedua insan yang menyayanginya sepenuh hati dengan ketiadaan kedua ibu bapa yang amat diperlukan di sisi.
“Zainal… tak balik masa pengebumian Dato' Dini?” sempat Tuk Khalid bertanya.
Dia juga ingin tahu jika Zainal muncul kembali. Dia mahu bertemu Zainal jika ada kesempatan. Isabelle patut bersama kedua ibu bapanya, atau salah seorang dari mereka terutamanya setelah pemergian datuk dan neneknya.
Rashid menggeleng lemah.
“Zainal tak balik. Puas kami cari dia, tapi tak jumpa. Marriot pun tak dapat dihubungi.”
“hey, that’s my mum.”
Bicara Rashid terhenti, dan pandangannya tertumpu pada si empunya suara itu.
“yes, dear. Marriot is your mum. You’re a very clever girl. Do you miss her a lot?”
Isabelle mengangguk. Sayu Nek Zizah melihat reaksinya.
“I miss her very much. But granny said, she is faraway.” Dia berpaling pada Nek Zizah spontan.
“Nek Zizah, why isn’t granny here? She said she will come and see me.” Soalnya lancar pada Nek Zizah yang terpaku seraya mendengar soalan itu.
Tuk Khalid turut melepaskan keluhan sayu. Rashid tertunduk seketika.
Apa jawapan yang terbaik untuk diberikan padanya? Nek Zizah buntu. Dia takkan mengerti erti kematian. Seawal umur 4 tahun, kematian tidak terdapat dalam kamus hidupnya.
“Isabelle…” suara Rashid memanggil lembut membuatkan Isabelle memandang hadapan kembali, dan mata bulatnya terpaku pada wajah Rashid.
Rashid cuba menahan getar.
“your granny and grandpa, they too, have gone away. They will not come and see you, not anymore.”
Isabelle tidak terus membalas, sebaliknya dia merenung wajah Rashid lama seolah-olah dia cuba menafsir erti kata-kata Rashid padanya.
“like my mum? But granny said my mum will come and take me away if I behave. Why isn’t granny coming back like mum?” dia menyoal lagi.
Rashid kelu. Akhirnya, dia tersandar di kerusi rotan itu, hilang kata.
Isabelle masih menanti jawapan, apabila akhirnya Tuk Khalid menyambung bicaranya.
“Isabelle. Kami akan beritahu Isabelle kenapa, tapi bukan sekarang. Boleh?” soal Tuk Khalid, lebih kepada meminta.
Isabelle kelihatan ragu-ragu dan teragak-agak untuk menerima penjelasan dari Tuk Khalid, namun dia mengangguk jua.
“ok. Promise?”
Tuk Khalid angguk yakin, bersama senyum yang amat payah untuk diukir.
“tuk janji.”
Isabelle tersenyum nipis.
Rashid menghela nafas dalam, matanya masih pada Isabelle, dan fikirannya sarat dengan segala hal yang telah berlaku, dan juga rencana masa depan. Masa depan Isabelle padanya kini, dan demi amanah itu, dia akan cuba melaksanakannya sedaya upayanya, selagi nyawa dikandung badan. Itu janjinya.

1 comment: