Nisa' terjaga dari tidurnya apabila azan subuh berkumandang dari surau yang terletak tidak jauh dari rumah Haji Bustaman. Baru 3 Jam dia melelapkan mata. Seperti selalu, tidurnya tidak akan lelap kerana Hana akan menangis mahukan susu di malam hari.
Nisa' menoleh ke arah Hana, diusap lembut ubun-ubun Hana dan diciumnya. Kemudian, dia bingkas. Bunyi air mencurah di bilik air menandakan ada orang lain di rumah itu yang sudah bangun. Nisa' menyarung tudung. Mahu ke bilik Fazil di mana Irfan tidur. Bukan tidak ada bilik lain, tetapi Irfan yang memilih mahu tidur di situ.
Aneh. Bagi Nisa', Irfan sangat aneh. Apa yang ingin dia buat semua perkara yang aneh. Dia mahu mengambil Hana yang tiada kaitan dengannya sebagai anak angkat, mahu berkahwin dan menceraikan Nisa', sanggup menghadapi semuanya kerana Hana. Dia memang pelik.
Lelaki yang normal tak akan menyatakan persetujuan mereka dengan Nisa' dalam hal Hana. Seperti Daniel.
Daniel. Nisa' tertanya-tanya ke mana dia menghilang. Hendak bertanya pada ummi, bimbang ditempelak pula. Namun, dia tetap tertanya-tanya. Walau apa pun yang terjadi, Daniel tetap seseorang yang pernah hadir dalam hidupnya. Takkan dia melupakan Daniel begitu mudah.
Tok! Tok!
‘Zil, bangun subuh. Irfan, bangun.’ Sepi, tiada jawapan.
Nisa' mengetuk lagi.
‘Zil, bangun Zil.’ Panggil Nisa' lagi. Sepi. Hendak menerjah masuk, tidak manis pula. Irfan ada di dalam.
‘Nisa',’
‘oh mak engkau!’ hampir melompat Nisa' apabila ada suara menegurnya dari belakang.
‘Irfan! Ya Allah, terkejut saya!’ ujar Nisa', tangannya melekap di dada. Diurut dadanya perlahan.
Irfan senyum kecil. Rambutnya basah. Dia sudah berkain pelekat, dengan tuala tersangkut di leher. Nisa' melarikan matanya, malu sendiri melihat Irfan yang tidak berbaju itu.
‘awal awak bangun.’ Tegur Irfan selamba.
Nisa' angguk, masih tidak menentang wajah Irfan.
‘ya, err, kejutkan Fazil.’ Pantas Nisa' berlalu tanpa menanti lagi. Irfan mengangguk saja. Melihat Nisa' begitu, dia menjungkit bahu. Mengorak langkah ke bilik Fazil.
Bau nasi goreng kampung semerbak menyelubungi satu rumah. Nisa' sibuk menghidangkan dan menyiapkan meja. Hajah Rubiah yang sedang menggoreng mematikan api. Menoleh ke Nisa'.
‘hidangkan nasi, Nisa'.’ Arah Hajah Rubiah. Sejak bangun tadi, tiada sesiapa pun yang membangkitkan hal semalam. Nisa' tahu bukan masanyan untuk bertanya. Umminya perlukan masa.
Irfan dan Haji Bustaman pula telah ke kebun sejak selepas subuh tadi.
Ingatan Nisa' kembali pada Daniel. Dia mengerling Hajah Rubiah yang sedang meneguk teh o’ panas di kerusinya. Nisa' menelan liur. Dia menyenduk nasi dengan cermat ke dalam mangkuk besar.
‘ummi, ada berita pasal Daniel?’ soal Nisa' teragak-agak.
Hajah Rubiah yang mahu meneguk lagi terhenti seketika. pandangannya menyorot pada Nisa' yang sedang menyenduk nasi.
‘kenapa kamu nak tau? Kamu kan dah tak ada apa-apa dengan dia?’ balas ummi sinis.
Nisa' menggenggam sisi mangkuk kejap, berpusing membawa mangkuk nasi itu ke meja.
‘Nisa' tetap kawan dia. Dia tetap kawan Nisa'. Nisa' tak pernah bencikan dia ummi.’ Balas Nisa' sambil menentang pandangan Hajah Rubiah.
Hajah Rubiah tidak membalas, terus meneguk airnya.
‘Fazil, turun makan!’ laung Hajah Rubiah.
‘ya ummi. Kejap!’ Fazil menyahut dari atas.
Nisa' menarik kerusi, duduk di hadapan ummi. Nisa' menarik nafas dalam. Merenung sepasang mata umminya.
‘ummi, Nisa' tau Nisa' bersalah sebab Nisa' putuskan semuanya dengan Daniel tanpa memberitahu ummi. Tapi kami dah berjanji takkan bermusuh ummi. Tapi Nisa' agak risau bila Daniel terus senyap macam tu je. Makcik Kamariah tak cakap apa-apa dengan ummi ke?’ soal Nisa' lembut.
Tidak mahu mengusik mood ummi yang tenang sedikit dari semalam.
Hajah Rubiah meletakkan cawannya di atas meja. Merenung Nisa' yang menanti jawapan.
‘apa kata kamu telefon Makcik Kamariah sendiri? Ummi rasa sejak kamu putus dengan Daniel kamu dah tak pernah bercakap dengan dia kan?’ teka ummi.
Nisa' terdiam, tanda mengakui benar kata-kata ummi. Sejak berpisah dengan Daniel, Nisa' terlalu sibuk dengan dunianya sehinggakan dia tiada masa mahu menjernihkan keadaan diantara mertua-tidak-jadinya itu.
‘ummi ada telefon dia?’ soal Nisa' pula.
Hajah Rubiah geleng.
‘mana ummi berani nak telefon Nisa'? kamu yang buat pasal, bukan Daniel.’ Sinis namun tenang bicaranya.
Jelas perasaan Hajah Rubiah robek dengan terputusnya hubungan Daniel dan Nisa'. Dia begitu mesra dengan Makcik Kamariah, ibu Daniel. Nisa' menunduk.
‘ummi, maafkan Nisa'.’ Ujar Nisa' kesal. Dia tahu umminya sudah penat mahu bertekak dengannya setelah beberapa siri pertengkaran, tengkingan dan jerkahan.
Hajah Rubiah merenung Nisa' lama. Keluhan kecil dilepaskan.
‘mana abah kamu?’ soal Hajah Rubiah.
Nisa' membuang pandang ke luar tingkap.
‘entah, keluar dengan Irfan. Ke kebun agaknya.’ Jawab Nisa'. Dia berpaling, menghadap Hajah Rubiah kembali.
Hajah Rubiah merenung Nisa' dalam. Memikirkan sesuatu.
‘kamu betul nak kahwin dengan Irfan tu?’ soal Hajah Rubiah tiba-tiba. Nisa' kelu di duduknya.
‘err, ummi,’ rasa bersalah pula Nisa' mahu meminta persetujuan apabila memikirkan tentang tujuan mereka mahu berkahwin pada awalnya.
Mencerlung mata Hajah Rubiah, menanti jawapan Nisa'.
‘ummi, Nisa' takkan teruskan tanpa restu ummi.’ Bimbang umminya akan naik angin seperti semalam. Serik.
‘kamu tak menjawab soalan ummi. Kamu betul nak kahwin dengan Irfan?’ Hajah Rubiah mengulang soalan yang sama sekali lagi.
Nisa' terdiam.
‘kamu cintakan Irfan?’ soalnya Hajah Rubiah lagi.
Nisa' menunduk.
‘Nisa'?’ Hajah Rubiah memanggil, menanti jawapan.
‘amboi! Sedapnya bau!’ suara Fazil membuatkan kedua-dua mereka berpaling sehingga Fazil yang sedang menuruni tangga merasa kekok dengan pandangan tajam mereka.
‘kenapa?’ soal Fazil kehairanan. Hajah Rubiah menyorotkan pandangannya pada Nisa' kembali.
Nisa' bingkas. Lega dengan kehadiran Fazil. Sebetulnya dia mahu mengelak dari menjawab soalan ummi. Entah kenapa, dia tidak mahu menjawab soalan itu. Kerana dia tidak mahu berbohong tentang perasaannya. Dia tidak cintakan Irfan. Dan jika ummi tahu, pasti rancangan mereka akan gagal sebelum dilaksanakan.
‘mana abah kamu? Panggil abah makan.’ Hajah Rubiah mengarahkan Fazil.
Fazil yang baru duduk mengeluh kecil, namun dia bangun juga. Memanjat tangga kembali. Hajah Rubiah merenungnya hairan apabila langkah Fazil mati di anak tangga teratas.
Fazil senyum senang sambil berpusing menuruni tangga kembali.
‘abah dah datang!’ dia mengambil tempat kembali.
Pandangan Nisa' jatuh ke ambang pintu dapur. Abah dengan diikuti Irfan sedang menuruni tangga.
‘kamu masak apa Nisa'?’ soal abah sambil mengambil tempat.
Nisa' senyum tawar.
‘ummi yang masak abah. Nisa' tolong je.’ Jelas Nisa'.
Irfan merenung Nisa' tidak lepas. Masih teringatkan wajah Nisa' yang malu melihatnya tidak berbaju. Nisa' begitu polos. Dia senang sendiri.
‘mari Irfan, makan. nanti kamu makan tengah hari dulu baru balik KL kan?’ soal abah secara rambang.
‘tak,’
‘ya,’
Serentak Nisa' dan Irfan menjawab, jawapan yang berbeza. Mereka saling berpandangan. Nisa' mengangkat kening. Irfan menjungkit bahu.
Abah senyum kecil melihat mereka. Ummi seperti tidak ambil pusing.
‘hmm, nanti kamu bincanglah. Jangan pulak sorang balik sorang tak balik. Susah nanti.’ Seloroh abah.
Irfan tersengih saja. Fazil turut senyum.
Nisa' mengambil tempat di sisi umminya. Senyak seketika apabila masing-masing menyuap nasi goreng ke dalam mulut.
‘em, sedap masakan makcik.’ Puji Irfan, spontan terkeluar dari mulutnya.
Hajah Rubiah terhenti mengunyah sekejap. Mengerling Irfan yang menyuap laju. Jelas tidak menanti reaksinya.
Nisa' menelan liur. Nasinya terasa terlekat di kerongkong. Ummi, jangan mengamuk pagi-pagi buta ni. doanya sendiri.
‘hmm,’ balas ummi ringkas.
Nisa' melepaskan nafas lega tanpa disedari yang lain.
Suasana sepi kembali. Rengekan Hana yang sayup-sayup kedengaran dari atas membuatkan suapan Nisa' terhenti. Dia bingkas meninggalkan nasinya yang berbaki separuh sambil diperhati yang lain. Lincah dia membancuh susu. Irfan turut bingkas, mencuci tangannya di sinki sebelum menghilang ke atas. Sebelum sempat Nisa' memanjat tangga, Irfan sudah muncul bersama Hana di dalam tangannya.
Yang lain melopong sekejap melihat Irfan mendokong Hana tanpa kelihatan kekok.
‘Irfan, susah-susah je. Tak apa, dia bukan boleh bergolek lagi.’ Nisa' meluahkan rasa tidak sedapnya. Dia menyambut Hana dari Irfan.
Kelihatannya seolah-olah Cuma ada mereka berdua di ruang makan itu.
Irfan senyum senang sambil mengusap kepala Hana perlahan.
‘tak apa, dia pun anak saya jugak. Takkan awak je yang bersusah sebab Hana kan?’ balasan Irfan yang selamba itu membuatkan semua mendongak, dan Nisa' terdiam.
Irfan duduk kembali, menghabiskan nasinya yang berbaik tanpa mengendahkan langsung pandangan yang lain. Seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Yang lain kembali menyuap seperti biasa apabila tiada yang bersuara. Nisa' mengambil tempat di kerusinya, menyusukan Hana.
Entah kenapa, semakin hari, bicara Irfan dan lakonannnya semakin bagus sehingga Nisa' sendiri terkedu. Irfan memang bijak dan pandai berlakon, itu pendapatnya.
***
Beg-beg mereka dimasukkan ke dalam but kereta. Nisa' mengendong Hana. Memerhati sahaja Irfan memasukkan buah pisang emas hadiah ayahnya kepada Mak Su. Itulah yang dilakukan mereka pagi tadi.
Sejurus selepas makan tadi, Nisa' dan Irfan berbincang tentang masa keberangkatan pulang mereka, seperti mana yang dicadangkan abah. Nisa' tidak mahu berlama, bimbang mood ummi akan terusik lagi. Irfan membantah pada mulanya, kerana padanya tidak manis jika mereka Cuma sekejap di situ.
Namun akhirnya Irfan mengalah apabila Nisa' memberi hujah-hujahnya.
Fazil di sisi Nisa' memuncungkan mulutnya.
‘akak, kenapa balik sekejap sangat?’ soal Fazil tidak puas hati.
Nisa' senyum nipis, sebelah tangannya memeluk bahu Fazil.
‘ala, nanti akak balik lagi, ok?’
‘abang Irfan datang lagi nanti ke?’ soal Fazil lagi.
Nisa' terdiam, Irfan turut tersentak namun cepat dia mengawal dirinya.
Hajah Rubiah memeluk tubuh.
Haji Bustaman tenang melihat Irfan memasukkan barang-barang ke dalam kereta.
‘nanti kamu datang lagi?’ soal Haji Bustaman, ditujukan kepada Irfan kerana matanya tak lepas dari Irfan.
Irfan senyum kelat. Tiada jawapan. Kalau tak boleh kahwin takkan nak datang lagi?
‘err, tengok dulu pakcik, insyaAllah.’ Jawab Irfan, jawapan yang selamat. Mungkin datang, mungkin tak.
Nisa' resah sendiri.
Hajah Rubiah merengus kecil.
‘kalau tak nak datang lagi macam mana nak hantar rombongan meminang?’ selamba Hajah Rubiah bertutur. Tiada senyuman. Wajahnya tiada emosi.
Nisa' menoleh ke arah umminya pantas. Semua mata tertumpu pada Hajah Rubiah.
Irfan juga tergamam. Haji Bustaman senyum senang. Sudah dijangkanya.
‘betul tu Irfan. Nak hantar rombongan nanti beritahu pakcik. Senang kami buat persiapan.’ Tambah Haji Bustaman.
Nisa' memandang Irfan yang tersenyum lebar. Dia turut tersenyum. Berbunga riang hatinya.
Fazil terpinga-pinga sebentar.
‘abang nak kahwin dengan kak Nisa'?’ soal Fazil pada Irfan. Irfan menunduk sambil tersenyum lebar.
Nisa' turut tertunduk seketika. malu bila menjadi bahan perbualan.
‘betul ke? Yes! Akhirnya, dapat juga abang ipar!’ sorak Fazil.
Mereka ketawa riang melihat Fazil kecuali Hajah Rubiah yang masih dengan riak wajah yang kosong. Nisa' memanjat syukur. Jauh di sudut hatinya, turut terselit rasa bimbang. Dah boleh kahwin, nak bercerai nanti macam mana pulak ceritanya? Hmm...
hish..jgn la diorg bercerai..
ReplyDeletesian kat hana..baru dpt papa baru..
takkn dh lepas pula..
harap2 ummi nisa' ok la ek..blh tme irfan sbg menantu.nmpk cm da nk ok.hehehe
ReplyDelete