About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Thursday, January 28, 2016

Aku Bulan Dia Bintang 5





Di depan kaunter, Darin menadah telinga mendengar Fakhri bertanyakan mengenai bilik tanpa merujuk padanya terlebih dahulu. Bimbang dengan harganya dan keadaannya yang tidak berduit, Darin memberanikan diri mendekat.
“Erm, awak, siapa nak bayarkan bilik tu nanti? Saya tak ada duit ni.” Darin bersuara perlahan.
Dia terundur ke belakang apabila Fakhri menoleh dengan pandangan tajam.
“Habis, awak nak tidur dalam kereta? Maaf, kereta saya bukan tempat tidur walaupun kereta tu memang selesa. Kalau awak nak, saya caj seribu ringgit untuk satu malam dalam kereta tu. Nak?” Nada sinisnya membuatkan Darin tidak lagi berani membantah mahupun bertanya.
Dia memeluk tubuhnya geram tanda protes tetapi bibirnya terus terkunci rapat. Hairan agaknya petugas itu melihat gelagat mereka kerana dia sedikit terkejut apabila Fakhri bertanya lagi mengenai bilik itu dan kemudiannya memberi arahan mudah.
Charge the room under my name,” pintanya dan petugas itu mengangguk tanpa banyak bicara.
Darin semakin resah. Kereta dia dah seribu ringgit. Berapa ribu pula bilik hotel ni? Macam mana mahu membayar nanti?
Darin mengeluh panjang. Dia tiada pilihan lain. Cuma Fakhri saja yang dia kenali sekarang, walaupun hakikatnya mereka baru mengenali satu sama lain. Darin sedikit terkejut apabila Fakhri menoleh lalu menghulurkan sekeping kad kepadanya. Dipandang kad yang sudah bertukar tangan itu dengan pandangan kosong.
“Apa ni?”
Raut wajah Fakhri berubah pelik mendengar soalan yang terpacul dari bibir Darin.
“Kunci bilik awak. Tak tahu ke hotel pakai kad je untuk kunci bilik? Kunonya awak,” kutuknya tanpa ditapis-tapis.
Ternganga Darin mendengar balasan yang agak biadab itu. Darin sudah tidak berani mengangkat matanya untuk memandang petugas kaunter itu. Malu yang teramat. Tanpa riak bersalah, Fakhri terus membuka langkah meninggalkan kaunter dan Darin yang masih terkebil-kebil.
Dia cakap aku kuno? Dia ingat semua orang kaya ke yang setiap malam tidur hotel? Aku bukan macam dia! Sampai hati dia! Sampai hati!
“Oi, cepatlah. Perempuan simpanan saya dah tunggu.”
Sekali lagi Darin tersentak dengan bicara bersahaja Fakhri yang ternyata tidak menghiraukan sekelilingnya. Darin pantas mengerti. Fakhri sedang membalas dendam. Tanpa berlengah, Darin terus membuka langkah mengejarnya.
“Sebab saya cakap awak ada perempuan simpanan, awak boleh malukan saya depan orang macam tu saja?” Luahnya geram. Fakhri cuma mengerling Darin sekilas, masih dengan riak neutral.
“Tak adalah. Saya jujur cakap awak kuno,” balasnya senada.
Darin mengetap bibir sambil merenung wajah Fakhri geram.
“Hotel sekarang memang banyak guna keycards. Awak tak tahu, sah-sahlah awak kuno. Bukan macam tu ke?” Ditekan butang lif dan Fakhri melangkah masuk ke dalam lif diikuti oleh Darin.
Darin semakin terkedu dengan kelancangan mulut Fakhri. Dia benar-benar kehilangan kata. Mahu saja dia memuntahkan balasan pedasnya, tetapi mengenangkan dia kini sudah berhutang dengan Fakhri, dia terpaksa menahan mulutnya daripada terus memuntahkan kemarahan. Kalau nak diikutkan, sudah Darin carutkan dan marahkan di situ juga. Dengan perasaan membengkak, dia membuntuti langkah Fakhri hingga sampai ke depan sebuah pintu bilik.
“Kunci,” pinta Fakhri dengan nada mendatar. Memang sudah tiada kemesraan dalam nadanya.
Darin menyerahkan kunci tanpa banyak soal. Tidak dapat tidak, ternganga juga mulut Darin apabila melihat Fakhri menggunakan kunci itu. Dia cuma memasukkan kunci itu ke dalam slot di tombol pintu sehingga lampu hijau menyala dan dibuka pintu itu seluas-luasnya. Kad tadi kemudiannya diselitkan ke dalam satu slot lain yang terletak sebaris dengan suis-suis di dinding, dan lampu menyala serta-merta.
“Tutup mulut tu,” tegur Fakhri tiba-tiba, menyebabkan mula termalu sendiri.
Sejujurnya, ini kali pertama dia melihat kunci bilik dalam bentuk kad begitu. Sepanjang hidupnya, babah tidak pernah membawanya ke hotel mahal. Ke mana mereka pergi, babah mengamalkan konsep balik hari ataupun menumpang di rumah kawan atau saudara. Selepas babah pergi, memang Darin tidak pernah bercuti bermewah-mewah lagi. Sudah terbiasa dengan ajaran babah dan duit pencen babah lebih bagus digunakan untuk pelajaran Iris. Jadi, betul cakap Fakhri...dia memang kuno.
Terbuka luas mata Darin, tidak berkelip-kelip mata apabila seluruh bilik kelihatan di matanya. Bilik itu dilengkapi dengan tv, sofa dan katil bersaiz queen.
Nothing else? Perempuan simpanan saya dah tunggu. Saya pergi dulu.”
“Nanti!” Terjerit Darin di situ, dan Fakhri memanahnya dengan pandangan yang masih sama seperti tadi. Beku sahaja.
Darin tertunduk malu.
“Erm, bilik awak kat mana? Kalau saya nak cari awak, macam mana? Saya tak ada handphone.” Perlahan saja dia bertanya.
“Telefon bilik ni ada. Esok pagi saya call. Jangan tidur mati. Maklumlah, tidur bilik mahal. Orang berduit je mampu tidur bilik ni. Orang macam saya yang ada perempuan simpanan. Ingat tu…” Sempat Fakhri mengutuk dan menyindir sebelum mengorak langkah pergi.
Tetapi kutukannya kali ini tidak berbekas di hati Darin. Ada perkara lebih penting untuknya. Cepat-cepat Darin ekori langkah Fakhri dengan seperlahan mungkin, sambil berjengket-jengket. Apabila Fakhri berhenti di depan pintu bilik di sebelah biliknya sahaja, Darin menjatuhkan bahu.
“La, sebelah saja?” Ujarnya geram, tetapi kelegaan.
Bimbang juga jika berjauhan, pasti ada lagi orang yang sesat esok.
Fakhri menoleh dengan riaknya yang masih beku. Darin tidak betah menentang matanya lama. Terasa betul aura kemarahan lelaki itu padanya.
“Ingat saya berani ke bagi awak tidur jauh dari saya? Jadi apa-apa nanti, saya jugak yang susah sebab bilik ni under my name.” Fakhri terus memasukkan kunci ke dalam slot dan dikuak pintu itu tanpa menunggu lama.
Tanpa sebarang pamitan, Fakhri terus hilang di sebalik pintu. Darin melepaskan nafas berat tetapi dengan senyum tawar. Nasib baik dia di sebelah saja. Darin mendapatkan tombol pintu biliknya, dan ditolaknya tetapi pintu itu tidak terbuka.
Gulp! Pintu ini automatik! Kuncinya pula di dalam bilik! Untuk dua saat, Darin terpempan sambil memeluk tombol.
Dia menepuk dahi. Ah sudah. Macam mana ni? Mundar-mandir dia di depan biliknya sendiri. Nak cari dia lagi ke… ke tak payah cari dia? Tapi, kalau tak cari Fakhri, apa yang perlu dia lakukan? Bukan dia yang tahu tentang semua ini, tapi Fakhri!
Aduhai… kalau diketuk pintu bilik Fakhri, pasti dia akan malu lagi malam ni. Tapi tak mungkin. Dah la ada orang lain dalam bilik tu. Dia tiada hati dan rasa mahu tahu pun siapa orang yang bermalam bersama Fakhri.
Macam mana kalau betul itu perempuan simpanan? Tapi tak mungkin. Gaya marah Fakhri tadi seperti dia memang betul-betul bersalah. Tapi, takkanlah dia mahu ketuk pintu bilik Fakhri, walau siapa pun yang ada dalam bilik itu dengannya?
Argh! Darin mengetuk dahi sendiri. Memanglah dia kuno! Apa nak buat ni? Apa nak buat!
Setelah hampir setengah jam dia mencangkung, mundar-mandir dan berjalan tanpa arah tujuan yang pasti sambil menimbang-nimbangkan keputusan yang patut dibuat, dia menyerah diri.
Dengan kepala yang tertunduk, dia menekan loceng bilik Fakhri dengan pasrah. Dia sudah bersedia mendengar hamburan daripada siapa pun yang akan membuka pintu kelak. Apabila pintu dikuak, Darin menguatkan semangatnya. Aku tak sengaja. Ingat tu.
“Ya, cari siapa?”
Dia sedikit terkejut mendengar suara yang lembut itu seraya memanggung muka. Semakin kaku dia apabila empunya suara menyapa matanya. Selama lima saat, dia cuma mampu memandang dengan mulut separuh ternganga sebelum dia tersedar akan tujuannya berdiri di situ.
“Saya… erm… saya cari lelaki yang menginap di bilik ni?” Ragu-ragu dia bertanya. Apabila wanita itu tersenyum, Darin sedikit lega.
“Cari Fakhri ya? Cik ni siapa?”
Oh, namanya Fakhri. Hampir Darin terlupa.
“Saya… err, saya jiran sebelah. Erm, dia yang bawa saya ke sini.” Darin hampir mahu menekup mulutnya sendiri. Kelat wajahnya serta-merta. Mak oi, cara aku bercakap, macam aku pulak perempuan simpanan Fakhri!
Anehnya, wanita itu tidak memberi riak yang dijangkanya, sebaliknya dia tersenyum manis, dan ikhlas kelihatannya. Dia bukanlah perempuan muda dan cantik seperti yang Darin sangkakan, tetapi dia seorang wanita berusia yang masih kelihatan anggun.
“Masuklah dulu. Fakhri mandi. Sekejap lagi dia keluar. Mari, mari masuk.” Jemputnya ramah, membuatkan Darin bagai dipukau.
Rupa bilik mereka sama seperti biliknya di sebelah. Bezanya, ada beg-beg pakaian yang terletak di sudut bilik. Darin tergamam apabila wanita berusia itu menyentuh lengannya tanpa rasa kekok dan menariknya ke sofa. Dia terpaksa akur. Tidak sampai hati mahu menolak pelawaan wanita itu.
“Panggil nenek je. Nenek ni nenek Fakhri. Nenek ikut dia balik sini dari UK sebab dia seorang diri, kesian pulak. Jadi nenek temankan. Nenek pun tak ada kerja nak dibuat. Meneman anak dan cucu saja,” ceritanya ramah tanpa dipinta.
Darin cuma mampu mengangguk dalam kekok. Fakhri dari UK? Fakta kedua mengenai lelaki itu pada hari ini.
Wanita yang menggelar dirinya nenek itu turut duduk di sofa bertentangan dengannya.
“Nama siapa?”
“Darin.”
“Oh, Darin… tadi Darin cakap Fakhri bawa Darin ke sini?”
Darin mengangguk dalam risau. Moga-moga nenek tidak salah faham dengan ayatnya tadi.
“Ya, tapi saya tak kenal dia pun,” balasnya sedikit kalut.
Nenek cuma tersenyum.
“Eh, kalau kenal pun apa salahnya. Nak air panas? Sejuk malam-malam ni. Nenek buatkan air. Nak air apa? Teh? Kopi?”
Darin menelan liur. Sedapnya kalau dapat pekena air panas waktu sejuk-sejuk begini. Tetapi mengenangkan tujuan dia mengetuk pintu bilik ini, dia tidak jadi menerima layanan baik nenek.
“Tak, tak apa. saya sekejap je. Saya nak cakap dengan Fakhri sekejap je,” tolaknya sopan. Rasa bersalah sudah menebal memandangkan dia sudah tersalah anggap dengan nenek dan Fakhri.
Tiba-tiba pintu bilik dikuak dan Fakhri keluar dengan cuma bertuala di paras pinggang. Secara automatik, Darin melarikan matanya ke dinding dengan rasa kalut. Dari ekor matanya, dia dapat melihat kekalutan Fakhri menyarung T-shirt.
“Hah, ni apa hal pulak datang bilik saya ni? Don’t tell me you wanna check on her. Nak kenal perempuan simpanan saya?”
Sindiran Fakhri yang berbisa membuatkan Darin pantas menoleh ke arahnya yang sudah berbaju.
“Saya tak sengajalah! Sorry okey.” Keras nadanya, geram kerana malu disindir begitu di depan nenek. Tak boleh ke Fakhri menjaga air mukanya? Tetapi Darin kembali kalut apabila Fakhri dengan selamba menyarung seluar pula di depannya. Cepat-cepat dia melarikan matanya.
Mudah betul orang lelaki ni. Fakhri tak fikir ke aku ada ni, boleh tengok dia free gitu je? Darin tarik nafas sekejap. Lebih-lebih lagi seumur hidupnya, lelaki yang ada cuma babah. Itulah kali pertama dia melihat lelaki bertuala saja, live depan mata! Mahu tak terkejut! Lelaki asing pula tu.
“Nak apa datang sini?” Mendatar nada Fakhri bertanya. Darin menelan liur. Rasa takut kembali beraja. Habislah. Confirm kena sebakul lagi dengan Fakhri. Dia bermain dengan jemarinya, berkira-kira mahu bersuara atau tidak. Semakin resah apabila dia menyedari dua pasang mata sedang merenungnya.
“Saya… saya terkunci di luar bilik.”
What?” Terbeliak mata Fakhri.
Darin pasrah. Gelaklah, gelak. Terpaksa dia berterus-terang. Jika tidak, nak tidur di laluan hotel saja ke? Memanglah elok berkarpet, tapi dia belum ada hati mahu jadi perempat begitu. Lagipun, bukan dia sengaja.
“Sebab awak kejar saya tadi?”
Dia mengangguk tanpa memandang Fakhri. Panas wajahnya. Malu kerana kesilapan yang begitu bodoh, dia kini menagih bantuan Fakhri lagi. Dia tersentak apabila Fakhri tiba-tiba ketawa besar. Bertambah merah wajahnya menahan malu. Fakhri ketawa sehingga terduduk di sofa, namun nenek cuma menggeleng melihatnya.
“Fakhri, tak baik macam ni. Dah, pergi telefon receptionist.” Arahan nenek ringkas tetapi tegas.
Nenek kembali tersenyum kepada Darin.
“Darin minum teh dulu ya. Nenek buatkan sementara menunggu orang datang tolong bukakan pintu.”
Fakhri kembali serius mendengar pelawaan nenek.
“Tak payah la nek. Biarkan je dia ni.”
Satu tepukan lembut singgah di paha Fakhri, menegur tetapi lelaki itu cuma memandang Darin selamba tanpa riak bersalah.
“Fakhri dah tolong dia banyak nek, tapi mulut dia celopar. Biarkanlah dia uruskan sendiri. Bagus sangat kan.” Sindirannya kali ini membuatkan bibir Darin bergetar.
Direnung wajah lelaki itu geram. Jika bukan kerana keadaannya sekarang, tidak ingin dia berlama di sini. Kata-kata lelaki itu kali ini telah menghiris hati perempuannya. Sakitnya hati apabila terpaksa membiarkan saja Fakhri menguasai keadaan.
Memang dia sudah tersilap kata, tapi tak bolehkah Fakhri memaafkannya? Dia tak sengaja. Bukan dia suka tersepit dalam keadaan begini. Malang yang tidak henti-henti. Seumur hidupnya, inilah kali pertama dia terasa betul-betul mahu menjerit dan meraung marah. Tetapi dia tetap mengemam bibirnya kemas mengenangkan nenek di situ. Lagipun, memang dia salah. Tuduhannya melampau, tetapi perlukah Fakhri memburukkan keadaan lagi?
“Biar dia rasa, nek.”
“Saya tak tahu. Saya minta maaf.” Akhirnya terpacul ayat itu dari mulutnya. Dia tak mahu Fakhri berterusan menyakiti hatinya di depan nenek.
“Saya tak dengar.”
“Saya cakap, saya minta maaf. Saya tak tahu.” Dikuatkan suaranya berbanding tadi, tetapi Fakhri masih tidak beriak senang.
“Apa dia? Apa salah awak?” Fakhri memanggung muka mendengar soalan itu, dan dua pasang mata mereka bertentang.
Darin mengetap bibir. Kesabarannya semakin tipis. Kalaulah aku masih ada babah… Sakit hatinya semakin kuat mencengkam, menyesakkannya lebih-lebih lagi apabila Fakhri menentang wajahnya tanpa rasa bersalah walau sekelumit.
“Awak memang lelaki kaya yang kurang ajar. Hanya kerana awak yang tolong saya, yang bayarkan duit hotel yang saya tak minta dan tak ingin pun nak duduk ni, awak ingat awak boleh perlakukan saya sesuka hati? Saya pun ada maruah! Ya! Saya silap sebab ingatkan nenek awak ni perempuan simpanan awak! Saya silap! Puas hati? Puas? Kalau setakat nak main-mainkan saya je, awak tak perlu buat baik pada saya! Biar je saya merempat di stesen bas tadi!” tempiknya sepenuh hati ke muka Fakhri sebelum menuju ke pintu tanpa sebarang pamitan kepada nenek yang turut tergamam di sebelah Fakhri.
Belum sempat Darin memegang tombol pintu, tangannya direntap kuat dan tubuhnya ditarik keluar dari bilik bagaikan sehelai patung kertas saja. Badannya kemudian ditolak kuat ke dinding dengan agak kasar, dan dia mengaduh kuat, tetapi Darin masih enggan mengalah. Marahnya semakin membuak-buak apabila mengenangkan Fakhri menyentuhnya tanpa izin. Ditentang mata Fakhri yang mencerlung tajam. Kali ini dia yakin, kemarahan Fakhri sudah memuncak.
“Eh, apa masalah kau sebenarnya, hah perempuan? Perlu ke kau tempik aku depan nenek aku?” Nada kasar Fakhri membuatkan hati perempuan Darin sedikit gentar, tetapi dia masih tidak mahu berganjak.
“Apa masalah awak? Kalau awak nak tolong, tolong biar ikhlas! Yang awak nak mengata dan menyindir saya depan orang lain, kenapa? Ada saya buat pengumuman cakap awak ada perempuan simpanan? Tak ada kan?” Dibesarkan matanya ke arah Fakhri.
“Mama!” jerit Darin kuat apabila penumbuk Fakhri tiba-tiba melayang di depan wajahnya. Sekali lagi hari ini, dia terjerit sambil memejamkan matanya, dan satu bunyi kuat menerpa cuping telinganya. Apabila dibuka matanya, penumbuk Fakhri sudah singgah di dinding di sebelahnya, betul-betul berjarak beberapa sentimeter dari kepalanya.
Darin kaku. Dikecilkan matanya ke arah Fakhri. Dada Fakhri berombak laju, dan desahan nafasnya juga kuat kedengaran di telinganya kerana wajah mereka kini cuma berjarak kurang dua jengkal. Bau syampu rambut Fakhri yang masih basah juga menerpa ke hidungnya, tetapi dia sudah tidak mampu berfikir lagi.
“Awak nak tumbuk saya?” Darin tidak percaya.
“Kau memang layak dipukul, tahu tak! Sudahlah tak berduit, tak beradab pulak! Dah terima pertolongan, tak boleh ke berterima kasih? Itupun susah sangat ke?”
Sama ada Darin tersalah dengar, dia tidak pasti. Tetapi Fakhri bukan lagi marah. Nadanya lebih kepada kecewa. Kecewa yang teramat. Riak wajah Fakhri yang begitu keras dan garang tadi juga sudah mengendur, sebaliknya Fakhri kini merenungnya dengan pandangan yang sukar dia mengertikan.
Fakhri menjatuhkan tangannya dan menjarakkan diri mereka seraya menendang kakinya ke dinding.
Damn it!” Bentaknya sendiri.
Darin terkedu. Dirinya bagai sudah bersatu dengan dinding, tidak mampu lagi dia bergerak ke mana-mana walau seinci.
Apabila Fakhri kembali memandangnya, dia cuma mampu melihat saja. Bibirnya sudah kelu.
“Kau terkunci kan? Kau pandai-pandai la urus sendiri. Malam ni, aku dah tak nak tengok muka kau lagi, faham?”
Darin tersentak lagi. Fakhri terus berlalu masuk ke dalam bilik, meninggalkan Darin kaku di situ.
Apabila pintu terkuak lagi, Darin pantas menoleh. Lega apabila mendapati cuma nenek di situ, tetapi dia sudah tidak mampu menanggung malu. Tubuhnya terus dipalingkan membelakangi nenek, dan air matanya sudah tidak mampu ditahan lagi. Wajah hangat nenek membuatkan perasaan yang cuma dibendung sekuat mungkin tadi terlepas jua. Apabila bahunya disentuh lembut, dia terus teresak-esak di situ. Malu dengan nenek, dan marah dengan Fakhri bercampur-baur.
Darin terus terduduk mencangkung di situ, menangis semahu-mahunya. Nenek pula tidak bersuara, tetapi Darin tahu dia belum ditinggalkan sendirian. Apabila telinganya menangkap derap kaki menghampiri mereka dan suara nenek bercakap dengan seseorang, dia cuba mengawal esakannya dan berdiri dengan lutut yang sudah sedikit kejang.
Seorang wanita cina tersenyum ke arahnya sebelum beredar, dan baru dia perasan pintu biliknya sudah dibuka dan ditahan oleh nenek. Dia menghampiri nenek dengan wajah tertunduk dan mereka sama-sama masuk ke dalam biliknya. Tanpa sepatah kata, nenek menarik Darin erat ke dalam pelukannya.
“Maafkan Fakhri. Nenek minta maaf bagi pihak dia,” ujar nenek penuh kehangatan, dan air mata Darin tumpah lagi di bahu nenek.
Kini sudah ada dua orang asing yang melihatnya dalam keadaan yang begitu buruk itu. Darin sudah tidak peduli. Untuk beberapa ketika, dia teresak-esak di bahu nenek. Apabila menyedari nenek bukan sesiapa padanya, Darin meleraikan pelukan dengan rasa kekok dan wajah yang masih basah.
“Saya… saya minta maaf.”
Nenek tersenyum manis.
“Tak apa. tidurlah ya. Esok pagi kita sarapan sama-sama. Nenek akan panggilkan Darin esok. Rehatlah…”
Darin angguk tanpa sebarang kata. Selepas menghantar nenek keluar, Darin terus saja menanggalkan tudungnya. Katil dan bantal yang empuk di depannya begitu menggoda saat itu, dan dia benar-benar penat. Penat jiwa dan raga. Persetankan Fakhri.
“Nasib baik aku faham  apa yang dia cakapkan. Kalau semua BI...hurm...” Darin sedikit kelegaan bertemu orang kaya yang bukan setiap masa nak ber Bahasa Inggeris.
Dan Darin terus terlelap dengan wajah yang masih ada sisa basah, bekas tangisnya.

APABILA pintu ditutup, Fakhri mengerling neneknya sekilas. Dia tahu nenek akan memarahinya, tetapi dia sudah tidak peduli. Matanya terus melekat di kaca TV di depannya, tidak mempedulikan nenek yang sudah duduk di sebelahnya.
Nenek menghela nafas dalam, sebelum menoleh ke arah Fakhri yang sengaja tidak memandangnya.
“Fakhri kenal dia?”
Fakhri tidak terus memberi reaksi. Lama kemudian baru dia menggeleng tanpa menoleh.
“Tak kenal dia, kan?” Soalan nenek kali ini membuatkan Fakhri menoleh dengan dahi berkerut.
Nenek tersenyum nipis.
“Kalau tak kenal, jangan berlagak macam kenal. Dia bukan Hanim. Ingat tu…” serentak dengan itu, nenek terus bangun meninggalkan Fakhri termangu-mangu.
Fakhri cuma mampu melihat apabila nenek sudah memanjat katil dan menarik selimut.
“Esok pagi kita sarapan sama-sama dengan dia. Jangan lupa tu. Nenek nak tidur dah. Letih mengait tadi,” beritahu nenek lalu memadamkan lampu sisi katilnya.
Fakhri meraup wajahnya kasar. Dia tetap marah. Bukan kerana gadis itu Hanim. Tetapi kerana gadis itu memang biadab. Bukan kerana Hanim. Bukan!



 Snippet yang diterbitkan di blog ini merupakan sebahagian dari bab sebenar dalam versi cetak. Dilarang sama sekali menerbitkan mana-mana bahagian ini di mana-mana dalam bentuk apa sekalipun tanpa kebenaran bertulis dari penerbit.



PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.

No comments:

Post a Comment