“Saya dah buat
keputusan.” Darin sedikit teragak-agak untuk menuturkannya.
Fakhri
yang sedang menikmati peanut butter waffle dan nenek yang sedang menyapu
butter pada roti bakarnya sama-sama memanggung muka, tetapi Darin cuma
mampu memandang wajah nenek.
“Saya berterima kasih sangat sebab
nenek dan cucu nenek dah menolong saya yang tersesat dan tersangkut di Genting
ni. Saya akan balik sendiri menaiki bas. Jadi, saya cuma minta dihantar ke sana
saja. Saya harap, nenek dan cucu nenek
tak keberatan.”
Fakhri tidak berbunyi, sebaliknya dia
meneruskan suapannya. Cuma nenek mengeluh panjang.
“Darin betul-betul dah buat keputusan?
Tak mahu sekali dengan kami? Kan kita memang sehala, nak balik KL juga.”
Dia mengangguk sekali. Berbeza betul
sikap dua orang manusia di depannya ini. “Tak apa nek, cukuplah dah pertolongan
yang ada ni. Tak terbayar nanti saya budi nenek.”
“Mana awak nak dapat duit beli tiket
bas?” Fakhri bersuara tanpa memandang Darin.
Darin menggigit bibir.
“Saya… saya nak pinjam duit. Cukup
untuk tambang saya. Saya akan bayar balik,” balasnya lancar sambil memandang
nenek dengan penuh harapan.
Nenek tersenyum lagi.
“Tak apa. Tak perlu bayar. Nenek
halalkan. Kami cuma menolong sesama manusia saja.” Nenek terus mengeluarkan
dompetnya dari beg tangannya.
Fakhri mengelap mulut dengan napkin.
Matanya melirik ke arah nenek yang sudah mengeluarkan not seratus dan dihulurkan
kepada Darin.
Tergamam Darin melihat wang sebanyak
itu.
“Hah, ambiklah. Mana lagi awak nak
jumpa orang yang macam nenek ni? Dah dituduh macam-macam tapi masih tak
berdendam.” Fakhri bersandar ke kerusinya dengan penuh lagak.
“Fakhri.” Suara nenek sedikit keras
menegur, dan Fakhri merengus perlahan sebelum bingkas.
“I need to go to the restroom.”
Dia terus berlalu tanpa berkata apa-apa lagi.
Bagaikan dipukul, huluran nenek tidak
dapat disambutnya. Darin tertunduk di situ, panas wajahnya.
“Nek, maafkan saya. Saya tak tahu...”
“It’s okay. Nenek tak berkecil
hati pun. Biasalah tu. Cuma nenek tak faham kenapa Fakhri mesti marah sangat
sampai macam ni sekali.” Sejujurnya dia tahu Fakhri terbawa-bawa, dan bukan
sengaja Fakhri mencari kesalahan Darin begitu sekali. Selalunya Fakhri dapat
mengawal dirinya. Entah kenapa Fakhri begitu jujur kali ini.
Bukan sekali dua dia dianggap liar.
Itu memang tanggapan ramai orang terhadapnya, berdasarkan kerjanya dan juga
rupanya. Tetapi Fakhri tidak pernah melenting sebegini hebat. Kerana Hanim kah?
“Nah, Darin ambillah ni. Nenek
halalkan.” Nenek mengunjukkan lagi not seratus itu dan Darin menyambut dengan
berat hati.
Apabila Fakhri kembali, mereka menghabiskan
hidangan masing-masing dalam sepi. Tidak berapa lama kemudian, mereka sudah
beriringan ke tempat letak kereta. Nenek memeluk lengan Darin, hangat dan erat,
sedangkan dia tidak tahu apa yang patut dikatakan lagi.
Tidak kuasa lagi dia mahu bersuara di
dalam kereta. Dibiarkan saja Fakhri dan nenek berbual dalam Bahasa Inggeris.
Hendak menyampuk pun tiada keperluan.
Sampai di stesen bas, nenek turut
keluar bersamanya dan memeluknya erat.
“Terima kasih nek. Terima kasih
banyak-banyak. Saya takkan lupakan jasa baik nenek. Jasa baik Fakhri juga,”
ujarnya perlahan ke telinga nenek sambil membalas pelukan hangat itu.
“Sama-sama. Ada umur dan jodoh, kita
akan berjumpa lagi.” Ada secebis harapan dalam suara nenek, membuatkan dia
terus terdiam.
Mahukah dia bersua lagi dengan Fakhri?
Apabila kereta mewah milik Fakhri
sudah menyusur meninggalkan stesen, Darin terasa lapang dadanya tiba-tiba.
Berakhir sudah segalanya. Episod ngeri dalam hidupnya.
FAKHRI
mengerling nenek di sisinya yang senyap saja sejak Darin ditinggalkan di stesen
bas.
“Nek, marah ke?”
Nenek menoleh, terkejut dengan soalan
itu.
“Marah? Taklah. Kenapa Fakhri tanya?”
Fakhri menjongket bahu.
“Entah. Tengok nenek senyap je sejak
tadi.”
Nenek tersenyum nipis.
“Dah rindu pulak dengan dia.”
Fakhri menggeleng sekali. Inilah
perangai nenek. Mudah sangat tersentuh hati dengan sesiapa saja yang baik
dengannya. Orang tualah katakan...
“Rasa-rasanya kita akan jumpa Darin
lagi?”
Fakhri angkat kening.
“Nak jumpa dia lagi?”
Nenek mengangkat tangannya, menidakkan
soalan Fakhri.
“Just asking. Dia pun dah tak
nak jumpa kita tu,” balas nenek tanpa sekelumit rasa marah. Tindakan Darin
berdiam tadi sudah memberi jawapan dengan kuat dan jelas. Darin tidak
mengharapkan pertemuan seterusnya antara mereka.
“Perempuan tu cakap macam tu?” tingkah
Fakhri sedikit terkejut. Nampaknya dia masih belum serik. Mulutnya masih tak
berlapik!
Nenek menggeleng seraya memandang
Fakhri tidak setuju.
“Darin, Fakhri. Bukan perempuan tu.
Dia ada nama.”
Fakhri merengus perlahan.
“Whatever.” Tidak ingin dia
menuturkan nama gadis itu lagi.
Nenek melepaskan keluhan pendek.
“Dia tak cakap pun. Nenek dapat teka.”
Nadanya sedikit kecewa.
Fakhri meraih tangan kanan nenek dan
digenggamnya erat.
“Tak apa. You have me.”
“You have your business. Nenek
cuma meneman Fakhri, tapi nenek yang selalu keseorangan,” luahnya tanpa sedar.
Fakhri tersenyum tawar. Memang itu
hakikat. Dia dihantar ke sini oleh ‘sir’ bukan untuk membuang masa. Dia
ada tugasan besar. Kerana itu, dia tiada masa mahu menemani nenek. Sudahlah
nenek tiada kawan di sini. Maklumlah, sudah lama meninggalkan Malaysia.
“Nak balik UK?”
Nenek menggeleng lemah sambil menghela
nafas dalam. “Sini atau di UK sama saja. Nenek tetap sendirian juga.”
Fakhri tidak lagi mampu berkata
apa-apa, kerana itu hakikat yang harus ditelan. Hidup yang dikelilingi
kemewahan tetapi membosankan.
Fakhri menoleh lagi apabila nenek
melepaskan keluhan yang panjang.
“Kalaulah Darin nak tinggal dengan
kita...”
Fakhri terdiam. Sudah… nenek dah mula
dah…
Walaupun itu cuma keluhan nenek, cuma
Fakhri saja mengerti. Nenek mahukan Darin bersamanya. Tetapi Fakhri tidak
sukakan Darin, dan dia juga yakin Darin teramat bencikannya. Tapi nenek?
Aduhai….
“ANGAH!
Kau pergi mana? Kenapa tak balik semalam?” Bagaikan petir suara Iris menyapanya
sebaik saja dia menguak pintu rumah.
Muk di tangan Iris berisi air milo
terus dirampasnya, tanpa bantahan daripada Iris. Dia menghenyakkan punggung di
sofa sebelum meneguk air itu laju sehingga habis sambil diperhatikan Iris yang
menunggu dengan riak bimbang.
“Kau tak apa-apa kan? Aku risau tahu
tak?”
Diserahkan kembali muk itu kepada
Iris. Lega. Dia benar-benar sudah tiba di rumah dengan selamat.
“Aku okey. Kalau risau, lain kali,
guna telefon aku tu reti-retilah simpan balik dalam beg!” Ditunjal kepala Iris
perlahan.
Terus Iris menarik muncung lalu
ditarik Darin ke dalam pelukannya. “Syukurlah kau dah balik. Aku hampir nak
buat report polis. Nasib baik along tak bagi,” beritahunya dalam
kelegaan.
Tersedak Darin mendengar kata-katanya.
“Cu, kau bagi tahu Along?” Ditolak
tubuh Iris sekuat hatinya. Iris mengangguk dengan naifnya.
“Yalah. Kau tak pernah tak balik, dan
telefon kau pun tertinggal. Mestilah aku kena bagi tahu Along.”
Darin menepuk dahinya. Apa lagi nak
dikata. Tunggu sajalah Along membebel nanti. Yang penting, dia sudah selamat
tiba di rumah. Terima kasih kepada Fakhri dan nenek.
“Aku nak tidur. Sakit kepala.” Dia
terus berdiri, mahu beredar.
“Kau sure kau okey? Kau tidur
mana semalam? Genting?”
Tanpa membalas, Darin mengayunkan
langkahnya. Masuk saja ke bilik, dia terus menutup daun pintu dan menguncinya
bagi menghalang Iris dari masuk.
“Aku okey. Aku perlu rehat je. Nanti
aku cerita.” Laungnya bagi mendiamkan Iris yang sudah mengetuk-ngetuk pintu
biliknya.
“Okey. Aku tak ke mana-mana hari ni.
Jangan lupa mesej Along!” Pesan Iris dari luar.
Darin mengangguk malas. Sebelah
tangannya menanggalkan tudung manakala sebelah lagi mencapai telefon di atas
meja solek.
“Mak aih, 15 missed calls?”
Daripada Amri. Mestilah Amri mencarinya kalau tiba-tiba hilang dari pandangan.
Dia mendail kembali nombor Amri dengan
malas. Semalam, memang dia marahkan Amri. Tetapi kini dia teramat lega kerana
dia sudah selamat pulang. Jadi, tidak perlu lagi dia mengamuk pada Amri. Mujur
hari ini hari Sabtu. Selamatlah dia mahu bermalasan di rumah.
“Helo, Darin!” Suara cemas Amri
kedengaran di hujung corong selepas sekali saja nada deringan.
“Hmm, aku dah sampai rumah. Kau jangan
risau.” Hajatnya mahu berbicara sependek mungkin. Tetapi dia sedikit tersentak
apabila Amri bersuara keras.
“Kau pergi mana? Aku risau sangat!
Puas aku cari kau. Kalau kau tak telefon ni, memang aku dah buat report polis.”
Darin mencemik. Apasal semua nak report
polis ni? Dia menghempas tubuhnya ke atas katil dengan rasa malas. Malas mahu
memanjangkan cerita.
“Nanti la aku cerita. Aku selamat.
Jangan risau. Bye.” Darin terus mematikan talian tanpa menunggu balasan
Amri.
Baru saja mahu terlena, terdengar
bunyi mesej sayup-sayup. Dengan malas Darin mencapai telefon bimbitnya di
sebelah dan mesej dibuka.
Daripada Amri. Dengan mata yang dibuka
sebelah saja, dia membaca.
Thank God kau
selamat. Tuhan je yang tahu betapa risaunya aku bila tak jumpa kau semalam.
Take care.
Apa pulak Amri merepek ni? Emo lebih
la pulak. Dipadam terus mesej itu dan profile terus ditukar kepada silent.
Dia perlukan rehat. Sudah-sudahlah dia bermimpi ngeri.
TERGESA-GESA
Lily keluar dari keretanya. Angah tak balik semalam! Bila dia mendengar berita
itu, terus tidak senang duduk dia jadinya. Nasib baiklah perniagaannya ada
orang lain yang menguruskan bersama. Kalau tidak, memang tak berasaplah terus.
Ditolak pagar rumah yang dahulunya
menjadi kediamannya itu dengan sedikit kalut.
“Acu, bukak pintu!” Spontan pintu kayu
rumah dibuka dari dalam oleh Iris yang sememangnya sedang menanti
kedatangannya.
“Mana dia?”
“Tidur. Dah sejam lebih.”
Lily terus menuju ke arah bilik Darin
dan membuka pintu bilik dengan kunci pendua. Dia menghela nafas lega apabila
tubuh Darin yang terdampar menjamah matanya. Betullah Darin selamat. Itu yang
penting. Tapi jarum jam sudah menunjukkan pukul 2.00. Zohor sudah masuk. Dia
duduk di sisi katil sambil menggeleng panjang melihat pakaian kerja Darin yang
belum bertukar.
“Ngah…” Ditepuk paha Darin perlahan.
Apabila adiknya itu membuka mata, Lily
menggeleng lagi.
“Kau buat aku risau, kau boleh pulak
tidur tak ingat dunia. Bukan nak call aku dulu.” Lily sudah membuka
kata.
Darin terpisat-pisat kerana dikejutkan
dari tidur yang enak. Kata-kata Lily membuatkan dia menggagahkan diri untuk
duduk. Disentuh paha along lembut.
“Sorry. Aku penat.”
“Kau tidur mana semalam?”
Darin menggaru belakang kepala. Soalan
itu amat payah untuk dijawabnya. Dengan Acu, dia boleh mengelak lagi. Dengan
Along, bagaimana caranya? Alonglah yang menjadi tempat berlindung mereka sejak
babah pergi dua tahun yang lalu. Susah mahu menipu Along.
“Aku selamat. Tak ada apa-apa yang
jadi. Itu yang penting. Kau jangan risau ya, long.”
Lily melepaskan nafas panjang.
“Mestilah aku risau. Aku ada korang je
sekarang ni. Ni Alhamdulillah tak jadi apa-apa. Kalau jadi apa-apa, macam mana
aku nak teruskan hidup?”
Bebelan Lily membuatkan Darin
tersenyum nakal.
“Abang Marzuki kan ada...”
Pap!
“Aduh! Sakitlah!” Darin menggosok bahu
yang perit ditampar.
Lily mengetap giginya.
“Padan muka. Aku serius, kau main-main
kenapa?”
“Aku cakap betullah. Kau kan ada family
kau, ada anak-anak. Bukannya kitorang je family kau.”
Lily mengetap bibirnya geram.
“Pandainya bercakap! Aku kan kakak
korang. Mestilah aku kena risau!” Suaranya yang sedikit meninggi membuatkan
Darin memeluk bahunya lembut.
“Along, aku okeylah. Kau tengok ni,
aku okey, kan? Kau janganlah risau. Kau ada suami, ada anak-anak...Itu
kepentingan kau. So, kau janganlah risaukan aku sebab aku okey. Itu maksud
aku.”
Lily menjeling Darin tajam.
“Kau tak nak cakap kau tidur mana,
kan?”
Darin mengangguk sekali.
“Sebab pada aku, aku dah tutup buku
hari semalam. Aku dah tak nak ingat apa-apa. Tapi aku bukan menipu kau. Aku
jamin tak ada apa yang jadi pada aku, sebab tu aku dah tak nak sebut apa-apa
pun fasal semalam. Tak ada apa yang menarik pun. Yang penting, aku selamat.” Usaha
Darin meyakinkan Lily berhasil apabila akhirnya Lily melepaskan keluhan
panjang.
“Okey. Aku percayakan kau, dan Acu.
Aku yakin korang takkan malukan aku, dan arwah babah.”
Darin angguk berkali-kali, setuju.
“Aku sayang kau.” Pelukan bahu Lily
dieratkan, dan Lily turut menyandarkan kepalanya ke kepala Darin.
“Aku sayang kau jugak. Kalau ada
masalah, jangan diam-diam. Bagi tahu aku,” pesan Lily.
“Hurm...” Pelukan kian erat.
“Aku nak peluk jugak!” Kedua mereka
terdorong ke belakang apabila Iris tiba-tiba menerpa dan memeluk keduanya erat.
Darin merengus perlahan sebelum
tersenyum lebar dan mengalih tangan kanannya untuk merangkul Iris juga. Itulah
keluarganya. Susah senang bersama, gaduh manja bersama, resah gelisah pun
bersama juga.
“Hah, sudah-sudah. Basi nasi aku bawak
tu nanti, melayan korang tak sudah.” Lily merungkai pelukan dengan tiba-tiba,
tetapi Darin dan Iris tidak menunjukkan tanda marah, sebaliknya masing-masing
tersenyum lebar.
“Nak makan!” Darin terus melompat
turun dari katil dan mengikut langkah Lily yang sudah keluar dari bilik.
Darin kelegaan. Episod semalam yang
sudah tamat tidak akan sekali-kali disebut lagi. Dia benar-benar mahu menutup
kisah di Genting. Jadi, dia tidak akan membuka mulutnya kepada sesiapa pun.
Biarlah cuma tiga orang manusia saja yang tahu.
Dia, nenek, dan… lelaki itu. Titik.
Snippet yang diterbitkan di blog ini merupakan sebahagian dari bab sebenar dalam versi cetak. Dilarang sama sekali menerbitkan mana-mana bahagian ini di mana-mana dalam bentuk apa sekalipun tanpa kebenaran bertulis dari penerbit.
PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.
Harrah's Philadelphia Casino & Racetrack - JTM Hub
ReplyDeleteThe Harrah's 경기도 출장마사지 Philadelphia Casino 경기도 출장샵 & 나주 출장샵 Racetrack is a hotel and casino complex 양산 출장안마 located 문경 출장안마 in the Philadelphia region, in Chester, Pennsylvania,