About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Sunday, January 17, 2010

Ini Bubur Cinta: Bowl 10



Bunyi bising di dapur menandakan Nek Zizah sedang sibuk menyediakan minum petang. Wanita itu sungguh rajin. Petang ini kuih apa pula yang dibuatnya.
Jika dahulu rambutnya putihnya sudah melitupi 1/5 kepalanya, kini bilangan itu sudah berganda. Mungkin sudah 1/4 lebihnya. Pada Nek Zizah, pertambahan itu tidak merunsingkannya. Sebaliknya dia lebih bersedia dalam menghadapi hari-hari terakhirnya. Doanya Cuma satu. Dia diambil kembali oleh Tuannya Cuma apabila Isabelle sudah boleh menjalani hidup sendiri. Dia juga sentiasa memanjatkan doa agar Tuk Khalid pergi dahulu sebelumnya.
Doa yang dua ini tidak pernah terlepas dari ingatannya acap kali usai solat.
4 tahun yang lalu, begitu perit rasanya semuanya. Isabelle yang tidak mengerti apa-apa diletakkan sebagai amanah di bawah jagaan mereka, dan kemudian berita pemergian kedua sahabat baik mereka.
Haliza juga membawa diri kerana dendam. Perit. Begitu perit untuk ditelan seorang ibu tua ini.
Sehingga sekarang, Haliza tidak pulang. Paan juga tidak muncul-muncul. Panggilan telefon pun tidak ada. Acap kali mengenang peristiwa 4 tahun lalu, hati Nek Zizah disayat pilu. Suaminya pula tidak pernah lagi menyebut tentang mereka. Dia sedar, luka di hati Tuk Khalid lebih parah.
Dia begitu sayangkan Haliza, dan bila orang yang tersayang membuat kita terluka, luka itu lebih sukar untuk sembuh.
Dicapainya sebiji pinggan kaca di atas rak. Entah apa yang tidak kena, piring itu terlepas dari genggamannya. Berderai di kakinya.
“astaghfirullahalaziim..”
Nek Zizah mula merasa tidak sedap hati. Teringatkan suaminya di kebun, dan Isabelle yang bermain di luar rumah.
“ya Allah, lindungilah mereka…” Nek Zizah memejamkan matanya lama.
Dia menunduk sedikit, dikutip serpihan kaca yang agak besar dan dikumpulkan. Dia kemudiannya mengatur langkah ke arah penyapu di sudut dapur. Dibersihkan serpihan-serpihan kaca yang masih tinggal.
Ingatannya kembali pada peristiwa 2 malam lepas.
“aku geram betul dengan babi hutan tu. kalau aku dapat, memang aku tak lepas!” luah Tuk Khalid geram.
Nek Zizah yang sedang mengurut kaki suaminya itu menarik nafas dalam dan dilepaskan. Faham benar mengapa suaminya marah.
Kebelakangan ini, babi hutan banyak yang masuk ke kebun dan memusnahkan tanaman seperti ubi kayu. Mereka yang berkebun di pinggir hutan lebih berisiko tinggi untuk kebun mereka dimasuki babi hutan.
Kebetulan pula, Tuk Khalid memang ada berkebun di tepi hutan, dan tanaman utamanya di situ ialah ubi kayu.
Isabelle yang sedang membuat kerja sekolahnya turut memanggung muka mendengar luahan geram Tuk Khalid. Wajah itu juga sudah banyak berubah.
Dia bukan lagi Isabelle yang memakai gaun kembang. Dia kini merupakan budak kampong biasa, seperti budak kampong yang lain. Bajunya lusuh, rambut keemasannya diikat tocang satu dan kadang-kadang dilepaskan.
Siang hari dia di sekolah, petang bermain di parit, dan malam, dia membuat kerja sekolah. Kepandaian Zainal yang diwarisinya membuatkan nombor satu di dalam kelas sentiasa menjadi miliknya, dan dia dicemburui ramai budak kampong yang lain.
Dia pandai, cantik, dan menjadi bualan ramai. Berbeza pula dengan pandangan Isabelle. Padanya, dia Cuma budak kampong. Dia bermain di parit, menangkap ayam, memancing ikan, menahan lukah, memanjat pokok dan bermacam lagi.
Anak orang putih yang masuk kampong. Itu gelaran penduduk kampong padanya. Namun, Isabelle tidak pernah merasa megah dengan semua gelaran itu. Didikan Nek Zizah tidak berbeza dengan didikan Nek Zizah pada cucunya sendiri. Ketegasan Nek Zizah membuatkan Isabelle membesar sebagai seorang yang berbudi bahasa.
Ramai yang menyenanginya. Ramai yang menyukainya. Itu juga Isabelle tidak pernah kisah. Dunianya Cuma sekolah, sekeliling rumah, Chan, dan Aman.
Dan juga sebuah lastik. Isabelle tidak pernah ingat bagaimana lastik itu berada dengannya. Seawal ingatannya, lastik itu memang sudah lama menghuni meja kecil di dalam biliknya.
Pernah Chan bertanya padanya suatu hari semasa mereka sedang memerhati burung raja udang di tepi parit.
“Isabelle, kenapa tak guna lastik kau tu?” Chan juga sudah banyak berubah. Dia bukan lagi Chan yang rongak giginya. Gigi barunya sudah tumbuh, dan menjadikan senyumannya sempurna.
Isabelle, Chan dan Aman tetap berkawan sejak pemergian Paan.
“mana kau tau aku ada lastik?” fasih bahasa melayunya.
Isabelle sudah menjadi anak jati kampong. Bahasa melayunya sudah bertambah baik. Namun bahasa inggeris tetap digunakannya sehingga kini. Jika Chan mahu menggunakannya, Isabelle tidak membantah.
Chan mendongak ke atas, melihat Isabelle yang duduk di atas dahan pokok yang melunjur ke tengah parit.
“kau yang cakap hari tu…”
Hari itu mereka berdua. Aman sibuk. Sibuk apa, Isabelle pun tak tahu.
Isabelle mengesot ke pangkal dahan itu, dan melompat turun tanpa rasa takut. Dia mendarat betul-betul di atas kakinya.
“aku tak suka lah guna lastik. Tak baik bunuh binatang. Nenek marah…” Isabelle menjelaskan seraya mengibas punggungnya.
Chan terdiam.
“dulu, kau pun marah Paan sebab dia lastik anak ayam…”
Isabelle memandang Chan lama.
“Paan lagi… sapa dia tu? aku tak kenallah..” rungut Isabelle.
Nama itu sering meniti di bibir Chan dan Aman, dan acap kali mereka mengaitkan Paan dan dirinya. Tapi dia betul-betul lupa. Siapa Paan?
Chan membetulkan duduk di atas tunggul pokok kelapa.
“kau tak ingat jugak ke? Kan aku cakap, lastik tu, dia punya. Dia yang bagi kat kau dulu, sebelum dia pergi. Kau jugak yang bagitau aku elok je Paan dan keluarganya pindah rumah…”
Isabelle mengutip sebiji batu, dan dicampakkan ke dalam air.
“entahlah, aku memang tak ingat langsung… Nenek pun ada cakap, dia cucu nenek, tapi aku memang tak ingat apa-apa..” keluh Isabelle. Geram juga dia.
Seawal empat tahun, sepatutnya dia sudah boleh mengecam orang di sekelilingnya, tapi dia gagal mengingat sesiapa pun dengan nama Paan. Puas sudah dia mengerah otaknya. Namun dia tahu, Paan wujud kerana lastik itu ada. Jika tidak, masakan orang lain mereka cerita tentang Paan?
“sabarlah bang, dah rezeki kita tak ada. Kan kebun yang lain elok lagi?” suara Nek Zizah mematikan lamunan Isabelle tentang peristiwa hari itu.
Dia kembali menumpukan perhatian pada buku latihan matematiknya. Namun telinganya tidak dapat ditutup. Setiap butir perbualan Nek Zizah dan Tuk Khalid yang bersantai di depan pintu begitu jelas di cuping telinganya.
“memanglah, tapi penatlah aku. Ubi tu dah boleh dijual. Kalau semuanya rosak, membazir macam tu saja. Habis digigitnya sikit-sikit. Susahlah aku macam ni, macam mana nak jual ubi yang dah ditebuk-tebuk macam tu?” Tuk Khalid membebel lagi.
Isabelle berhenti menulis lagi.
Dipanggung mukanya, dan direnung kedua mereka silih berganti.
Wajah tua itulah yang menghiasi setiap muka hidupnya sejak dia mula mengenali hidup. Dia tidak tahu siapa ibu bapanya, dan dia tidak pernah bertanya. Baginya, merekalah segala-galanya. Dia tidak akan mengguris hati mereka dengan bertanyakan tentang hal itu.
Mereka lebih tahu. Apabila mereka mahu berbicara tentang itu, dia sudi menerima apa jua kenyataannya.
Isabelle tahu, dan teramat sedar bahawa dia lain dari yang lain. Dia bukan berasal dari sini, dan Tuk Khalid dan Nek Zizah bukanlah saudaranya, jauh sekali ibu bapanya.
Acap kali dia merenung diri di cermin, dia tahu dia berbeza. Rambutnya keemasan. Berbeza dengan hitam rambut mereka. Matanya kebiru-biruan. Bukan coklat gelap seperti mata Nek Zizah, Tuk Khalid, Chan, dan Aman. Kulitnya cerah kemerah-merahan. Chan cerah juga, tapi kekuning-kuningan. Aman, Nek Zizah dan Tuk Khalid berkulit sawo matang. Di kampong itu, tiada yang sama dengannya. Semuanya berbeza. Tubuh badannya juga besar sedikit dari kanak-kanak sebayanya. Di kelasnya, dialah yang paling besar. Seperti budak darjah 6, padahal baru darjah 2.
Dia saja yang begitu. Aneh. Siapa dia sebenarnya? Soalan itu kerap bermain di fikirannya. Dan dia amat berharap untuk mendengar jawapan dari Nek Zizah, tentang asalnya. Apabila ada orang kampong bertanya ketika mereka mengunjungi majlis keramaian, Isabelle berpura-pura tidak mendengar, sebaliknya dia memasang telinga menanti jawapan Nek Zizah.
Namun jawapannya tetap sama. Seawal yang boleh Isabelle ingat, Nek Zizah Cuma akan menjawab,
“cucu kawan baik…”
Itu sahaja. Tiada nama, tiada lagi ayat seterusnya.
Dan Isabelle tahu, Nek Zizah belum bersedia lagi. Dia masih muda, baru berusia 8 tahun, tapi entah mengapa, hatinya begitu kuat, dan tabah. Dia bukan degil budaknya, tapi dia mempunyai azam yang kuat. Dia tidak mudah menangis. Dia sukar merasa terluka. Isabelle juga tidak tahu mengapa.
Di sekolah, jika ditengking cikgu, kawan-kawan lain pasti sudah menangis. Namun Isabelle masih mampu berdiri tegak, menentang mata cikgu. Bukan biadap, tapi tabah. Menangis bukan jalan penyelesaiannya.
Itulah dirinya.
“Isabelle, pergi tidur. Dah lewat ni..” Nek Zizah menyuruh perlahan.
Isabelle patuh. Dikemaskan bukunya dan meja tamu itu. Dimasukkan buku ke dalam beg dan dizip beg itu sebaiknya.
Dia mengatur langkah ke arah Nek Zizah dan Tuk Khalid, dan dia melutut di sisi mereka. Dihulurkan tangannya.
Nek Zizah menyambut mesra. Bau minyak angin di tangannya berpindah ke tangan Isabelle apabila tangan mereka berpaut. Dia beralih pada Tuk Khalid pula. Walaupun wajah Tuk Khalid tegang, Isabelle tahu Tuk Khalid tak marahkannya. Dia marahkan babi hutan.
Tuk Khalid menyambut tangan itu, dan dicium dahi Isabelle.
Isabelle bingkas.
“assalamualaikum nek, tuk…” ucapnya mengakhiri harinya pada hari itu.
Rutinnya sejak dulu lagi. Dia kemudian mengatur langkah ke bilik.
Belum pun dia masuk ke dalam bilik, kedengaran suara Tuk Khalid lagi.
“aku nak pasang perangkap. Biar mati babi tu…”
Isabelle menutup pintu. Dan dia tidak mendengar apa-apa lagi.
****
Azan maghrib sudah berkumandang selepas beduk dibunyikan. Nek Zizah masih di tangga rumahnya. Keresahan.
Tuk Khalid belum pulang. Isabelle yang baru selesai mandi sudah bersedia dengan telekungnya, namun dia pelik melihat Nek Zizah masih belum bersiap.
“nek..” Isabelle menghampiri.
Nek Zizah menoleh sekilas. Namun dia tidak berkata apa-apa.
Isabelle turut duduk di sisi Nek Zizah. Kain telekungnya di tanggalkan kembali. Dipegang di pangkuan.
“tuk belum balik lagi?”
Nek Zizah melepaskan keluhan perlahan.
“belum. Nenek risau lah…”
Isabelle turut memandang ke luar rumah yang semakin gelap, namun masih belum gelap sepenuhnya. Baru dia mengerti mengapa neneknya begitu.
Tak pernah Tuk Khalid pulang selepas maghrib. Jika dia ke surau pun, dia akan pulang ke rumah dahulu.
Lama mereka di muka pintu. Nyamuk-nyamuk yang mula kelaparan sudah mula menghurung mereka, namun tidak mereka hiraukan. Setakat nyamuk begitu, sudah biasa sangat pada penduduk kampong seperti mereka.
Akhirnya, Nek Zizah bingkas.
“Isabelle, kita solat. Lepas tu, kalau tuk tak balik jugak, kita pergi kebun, cari dia.” Arah Nek Zizah.
Isabelle angguk faham. Ke mana Tuk Khalid?
Langkah Isabelle tetap menyamai langkah Nek Zizah walaupun hakikatnya, Nek Zizah lebih tua darinya. Badan Nek Zizah yang sudah mengecil dan Isabelle yang semakin membesar membuatkan saiz tubuh mereka hampir sama.
Sorotan lampu picit diikuti oleh langkah mereka. Pantas.
“bang!” jerit Nek Zizah.
“tuk!” Isabelle turut melaung.
Mereka sudah sampai ke kebun yang agak luas itu. Pemandangan mereka terbatas kerana ubi kayu yang sudah membesar begitu tinggi dan menghalang pandangan mereka. Jadi mereka terpaksa melihat setiap lorong.
“tuk!”
“abang!”
Sepi. Cuma kedengaran bunyi derapan kaki mereka dan juga irama cengkerik.
Nek Zizah bercekak pinggang. Hatinya bertambah tidak sedap. Pinggan pecah tadi membawa petanda burukkah? Nek Zizah tidak mahu terlalu percayakan perkara seperti itu, tapi jika benar, bagaimana?
Langkah Isabelle turut mati. Diperhatikan Nek Zizah sebelum matanya dilarikan ke sekeliling.
“nek, kat sana tak tengok lagi…” cadang Isabelle.
Ditunjukkan ke satu arah yang hampir dengan hutan. Di situ, tidak kelihatan apa-apa, Cuma pokok-pokok ubi kayu dan busut anai-anai yang agak besar.
Nek Zizah membuka langkah. Isabelle menurut.
Diredah beberapa batang ubi kayu begitu sahaja. Nek Zizah sudah tidak peduli. Isabelle juga begitu.
Mereka semakin hampir. Busut itu semakin jelas.
“abang!!!” jeritan Nek Zizah memecah hening.
Di situ, betul-betul di sebalik busut dan batang-batang ubi kayu, Tuk Khalid terbaring berlumuran darah.
Isabelle tergamam apabila Nek Zizah menerpa ke arah Tuk Khalid dan memangku kepalanya. Kawasan itu semak, dan ada batang ubi kayu yang patah di sana-sini. Busut itu juga ada kesan pecah sedikit. Pagar kebun itu juga roboh menyembah bumi. Tahulah Isabelle. Tuk Khalid bergelut dengan musuhnya, dan dia kalah.
Isabelle masih kaku. Raungan dan lolongan Nek Zizah tidak memberi kesan padanya.
Tuk dah mati?
Mata Tuk Khalid terpejam erat. Dadanya turun naik. Betisnya berdarah banyak. Tuk masih hidup. Isabelle melepaskan nafas lega tanpa disedarinya.
Entah sudah berapa lama Tuk Khalid terbaring di situ, tidak siapa yang tahu.
“Isabelle! Panggilkan uncle dan tok imam! Cepat!” Nek Zizah seakan-akan melolong, dan Isabelle tersentak.
Tanpa menunggu lagi, dia berpusing pantas, dan dibuka langkah seribu. Dia berlari sepantas yang mungkin, menuju ke satu arah yang pasti. Kedai Chan. Kegelapan malam itu bukan penghalang. Lampu picit di tangan tak lagi memainkan peranannya.
Sorotan lampu itu menjadi tidak menentu dengan ayunan tangannya yang mengikut rentak lariannya.
Isabelle tidak tahu sudah berapa lama dia berlari, apabila dia akhirnya sampai di depan kedai Chan, yang dibina di depan rumahnya.
“Chan!!!” jerit Isabelle sekuat mungkin seraya mengumpul sisa nafasnya.
Termengah-mengah dia seketika.
“Chan!!!!!!!” jeritnya lagi, lebih kuat dari tadi.
Ah Tong, ayah Chan menjenguk ke luar, dan mendapati Isabelle di depan rumahnya, tercungap-cungap.
“Isabelle, mau jumpa Chan? Dia keluar. Kenapa?” Ah Tong yang Cuma berseluar panjang tanpa baju bertanya seraya keluar mendapatkan Isabelle.
Isabelle memegang tangan Ah Tong tiba-tiba, membuatkan Ah Tong tersentak.
“uncle! Tuk saya! Dia diserang babi hutan! Tolong uncle!” rayu Isabelle cemas.
Ah Tong ternganga mendengar khabar itu.
“betul ka? Dia di mana sekarang?” suara Ah Tong sedikit cemas.
“di kebun! Dengan nenek! Tolong uncle! Dia berdarah!”
Ah Tong terangguk-angguk laju.
“ok, ok. Kamu tunggu sekejap. Uncle telefon Lebai Li sama Imam Abu dulu haa.. tunggu dulu.”
Ah Tong masuk kembali ke dalam rumah meninggalkan Isabelle yang masih tercungap-cungap.
Dia terdengar riuh-rendah dari dalam rumah itu sebelum kakak Chan, Ah Mei, keluar mendapatkan Isabelle bersama segelas air kosong.
“Isabelle, minum dulu. Nanti papa saya keluar sama kamu, pergi cari Tuk Khalid, ya..”
Isabelle angguk, dan disambut gelas itu. Tidak dia sedar dia begitu dahaga. Sekali teguk sahaja gelas itu sudah kosong.
Gelas kosong diserahkan kembali pada Ah Mei, dan Ah Tong keluar semula dari rumah lengkap berseluar dan berbaju bersama lampu picit yang lebih besar.
“jom.. Lebai Li sama Imam Abu jumpa kita di simpang jalan.” ajak Ah Tong.
Isabelle mengucapkan terima kasih dengan laju pada Ah Mei sebelum dia menyertai Ah Tong. Ah Mei memandang dengan simpati yang mendalam. Amat berharap Tuk Khalid tidak begitu parah.
******
Isabelle memeluk pintu itu kejap. Matanya tidak lepas dari tubuh Tuk Khalid yang berlumuran darah di atas lantai rumah. Baju Nek Zizah juga sudah terkena darah Tuk Khalid. Lebai Li dan Imam Abu cuba menahan darah dari terus mengalir dengan kain yang diberikan Isabelle namun hampa. Lukanya begitu besar, darahnya begitu banyak. Tuk Khalid sudah tidak sedarkan diri.
Nek Zizah terus-terusan menangis. Dia setia memangku kepala Tuk Khalid. Ah Tong sudah pergi untuk mengambil keretanya supaya Tuk Khalid boleh dibawa ke hospital.
Isabelle kaku. Air matanya masih dapat dibendung. Hatinya pilu melihat Tuk Khalid terbaring lemah dengan darah yang begitu banyak.
“Isabelle…” suara Nek Zizah memanggil perlahan mengejutkan Isabelle.
Dia menghampiri takut-takut. Bukan takut dengan darah, tapi bimbang dengan kenyataan. Tuk Khalid akan pergi? Kenapa kenyataan sebegitu amat mudah dijangkanya? Kanak-kanak sebayanya tidak akan mudah memikirkan tentang kematian, namun kenapa hal sebegitu seakan-akan sudah sebati dengannya?
“ya nek…”
Nek Zizah tidak memandang Isabelle. Suaranya serak.
“ambil Surah Yaasin. Bacakan untuk tuk.” Arah Nek Zizah.
Isabelle angguk faham.
Dia pantas menuju ke dapur dan ke bilik air untuk mengambil wudhu.
Pada masa genting begini, hanya Allah yang berkuasa untuk memperbaiki keadaan. Isabelle faham benar dengan tujuan membaca Yaasin itu.
Tudungnya disarung dan Yaasin di atas mejanya dicapai. Dia ke depan semula, dan dia bersimpuh di sisi Nek Zizah.
Lebai Li dan Imam Abu masih mencuba sedaya upaya mereka dengan mengikat kaki Tuk Khalid bagi menghentikan darah. Seketika kemudian, suara nyaring Isabelle mula memenuhi segenap ruang. Nek Zizah ikut membaca namun suaranya tidak kedengaran. Cuma bibirnya sahaja yang bergerak-gerak dan pipinya masih basah.
Lama mereka begitu. Yaasin yang sudah dibaca Isabelle sudah hampir habis suku bahagian apabila bunyi hon kereta kedengaran.
Isabelle berhenti. Lebai Li menjenguk ke bawah.
“Ah Tong dah sampai. Jom!” arah Lebai Li.
Lebai Li dan Imam Abu mengangkat Tuk Khalid dengan sedaya upaya mereka menuruni tangga semula. Nek Zizah menuruti mereka ke bawah. Isabelle juga. Yaasin di tangan tetap dipegang erat.
Ah Tong membantu mereka memasukkan Tuk Khalid di bahagian tempat duduk belakang. Nek Zizah turut masuk.
“kamu pergilah. Aku tolong tengokkan rumah sementara kamu tak ada.” Ujar Imam Abu.
Nek Zizah mengangguk lemah. Isabelle masuk ke dalam kereta, dan kaki Tuk Khalid dipangkunya. Nek Zizah memegang kepalanya. Lebai Li di depan. Ah Tong menghidupkan enjin kembali, dan kereta Proton Saga Ah Tong mula menyusur keluar ke jalan merah.
Atas arahan Nek Zizah, Isabelle meneruskan bacaan Yaasin.
*****
Lama mereka di luar, dan orang yang lalu-lalang pasti merasa pelik melihat Nek Zizah berlumuran darah. Nek Zizah tidak kisah tentang itu semua. Dia risaukan suaminya di dalam. Lebai Li bersandar tenang. Isabelle di sisinya.
Akan selamatkah Tuk Khalid? Kalau Tuk Khalid pergi, apa akan jadi dengan mereka?
Bunyi pintu dikuak membuatkan ketiga mereka berpaling pantas.
Nek Zizah terlebih dahulu mendapatkan doctor. Isabelle tidak berganjak. Wajah doctor itu sudah menggambarkan sesuatu.
“doctor, suami saya macam mana?” soal Nek Zizah bertalu-talu.
Doctor itu menunduk seketika, sebelum dia menentang wajah Nek Zizah dengan pandangan bersalah.
“maafkan saya, puan. Dia kehilangan banyak darah… Kami tak boleh buat apa-apa lagi. Dia..dah tak ada..”
Mendengarkan ayat itu, tubuh Nek Zizah terus longlai, terjelupuk ke atas lantai. Isabelle berlari pantas ke arah Nek Zizah.
Lebai Li dan doctor itu membantu menyokong tubuh Nek Zizah dan mendudukkannya ke atas kerusi. Isabelle memeluk bahu Nek Zizah erat. Setitis demi setitis air matanya mula mengalir. Disembamkan wajahnya ke bahu Nek Zizah yang sudah mula sedar kembali. Mereka berpelukan di situ.
Dan seperti biasa, mereka mengundang banyak pasang mata kerana keadaan Isabelle, dan seperti biasa juga, Isabelle tidak mempedulikan sekeliling. Dia sudah kehilangan seorang ayah. Dia tidak akan menerima kucupan di dahi lagi. Tuk Khalid sudah pergi.

10 comments:

  1. minggu ni mmg minggu sedih la anarif :( ...sume cite kat sini sedih...harap2 pas ni ceria skit....apa2pun all your story mmg best!

    ReplyDelete
  2. ala..sedihnya..kesian isabelle dgn nek zizah..sedih ka ceria ka..semua story kat sini best2..

    ReplyDelete
  3. huhhhuuu
    mmg menitik air mata...
    ye..langit tak selalunya cerah..
    mmg sume n3 this week sedih2
    huhhhu

    good job anarif!
    thanx a lot
    bace hingga menusuk jiwa~

    ReplyDelete
  4. bestla citer anarif ni..puas baca..sbb panjang..anda mmg berbakat besar..teruskn berkarya..

    ReplyDelete
  5. sedihnye...tp citer yg best.

    ReplyDelete
  6. ishh..sedih tul la hidup si isabelle ni..dari satu ke satu dugaan dalam hidup dia...bila la nak jumpa bahagia ni...haliza plak tak sempat nak mintak maaf kat tok khalid..takutnya...

    ReplyDelete
  7. kasihannya isabelle, cuma nek zizah peneman dia. haliza tak rasa ralat ke tinggalkan keluarga 4 tahun, tak elok ikut rasa marah dia.

    ReplyDelete
  8. penulisan yg bagus sekali... air mata tak berhenti mengalir... tersentuh dgn cerita yg dikarang... terasa dekat sekali dgn cerita ni...

    ReplyDelete
  9. huhuhuhu...sdihnya.....
    bgus la..citer ni lain dri yg lain....

    ReplyDelete