About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Sunday, December 27, 2009

Ini Bubur Cinta: Bowl 7



Nek Zizah mengeluarkan botol minyak angin dari dalam laci almari bajunya. Dia kemudian menghampiri katil, dan dia duduk di sisi katil. Sebelah kakinya dinaikkan ke atas katil, gaya separuh bersila. Kaki suaminya ditarik perlahan, dan dinaikkan ke atas pahanya sedikit.
Tuk Khalid tidak membantah. Kepenatan berkebun tadi membuatkan sengal-sengal badannya makin terasa. Duduk diam tak kena, bekerja pun susah juga.
Minyak dititiskan ke atas tangan sedikit, sebelum disapukan pada betis Tuk Khalid. Nek Zizah mula mengurut perlahan. Semerbak bau minyak angin itu mengisi segenap ruang kamar rumah kayu itu.
Tuk Khalid terbatuk kecil. Nek Zizah mengeluh perlahan seraya menggeleng.
“bang, kan saya dah suruh abang pergi klinik? Sampai bila batuk tu nak baik?” tegur Nek Zizah perlahan. Isabelle sudah tidur. Tak mahu dikejutkan si kecil itu.
Tuk Khalid menghayun tangannya di depan muka, tanda tidak setuju.
“alah, batuk macam ni, selagi saya kerja di kebun yang semak tu, selagi tu lah saya batuk. Ambik ubat pun, bukan boleh lega.” Tuk Khalid memberi alasannya.
Nek Zizah menggeleng lagi.
“janganlah berat-beratkan sangat kerja tu. Abang tu dah tua. Haliza kan boleh tanggung kita?” Nek Zizah cuba menegakkan hujahnya lagi.
Tuk Khalid tidak terus membidas. Keluhan kecil turut dilepaskan.
“dia nak tanggung kita? Selama kita duduk dekat dengan dia ni, apa yang dia dah buat? Tak payahlah Zizah, abang tak harap duit Nazri tu. Selagi kita boleh bernafas, selagi nyawa dikandung badan, abang akan kerjakan kebun tu. Tak elok biarkan tanah macam tu. Sayang..”
Nek Zizah terdiam. Ada betulnya cakap suaminya itu. Namun bagi mereka, bukanlah sesuatu yang besar pun jika Haliza tidak menghulur pada mereka. Mereka masih mampu hidup berdua.
Isabelle pula, duit tanggungan hidupnya semua disediakan Dato' Dini dan Datin Rahmah. Tak perlu susah-susah fikir lagi.
“bang..”
“hmm..”
Jemarinya terhenti di atas betis kering suaminya. Nek Zizah tertunduk sedikit.
“Liza, dia nak pindah.”
Tuk Khalid tersenyum kelat mendengar berita itu. Kenapa dia tidak terkejut?
“ya? Humph.. Dia bagitau kamu ke?”
Nek Zizah geleng. Jemarinya bergerak kembali. Namun kali ini, rentak itu lebih perlahan.
“Paan. Liza dah tak datang rumah sejak Isabelle ada. Hari tu, kali terakhir dia datang..”
Tuk Khalid melepaskan keluhan panjang.
“mungkin dah sampai masanya dia jauh dari kita. Biarlah Zizah. Abang tak kisah pun. Dia dekat pun, Cuma Paan saja yang rajin menjenguk. Harapkan Nazri? Sibuknya kalahkan menteri. Dah nak pindah ni, lagi sibuklah dia tu.” Keluh Tuk Khalid.
“bukan apa bang. Zizah kecik hati, sebab dia tak cakap pun dengan kita. Paan yang beritahu. Tu pun sebab Paan datang. Kalau Paan tak datang, mana kita nak tau? Entah-entah, dia dah pindah pun kita tak perasan.” Sayu Nek Zizah berbicara.
Tuk Khalid menarik nafas dalam.
“bila diorang nak pindah?”
“entahlah, sebulan dua lagi kot. Tu kata Paan tadi.”
“hmm…”
Sepi. Tuk Khalid melayan perasaannya. Lega kakinya diurut isterinya. Hilang lenguhnya yang menjalar di setiap urat sebentar tadi.
“bang, nak pergi rumah Liza?”
Tuk Khalid membesarkan matanya seraya mendengar soalan itu.
“hish, nak buat apa?”
“tak de la, nak tanya dia, betul ke tak dia nak pindah.”
Tuk Khalid geleng tak setuju.
“tak payah, dia anak kita. Yang muda patut cari yang tua. Bukan sebaliknya. Kalau dia masih ingat kat kita, kalau dia tak besarkan dendam dia tu, dia datanglah sini cari kita. Kita masih hidup lagi. Dekat saja rumahnya. Bukannya jauh pun.” Bantah Tuk Khalid.
Marah pulak kedengarannya.
Nek Zizah menikus.
“tapi bang..”
“ah, sudahlah Zizah. Kalau dia masih sedar dia ada mak bapak, dia datanglah. Kamu jangan cari dia. Faham?”
Nek Zizah angguk perlahan.
“ye lah bang…” akur.
Tuk Khalid menarik kakinya perlahan.
“dah lah tu, terima kasih Zizah, urutkan kaki abang.”
Nek Zizah angguk lagi.
“yelah bang..”
Tuk Khalid sudah berbaring, mahu tidur.
“matikan lampu tu, tidurlah.”
Akur dengan arahan itu, Nek Zizah bingkas. Botol minyak angin diletakkan di atas meja solek di tepi katil.
Dia turut mengambil tempat di sisi suaminya. Fikirannya ligat memikirkan kata-kata suaminya, dan kebenaran itu. Ternyata, pahitnya kebenaran itu membuatkan tekak fikirannya sukar mahu menelannya, namun terpaksa ditelan jua.
***********
“mak! Mak!” jeritan dari bawah rumah itu membuatkan Nek Zizah terkocoh-kocoh meninggalkan dapur saat karipapnya sedang berendam dalam minyak panas.
Liza ke? Betul. Tersembul wajah Liza di bawah rumah, dan wajah itu kelihatan tegang.
“Liza, masuklah, lama kamu tak datang?” sapa Nek Zizah riang. Akhirnya, Liza datang juga untuk memberitahu mereka khabar itu.
Liza merengus perlahan.
“Paan mana mak?” soal Liza terus tanpa beramah mesra dulu sebagaimana yang dilakukan ibunya.
Nek Zizah memanjangkan lehernya.
“entah lah, tadi ada. Dia pergi main dengan Chan, Aman dan Isabelle kot di mana-mana.” Jujur Nek Zizah menjawab, tanpa memikirkan dulu risikonya.
Buntang mata Liza mendengar nama itu.
“jadi selama ni Paan datang sini?” jerkah Liza marah.
Tersentap Nek Zizah.
“ya Liza, yang kamu nak marah-marah ni kenapa? Kot ye pun, naiklah dulu.” Nek Zizah mengajak lagi.
Liza memalingkan badannya. Marah betul dia.
“dah berapa lama Paan datang sini mak?” dia menyoal lagi.
Cuba mengawal nada suaranya sebaik mungkin. Siap Paan!
“lama jugak. Sejak Isabelle ada.” Jawab Nek Zizah lagi.
Sedar dia sedang menyiram minyak ke dalam api yang marak.
Nek Zizah turun ke bawah, mendapatkan Liza. Dipegang bahu anaknya itu. Jelas terasa ketegangannya.
“Liza, yang kamu nak marah sangat ni kenapa? Biarlah Paan bermain. Tak lama lagi kamu pun dah nak pindah. Budak-budak tu takkan berjumpa dia dah..”
Liza menarik nafas dalam.
“Paan beritahu mak kami nak pindah?” soalnya lagi, masih tidak berpaling.
Sungguh marah dia, tangan ibunya itu pun tak disalaminya, dikucupnya.
Nek Zizah angguk.
“haah, kamu janganlah marah dia pulak.”
Haliza tidak membalas lagi. Nun di kejauhan, bola matanya sudah menangkap pergerakan empat batang tubuh kecil yang sedang berjalan, sekejap-sekejap berlari anak riang. Sekejap mereka bersembang, sekejap mereka ketawa. Melihatkan si mata biru, marah Haliza makin memuncak.
Haliza membuka langkah, ke arah mereka.
“Paan!”
Langkah mereka mati. Isabelle kehairanan. Haliza makin mendekat. Paan resah.
Pang!
Isabelle terjerit kecil melihatkan tindakan spontan Haliza yang tidak dijangkanya.
Paan tersungkur di atas tanah. Pipinya yang terasa perit itu dipegang.
Chan dan Aman kaku, kelu, bingung melihat Haliza mengamuk. Gerun.
Nek Zizah turut tersentak. Pantas dia berlari anak ke arah mereka, mendapatkan Isabelle. Dipeluknya tubuh kecil itu yang sudah teresak-esak. Terkejut.
Haliza menjegil garang ke arah Chan dan Aman.
“oh, selama ni, kamu berbohong dengan makcik ya? Ha? Siapa yang ajar kamu berbohong? Mak ayah kamu ke? Hah?” jerkahnya.
Paan yang terbaring tidak diendahkan. Itu boleh diselesaikan kemudian.
Chan dan Aman serentak menunjuk ke Paan.
“tak makcik! Dia yang suruh kami bohong! Kami ikut je!” mereka membela diri. Terketar-ketar juga mereka di situ.
Paan ketap bibir.
Cis, tak guna betul dua orang ni. Dah lah aku dah kena tampar, lagi nak buat aku susah.
“kamu balik sekarang! Jangan jumpa Paan lagi! Faham???!” jerkahnya lagi.
Chan dan Aman terangguk-angguk takut. Mereka kemudiannya membuka langkah seribu, tidak menoleh lagi.
Perhatian Haliza pada Paan pula.
“berani Paan tipu mak ya? Mak kata apa kat Paan? Jangan datang sini lagi kan? Selama ni, Paan bohong mak. Siap ajar kawan-kawan lagi. Bagus betul.” Sinis suaranya.
Haliza berpaling pada Isabelle pula.
Isabelle terhenjut-henjut. Gerun dia melihat sepasang mata garang itu.
“kerana kau lah anak aku dah pandai menipu! Anak dengan bapak sama je!” jerkahnya pada Isabelle pula.
Isabelle tersentak dengan jerkahan. Tangisannya makin kuat. Kenapa wanita itu begitu marah pada dia? Apa salahnya?
“Liza! Tak baik kamu cakap depan anak-anak macam tu. Kalau kamu nak marah sekalipun, jangan depan mereka.” Tegur Nek Zizah.
Liza merengus kasar.
“kenapa? Supaya dia tak tau perangai haprak ayah dia tu? Hah? Supaya dia tak sedar yang mak ayah dia sendiri tak sayangkan dia? Sebab tu dia datang menagih kasih di sini?”
Pang!
Tubuh Haliza terlayang ke tepi sedikit. Dia mengangkat mukanya.
Wajah Tuk Khalid yang garang terpacak di depannya, dengan parang di tangan. Entah bila Tuk Khalid sampai, tiada yang perasan.
“ayah tak pernah tau yang ayah ada anak yang sangat biadap! Tak reti menghormati orang tua! Kurang ajar!” jerkah Tuk Khalid.
Haliza kelu.
Nek Zizah Cuma mampu menggeleng.
Tuk Khalid mendapatkan Paan.
Dipeluk bahu Paan erat. Pandangan tajam Tuk Khalid menikam wajah Haliza.
“anak kamu ni, tak berhati busuk macam kamu! Dia tak faham erti dendam, bukan macam kamu! Dia mahu berkawan, dan dia menerima setiap kelainan Isabelle. Bukan macam kamu. Ya! Dia menipu kamu! Cuba cakap dengan ayah, kamu tak pernah menipu ayah selama ni? Ha? Kamu ingat ayah tak tau, ayah duduk rumah, ayah tuli, tak dengar segala apa yang orang cakap tentang perbuatan kamu dengan Zainal di luar? Sebab tu kamu bagai orang hilang akal bila Zainal tak mahukan kamu lagi! Kenapa? Sebab maruah kamu dah tergadai? Macam tu?”
Haliza tersentak mendengar kata-kata ayahnya.
Nek Zizah menunduk, menenangkan Isabelle yang masih terhinggut-hinggut.
Tuk Khalid merengus perlahan.
“selama ni ayah diamkan benda ni, sebab pada ayah, kamu dah mendapat balasan kamu. Mungkin ada hikmahnya kamu tak berkahwin dengan Zainal. Sekarang, kamu nak berdendam dengan Isabelle pulak?” ditarik Isabelle kasar dari tangan Nek Zizah, didirikan Isabelle di depannya.
“kamu nak buat apa dengan dia? Ha? Nak bunuh dia? Baru puas hati kamu?”
Tuk Khalid melepaskan nafasnya kasar.
“silap ayah sebab tak pernah tampar kamu dulu. Memang ayah silap besar. Tak sangka kamu akan jadi seburuk dan seteruk ni.” Ujar Tuk Khalid lagi, lebih pada keluhan.
Haliza tetap tegak, macam patung. Tiada setitis air mata pun yang turun. Begitu keras hatinya.
“kamu nak pindah kan? Pindahlah, pergi jauh-jauh. Ayah dan mak dah tak kebulur nak menghadap muka kamu lagi. Kami boleh hidup tanpa kamu. Tak payah balik. Kalau kepulangan kamu mengguris hati Liza, baik tak payah. Tunggu sajalah berita kematian kami. Masa tu, mungkin kamu akan teragak-agak jugak nak balik ke tak.” Senang saja ayat-ayat itu meluncur di bibirnya.
Paan sayu. Air mata lelakinya turut jatuh. Bukan kerana sakit ditampar, sakit mendengar bicara datuknya.
“kamu benci sangat dengan Isabelle kan? Satu hari nanti, ayah harap, kamu akan kehilangan sesuatu yang berharga dalam hidup kamu, kerana Isabelle, dan hanya Isabelle yang boleh bantu kamu. Ini bukan sumpah ayah, tapi ini janji ayah. Supaya kamu sedar, dendam kamu tu, tak bawa ke mana. Tak ke mana Liza.” Suara Tuk Khalid sudah mengendur.
Tangisan Isabelle sudah terhenti, namun esakannya masih ada.
Tuk Khalid memusingkan badannya, bersama Isabelle, dan dia mula melangkah.
“baliklah Liza, baliklah. Ayah penat.” Itu saja bicara terakhirnya.
Haliza merengus perlahan. Direntap tangan Paan kasar, dan dia terus berlalu tanpa menoleh lagi. Nek Zizah juga tidak disapanya.
Nek Zizah berdiri di situ, di tengah-tengah. Anaknya dan cucunya ke arah lain, dan suaminya ke arah lain. Dia memandang ke arah Haliza sayu. Mungkinkah dia tak akan bertemu mereka lagi?
Menitis juga air matanya menuruni pipinya yang sudah mula berkedut.

5 comments:

  1. wah..bagus sungguh la anarif ni..cepat betul masukkn episod baru..kreatif sungguh..semoga anarif terus berjaya..menulis cerita yg sgt unik..

    ReplyDelete
  2. klu buat drama..best nih..

    thanx anyway~

    ReplyDelete
  3. betul2..sya setuju dgn pendapat semua pengkomen kat atas..

    anarif + unik = cerita bombastic..hehe

    ReplyDelete
  4. clap 3x.....best story.....

    i like all your writing....

    really different from others....

    ReplyDelete