Sudah hampir tiga
minggu berlalu, dan Darin semakin yakin peristiwa di Genting itu akan dilupakan
dalam lipatan sejarah hidupnya, dan akhirnya hilang tanpa jejak mahupun kesan.
Sekurang-kurangnya, itu yang diharap-harapkan.
Hari itu, sekali lagi Darin terpaksa menjadi
bidan terjun selepas beberapa kali dia berjaya mengelakkan diri daripada
menjadi jurnalis untuk Ria yang sentiasa mencari peluang untuk memaksanya
keluar dari kotak ruangan kerjanya.
Sesungguhnya dia benar-benar tak
senang untuk bertemu dengan manusia-manusia di luar sana kerana dengarnya,
ramai manusia yang cuma bermuka-muka. Begitu juga dengan jurnalis dan wartawan
yang terpaksa menampak wajah lain demi mengambil hati selebriti, sebagaimana
selebriti akan bermuka-muka dan bermanis mulut di depan pihak akhbar dan
majalah demi menjaga nama baik mereka.
Dunia. Dan ini realitinya. Sekali
lagi, Amri juga yang menjadi jurugambarnya kali ini. Elegan bukanlah majalah
besar. Cuma ada tiga orang jurugambar, lima orang jurnalis dan tiga orang
penulis termasuk dirinya. Di bahagian editorial, namanya ditulis sebagai
penyunting, penulis dan juga jurnalis. Memang terbaik!
Nasib badan. Sekurang-kurangnya dia
masih punya pekerjaan dan bukannya meminta belas kasihan sesiapa. Selepas makan
tengah hari, dia menaiki kereta Amri ke lokasi yang dituju.
Kata Ria, dia cuma perlu mencari
berita bagi ruangan eksklusif bulan ini. Ria sudah mempunyai beberapa cerita
lain yang boleh dipertimbangkan, tetapi dia belum berpuas hati. Sumber Ria pula
ada memberitahu mengenai pertemuan golongan-golongan atasan dan juga ahli
perniagaan antarabangsa di sebuah majlis hi-tea dan mereka cuma perlu
muncul untuk mencari dan menangkap muat sebarang berita eksklusif yang mungkin
timbul, jika mereka bernasib baik.
Kadang-kadang, Darin merasakan majalah
Elegan ini lebih kepada majalah gosip golongan berpengaruh dan atasan. Bunyinya
macam berbahaya, tetapi Ria tidak pernah gelabah mahupun bimbang dengan apa
yang ditulisnya setiap bulan.
Katanya, “Berita-berita tu bukan kita
saja yang akan tulis. Kalau kita tak ambil, others will. So who cares?
Lagipun, orang-orang kaya suka muncul dalam majalah even though they do
nothing. Publicity is the only thing they care about.”
Yalah tu Ria... Darin ikut saja
pendapat Ria. Tiada guna pun nak membantah sana sini.
Sekarang Darin yakin siapa yang
menghasutnya dengan mengatakan golongan atasan ni kadang-kadang tak berguna.
Tak lain tak bukan, orang tu ialah Ria. 100 peratus dia yakin!
Sepanjang perjalanan Darin senyap.
Fikirannya banyak melencong. Salah satunya,
dia tak rasa dirinya diperlukan pun untuk tugasan begini. Amri sebagai
jurugambar saja sudah cukup, tetapi Ria tetap mahukannya ikut serta. Manalah
tahu ada sidang akhbar tiba-tiba, boleh dapat berita percuma. Itu kata Ria.
Sebaik saja mereka sampai, mereka
terus menyertai kumpulan wartawan lain yang kebanyakannya sudah lama
berkecimpung dalam bidang ini. Hampir semua orang kenamaan yang hadir di situ
mereka kenal.
Dia yang bernama Darin ini? Seorang
pun dia tak kenal. Semuanya wajah asing, dengan pakaian yang mungkin mencecah
empat angka harga setiap satu, dan Darin tidak teringin mahu mengenali mereka.
Sementara Amri membuat kerjanya, dia berdiri sendirian di satu sudut sambil
memeluk tubuh, di celah-celah mereka yang lain.
“Darin...”
Darin menoleh, dalam masa yang sama
sedikit hairan. Sejak bila suara Amri berubah ni?
Suaranya pula yang tersekat di
kerongkong apabila empunya suara yang memanggil tadi kelihatan di matanya. Bersut
kemas dan rambut yang tersisir rapi, lelaki itu tersenyum nipis padanya. Di
tangan lelaki itu, ada segelas air berwarna oren. Mungkin air oren?
Darin menelan air liur kelat. Kalau
bukan kerana dia kenal orangnya, mungkin dia sudah jatuh tergolek-golek di situ
juga kerana lelaki sekacak dan setampan ini memanggil namanya.
Sayangnya, dia cuma mampu berharap
angin akan membawanya terbang pergi, ataupun dia boleh menjadi seorang
halimunan dan meresap bersama lantai agar lelaki ini tidak mampu melihatnya.
Dan dia tahu harapan itu tidak mungkin akan terjadi. Not in the million
years! Kerana mata lelaki itu masih melekat padanya, dan dia juga cuma
mampu terpacak tanpa suara.
“What are you doing here? Working?”
Soalan Fakhri kedengaran bodoh di
telinga Darin, tetapi dia masih tergamam. Lelaki itu orang terakhir yang dia
mahu terserempak di sini, terutamanya di celah orang ramai ketika dia
sepatutnya ‘bekerja’. Tapi orang pertama pula yang dia jumpa!
Kejap. Orang ramai? Apabila Darin
akhirnya melarikan matanya ke sekeliling, terasa kering wajahnya apabila kini
semua rakan wartawan yang sedari tadi sibuk bergosip sesama sendiri sudah
memusatkan seluruh perhatian mereka kepadanya, dan juga lelaki itu. Ya, dia,
Fakhri. Pandangan mereka ternyata bukannya pandangan suka, tetapi jelik
mungkin?
Serta-merta darah gemuruhnya
menyerang. Ya Allah, kenapalah mesti Fakhri tegur aku sekarang? Tak boleh ke
dia berpura-pura tak nampak aku ke, buta ke, halimunan ke, apa je la!
Darin memandang sekeliling dengan
degupan jantung yang semakin kencang, berdoa agar Amri tidak muncul
sekarang. Dia gugup seketika.
“Erm, minta maaf. Saya nak ke tandas.”
Ternyata Fakhri sedikit terkejut dengan balasan itu, tetapi riak wajahnya masih
tetap tidak berubah. Manis dan menawan, dan peramah.
Baru saja dia mahu membuka langkah…
“Darin! Nak pergi mana?”
Allahuakbar! Masa ni jugak kau nak
datang! Darin berpusing kembali dengan senyum yang dipaksa, kini diapit dua
lelaki yang paling dia mahu jauhi buat masa ini. Fakhri sudah menyeluk poket
seluar dengan tangan kirinya, dan senyumnya masih belum pudar.
Sakit pula hatinya melihat senyuman
itu. Ish! Hari ni kau senyum, hari tu bukan main lagi nak tumbuk aku la apa la!
Geram pula rasanya bila lelaki itu masih beriak tenang.
Amri yang sudah mula menyedari
kehadiran lelaki asing di sebelah Darin memandang kedua mereka silih berganti
dengan keningnya sedikit terjongket ke atas. Kumpulan wartawan tadi masih belum
menunjukkan tanda-tanda mereka mahu bersurai, apatah lagi berhenti berbisik
sesama mereka. Darin sudah dapat membayangkan apa yang sedang mereka fikirkan.
Sesungguhnya itu bukan satu petanda yang baik.
“Amri, err... aku nak pergi tandas
sekejap. Aku... betul-betul nak pergi tandas ni.”
“Bukan kau baru je pergi tandas
setengah jam lepas ke? Kau tak minum apa-apapun, kan?”
Soalan Amri yang berbaur hairan
membuatkan Darin terasa seperti mahu saja diluku kepala Amri! Lidahnya terus
kelu tanpa kata, cuma matanya dijegilkan kepada Amri.
“Awak nak lari daripada saya, ke?”
Mata Darin terus dihala pada wajah
Fakhri, dengan pandangan sayu mengharapkan agar Fakhri mengerti dan segera beredar sebelum keadaan menjadi lebih
parah. Sayangnya, Fakhri memang buta. Mungkin dia suka melihat Darin bagai ayam
berak kapur di tengah-tengah keramaian itu.
“Saya tak tahu apa yang awak cuba
lakukan, tapi saya rasa saya tak kenal awak. So, boleh awak berundur dan
beredar senyap-senyap sekarang?” Darin cuba meminta pengertian Fakhri.
Fakhri melihat sekeliling, dan ketika
dia mengangguk sekali dua, Darin kelegaan. Dia tahu Fakhri mengerti apa yang
dimaksudkannya.
“I have to talk to you. Boleh?
Jumpa di lobi setengah jam lagi? My business here is about to finish in
fifteen.”
Terlopong mulut Darin mendengar
permintaan Fakhri. Bukankah mereka sudah berjanji takkan bertemu atau berjumpa
lagi selepas peristiwa di Genting hari tu?
“Kan saya dah kata, saya tak kenal
awak. Saya tak ada urusan dengan awak. Kenapa awak perlu bercakap dengan saya
pulak?” Masih dengan gaya tadi, dia berusaha untuk tidak menunjukkan riak marah
atau menyampah. Tuturnya juga dia maniskan supaya mereka yang lain tidak dapat
mengesan ‘hubungan’ yang terlindung di antara Fakhri yang berperwatakan kemas
dan dirinya yang cuma menggalas beg berharga RM20.
“Encik ni, Tengku Fakhri Tengku Adnan,
kan?” Amri tiba-tiba mencelah dengan riak ingin tahu.
Bukan Amri saja. Wartawan lain di
sekeliling mereka sudah mendekat, menunjukkan rasa ingin tahu yang amat kuat.
Fakhri tersenyum seraya mengangguk. Tingkah lakunya begitu berbeza ketika dia
membantu Darin di Genting tempoh hari.
“Ya, saya. Awak rakan sekerja Darin?”
Apabila namanya sekali lagi meniti di
bibir Fakhri, Darin kelemasan, dapat mendengar bisikan-bisikan yang lebih kuat
dari tadi. Amri juga ternganga sekejap sebelum mengangguk laju.
“Ya, saya jurugambar majalah Elegan,
Amri.” Tangannya sudah dihulur, tetapi Fakhri cuma mengangguk bagaikan baru
saja mengerti tentang sesuatu. Dia melirik Darin yang semakin cemas.
“Elegan? Oh, padanlah saya tak jumpa
nama Darin di mana-mana. Majalah Elegan tu yang dah beberapa bulan tercorot ke
belakang, kan?”
Terkulat-kulat Amri menarik tangannya
kembali sementara mereka yang mendengar sudah ketawa sambil tertahan-tahan.
Pandangan Darin sudah memanah Fakhri
dengan tajam. Rasa marahnya terhadap peristiwa tempoh hari yang cuba
dibendungnya sudah tidak tertahan lagi mahu meletup sekarang ini. Mata mereka
bertentang, dan Fakhri mengangkat tangannya, sekali gus meredakan tawa para
penonton tidak rasmi yang sudah mengelilingi mereka.
“Sorry, I didn’t mean to be rude, but
I have really tried to find you and failed. I have to talk to you, Darin.
Saya jumpa awak di lobi nanti. I expect you to come,” ujarnya dengan
nada yang lebih perlahan, demi mengelakkan keadaan menjadi lebih parah. Apa
yang Fakhri tidak sedar, cuma Darin saja tahu keadaan sememangnya sudah parah
kerana Fakhri mendekati dirinya tadi!
Fakhri menundukkan kepalanya sedikit
kepada yang lain dan juga Amri sebelum beredar menyertai golongan kaya dan
mereka yang setaraf dengannya. Sebal Darin melihat Fakhri ketika ini.
Sebelum sempat Amri menyerangnya
dengan soalan, Darin mahu beredar terlebih dahulu. Cukuplah mereka menjadi
bahan ketawa yang lain. Dia dapat merasakan wajahnya kepanasan menahan malu.
Kenapalah Fakhri mesti muncul tiba-tiba macam ni?
Menyesal aku tunjuk diri di sini.
Patutnya aku menyorok je kat mana-mana tadi. Macam mana aku boleh terlupa
langsung fasal dia? Ini kan majlis keramaian orang-orang kaya! Mestilah dia
ada! Aduh! Sambil mengutuk-ngutuk dirinya, langkah kaki terus dilajukan.
“Darin, kau kenal lelaki tadi tu?”
Amri menyaingi langkahnya.
Darin menggeleng laju.
“Habis, macam mana dia tahu nama kau?
Siap mencari kau lagi?”
Darin menoleh geram lalu mematikan
langkah kakinya.
“Aku cakap aku tak kenal, aku tak
kenallah! Kau ni tak faham bahasa ke apa? Dah habis kerja? Jom balik!” Ajaknya
tanpa menunggu lama.
Tidak mungkin dia akan kembali berdiri
di depan rakan-rakan wartawan yang lain yang sudah pastinya sedang sibuk
mengutuknya. Raut wajah mereka tadi tak menenangkan langsung, bagaikan dubuk menanti
masa mahu menyerang mangsa saja.
Ni baru Amri. Kalau yang lain pun
serbu aku, apa aku nak jawab? Si Fakhri ni pun satu. Dia lupa ke dia siapa? Aku
memang la tak kenal dia, tapi takkan dia tak tahu aku dari dunia berbeza? Bila
putera raja macam dia tu bercakap dengan orang yang selekeh dan bingung macam
aku ni, siapa yang tak pelik? Hish!
“Dia tu businessman dari
London, baru je balik sini hari tu sebab ada usaha sama baru. Takkan kau tak
kenal?” Tujah Amri lagi sambil bersaing langkah dengannya.
Sekali lagi Darin menoleh geram.
“Kalau kau tak nak balik lagi, fine! Aku balik sendiri. Jumpa di
pejabat.” Darin terus melangkah laju meninggalkan Amri yang terpinga-pinga.
FAKHRI
menanggalkan kot yang tersarung di tubuhnya dengan keluhan panjang. Jarum jam
sudah menunjukkan pukul 10.00 dan dia tahu nenek sudah tidur. Walaupun begitu,
kakinya tetap diatur ke arah bilik nenek. Dikuak pintu itu, dan sekujur tubuh
nenek yang berenjut lembut membuatkan rasa bersalahnya semakin kuat.
Dengkuran halus yang kedengaran
membuatkan dia tidak sampai hati memikirkan jawapan yang dinanti-nanti nenek
mungkin akan lambat kunjung tiba. Sekali lagi dia mendesah kuat, berpaling mahu
menutup pintu.
“Fakhri...” Suara perlahan itu
membuatkan dia tidak jadi mahu berlalu. Diatur langkah ke arah katil, dan
punggungnya mendarat perlahan di sisi katil. Dalam samar cahaya lampu dari luar
bilik, Fakhri mengukir senyum manis ke arah nenek.
“Sorry nek, did I wake you up?”
Nenek memetik lampu sisi katil, dan
wajah tampan cucunya itu terserlah di matanya. Dicapai tangan Fakhri, dan
digenggamnya erat. Fakhri turut membalas genggaman hangat tangan nenek, dengan
harapan nenek tidak akan membaca fikirannya yang resah kala itu.
“Kamu baru balik?”
Fakhri mengangguk sekali. Redup mata
nenek yang kini mendarat di wajahnya membuatkan dia melarikan matanya secara
automatik.
“Nenek tidurlah. Fakhri nak ke gim
sekejap,” beritahu Fakhri tanpa diminta. Dia mahu mematikan lampu sisi apabila
nenek menahannya.
“Ada masalah tadi?”
Soalan nenek membuatkan Fakhri
tersenyum sumbing. Macam mana aku boleh lupa nenek yang jaga aku dari kecil?
“You know me, nek. Fakhri tak
pernah gentar dalam hal kerja. Takkan sekali-kali,” ujarnya sedikit kagum
dengan diri sendiri, walaupun itu hakikatnya.
Selama hidupnya, dia tidak pernah lari
dari cabaran yang dituju padanya. Semuanya disahut dengan rela hati dan
semuanya berjaya ditempuh dengan kejayaan cemerlang. Sehingga ke hari ini,
walaupun kerjanya acap kali menekannya untuk keluar dari jalan yang telus dan
jujur, dia masih dapat bertahan dan menyempurnakan kerjanya setelus mungkin.
Rasuah mahupun aktiviti sampingan yang kerap kali melengkapi gaya hidup dan
kerja ahli perniagaan sepertinya masih berjaya dijauhkannya.
“Ayah ganggu Fakhri lagi?”
Fakhri menggeleng dengan senyum yang
masih belum lekang dari bibirnya.
“Ayah takkan berhenti la nenek. He
is my boss, and my father.This is my responsibility, remember?”
It’s you, nenek. Nenek yang
buatkan Fakhri rasa bersalah sekarang.
Tetapi mana mungkin Fakhri
meluahkannya. Tak sampai hati kecilnya. Sebelum sempat nenek bertanya lagi,
Fakhri melekapkan bibirnya kemas ke ubun-ubun nenek.
“Tidur ya, nek. Kita sambung esok je.”
Tangannya terus memetik suis lampu, sekali gus memalapkan kembali ruang tidur
bilik nenek.
“Good night, my girlfriend,”
ujarnya seraya membetulkan selimut di badan nenek. Nenek tersenyum nipis.
“Jangan tidur lambat sangat ya, my
boyfriend,” pesan nenek disambut dengan anggukannya.
Fakhri terus berdiri dan beredar dari
bilik nenek tanpa melihat ke belakang lagi. Sebaik saja pintu bilik ditutup,
Fakhri melepaskan keluhan panjang sekali lagi, tetapi kali ini dengan nada
terkawal. Dia tidak mahu mengganggu tidur nenek lagi.
Malam itu, gim kondominiumnya tidak
mempunyai pelawat lain kecuali dirinya. Sebaik saja suis lampu dan penghawa
dingin dihidupkan, dia terus memijak treadmill. Aturan yang dimahukannya
dipilih, dan kali ini dia memilih untuk berjalan perlahan-lahan dahulu selama
beberapa minit bagi memanaskan badannya.
Treadmill atau peralatan
larian setempat mula bergerak perlahan, dan langkah kakinya turut sama mengikut
gerakan itu. Pandangannya menerobos jauh ke luar cermin lut sinar yang
menampakkan seluruh Kuala Lumpur yang bermandikan cahaya di waktu malam.
Di fikiran Fakhri cuma ada wajah
seseorang. Darin. Kenapalah tadi aku tak minta nombor telefon dia? Kalau tak,
mesti dah settle masalah. Beranganlah perempuan tu akan jumpa aku dengan
rela hati lepas apa yang aku buat kat dia di Genting hari tu. Bodoh. Memang kau
bodoh, Fakhri. So, apa caranya lagi aku nak cari dia? Elegan? Ya...
nasib baik kawan kau sebut nama magazine tu. Tak susahlah nak mencari
kalau dah tahu. Bibirnya tersungging sedikit.
Aturan treadmill di skrin di
depannya ditekan lagi. Kali ini kelajuannya ditambah dan dia mula berlari anak
pula. Kali ini, perbualan nenek dengannya tempoh hari pula terbayang di depan
matanya.
“Nenek nak pergi mana hari ni?”
Soalnya seraya menyuap roti bakar bersapu peanut butter dan jem anggur.
Gabungan yang pelik, tetapi Fakhri amat menggemari rasanya.
Apabila nenek cuma menjongket bahu
lemah, Fakhri mengerutkan dahinya.
“Nenek tak ada plan hari ni?”
Nadanya berbaur hairan.
“Nenek dah bosanlah. Kamu tu asyik
sibuk kerja je. Nenek nak ke mana pun seorang diri.”
Kunyahan Fakhri yang tadinya laju kini
bagaikan sudah hilang momentumnya. Diperhatikan saja nenek mengacau air teh
dalam cawannya tanpa sebarang perasaan. Makanan nenek juga masih tidak
bersentuh. Fakhri mencari mata nenek.
“Nenek tahu kan, kerja Fakhri,
kehidupan Fakhri macam mana... Fakhri nak buat macam mana lagi, this is what
sir wants. You know better, right?” ujarnya lembut.
Nenek melepaskan keluhan pendek. Dia
mengerti. Dia faham sangat maksud Fakhri. Yang sibuk kejarkan Fakhri ke sana ke
mari tu, anak kandungnya juga. Takkan nak dimarah anak sendiri? Kalau di
London, tahulah dia mahu ke mana bagi menghabiskan masanya. Di sini, ke mana
dia mahu pergi? Kawan pun tiada. Sudah bertahun tinggalkan tanah air, bila
kembali, siapa yang mahu dicarinya? Kalau dia mencari kawan lama, paling kurang
pun dia akan dikata berlagak kerana pastinya dia akan bergerak dengan pemandu.
Jadi, pilihan terbaik adalah duduk saja diam-diam di kondo, atur rancangan
sendiri, atau ikut Fakhri jika ada kesempatan dan kelapangan Fakhri untuk
melayan kerenah tuanya.
Ditongkat wajahnya yang tidak
menampakkan usia sebenarnya itu dengan tangan kanannya.
“Kalau ada Darin kan best…”
Amat perlahan tuturnya, tetapi telinga Fakhri tetap dapat menangkapnya dengan
jelas.
“What?”
“Nothing. Cepat makan. Nanti
lambat kamu ke meeting,” tegur nenek apabila menyedari Fakhri masih
belum menghabiskan kepingan roti bakarnya yang cuma ada empat keping itu.
Fakhri akur, dan dia tidak bertanya
lagi. Namun, mindanya masih bersoal
jawab. Kenapa Darin yang nenek cari? Gadis biadab itu? Dalam ramai-ramai kawan
perempuannya, kenapa perempuan sebegitu yang nenek ingat-ingatkan? Pelik
sungguh. Sungguh dia tidak sangka, nenek akan mengingati Darin walaupun
berminggu sudah berlalu.
Tetapi Fakhri sendiri tahu. Sayangnya
pada nenek melebihi segala-galanya. Oleh itu, dia akan mencari Darin. Dia perlu
mencari Darin. Tapi di mana?
Timer di treadmill
sudah menunjukkan angka satu, dan kelajuannya sudah hampir ke tahap minimum. Fakhri
terus turun dari treadmill tanpa menunggu lama, dan peluh yang merenik
di dahi, wajah dan lehernya dilap kering dengan kain tuala berciri microfiber
yang merupakan penyerap air terbaik. Terus kering keseluruhan wajahnya.
Sekali lagi Fakhri membuang pandang ke
luar cermin kaca, seolah-olah mencari-cari sesuatu di antara cahaya lampu yang
menerangi seluruh Kuala Lumpur di malam hari. Benar, sejak dia mendengar nama
Darin meniti di bibir nenek, Fakhri sudah memulakan pencariannya dalam senyap.
Walaupun dia tidak menyukai gadis itu, tapi nenek jarang sekali meluahkan
sukanya pada sesiapa, terutama orang asing.
Semua gadis yang mendampinginya selama
ini tidak pernah nenek sebut-sebut untuk kali kedua, dan tidak pernah juga
nenek menghalang. Sayangnya, dia tidak punya banyak masa untuk mencari nama itu
di setiap majalah. Dia cuma tahu nama Darin saja. Nama penuhnya, nama ayahnya,
nama syarikatnya, dia tidak pernah mahu bertanya ketika di Genting tempoh hari.
Kalau dah benci tu, memang tak peduli
langsung. Jadi, pencariannya ibarat mencari jarum dalam jerami. Bak kata orang
putih, looking for a needle in a haystack. Amat mustahil, ditambah pula
dengan kekangan masanya, memang Fakhri tidak dapat menunaikan impian nenek
secepat mungkin. Dia perlu mengutamakan yang utama, ditambah pula dengan
urusannya yang satu lagi, memang Fakhri tidak sempat.
Kerana itulah bila gadis itu muncul di
hadapannya siang tadi, Fakhri bagaikan berada di alam mimpi. Tanpa dia sedar,
dia sudah memanggil nama itu di tengah khalayak ramai. Sayangnya, gadis itu
tidak sudi bertemunya lagi. Mana-mana gadis yang waras pun, kalau dah hampir
ditumbuk, takkan sudi untuk bersua lagi. Mimpilah.
“Mungkin dia fikir aku kaki pukul
perempuan kut. Tak apa, Elegan.... Aku akan cari kau, Darin. Demi nenek, aku
akan cari kau sampai dapat. Just you wait.”
Snippet yang diterbitkan di blog ini merupakan sebahagian dari bab sebenar dalam versi cetak. Dilarang sama sekali menerbitkan mana-mana bahagian ini di mana-mana dalam bentuk apa sekalipun tanpa kebenaran bertulis dari penerbit.
PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.
No comments:
Post a Comment