Isabelle mengambil sikap berdiam diri. Dia tahu Siti memerhatikannya dari ekor matanya tapi Isabelle malas mahu ambil pusing. Lagipun, selagi Haliza di rumah, Siti takkan berani bertanya apa-apa padanya. Kalau Haliza dah keluar, macam mana?
Perkara yang ditakuti Isabelle terjadi juga. Tepat 10 pagi, Haliza turun berpakaian anggun, lebih anggun dari tadi.
“Saya nak keluar.” Ujarnya ringkas. Isabelle dan Siti mengangguk faham.
Sebelum dia keluar, sempat Haliza menjeling mereka, memberi amaran.
“Ingat. Tak payah nak beramah mesra. Anggap salah sorang dari korang tak ada kat rumah ni. Saya tak nak kamu berkawan. Faham?”
Isabelle menunduk. Mengerti pada siapa amaran itu ditujukan.
“Ala puan, nak berkawan macam mana? Dia kan bisu...” Isabelle dapat menangkap nada sinis Siti.
Haliza berdehem perlahan. Satu jelingan dihadiahkan pada Isabelle sebelum dia beredar menuju ke pintu. Setelah pasti Haliza telah beredar, Siti cepat-cepat mendapatkan Isabelle yang mahu menyelamatkan diri ke belakang rumah.
“Nanti dulu!” tutup muka Isabelle dibukanya kasar. Isabelle menepis separuh hati.
“Apa kau nak?” ujar Isabelle dengan nada mendatar apabila wajahnya sudah terdedah.
Tanpa disuruh, Isabelle menanggalkan terus tudung kepalanya, kepanasan.
“O, kau boleh cakap, kan? Kenapa kau pura-pura jadi bisu?” soal Siti agak kasar.
Isabelle mengeluh perlahan.
“Kalau kau tak nak cik puan besar tu mengamuk, boleh tak jangan campur urusan aku? Terima kasih.” Isabelle mahu melangkah apabila Siti menariknya lagi.
“Tak, tak boleh. Aku tak faham. Kenapa dia kata kau bisu? Sedangkan dia tahu kau boleh bercakap. Aku betul-betul tak faham.”
Isabelle merengus perlahan. Dia tahu selagi dia tidak menjawab soalan Siti, Siti takkan berpuas hati dan membiarkannya begitu saja.
“Kalau kau tak nak cakap, aku bagitau orang lain dalam rumah ni.” Ugut Siti.
Isabelle tergelak kecil.
“Siapa yang akan percaya cakap kau? Lagipun, kau nak kena pecat? Silakan.” Isabelle tersenyum nipis. Lucu mendengar ugutan itu.
“Encik Esfahan. Dia percaya cakap saya lebih dari mak dia. Lagipun, untuk pengetahuan kau, dalam rumah ni, puan Haliza tu tak ada makna pada anak-anaknya. Dia akan percaya cakap saya kalau saya cakap ibu dia bohong.”
Isabelle terdiam mendengar kata-kata Siti.
“Hei. Kenapa kau diam?” Siti menunjal lengannya, membuatkan dia kembali ke alam nyata.
“Kalau aku cakap sebabnya, kau janji takkan beritahu sesiapa dalam rumah ni? Aku tak nak timbul masalah. Janji?” pinta Isabelle.
Siti merenungnya lama, seolah-olah sedang menimbang-nimbang permintaan Isabelle.
“Hmm. Tapi kau jangan tipu!” Siti memberi amaran.
Isabelle angguk.
“Sebenarnya... Paan kenal aku. Tapi puan tak nak kami berjumpa. Jadi, dia tak benarkan aku bercakap dan tunjukkan muka depan Paan.”
Siti tersentak. Tergagap-gagap dia sebentar.
“Kau, kau kenal encik Paan? Kenal dari mana?”
“Kampung.”
“Tapi kenapa encik Paan tak boleh tau siapa kau?”
Isabelle jungkit bahu.
“Aku sekejap je kat sini. Lepas ni, aku akan dihantar kerja dengan orang lain.” Bohong Isabelle. Bahagian selebihnya tu tak perlulah Siti tahu. Dia tak mahu memburukkan Haliza biarpun Haliza tidak ada baiknya.
“Yang dia risau kau dan encik Paan berjumpa dan berkawan kenapa?” ujar Siti beremosi.
“Entah. Malaslah nak ambik tau.”
Siti tidak terkata apa-apa.
“Janji jangan pecahkan rahsia ni. Aku Cuma di sini tiga bulan je. Lepas ni, aku nak tinggalkan tempat ni tanpa apa-apa masalah. Kosong-kosong.”
“Kau tak nak jumpa encik Paan?” soal Siti.
“Kan dah jumpa?”
“Ish, itu jumpa lain. Lagipun, dia tak tau siapa kau. Kejap. Kau bukan dari Iran, kan?”
Isabelle senyum pahit. Geleng.
“Orang Malaysia. Dan nama aku bukan Fatimah.”
Siti menganga luas.
“Sampai macam tu sekali dia nak sembunyikan kau?”
Isabelle tergelak kecil.
“Rilekslah. Aku tak ada apa-apa masalah pun. Yang penting, aku akan pergi dari sini. Tak lama pun. 3 bulan je.”
Siti kelihatan jengkel, namun Isabelle tahu Siti marahkan Haliza.
“Apa nama kau?”
“Isabelle.”
“Kacukan eh?”
Isabelle angguk ringkas. Sebelum sempat Siti bertanya lagi, Isabelle sudah memotong. Bila persoalan itu kembali pada kedua ibu bapa kandungnya, dia tidak mahu meneruskan lagi. Malas mahu menyentuh soal mereka.
“Boleh tolong jangan tanya apa-apa lagi? Apa yang kau nak tau, aku dah bagitau. Tapi ingat, janji kita. Kalau kau nak aku tinggalkan tempat ni dengan hati senang, jangan cakap apa-apa pada sesiapa pun. Terutama sekali Paan.”
Siti angguk lambat-lambat.
“Sorry sebab paksa kau bercerita. Tapi puan memang melampau.”
Isabelle tersenyum kelat.
“Tak apa. Aku berterima kasih dia sudi ambik aku dan beri aku kerja. Itu pun dah memadai.” Bohong sajalah. Dari kena bercerita panjang-panjang.
“Tapi kan, aku tengok kau macam tak peduli pun dengan encik Paan?” Siti bertanya lagi.
Isabelle terdiam.
“Sebab aku tak ingat dia kot?”
Berkerut-kerut dahi Siti memikirkan jawapan Isabelle.
“Kalau kau tak ingat kenapa puan beriya-riya nak sorok kau dari encik Paan?”
Isabelle jungkit bahu.
“Entah. Kami kenal masa kecik, lama dulu, tapi aku tak berapa ingat dia. Mungkin sebab aku kecik sangat kot masa tu. Eh, sudahlah. Banyak kerja lagi ni. Nanti Nasha balik, kan? Aku nak pergi tengok baju kat ampaian dulu.” Isabelle terus berlalu tanpa menunggu lama.
Lagi lama, lagi banyak tanya. Susah nanti. Harap-harap Siti kotakan janji. Sementara itu, Siti berfikir sendirian. Bermacam-macam perkara bermain di fikirannya. Yang paling penting, puan Haliza memang tak patut!
*********
Demi kesenangan Isabelle, Siti bermurah hati untuk benarkan Isabelle buat kerja yang takkan menganggu keselesaannya. Siti akan buat kerja dapur dan Isabelle Cuma uruskan pakaian dan benda-benda yang takkan membuatkan dia tak selesa dengan pakaian begitu.
Bila mereka berdua di rumah, dengan senang hati Isabelle membuka ‘kostum’nya. Lega betul dia. Baru hari ini dia berpeluang menjelajah rumah banglo itu.
“Siti...” soal Isabelle ketika mereka sedang membersihkan bilik Nasha.
“Hmm...” Siti yang sedang membetulkan cadar mengerling sekilas.
“Siapa nama suami puan?”
“Encik Nazri. Kenapa?”
Isabelle geleng.
“Taklah. Sebab saya tak pernah tau. Dia kerja apa?”
“YB. Baru menang pilihanraya tahun lepas. Dia jarang ada rumah. Selalu ke luar kawasan.”
Isabelle angguk faham.
“Sejak kau kerja sini dia memang jarang ada rumah?”
Siti angguk. Dilipatnya selimut pula.
“Aku dah kerja sini dua tahun. Sejak aku datang, memang dia jarang ada di rumah. Kalau dia ada, selalunya makanan kena masak lain sikit. Kalau tak, aku sebenarnya Cuma kena masakkan untuk Nasha je. Orang lain, encik Paan dan puan selalu tak ada di rumah jugak. Keluar pagi balik malam.” Terang Siti panjang lebar.
Isabelle mengerutkan dahinya.
“Jadi, memang selalulah Paan balik lewat?”
Siti angguk. Tiba-tiba dia mengalihkan sepenuh pandangannya pada Isabelle dengan wajah yang penuh tanda tanya.
“Pagi tadi, encik Paan tidur depan peti ais. Kau tau kenapa?”
Isabelle tidak dapat menahan tawanya mengenangkan peristiwa semalam. Tawanya membuatkan Siti bertambah hairan.
“Dia terkejut tengok aku. Aku nak pergi bilik air, dia tengah minum air kot...”
Siti menepuk dahi.
“Patutlah dia tanya pasal air botol atas lantai. Kau yang simpan?”
Isabelle angguk.
“Aku gelabah jugak bila dia terbaring atas lantai, tapi bila nak kejut, dia dah berdengkur. Aku biar je la. Kesian pulak nak kejut.” Jelas Isabelle sambil membelek meja belajar Nasha. Ada beberapa bingkai gambar, gambar mereka sekeluarga, gambar Nasha dengan kawan-kawannya dan gambarnya berdua dengan Paan.
Siti menggeleng dengan senyum nipis.
“Apalah encik Paan tu. Kadang-kadang pelik aku dengan dia. Tapi tu la, dia tu mungkin nampak macam tak betul sikit tapi kalau kena gayanya, dia baik orangnya. Jangan bagi dia marah je...” Siti tiba-tiba mengeluh panjang.
“Kenapa kau ni, tiba-tiba mengeluh?” tegur Isabelle.
“Kesian dia. Dia macam sengaja tak nak duduk rumah. Lebih tepat lagi, tak nak menghadap puan. Itu yang aku perasan la. Susah dia nak lekat kat rumah. Ada je aktivitinya.”
Isabelle mendengar penuh tekun. Apabila Siti sudah habis berbicara, cepat-cepat dia bertanya.
“Apa kerja dia?”
“Yang mana satu yang kau nak tau?” Siti bertanya pula.
Isabelle kehairanan.
“Dia banyak kerja ke?”
Siti angguk.
“Kan aku cakap dia banyak aktiviti. Dia arkitek, dan jugak model.”
Isabelle terdiam seketika mendengar pekerjaan Paan.
“Model? Model apa?”
Siti jungkit bahu.
“Tak berapa pasti. Tapi pakaian la rasanya. Tapi dia lebih kepada suka-suka je, untuk keluar dari rumah selalu. Kadang-kadang pergi gym, kadang-kadang photoshoot, dengan kerja dia lagi. Sebab tu dia selalu tak ada rumah.”
Isabelle mengangguk faham. Patutlah dia nampak keletihan semalam, desis hati kecilnya.
Kerja mereka sudah selesai, dan mereka keluar dari bilik Nasha. Isabelle kehairanan apabila Siti tidak ke bilik Paan, sebaliknya terus ke bilik Haliza.
“Bilik Paan tak kemas ke?” nadanya ingin tahu.
Siti geleng.
“Dia Cuma bagi kemas bila disuruh je. Kalau tak, dia tak bagi masuk bilik dia.” Siti menjelaskan, dan Isabelle mengangguk mengerti. Tahulah dia itu kawasan larangan.
*********
Usai mengemas, Isabelle dan Siti berehat-rehat di ruang tamu. Isabelle mengerling jam di dinding.
“Pukul berapa si Nasha balik?”
Tanpa memandang Isabelle, Siti membalas.
“Dalam pukul 2 kalau tak ada apa-apa masalah di jalan.”
“Naik bas?”
Siti angguk. Tahulah Isabelle masa bila dia perlu menyarung kostumnya semula. Keletihan, Isabelle masuk ke dalam bilik untuk berbaring sekejap sementara menanti zohor. Dia memejamkan matanya dan tanpa disedarinya, dia terlelap. Sedar-sedar, jam sudah menunjukkan pukul 3 petang. Dia bingkas dari pembaringan dengan agak tergesa-gesa lalu keluar dari bilik untuk ke bilik air.
Semasa dia melalui dapur, langkahnya mati kerana dia sedar ada seseorang di situ, yang jelas terpaku melihatnya. Isabelle berdebar sendiri.
Dia memusingkan badannya, dan Nasha sedang terpacak berdiri memandangnya, dengan mata tak berkelip. Isabelle turut kaku. Untuk seketika, tiada sepatah yang keluar dari mulut mereka berdua.
Dengan agak janggal, Isabelle mengangkat sebelah tangannya.
“Hai.” Ujarnya ringkas seraya menggaru dahi dan membetulkan anak rambutnya yang terjurai ke depan.
“A-awak siapa?” soal Nasha yang masih terpacak di situ, tidak berganjak, tidak berkutik.
Isabelle kelu dalam mamai. Tidak tahu nama apa yang patut diberi. Tiba-tiba, Siti muncul entah dari mana lalu memeluk bahunya.
“Nasha, erm, ni kawan akak.”
Nasha angkat kening sebelah.
“Kawan akak?” sejak bila kak Siti ada kawan minah salleh ni?
Isabelle menoleh pantas ke arah Siti, namun melihat Siti bersungguh-sungguh menolongnya, dia sedar dia tiada pilihan.
“Erm, ya, saya datang jumpa Siti kejap, lepas tu, tertidur dalam bilik.” Isabelle pula menyambung penipuan yang dimulakan Siti.
Nasha masih memandang kedua mereka dengan pandangan ragu-ragu.
“Mana kak Fatimah?”
“Dalam bilik.” Cepat Siti menjawab.
Isabelle terkedu lagi. Satu penipuan membawa kepada penipuan seterusnya. Bagus.
Jelas Nasha tidak dapat memahami situasi itu. Tak masuk dek akal kak Siti ada kawan macam ni. Bawak balik rumah pulak. Tak pernah-pernah pun dia bawak kawan. Namun dia tahu, tak ada guna dia menyoal lagi. Lagipun, bukan selalu.
Nasha mengukir senyum nipis.
“Hai, saya Nasha.”
Isabelle yang masih terkejut teragak-agak menyambut tangan Nasha.
“Isabelle.”
“Oh, akak ni cantik la. Orang mana? mak atau ayah orang melayu?”
Isabelle tersenyum kelat mendengar pujian itu.
“Ayah.” Jawabnya ringkas.
Belum sempat Nasha bertanya lagi, Siti cepat-cepat mencelah, menolak Isabelle ke arah pintu dapur.
“Nasha, kak Isabelle dah nak balik dah. Dia ada interview kerja.”
Isabelle kelu. Interview? Memang nak kena Siti ni.
“Oh, ok, good luck!” sempat Nasha memberi semangat.
Isabelle Cuma mampu tersenyum kelat sehinggalah seluruh badannya sudah berada di luar pintu dapur. Direnung Siti tajam.
“Dah, nak buat apa sekarang?” bisiknya.
Siti meletakkan jari telunjuk ke mulutnya meminta Isabelle diam.
“Shh! Kejap lagi nanti aku ambilkan jubah dan tutup kepala kau. Tapi kena tunggu Nasha keluar dapur dulu lah. Kau tunggu dulu sini. Kejap je.” Ujar Siti sambil memanjang-manjangkan lehernya untuk memastikan Nasha sudah keluar dari dapur.
Isabelle mengeluh perlahan.
“Ok, kejap. Dia dah keluar. Nanti kau jangan lupa pulak kau bisu. Aku terpaksa tipu tadi sebab kau dah bercakap dengan dia. Fatimah kan sepatutnya bisu?” sempat Siti mengingatkan.
Isabelle menepuk dahi.
“Aku lupalah. Mamai sangat tadi.”
Siti Cuma menggeleng sebelum berlalu ke dalam dan kembali beberapa ketika kemudian dengan abaya Isabelle. Pantas disarungnya. Begitu juga dengan tudungnya beserta penutup muka.
Dia kemudiannya masuk ke dalam rumah kembali dan berlagak seperti biasa. Sempat dia mendengar Nasha bertanya tentang Isabelle dan balasan Siti ialah kononnya Isabelle sudah keluar.
Isabelle menghela nafas lega. Sekurang-kurangnya, rahsianya masih kekal di antara Siti dengannya. Baru satu hari. Lepas ni macam mana pulak? Isabelle Cuma mampu berharap hari esoknya lebih mudah.
Fatimah and Isabelle! Stay awake!
cepat2 upload new entry huhu..
ReplyDeletebest aja... =) dari tak ada.. nie pun dah bagus..hehe
ReplyDeletelama xjenguk sini..
ReplyDeletehihihihi
best3x.....
ReplyDeletebuat cerpen nie cr idea mana?
ReplyDelete