About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru November 2016!

Terbaru November 2016!

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Thursday, May 26, 2011

Ini Bubur Cinta: Bowl 20




Paan mengeluh panjang sebaik saja kereta mewahnya diparkir di pekarangan rumah banglo itu. Kereta ayahnya ada di pekarangan, begitu juga kereta Haliza.
Lambat-lambat dia masuk ke dalam rumah.
Nasha tersenyum nipis melihat abangnya muncul di ruang makan.
“Baru sampai ke bang?” tegurnya.
Dia sudah duduk di meja, menanti mereka yang lain. Kelibat ibu bapanya tidak kelihatan. Bagus.
Paan tidak membalas sebaliknya dia terus ke dapur. Siti yang sedang berbicara dengan Isabelle membesarkan matanya apabila dilihatnya Paan menuju ke arah mereka.
“Encik Paan!” nadanya agak meninggi, gelabah.
Isabelle terkedu. dia turut menoleh. Alamak! Dia dengar ke aku bercakap tadi?
Paan memandang kedua mereka silih berganti. Pintu peti ais dibukanya.
“Apahal kau ni? Macam orang buat salah je..” ujarnya jengkel. Dibawanya sebotol air ke ruang makan, meninggalkan mereka kelegaan.
“Mujur dia tak dengar.”
Isabelle angguk. Tapi nada Paan tak disukainya. Kasar. Patutlah Nasha bengang dengan dia. Isabelle berdiri di ambang pintu, memerhatikan Paan yang sudah duduk sambil meneguk air kosong terus dari botol laju.
“Abang, ayah dah balik.” Nasha bersuara tanpa ditanya.
Keceriaan terpampang di wajahnya.
Paan masih berlagak tidak endah. Diteguk airnya lagi.
“Abang, dengar tak?” gadis itu merengek manja.
Paan mendengus perlahan.
“Diam boleh tak? Tak tenang tau abang nak minum!” keras suaranya.
Isabelle baru hendak membuka mulut, satu suara lain sudah mendahuluinya.
Fuh, mujur. Dia sudah terlupa dia seorang ‘bisu’.
“Paan. Apa cakap kasar sangat tu?” keras suara Nazri menegur membuatkan Paan terpempan di duduknya.
Dia bangun dari kerusi dan mendapatkan Nazri. Dihulurkan tangannya. Nazri merenung Paan tajam.
“Baru sampai?”
Paan angguk. Isabelle dapat melihat perubahan tingkah laku Paan sebaik saja Nazri muncul. Takut dengan ayah jugak rupanya. Dia membuat kesimpulan sendiri.
Nasha tersengih-sengih saja melihat Paan menikus.
Haliza yang mengekori langkah suaminya tiba-tiba saja menoleh tajam pada Isabelle. Pandangannya mencerlung. Isabelle akur dengan pandangan itu. Dia menghilang ke dapur. Mendapatkan Siti yang sedang menyediakan bahan perapan ayam dan ikan.
“Berapa umur Nasha tu?” Isabelle bertanya perlahan.
Siti angkat muka sekilas.
“Baru 13 tahun. Kenapa?”
Isabelle geleng.
“Kesian dia. Apesal Paan layan dia macam tu? Dia bukan ada adik lain dah. Itu je adik dia.” Rungut Isabelle tak puas hati.
Siti jungkit bahu.
“Entah. Aku datang rumah ni dia dah macam tu. Agaknya sebab beza umur jauh kot.” Telah Siti. Dia sendiri tidak mengerti mengapa Paan begitu.
“Patutnya, beza umur jauh la dia lagi akan sayang adik dia. Ini tak. Layan macam budak tu tak wujud. Geram pulak aku tengok.” Isabelle menambah lagi.
Siti tersengih.
“Kau jangan emo lebih-lebih pulak. Nanti puan datang baru kau tau. Dah, diam-diam je.” Ujar Siti sambil menjeling-jeling ambang pintu.
Isabelle akur.
Sementara itu, di depan, keluarga itu menikmati hidangan makan malam dalam keadaan senyap.
Nazri mengerling Paan dan Nasha sekilas. Dia beralih pada Paan semula.
“Kerja ok?”
Paan angguk dengan mulut yang agak penuh.
“Part-time?”
Paan angguk lagi.
Dengan reaksi begitu saja, Nazri sudah puas hati.
“Esok, ayah dan ibu nak ke Johor. Ada hal sikit. Balik lusa.” Nazri mengumumkan.
Nasha memuncung.
“Ala, ayah baru je balik. Duduk la rumah lama sikit...” rengeknya.
“Nasha.” Haliza menjeling tajam.
Nasha menunduk.
Nazri meneguk air minumannya seteguk dua, cuba menghilangkan rasa tidak enak di tekak.
Paan masih mengunyah, seolah-olah tiada apa yang baru dan menarik perhatiannya.
“Nanti ayah duduk rumah lama sikit, tapi esok ayah dengan ibu kena pergi. Penting. Sayang kan sekolah?” pujuk Nazri.
Paan seolah-olah terganggu dengan bicara Nazri, namun sekejap saja. Dia menyambung kembali suapannya.
Nasha memuncung panjang. Sudunya sudah terletak di sisi pinggan. Haliza mengetap bibir. Geram dengan perangai Nasha yang agak mengada-ngada itu.
“Nasha, jangan buat perangai. Makan, naik atas, buat homework. Jangan sekali-kali bukak TV. Or your laptop. Faham?” suara tegas Haliza sekaligus mematikan perbualan mereka.
Nasha mengangkat sudunya kembali, wajahnya muram.
Paan mengerling Nasha di sisinya, namun tiada riak simpati. Haliza pula mengerling Paan sekilas. Sesekali ingatannya kembali pada Isabelle.
Dia tidak tenang. Bimbang tembelang Isabelle akan diketahui Paan. Kucar-kacir jadinya nanti.
Usai makan, Paan menghilang ke atas. Berehat, mandi dan menukar pakaian. Isabelle dan Siti sibuk mengemas meja makan.
Nasha pula cuba melarikan diri dari ibunya dengan menyelit pada Nazri yang mahu menonton televisyen di ruang menonton. Haliza bercekak pinggang di ambang pintu.
“Nasha!” panggilnya kuat.
Nasha panggung muka. Dikerling ayahnya, cuba memancing simpati.
“Ibu kata naik atas buat homework, kan?”
Nazri menoleh sekilas.
“Biarlah dia. Hari ni je.” Ujar Nazri tenang. Matanya kembali ke kaca TV.
Nasha tersenyum riang. Dirangkul manja lengan ayahnya. Haliza menghampiri mereka, dihempaskan punggung ke atas sofa sambil mendengus kasar.
“Abang, jangan manjakan sangat dia ni. Mengada-ngada nanti.” Haliza tidak mahu kalah. Sekali-sekala dia menjeling Nasha yang cuba mengelak dari bertentang mata dengannya.
“Abang kata, sudahlah. Abang nak tengok TV, bukan nak dengar Liza membebel.” Tingkah Nazri lagi.
Nasha tersenyum lebar.
Haliza mendengus lagi.
“Baguslah, menangkan anak-anak. Bagi malu saya depan anak-anak. Mana diorang tak pijak kepala?” marah Haliza pada Nazri pula.
Akhirnya, Nazri mencapai remote control lalu di’mute’kan suara TV. Dipandang Haliza dengan pandangan tenang.
“Ok, apa Haliza cakap? Malukan Liza? Bila pulak abang malukan Liza? Abang baru balik rumah. Abang bukan nak dengar Liza membebel. Abang nak berehat. Tak boleh ke Liza faham? Nasha pulak, bukan selalu abang ada rumah. Biarlah dia kejap. Hari ni je. Esok kita keluar lagi, kan? Apa lagi Liza nak cakap? Hah, cakap cepat. Abang dengar.” Seluruh perhatiannya pada Haliza.
Bagai disindir, Haliza bingkas geram.
“Suka hati abanglah. Jadi apa-apa nanti, jangan salahkan Liza pulak!” dia berlalu ke atas dengan muncung panjang sedepa.
Nazri menggeleng-geleng.
“Apa kena ibu kamu tu? Angin je. Dulu tak macam ni pun...” keluh dia tanpa disedari.
“Dulu? Bila dulu tu ayah? Seingat Nasha, sejak Nasha boleh hafal muka orang, ibu tak pernah cakap baik-baik dengan Nasha.” Ujar Nasha perlahan.
Nazri tidak membalas sebaliknya dia menggosok kepala Nasha mesra. Simpati dengan anak bongsunya itu.
“Dahlah, lupakan je apa ayah cakap tadi.”
Nasha angguk dengan senyum. Suara TV dihidupkan kembali. Semakin kemas Nasha merangkul lengan ayahnya.
Keesokannya, awal-awal pagi lagi Nazri dan Haliza sudah keluar rumah. Cuma Siti yang menghantar mereka keluar. Ahli rumah yang lain masih enak berdengkur. Isabelle pula di dalam bilik menghabiskan bacaan al-Qurannya.
Siti masuk semula ke dalam bilik lalu dihempaskan badannya ke atas katil. Digosok matanya yang masih mengantuk.
Isabelle menanggalkan telekung lalu digantung di gantungan yang tersedia.
“Diorang dah pergi?”
Siti angguk tanpa memandang Isabelle. Merenung siling terkebil-kebil.
“Kalau kau ngantuk lagi, tidurlah. Nanti aku masak.” Isabelle menawarkan diri.
Siti menggeleng.
“Tak boleh. Nanti aku kena kejut Nasha. Pastu, encik Paan pulak. Huwargh!” Siti menguap panjang di hujung bicaranya.
Isabelle menggeleng. Rambutnya diikat kemas. Dia sudah bersedia dengan uniformnya. Tiba-tiba, Siti duduk tegak, memandang Isabelle tidak berkelip.
“Kenapa? Ada apa-apa ke kat muka aku?” Isabelle meraba mukanya tanpa disedari.
Siti menggeleng.
“Aku baru teringat. Lastik kau.”
Isabelle angkat kening.
“Kenapa dengan lastik aku?”
“Ada nama encik Paan, kan?”
Isabelle terdiam. Kalau nak diikutkan, dia sudah malas bercerita mengenai lastik itu lagi.
“Pagi-pagi buta tanya pasal tu kenapa?” dalih Isabelle.
“Sebab aku nak tanya semalam, tak teringat sebab sibuk sangat kan. Lepas tu dah mengantuk. Kan? Ada nama encik Paan?” Siti bertanya sekali lagi.
Isabelle menggumam.
“Hmm..”
“Yang dekat bilik dia, yang aku nampak pun, ada nama kau. Dengan nama dia.” Siti menambah lagi.
Isabelle menghela nafas dalam.
“Bila kau nampak?” tanya Isabelle berbasa-basi.
Bersimpati dengan Siti yang bersungguh-sungguh.
“Lama dah. Dia suruh aku kemas bilik dia. Lepas tu, lastik tu ada atas meja. Aku belek la. Baru aku nak belek, dia masuk balik dalam bilik, rampas lastik tu dari aku. Dia macam marah jugak, mungkin dia terlupa pasal lastik tu kot, dan bila dia mintak aku kemaskan bilik, baru dia teringat.”
Isabelle berdiam. Siti bingkas.
“Kau ni, macam tak dengar je aku cakap?” soalnya hampa.
Isabelle menyarung jubahnya.
“Aku dengar la. Tapi aku nak cakap apa? Aku dengar je la.” Siti merapatkan dirinya pada Isabelle.
“Encik Paan kan bagi lastik tu kat kau?” Siti bertanya lagi.
Isabelle terdiam. Lama kemudian, baru dia mengiyakan. Disarung tudungnya pula, lengkap dengan purdah.
Siti tersenyum tiba-tiba.
“Wah! Romantiknya! Selalu orang bagi t-shirt, jam tangan, cincin ke, dia bagi lastik kat kau! Dan dia pun ada lastik yang sama! Terharunya kalau aku jadi kau...” Siti seolah di awangan.
Isabelle memandangnya pelik.
“Ish, pagi-pagi buta ni buat gila. Dah la, aku nak pergi kutip baju kotor kat bilik puan.” Dengan itu, Isabelle berlalu.
Romantic apa kebendanya? Lastik buruk tu pun ada makna ke? Ish.
Dia menggeleng lagi.
“Nasha!” suara Siti kecemasan melaung dari atas. Isabelle yang baru saja masuk ke dalam rumah semula bergegas ke ruang makan, didapatinya Nasha masih berbaju tidur duduk di meja.
Melihat Isabelle, Nasha menguntum senyum. Tapi, apa yang tak kena dengan situasi sekarang? Isabelle tertanya sendiri.
“Morning kak Fatimah!” tegurnya ceria.
Isabelle tidak sempat memberi reaksi apabila Siti muncul dari atas dengan wajah cemas. Dia mendapatkan Nasha yang selamba menyapu jem pada roti.
“Nasha! Nasha kena pergi sekolah! Kalau puan tau, mati kak Siti kena dengan puan nanti!” rayu Siti di sebelahnya.
Isabelle melopong. Oh, baru dia perasan. Dikerling jam di dinding. Pukul 7 pagi. Sudah agak lewat untuk dia ke sekolah.
Nasha masih berlagak biasa. Disuap roti itu ke dalam mulutnya dan dikunyah penuh selera. Siti menggaru kepala yang tidak gatal. Jelas dia tidak selesa melihat Nasha begitu.
“Nasha, akak rayu dengan Nasha. Nasha pun tau ibu Nasha tu macam mana. esok kalau dia balik, teruk kak Siti kena marah nanti...” Siti memujuk lagi.
Nasha menoleh sekilas.
“Rileks lah kak Siti. Kalau tak ada orang cakap dekat ibu, dia takkan tau, kan?” senang saja budak itu membuat kesimpulan.
Siti mundar-mandir di sisi belakang Nasha.
“Tapi, kalau dia tau jugak...”
“Apesal riuh sangat kau ni Siti?” semua mata tertumpu ke arah itu, termasuklah Isabelle.
Paan muncul dari atas dengan berpakaian t-shirt dan seluar pendek di paras lutut, agak tinggi sehingga menampakkan lututnya. Isabelle mencemuh Paan dalam diam. Segak tu iya dah tapi tak berkenan betul Isabelle dengan pemakaiannya.
Tak taukah dia lutut itu aurat?
Siti memandang Paan dan Nasha silih berganti. Nasha masih mengunyah rotinya. Paan menghampiri meja makan.
“Oit, budak kecik. Bukan kau patut ada di sekolah ke?” tegur Paan yang sudah memahami sebab Siti kecoh di pagi hari.
Kau? Isabelle menggeleng. Bahasa sungguh cantik.
Nasha mencebik.
“Abang jangan sibuk. Nasha tak nak cakap dengan abang.” Paan merampas roti dari tangan Nasha tiba-tiba, barangkali geram dengan jawapan Nasha.
Nasha merengus perlahan. Diambilnya roti lain. Menyedari tujuannya, Paan melarikan bekas jem dari atas meja.
“Abang! Janganlah kacau Nasha nak makan!” marah Nasha.
Paan tersenyum sinis. Bekas jem itu diletakkan kembali agak kasar di atas meja.
“Hah, tau pun. Apesal tak pergi sekolah?”
Nasha mencebik.
“Suka hati oranglah. Bosan Nasha tau tak? Kat rumah ni, ayah je yang sayang Nasha!” luah Nasha geram.
Paan tersenyum sinis.
“Memang pun. Kau ingat aku suka kau? Menyibuk je.” Ujar Paan selamba dan lancar. Nasha menggumam. Bibirnya menggeletar.
Dicampakkan roti itu ke atas meja dan dia bingkas. Ditolak Paan ke tepi sebelum dia berlari ke tangga dan menghilang ke atas. Siti bertambah gelabah. Laju saja dia mengekori langkah Nasha ke atas.
Isabelle yang sedari tadi memerhati masih merenung Paan tidak lepas.
Paan merengus perlahan, sebelum dia menoleh ke arah Isabelle.
Dua pasang mata bertentang, bezanya Cuma mata Paan yang kelihatan.
Paan mengetap bibir. Peristiwa semalam terbayang kembali di ruang matanya.
“Apa pandang-pandang? Kau tak ada keja?” dengan itu, dia berlalu ke ruang depan dan keluar dari rumah.
Isabelle membuka penutup mukanya pantas.
“Apa punya manusia la. Macam mana kau boleh kenal aku dulu? Malu aku nak mengaku aku kenal kau. Mujur aku tak ingat kau. Kalau tak, ish.” Gerutu Isabelle seorang diri.
Siti muncul semula tidak lama kemudian, keseorangan.
“Dia tak nak pergi sekolah?”
Siti geleng.
“Mati kita kalau puan tau.”
Isabelle menggigit bibir.
“Kesian budak tu. Ada abang pun tak guna.” Tambah Isabelle lagi. Sampai bila-bila dia akan membengkak melihat perangai Paan.

PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.

5 comments:

  1. ala....
    pa'an nieyh jhat la...
    pyincesz electra@bella mustafa

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. mesti nanti paan tu insaf bile dia kena isabella ..kan?kan?siti_ayuni86@yahoo.com

    ReplyDelete
  4. kenape eh paan tak suke nasha? mesti ada sebab....

    ReplyDelete
  5. sambung2..hehehehehehe...

    black_starz

    ReplyDelete