About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru November 2016!

Terbaru November 2016!

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Thursday, January 28, 2016

Aku Bulan Dia Bintang 1


Bab penuh





Kau ibarat bulan…
Muncul di malam kelam
Tika aku kehilangan


Telefon pintar lipat berwarna pink dan berkelip-kelip lampunya itu ditenung dengan mulut yang sedikit ternganga. Tauke kedai yang sedari tadi memerhatikannya pasti sedang bersorak-sorai di dalam hati kerana gadis itu sudah tangkap cintan habis dengan telefon tersebut.
“Comelnya! Nak tengok! Berapa ni eh?” Soalnya dengan nada yang cukup teruja.
Ini padahnya kalau shopping seorang diri. Tak ada orang nak berikan buah fikiran. Tak ada orang nak menahan aku supaya jangan cakap, ‘Waa! Cantiknya! Waa! Comelnya! Waa! Murahnya!’  Tengoklah, akhirnya semua yang cantik, comel, murah tu ikut aku balik rumah. Nasib kaulah Darin...
Smartphone pink itu kini berada dalam tangannya. Betul-betul teruja Darin melihatnya biarpun tadi membebel sendiri. Sesekali dipicitnya butang yang berwarna putih dan merah jambu berselang-seli. Bertambah teruja apabila melihat permukaan telefon itu berkelip-kelip dengan bintang-bintang dan juga rama-rama.
“Dua ratus saja. You mahu angkat ini, sayakasi murah lagi lor.” Lelaki Cina itu cuba menarik perhatian Darin dengan tawaran diskaun, kononnya.
Gadis itu menjuihkan bibirnya. Macamlah dia tak tahu, harga sebenarnya mestilah jauh lebih murah jika harganya boleh diturunkan lagi. Takkanlah kedai itu tidak mengaut untung langsung. Entah-entah, mereka beroleh untung yang lebih banyak dari jangkaan pembeli. Dia mengecilkan matanya ke arah penjual itu.
“Berapa?”
“Seratus sembilan puluh.”
“Sepuluh ringgit je turun? Aiyooo...murah lagilah...”
“Tak boleh lor. Saya bukan tauke ini kedai. Ini boss saya punya kedai ma.”
Balasan itu membuatkan Darin mencebik. Taktik je tu!
“Ala, murah lagi la…” Darin memujuk lagi. Handphone itu sudah berada kejap dalam genggamannya. Gayanya seperti sudah tidak mahu dilepaskan lagi. Comel sangat!
“Tak boleh lor. Seratus sembilan puluh sudah sangat murah lor. Nanti big boss marah saya ma…” Bersungguh-sungguh dia memberi alasan.
Gadis itu mencebik lagi. Setelah beberapa kali lagi cubaannya untuk menawar harga, akhirnya terkeluar juga RM190.00 dari dompetnya dan bertukar tangan kepada penjual itu yang sudah tersenyum lebar. Tanpa sebab munasabah, handphone itu kini berada dalam tangannya.

“CIK Darin! Kenapa beli handphone cokia ni?” Suara lantang Iris, adik bongsunya membuatkan bahu Darin terenjut sedikit dek terkejut.
Hajat hati mahu menayang dan berbangga dengan telefon itu di depan Iris terus terbantut. Terus saja handphone itu dijauhkan daripada Iris.
“Biarlah! Duit aku kan? Suka hati je nak marah-marah aku…” Nada suaranya yang lantang pada awalnya terus mengendur di hujung. Dia juga tidak mahu kalah. Dia kakak!
Iris duduk di sebelahnya dengan henyakan kasar.
“Berapa ni?”
“Satu sembilan kosong je.”
Bulat mata Iris memandang Darin.
“Je? Kau ni kan Ngah, tahulah dah kerja. Tapi jimat-jimatlah sikit. Kita cuma ada pencen babah je nak hidup. Gaji kau tu simpan-simpanlah. Memanglah kau tak ada keperluan lain lagi buat masa sekarang, tapi masa depan kita tak tahu. Ni membazir namanya. Entah apa-apa la kau ni.”
Bebelan Iris membuatkan air wajah Darin berubah.
Kala ini, bagai bukan Iris yang berada di sebelahnya tetapi arwah babah. Kerana babah juga selalu membebel padanya.
“Hah, tulah, baik hati sangat. Apa nak jadi entah. Kan lelaki dah tinggalkan kamu. Cuba fikir kenapa tak ada lelaki yang nak lekat. Sebab tak guna otak. Baru je nak berkawan, semua benda angah nak bagi. Ingat babah ni tauke TM ke? Babah kuli je kat situ tahu, habis semua benda bagi lelaki. Agaknya, kalau kamu ni tak ada iman, dah termengandung agaknya kamu ni, angah?”
Masih terngiang-ngiang bebelan babah di telinganya, seperti baru semalam ia berlaku. Semuanya gara-gara sikapnya yang dikatakan berakal pendek. Baru saja kenal, sudah dia angan-angankan sebagai suaminya. Sudahnya, berangan sajalah. Habuk pun tak dapat, bau pun tak tinggal.
“Berangan!” Iris menolak bahu Darin kuat, membuatkan kenangannya dan babah hilang begitu sahaja.
Kalaulah babah masih hidup... Hei...babahlah yang tolak bahu aku ni...
“Kau ni tak habis-habis berangan la Ngah.”
“Ish, dahlah. Aku beli benda ni sebab comel. Nak bagi kau je. Yalah, handphone kau pun dah tak betul sangat kan. Kalau kau tak nak, tak apa. Tak payah nak marah-marah aku. Serabut tahu tak?” Herdiknya kembali. Tak fasal-fasal alasan yang tidak pernah ada itu diwujudkan.
Darin sudah menunduk sambil menekur handphone comel itu yang masih dalam genggamannya.
 Mengenangkan arwah babah dan bebelannya yang tak pernah habis memang sedih. Tapi, kerana bebelan babah juga hidupnya jadi begini. Berdikari dan tidak mudah tunduk pada lelaki. Tidak mudah perasan dengan lelaki yang mahu dekat dengannya.
Dia cuma hidup untuk diri sendiri dan adik-beradiknya, Lily, kakaknya dan Iris, adiknya. Dah malas dia mahu memikirkan soal lelaki dan perkara wajib yang mengiringi lelaki dalam hidupnya, iaitu cinta.
Iris menggigit bibir apabila melihat perubahan wajah Darin. Rasa bersalah mula memagut dirinya.
“Bak sini. Betul ke nak bagi aku?”
“Yalah.” Terpaksa juga dia menyerahkan telefon itu kepada Iris demi mematikan leterannya. Lagipun, handphone Iris memang sudah rosak. SMS kadang-kadang tidak diterima. Panggilan pun kadang-kadang tidak dapat dijawab. Memang parah.
Sudahnya, Darin cuma mampu memendam rasa tatkala Iris yang tadinya garang bagaikan singa sudah tersenyum simpul sambil berlalu pergi dengan telefon comel itu di tangannya.
Darin terus rebahkan dirinya di sofa. Macam nak menjerit saja. Argh! Lepas ni, aku takkan tunjuk apa aku beli dekat Acu dah! Bulan depan aku akan beli lagi! Sumpahnya di dalam hati.
Tetapi beberapa hari kemudian, Darin terpacak lagi di depan kedai tersebut. Bukanlah kedai pun, tetapi cuma sebuah booth saja di tengah-tengah shopping complex ini.
“Hari tu I baru beli handphone ni. Tapi bateri cepat sangat habis la. Lepas tu, phonebook tak boleh add new contact. Apa fasal ni?” Soalnya dengan suara sedikit meninggi.
Sudahlah dibebel oleh Iris selepas handphone itu dibeli. Bila dah rosak begini, bertambah-tambah bebelan Iris padanya. Mana tak hangat hati dia.
Dengan riak tak bersalah, lelaki Cina itu menyambut handphone tersebut dan dibelek-beleknya luaran telefon tersebut dengan pandangan curiga. Darin menegakkan dirinya. Hatinya bertambah panas dengan pandangan lelaki itu yang seolah-olah mahu mengatakan dia punca telefon itu rosak. Dahinya dikerutkan lagi. Ingat aku suka gamaknya datang ke sini? Buang duit, buang masa!
You tak ada jatuhkan ini handphone ka?” Nada sinis lelaki Cina itu bertanya membuatkan Darin mencekak pinggangnya garang. Ada jugak yang makan pelempang tengah-tengah hari buta ni!
You tengok ada calar-calar ke? You ingat I guna handphone ni main tuju kasut ke, hah? Mana ada! Dari hari pertama lagi dah buat hal! I tak kira! Ada warranty kan? I nak tukar one to one! Kalau tak, you pulangkan balik duit I! Belum sampai empat hari pun I guna handphone ni, tahu!” Suaranya semakin meninggi.
Seperti mahu saja dihempuk lelaki itu. Berbeza dengan bicara manisnya tempoh hari semasa menjual handphone tersebut. Muka dia sekarang seolah-olah Darin mahu menjual besi buruk pulak. Orang yang beli besi buruk lagi manis muka daripada dia ni agaknya.
Lelaki itu buat tidak endah saja dengan tengkingan Darin, sebaliknya dia terus membelek telefon itu lagi. Akhirnya, handphone itu diserahkan kembali kepada Darin selepas ‘pemeriksaan’nya.
You keluar sini, masuk kiri, ada kedai sebelah kanan you. Situ tauke kedai ini punya kedai. You cakap sama dia masalah you,” beritahunya acuh tak acuh.
Darin melepaskan keluhan kasar sambil menggenggam telefon itu erat. Ceh! Kalau cakap dari tadi kan senang. Saja je nak cari gaduh dengan aku agaknya. Dengan rasa sebal, Darin terus berlalu ke arah yang ditunjukkan.


Snippet yang diterbitkan di blog ini merupakan sebahagian dari bab sebenar dalam versi cetak. Dilarang sama sekali menerbitkan mana-mana bahagian ini di mana-mana dalam bentuk apa sekalipun tanpa kebenaran bertulis dari penerbit.
PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.

No comments:

Post a Comment