About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Saturday, January 30, 2010

Ini Bubur Cinta: Bowl 11




Sunyi suasana kampung di pagi-pagi hari memang merupakan satu perkara biasa. Di rumah yang kini Cuma diduduki Isabelle dan Nek Zizah, sunyinya lebih terasa. Mereka kini berdua sejak Tuk Khalid pergi ke alam sana 2 minggu yang lalu.
Tiada lagi Tuk Khalid, tiada lagi bebelan suara garau di pagi hari memarahi musuh tanaman, dan tiada lagi suaranya menyuruh Isabelle bangun dan mandi untuk ke sekolah.
Bagi Isabelle, dia kini yatim piatu. Dia sudah tidak berayah lagi. Tuk Khalid, satu-satunya lelaki yang dikenalinya sebagai ayah sudah tiada.
“Isabelle! Isabelle!” suara itu amat dikenalinya.
Isabelle menjenguk keluar.
“hmm, aku dah agak mesti kau orang berdua..” ujar Isabelle seraya pandangannya disapa wajah Chan dan Aman di atas anak tangga.
Isabelle melabuhkan punggungnya di muka pintu, kakinya diletakkan di anak tangga teratas.
“kau tak nak keluar ke? Dah dua minggu kau duduk rumah je. Balik sekolah, kau dah tak keluar.” Rungut Aman.
Chan diam di duduknya. Sejak pemergian Tuk Khalid, Chan lebih senyap. Isabelle menyedari perkara itu kerana tiap kali mereka ke rumah, Aman saja yang bising-bising kerana Isabelle menolak ajakan mereka untuk keluar.
Isabelle melepaskan keluhan perlahan. Dia menoleh ke dalam rumah sekilas.
“aku tak nak tinggal nenek sorang-sorang. Aku takut apa-apa jadi kat nenek bila aku tak ada…”
Aman turut mengeluh.
“alah, nak jadi apa? Nenek kau boleh jaga diri dia la…” bidas Aman.
Isabelle menunduk seketika.
“memang lah, tapi sejak tuk pergi, nenek makin kurang sihat aku tengok. Sebab tu aku tak boleh tinggalkan nenek. Aku harap korang faham. Kalau korang kawan aku, korang akan faham masalah aku..kan, Chan?”
Chan angguk, tapi tanpa sepatah pun keluar dari mulutnya.
Isabelle teringat wajah Chan bila dia berkunjung ke rumah semasa Tuk Khalid mahu dikebumikan. Wajah Chan sangat sugul. Dan mereka juga tidak bertegur sapa. Chan pulang terus sebaik saja majlis selesai.
Aman saja yang bertemu dengannya sebelum pulang.
Aman yang menyedari reaksi Paan begitu, merengus perlahan.
“hish, ko pun sama Chan. Macam kau pulak yang hilang ahli keluarga. Dari hari tu, senyap je. Pelik aku. Bosanlah aku macam ni. Isabelle dah tak nak main, kau pulak tak nak cakap, argh! Kalau ada Paan, kan best?” akhirnya itu yang terkeluar dari mulutnya.
Aman memuncung. Saat ini dia teringatkan Paan. Ke mana Paan? Di mana dia? Dah lupakah dia pada kawannya?
Chan mengeluh perlahan.
“Man, sorrylah. Aku..balik dulu. Baru aku teringat, papa aku mintak aku tolong dia hari ni..” Chan sudah bingkas.
Dia melihat Isabelle sekilas, sebelum membuka langkah pergi meninggalkan Aman dan Isabelle yang terkebil-kebil di situ.
“hah, kau tengok tu Isabelle! Kena sampuk agaknya! Ish…” marah Aman, lebih kepada rungutan.
Isabelle tidak membalas. Sebaliknya dia melihat saja kelibat Chan pergi sehingga dia hilang dari pandangan. Tidak siapa pun antara mereka tahu dan sedar bahawa itu adalah kali terakhir mereka bertiga.
Beberapa bulan selepas itu, Isabelle mendapat berita bahawa Chan sudah ke Bandar dan bersekolah di sana. Dia tinggal bersama pakciknya di sana.
Isabelle mendapat berita itu pun kerana dia pergi ke rumah Chan lantaran rasa hairan yang teramat apabila Chan tidak lagi datang ke rumahnya seperti selalu.
“uncle, Chan ada?”
Ah Tong yang sedang menghisap rokoknya menghampiri Isabelle dengan riak wajah yang Isabelle sendiri tidak mengerti.
“Chan? Dia dah lama tak balik rumah. Dia sudah duduk di Bandar, rumah abang uncle. Dia pindah sekolah sana. Lagi bagus.” Beritahu Ah Tong.
Isabelle melopong tidak percaya. Chan dah pergi?
Melihat wajah terkejut Isabelle, Ah Tong tau ada yang tidak kena.
“dia tak beritahu kamu ka?”
Isabelle geleng.
Ah Tong terdiam. Rokoknya dikeluarkan dari mulutnya dan disepit di celah jari.
“nanti kalau dia balik bila-bila, uncle suruh dia datang rumah kamu. Ok?” Ah Tong cuba memujuk.
Isabelle tersenyum kelat. Jika Chan pergi tanpa memaklumkan pengetahuan Isabelle, mustahil dia akan berkunjung ke rumah di masa cuti.
“thanks uncle.” Sekadar berbasa-basi sahaja ucapannya.
Isabelle mengayuh basikal tua Tuk Khalid pergi dari situ. Sepanjang perjalanan pulang, mindanya dibebani seribu satu persoalan.
Kenapa Chan pergi tak beritahu aku? Aman tau ke tak agaknya? Aman pun senyap je. Pelik.
“nek…” suara Isabelle lemah sebaik saja dia sampai ke rumah. Nek Zizah yang sedang membersihkan meja mendongak.
“kenapa tak semangat je kamu ni?” tegur nek Zizah.
Isabelle menarik satu kerusi lalu duduk.
Dia meletakkan dagunya di atas tangan di atas meja, bermenung.
Nek Zizah tidak jadi meneruskan kerjanya. Dia turut duduk di sebelah Isabelle, dielus lembut rambut Isabelle.
“kenapa ni? Gaduh dengan Chan ke? Hah, baru nenek perasan. Chan dan Aman dah lama tak datang rumah. Mana diorang pergi?”
Isabelle melepaskan keluhan kecil.
“Chan dan pergi sekolah di Bandar. Dia duduk rumah pakcik dia.”
Nek Zizah melopong.
“eh, bila dia pergi?”
Isabelle geleng.
“yang Isabelle tahu, dah lama dah. Uncle bagitau tadi..”
Nek Zizah terdiam.
Direnung Isabelle dari sisi. Wajah itu sugul. Nek Zizah sedar Isabelle kesunyian. Tanpa Chan dan Aman, dia sudah tiada kawan lain. Mereka tidak mahu berkawan dengannya kerana kelainannya.
Mungkin sudah sampai masanya Isabelle dididik menjadi anak gadis sepenuhnya.
“Isabelle…”
Isabelle mengerling sekilas.
“ya nek..”
“nak belajar buat kuih?”
Isabelle panggung muka, dipandang Nek Zizah dalam.
“boleh ke?”
Nek Zizah angguk.
“nenek ajar Isabelle buat kuih ya. Jadi taklah Isabelle bosan petang-petang. Ok?”
Isabelle angguk laju. Wajahnya berseri-seri. Selama ini, dia tidak dibenarkan ke dapur sangat. Pucuk dicita, ulam mendatang.
“hari ni, kita nak buat apa?” soal Isabelle.
Nek Zizah berfikir sejenak.
“kita buat kuih kegemaran Isabelle. Kuih keria, nak?”
Isabelle angguk lagi. Dia kemudiannya bangun dan dipeluk leher Nek Zizah erat.
“sayang nenek!”
Nek Zizah memegang tangan Isabelle erat.
“nenek pun sayang Isabelle jugak…”
Sayu tidak diundang. Ingatannya melayang kepada Haliza dan Paan. Kasihnya tertumpah pada Isabelle kini. Ke mana mereka?
Pilu menggigit tangkai hati mengenangkan Haliza tidak sempat bertemu ayahnya buat kali terakhir. Dia tidak dapat dihubungi. Sampai begitu sekali marah Haliza pada Zainal.
*******
“nek, duduklah. Isabelle boleh buatkan…” tegur Isabelle seraya menarik penyapu dari tangan Nek Zizah. Dia kemudiannya menarik Nek Zizah ke kerusi dan didudukkan Nek Zizah di situ. Nek Zizah melepaskan keluhan perlahan. Dia kemudiannya bingkas dan diatur langkah ke ruang tamu, meninggalkan Isabelle dengan kerjanya.
Jika 10 tahun lalu, dia seorang kanak-kanak comot yang tidak mengerti apa-apa, kini Isabelle sudah menjadi gadis sunti. Bak kata orang, sudah layak menjadi isteri orang. Isabelle tahu dan maklum sangat tentang semua itu.
Beberapa pinangan juga sudah masuk dan ditolak dengan baik. Alasannya, dia belum bersedia. Hakikatnya, dia tidak mahu meninggalkan Nek Zizah.
Dia mahu menjaga Nek Zizah dengan baik, hingga ke akhir hayatnya. Jika panjang umur Nek Zizah, selama itulah dia tidak akan berkahwin. Itu tekadnya.
Tubuhnya tinggi lampai, tidak terlalu kurus, tidak juga gemuk. Sedang-sedang sahaja. Rambutnya paras pinggang, yang kini sudah bertutup elok jika ada lelaki ajnabi di rumah, ataupun jika dia keluar dari rumah, walau Cuma untuk menyidai kain di ampaian.
Isabelle sudah mengambil alih semua kerja di rumah itu. Nek Zizah disuruhnya rehat sahaja walaupun kerap juga Nek Zizah terpaksa disuruh duduk. Wanita itu tidak mahu duduk diam begitu sahaja. Ada sahaja yang nak dibuatnya.
Dia sekarang belajar di tingkatan 6 di sekolah yang sama. Bukan dia tidak mendapat keputusan SPM yang elok, malahan keputusannya merupakan keputusan terbaik di sekolah itu, dan juga dalam daerah. Tapi Isabelle tidak memohon mana-mana university. Dia mahu berada di samping Nek Zizah.
Habis mengemas meja dan dapur, Isabelle menyertai Nek Zizah di ambang pintu rumah. Kedut di wajah itu sudah bertambah banyak sejak 10 tahun yang lalu. Kudratnya juga sudah berkurangan. Mujurnya Nek Zizah tidak berpenyakit. Isabelle memanjat syukur kerana Nek Zizah masih sihat.
Ubannya juga sudah agak penuh melitupi kepalanya.
“nek…”
Isabelle mencapai botol minyak angin di tepi dinding, dan dituangkan sedikit ke tangan. Dia mula mengurut kaki Nek Zizah yang terlunjur.
“nenek termenung apa?”
Tangannya ligat bergerak, memicit kaki yang kulitnya sudah terasa kendur itu. Begitu berhati-hati.
“Isabelle...” suara Nek Zizah serak dan perlahan.
“ya nek…”
“nenek rasa dah sampai masanya kamu tau asal-usul kamu..”
Isabelle terdiam, terasa bagai ada pasir di tekaknya. Perit.
“asal-usul…Isabelle?”
Nek Zizah menarik nafas dalam. Dia memandang ke luar rumah.
“kamu anak Zainal dan Marriot. Zainal anak kawan baik nenek. Mereka berasal dari sini, tapi datuk kamu, Dato' Dini, bawak ahli keluarga dia berpindah dan dia jadi kaya tak lama kemudian. Zainal pergi ke luar Negara dan berkahwin dengan ibu kamu. Kamu ada sorang adik perempuan. Ibu dan ayah kamu ada masalah dalam rumahtangga mereka, dan mereka berpisah. Adik kamu dengan mak kamu, dan kamu ditinggalkan oleh ayah kamu dengan datuk dan nenek kamu. Masa umur kamu 4 tahun, Dato' Dini datang dan amanahkan kamu pada nenek, dan Tuk Khalid. Dia minta kami jaga kamu macam anak kami sendiri. Dan itulah yang nenek buat…” tangan Nek Zizah terlekap kemas di pipi Isabelle, pandangannya sayu.
“tapi, datuk dan nenek kamu, meninggal dunia dalam kemalangan, sebulan lepas kamu duduk di sini. Mereka dalam perjalanan ke mari, untuk bertemu kamu, dan mereka tak sempat bertemu kamu, buat kali terakhir..”
Isabelle kaku.
“sekarang, Cuma nenek yang ada dengan kamu. Kamu Cuma ada nenek..” suara itu begitu perlahan, seolah-olah berbisik.
Isabelle menunduk. Itukah kisahnya? Mengapa dia seakan-akan dibuang keluarga sendiri? Kenapa?
“Isabelle…”
Isabelle memanggung muka, dan ditentang sepasang mata milik Nek Zizah. Sepi seketika.
“kahwinlah..sekurang-kurangnya, nenek tahu ada yang menjaga kamu bila nenek tak ada nanti…”
Isabelle terdiam, matanya tidak berkelip. Itukah tujuan Nek Zizah bercerita asal-usulnya hari ini? Untuk meminta dia berkahwin?
Isabelle melarikan matanya.
“tak nak, Isabelle takkan kahwin selagi nenek ada dengan Isabelle…”
“kalau nenek pergi, macam mana? Siapa nak jaga Isabelle?” ada nada risau di hujung suara itu.
Isabelle menelan liur.
“nek, nek janganlah kata macam tu. kan Isabelle masih ada nenek? Nenek pun nak tinggalkan Isabelle macam semua orang?” dia menyoal perlahan.
Jika benar kata cerita Nek Zizah, jelaslah dia akan keseorangan. Semua orang yang rapat dengannya dah pergi meninggalkannya. Ibu bapa, nenek dan datuk, Tuk Khalid, Chan, Aman.
Aman. Secara realitinya, Aman tidak meninggalkannya. Seminggu lepas, ada orang datang merisik. Orang itu ialah pakcik Aman, merisik Isabelle bagi pihak Aman, dan seperti rombongan yang lain, mereka pulang dengan tangan kosong. Aman dikecewakan.
Isabelle bingung. Dia tidak akan berkahwin dengan Aman. Aman temannya, sampai bila-bila.
“bukan macam tu, Isabelle…”
“habis? Nenek macam nak halau Isabelle je. Isabelle dah tak ada sesiapa, Cuma nenek saja. Nenek takkan tinggalkan Isabelle kan?” dipeluknya tubuh itu erat.
Nek Zizah menarik nafas dalam. Digosok belakang Isabelle, ditepuk-tepuk perlahan seolah mahu menenangkannya. Pilu. Siapa yang akan menjaga Isabelle kelak bila dia tiada? Siapa yang boleh dia harapkan? Haliza?
Dia mengeluh lagi untuk kesekian kalinya.

7 comments:

  1. sedih nyer..huhu
    cian kat Isabelle nie..
    nek zizah risau sgt tak de org bley jage dia..

    ReplyDelete
  2. isabelle tgg paan yea..

    ReplyDelete
  3. sian isabelle..bila dia nk jumpa paan blk nie..

    ReplyDelete
  4. ciannya kt mrk.bilala isabella nk jumpa paan.x sbrnya.mesti lps ni citer mkn mnrk lg.kak ni bgs la.gmpk citer ni.sy suka.hehehe

    ReplyDelete
  5. mesti isabel dengan paan...huhu

    ReplyDelete
  6. paan.......................where are u????????

    ReplyDelete