Fakhri menghempas gagang
dengan kasar. Sudah lima kali dia
menelefon tetapi masih tidak berangkat.
Nenek memandangnya dengan riak risau.
Boleh hancur gagang tu tiap kali dihempas Fakhri.
“Tak angkat lagi?”
Fakhri menjawab dengan rengusan kasar.
Bukan marahkan nenek tapi perempuan di sana tu! Didail sekali lagi nombor bilik
sebelah, dan kali ini dia mengetap giginya geram apabila akhirnya gagang itu
bersambut.
“Helo…” Suara mamai di hujung sana
cukup untuk membuatkan kemarahan Fakhri lebih memuncak.
“Helo! Dah pukul 10 pagi dah ni. Tak
reti-reti nak bangun?” Keras suaranya membuatkan nenek menggeleng, tetapi tetap
tidak bersuara. Cucunya yang seorang ini lain macam sungguh.
“Pu...pukul sepuluh dah?” Balasan
gagap dari sebelah sana membuatkan Fakhri bercekak sebelah pinggang.
“Habis, pukul lapan? Saya bagi masa
lima minit je untuk awak bersiap. Tak payah mandi. Tak berpeluh pun kan? Cepat
sikit.” Gagang diletak kasar, dan nenek cuma mampu mengeluh dengan gelengan
panjang.
DARIN
meletakkan gagang dengan sedikit bingung. Di mana dia? Siapa tadi tu?
Apabila matanya menerawang ke seluruh
bilik, Darin menggosok kepalanya yang sedikit kusut dengan rengusan geram.
Diambil sebiji bantal dan ditekup wajahnya sebelum dia menjerit sekuat hatinya.
“Aku ingat aku cuma bermimpi!!”
Ha! Dia kata lima minit! Dia melompat
turun dari katil dengan sedikit kalut dan juga sakit hati yang kini kembali
singgah selepas tidur yang terasa sekejap cuma.
Nasib baiklah dia memang uzur dan
nasib baik juga ianya sudah hampir kering. Kalau tidak, tak fasal-fasal
subuhnya jadi subuh dinosaur.
“Sandal pun tak buang!” Ditanggalkan
sandalnya dengan tergesa-gesa sebelum berlari ke bilik air sambil mengemaskan
rambutnya.
Seram dia mengingatkan mimpi ngeri
sebelum tidur semalam. Darin menggosok gigi mengguna berus gigi yang disediakan
pihak hotel sambil mengetuk-ngetuk kepala sendiri.
Lima belas minit kemudian, Darin sudah
keluar dari bilik. Berdiri saja di depan bilik Fakhri, tidak berani dia mahu
mengetuk. Apabila pintu dikuak, dia dapat mendengar suara lembut nenek.
“Nenek panggil dia… Fakhri jangan
marah-marah dah.” Apabila nenek keluar, diikuti oleh Fakhri, kedua mereka
sedikit terkejut melihat Darin sudah menunggu.
Darin tidak melihat ke arah Fakhri
langsung. Tak rela!
“Assalamualaikum nek,” tegur Darin
mesra. Dia tahu Fakhri sedang bernanah mendengar nada mesranya. Biarkan!
“Waalaikumussalam...” Spontan, nenek
tersenyum dan meraih lengan Darin lalu menariknya untuk berjalan bersama. Darin
sedikit terpempan. Sudahlah pakaiannya tidak bertukar. Tak mandi pula. Memang
tak senonoh anak dara ni.
“Lena tidur semalam?”
Darin angguk sekali. Terdengar Fakhri
di belakang berdeham kuat.
“Takkan tak nyenyak? Loceng
berkali-kali kita tekan. Telefon kali ke berapa entah baru nak angkat.”
Darin terkedu. Berapa kali Fakhri
menelefonnya? Terus berubah merah wajahnya. Pagi-pagi lagi dah nak cari gaduh!
“Saya… saya minta maaf, nek. Saya
betul-betul tak sedar.” Bergaduh dengan cucu nenek ni, penat jiwa raga!
Nenek tersenyum lagi seraya mengerling
Fakhri di belakang.
“Tak apa. Jom, kita makan sama-sama.”
Ujaran nenek sekali gus mematikan
bicara Fakhri. Sepanjang perjalanan, Fakhri tidak lagi bersuara. Cuma nenek
saja yang bertanya mengenai dirinya, kerjanya dan pelbagai lagi. Berbeza
sungguh dengan suasana semalam, semasa dia dan Fakhri naik ke bilik. Dia
sedikit bersyukur apabila Fakhri seperti tidak kisah padanya lagi.
Apabila soalan nenek menjurus kepada
keluarganya, Darin mula merasa tidak enak.
“Dah lama ke nenek balik sini?” Cepat
saja dia mengubah topik.
“Baru je, dalam beberapa hari.”
Darin melopong sedikit.
“Nenek di UK lama ke?” Soalnya
berbasa-basi. Sebenarnya dia juga tidak reti mahu beramah mesra begitu. Tetapi
mengenangkan kebaikan nenek, Darin tahu dia perlu menjaga hati orang tua itu.
Lagipun, mungkin mereka tidak akan berjumpa lagi, dan dia juga sudah melakukan kesilapan
terhadap nenek. Sewajarnya dia membalas dengan baik juga.
“Kami memang menetap di sana.”
Kali ini lebih besar lopongan mulut
Darin. Dikerling Fakhri yang sudah berada di depan sejak keluar dari lif,
tetapi lelaki itu tidak menunjukkan minat mahu menyampuk walaupun dia yakin
Fakhri mendengar.
“Menetap di sana dah lama?”
“Sebelum Fakhri lahir lagi.” Kini,
mereka mengikut saja langkah Fakhri ke dewan makan.
“Adik Fakhri, Fitri, ada di Australia.
Dia pelukis,” beritahu nenek lagi tanpa ditanya. Darin mengangguk-angguk saja.
Memang orang kayalah diorang ni.
Padanlah kerek semacam. Sempat dia menjeling Fakhri di depan.
“Kali ni, mungkin kami lama di
Malaysia. Fakhri ada hal kerja,” beritahu nenek lagi.
Hajah Nenek bercerita lagi, dan Darin
cuma mengangguk dan menyampuk sekali-sekala. Hakikatnya fikirannya sudah
menerawang mengingatkan kata-kata Fakhri padanya. Benarlah dia orang
berpengaruh. Tengok pakaian dan kereta saja sudah tahu.
Tapi prejudisnya pada golongan seperti
ini musnah sama sekali. Bukan selalu orang macam Fakhri ni tak berapa reti
berkeluarga ke? Lelaki macam dia, kaya dan kacak, Darin tidak mahu akui tetapi
terpaksa juga dia akui, Fakhri mempunyai rupa dan gaya. Bukan ke dia sepatutnya
berkepit dengan perempuan di bilik hotel? Bukan ke begitu? Bukan cerita drama
memang banyak macam tu ke?
Sampai di dewan makan, Fakhri membawa
mereka ke meja yang kosong.
“Nenek nak apa?” Soalnya pada nenek
yang sudah berdiri di tepi meja.
“Tak apa. Nenek ambil sendiri. Jom,
Darin.” Dia yang baru mahu duduk tidak jadi apabila nenek sudah meraih
tangannya. Melihat beg tangan di atas meja, Fakhri tidak jadi mahu ke
mana-mana. Ditunggu saja mereka di meja makan sambil membelek telefon
pintarnya.
Darin pula tidak tahu apa yang patut
diambilnya. Ini kali pertama dia menjadi tetamu di hotel mewah sebegini, dan
kali pertama juga dia menyertai bufet sebegini meriah. Terlalu banyak makanan
yang dihidangkan, dan kebanyakannya makanan yang tidak diketahuinya.
Nenek sudah mengambil piring dan
beberapa ketul kuih berbentuk pau. Darin berkerut dahi.
“Apa ni nek?”
“Scones. Nak?”
Darin menggeleng laju. Makanan
Melayu.... Mana makanan Melayu?
“Saya nak nasi lemak. Ada tak?”
Soalnya perlahan, bimbang disalah erti oleh nenek. Sungguh dia lega apabila
nenek cuma tersenyum saja mendengar soalannya.
“Cuba tengok di sana. Rasanya itu
bahagian oriental cuisine.” Tunjuk nenek dan Darin terus melangkah tanpa
menunggu lama. Tiada nasi lemak pagi itu, tetapi Darin tetap lega apabila ada
makanan Melayu yang lain, seperti mi goreng dan lontong. Jadilah. Daripada
makan ‘kon’ yang nenek makan, sungguh Darin tidak rela!
Lagipun dia perlu makan untuk tenaga.
Kalau tidak, macam mana dia mahu balik nanti? Sudahlah semalam tidur dalam
keadaan lapar. Punya bergaduh dengan Fakhri, sudah terlupa dia mencari makan.
Duit pun tak ada.
Mereka kembali ke meja dengan
sepinggan makanan masing-masing.
Fakhri terus berdiri tanpa disuruh.
Tanpa melihat ke arah Darin, dia bertanya kepada nenek.
“Coffee or tea?”
“Tea. No sugar.”
Fakhri sudah mahu beredar apabila
suara nenek kedengaran lagi.
“Darin?”
Dia terpempan apabila menyedari nenek
sedang menanti jawapannya. Dikerling Fakhri yang cuma menggaru dahinya, tetap
tidak memandang wajahnya.
Macamlah aku ingin nak minta tolong
kau! Darin tersenyum segaris kepada nenek.
“Tak apa. Nenek tunggu sini. Saya
ambil sendiri.”
Tanpa sepatah kata, Fakhri terus
berlalu ke meja minuman. Hendak tak hendak, Darin terpaksa membuntuti Fakhri
juga.
Apabila mereka berdiri
sebelah-menyebelah, Darin hampir mahu terlanggar seorang wanita asing yang
sedang mengambil jus oren. Kalut dia apabila wanita itu melemparkan pandangan
tidak senang padanya. Tertunduk-tunduk Darin meminta maaf.
“Sorry. Sorry.”
Fakhri di sebelah sudah menjeling.
“Jangan buat malu saya.” Sebaris
amaran itu diberikan tatkala dia mengambil cawan lalu diisi air teh untuk
nenek. Secawan lagi diambil lalu diisi kopi.
Malu dengan situasi itu dan juga
terkejut dengan amaran Fakhri, Darin cuma mampu mengemam bibirnya geram. Bukan
dia sengaja!
Sudahnya, Darin berundur dahulu. Tidak
betah dia mahu berdiri di sisi Fakhri. Entah apa-apa lagi akan dibebelkan
Fakhri nanti. Selepas Fakhri beredar, baru Darin ke depan tanpa memandangnya
langsung. Tengok pun buat sakit hati.
Nenek mengerutkan dahi apabila Fakhri
kembali sendirian dengan dua biji cawan.
“Mana Darin?”
“Nanti datanglah dia.”
Nenek menggeleng mendengar jawapan
bernada jengkel itu.
“Kalau tak suka, diam je. Biar nenek
je bercakap dengan dia.” Bicara tegas nenek pantas dimengerti. Dia juga tidak
ingin mahu berbual dengan gadis pendek akal seperti Darin. Prejudis pula tu.
Memang menyakitkan hati, dan memalukan dia saja.
Apabila Darin kembali dengan senyum
kelat dan segelas air kosong, nenek mengangkat kening.
“Air kosong je? Kan banyak jus tu?
Epal, oren, kiwi.”
Darin angguk sekali sambil membetulkan
duduk. Matanya terus mendarat ke pinggan, enggan memandang Fakhri yang kini di
sebelah hadapan kanannya, di sebelah nenek.
“Saya tak biasa minum yang lain-lain
tu,” jawabnya jujur.
Perbualan tamat apabila Fakhri
tiba-tiba berdeham perlahan dan meneguk kopi hitam pekatnya.
“Fakhri makan apa?” Soal nenek seraya
mencubit scones dalam pinggannya.
Darin cuma menunduk saja, memberi
sepenuh perhatian kepada mi goreng dalam pinggannya.
“Later. Tak rasa nak makan
lagi. Tak ada selera.” Jawapan Fakhri membuatkan Darin hampir berhenti menyuap.
Tak ada selera? Sebab akukah? Ah,
lantak la. Bukan aku yang tergedik-gedik tawarkan diri nak ikut dia. Dia yang
terhegeh-hegeh nak tolong aku. Malas mahu peduli, Darin terus menyuap tanpa
bersuara langsung.
Sekejap saja habis sepinggan mi
gorengnya. Apabila dia tidak menunjukkan tanda mahu bangun, nenek mengerling
pinggannya yang sudah kosong sebelum memandangnya dengan riak hairan.
“Makan tu saja?”
Soalan nenek tidak dijangkanya. Tetapi
dia tahu Fakhri juga mendengar walaupun matanya di telefon pintar dalam
tangannya sedari tadi.
Darin tersenyum kekok.
“Kenyang dah.”
“Kan ada lagi tu, dim sum, roti bakar,
tak nak?”
Darin menggigit bibirnya.
“Tak makan yang lain-lain tu.”
Terdengar Fakhri mendesis perlahan.
Nenek tersenyum tawar.
“Fakhri, nenek nak roti bakar,” pinta
nenek. Fakhri terus berdiri tanpa soalan.
“Erm, saya ambilkan untuk nenek ya.”
Darin lebih laju menawarkan dirinya. Dia terus berdiri dan berlalu tanpa arah
tujuan sebelum sempat Fakhri melangkah.
Nenek dan Fakhri cuma mampu
menghantarnya pergi dengan rasa hairan. Nenek akur. Jujur dia tidak faham,
bagaimana kedua mereka ini boleh bertemu? Bagaikan langit dengan bumi saja.
“Nenek tunggu sini.” Fakhri turut
beredar dari meja.
Hampir saja Darin menjadi bahan ketawa
Fakhri kerana tidak jumpa meja roti bakar. Sebaik saja dia tiba di meja itu,
Fakhri sudah berdiri di sebelahnya. Tanpa mengendahkan Fakhri, diambil sekeping
roti.
“Kenapa makan sikit sangat? Ingat, tu
duit orang kaya yang bayarkan bilik hotel awak. Semuanya inclusive.
Jangan membazir duit dan usaha saya.” Sindiran Fakhri berdesing di telinga
Darin, membuatkan hatinya yang bagaikan lava mahu menyejuk kini membara
kembali.
“Saya tak cari fasal dengan awak.
Kenapa awak masih lagi nak ungkit hal lama?” Rasa mahu saja ditempek roti di
tangan ke wajah Fakhri. Geram betul.
“Hah, tunggu apa lagi. Tangan awak tu
pembakar roti ke?” Soal Fakhri sinis. Darin menjeling Fakhri tajam sebelum
menumpukan perhatian kepada pembakar roti di depannya, yang sangat aneh rupanya
di mata Darin.
Nak letak kat mana ni? Kenapa kat
rumah lain rupanya? Walaupun Darin tidak gemar makan roti bakar, tetapi dia
pernah juga melihat Iris menggunakannya. Taklah susah pun. Tapi, ini lain macam
je?
Fakhri melepaskan keluhan pendek.
Diambil sekeping roti lalu diletakkan ke dalam pembakar roti itu tanpa rasa
kekok.
“Watch and learn. Jangan
berlagak tahu kalau tak tahu. Dalam dunia ni, banyak orang yang lalui hidup
yang berbeza dari awak. Jadi, jangan memandai-mandai fasal hidup orang lain.”
Sekali lagi Fakhri menyindir.
Dengan hati yang membengkak, roti di
tangan diletakkan kembali ke dalam bekasnya, dan dia terus beredar tanpa
menunggu lama. Malas mahu melayan Fakhri. Lagi lama, lagi sakit jiwa.
“Fakhri buatkan roti nenek,” beritahu
Darin ringkas apabila nenek memandangnya pelik kerana kembali dengan tangan
kosong.
Nenek mengangguk dengan senyum manis.
Darin tersenyum kembali.
Kan senang kalau cucu nenek tu pemaaf
macam nenek. Ini tidak. Ada peluang je, nak sindir. Ada peluang je, nak bebel.
Silap sikit pun nak marah. Bukan dia sengaja menuduh Fakhri yang bukan-bukan.
Sekali saja silapnya, berkali-kali Fakhri mahu menghukum.
Tidak ingin dia bertemu dengan Fakhri
lagi. Mati hidup semula pun tak mahu. Lepas balik ke KL, mimpilah dia nak
peduli. Darin cuma mampu berdoa agar saat itu cepat datang. Ternyata, dia
betul-betul sudah penat.
Snippet yang diterbitkan di blog ini merupakan sebahagian dari bab sebenar dalam versi cetak. Dilarang sama sekali menerbitkan mana-mana bahagian ini di mana-mana dalam bentuk apa sekalipun tanpa kebenaran bertulis dari penerbit.
PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.
No comments:
Post a Comment