About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru November 2016!

Terbaru November 2016!

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Friday, August 27, 2010

Ini Bubur Cinta: Bowl 16



Nek Zizah mengurut dada yang terasa sempit. Sekejap-sekejap dia termengah-mengah menahan nafas. Tak dinafikan lagi, keadaan kesihatannya semakin menyusut. Dia sudah tidak kuat lagi. Bukan saja fizikalnya, jiwanya juga keletihan. Dia mahu berehat.

Melihat Isabelle yang termenung di tangga, Nek Zizah mendekat setelah dia pasti keadaannya sudah kembali normal. Tiada lagi batuk-batuk. Jika ada pun, dengan sepenuh kudrat dia akan menahannya. Dia tidak mahu Isabelle tahu tentang keadaannya yang begitu.

Baru saja dia mahu membuka langkah ke arah Isabelle, telefon berbunyi nyaring. Isabelle yang turut terkejut dengan bunyi telefon itu bingkas menuju ke biliknya apabila Nek Zizah menjawab panggilan itu.

Mendengar suara pemanggil, Nek Zizah tahu tujuan panggilan itu. Dia menghela nafas lega. akhirnya, berita yang dinantikan tiba juga. Kini Nek Zizah pasti dia boleh meninggalkan Isabelle dengan hati yang lapang. Setelah meninggalkan beberapa lagi pesanan kepada Rashid, Nek Zizah meletakkan gagang dengan senyum senang.

Malam itu, seperti biasa, Isabelle dan Nek Zizah solat isyak bersama. Entah kenapa, Nek Zizah kelihatan sangat lapang dan tenang malam itu. Lebih tenang dari selalu. Sedang jiwa Isabelle bergolak. Dia tidak tenang.

“Nek, kenapa Isabelle tengok nenek happy je ni?” tegur Isabelle dengan wajah yang agak suram.

“Kenapa Isabelle muka muram je ni? Nenek tengok sejak balik dari kenduri tadi, Isabelle macam susah hati je… tak nak cerita dengan nenek?” Nek Zizah cekap menukar topic.

Isabelle menghela nafas dalam.

“Tak ada apa-apalah…” Isabelle sudah bingkas. Dia melipat telekung dengan kemas sebelum digantungkan pada penyidai.

“Betul? Isabelle tak nak cerita dengan nenek?” Nek Zizah mencuba lagi.

Isabelle menggeleng pasti.

“Tak apalah. Isabelle letih. Tidur dulu nek. Esok je Isabelle cerita, ok?”

Nek Zizah mengangguk dengan berat hati. dia mahu berlama lagi dengan Isabelle.

Esok mungkin tiada lagi, Isabelle…

Isabelle menghulur tangan, kebiasaannya bersalam dengan Nek Zizah dan arwah Tuk Khalid sebelum tidur. Nek Zizah memeluk Isabelle lama, begitu lama sehingga menimbulkan tanda tanya di fikiran Isabelle.

“Nek, esok kan masih ada. Isabelle tak marahkan nenek. Nek jangan risau ya. Isabelle masuk bilik dulu…” Isabelle meminta diri.

Nek Zizah memerhati dengan hati yang rawan.

Ya Allah, selamatkan anakku walau di mana jua dia berada.

Malam menjelang, kala Isabelle nyenyak diulit mimpi, Nek Zizah membasahkan bibir dengan zikrullah sebelum beralih kepada ayat-ayat suci al-Quran pula. Mungkin kali terakhir rumah itu bergema dengan suara itu. Dan menjelang subuh, suara itu semakin sayup, dan tidak kedengaran lagi.

Pagi itu, Chan dikejutkan dengan riuh rendah suara ibu dan bapanya. Terpisat-pisat dia bangun dan mendapatkan ibunya yang sedang bersiap-siap.

“Ni yao qu nali?” (Ayah nak ke mana?)

“Nek Zizah de jia. Ta…” wajah ibunya cemas, dan matanya kemerahan juga. (Rumah Nek Zizah. Dia...)

“Ta wei shenme?” Chan bertanya lagi. (Kenapa dengan dia?)

“Nek Zizah meninggal Chan. Subuh tadi…” beritahu Ah Tong yang muncul entah dari mana. Lantaran terlalu lama hidup di kalangan orang melayu, kata-katanya juga sudah banyak terikut perbualan orang melayu.

Chan terkedu. Nek Zizah… dah meninggal?

“Innalillahiwaiinna ilaihirajiuun…” ucapnya tanpa disedari.

“Deng wo. Wo ye yao qu..” beritahu Chan seraya berlalu untuk bersiap. (Tunggu Chan, Chan nak pergi juga)

Dia perlu pergi namun dapatkah dia menyempurnakan tanggungjawab terakhirnya kepada Nek Zizah sebagai seorang muslim tanpa mendedahkan identitinya sekarang kepada umum?

************

Setibanya di sana, sudah ramai penduduk kampung membanjiri kawasan rumah Nek Zizah. Isabelle tidak kelihatan di mana-mana. Chan keresahan. Dia pasti kala ini Isabelle pasti dirundung pilu. Ayah dan ibu yang menjaganya selama ini kini kedua-duanya telah tiada. Dan jika dia dapat berfikir dengan baik di masa dulu sebagaimana dia berfikir sekarang, pastinya suasana dan keadaan takkan menjadi seteruk ini. Tuk Khalid pasti masih ada walau seuzur mana pun keadaannya.

Chan menahan nafas sambil matanya meliar ke tangga rumah. Sudah pasti dia tidak boleh naik. Simpatinya semakin menebal. Kesalnya semakin beraja.

Maafkan aku, aku bukan sahabatmu Isabelle…

Pap!

Chan menoleh pantas. Aman tersenyum kelat.

“Dah lama sampai?”

Chan geleng.

“Tak jugak..” berbasa-basi, dia kemudiannya memandang ke hadapan kembali.

Kedengaran keluhan perlahan Aman.

“Kesian Isabelle. Sekarang dia tinggal sorang-sorang. Siapa akan jaga dia sekarang?” Aman bertanya, lebih kepada bertanya diri sendiri.

Chan terdiam. Garis-garis sesalan semakin bertambah. Isabelle, bagaimana nasibmu kini?

Keranda sudah siap. Dengan muafakat penduduk kampung, sebuah keranda yang agak sederhana sudah tersedia dalam waktu yang agak singkat. Jenazah sudah dimandikan dan akan disolatkan di surau yang bersebelahan dengan tanah perkuburan kampung itu di mana Tuk Khalid bersemadi. Chan terpaku di situ. Kakinya bagai dipaku ke tanah apabila tok imam memanggil semua penduduk kampung muslim untuk ke surau. Jenazah juga akan dibawa ke sana.

“Kau.. tak nak pergi?” soal Aman.

Chan terdiam lagi.

Matanya masih melekat di pintu rumah itu apabila jenazah dibawa turun dengan berhati-hati. kala itu, wajah Isabelle muncul di layar matanya. Isabelle berdiri di muka pintu dengan wajah yang kemerah-merahan. Jelas air matanya sudah banyak tumpah namun kala itu, wajahnya kering. Pasti sudah tiada lagi air mata yang mahu dititiskan.

Chan tertunduk. Dia tidak betah lagi menanggung kekesalan itu. Chan memusingkan badannya. Aman setia mengekorinya.

Biarlah tanggungjawab terakhir itu terlaksana. Sekurang-kurangnya, ada baktinya sebagai seorang muslim kepada keluarga itu, kepada Nek Zizah, dan Isabelle.

***********

Isabelle usai menunaikan solat isyak. Bersendirian. Tadi, ada beberapa orang kampung yang rapat dengan Nek Zizah menawarkan diri untuk menemaninya malam itu namun ditolaknya secara baik. Dia mahu bersendirian.

Dia menadah tangan. Untaian doa dilayangkan buat kedua Tuk Khalid dan Nek Zizah. Kini dia sendiri. Untuk kesekian kalinya. Jika mahu dihitung kesakitan dan keperitan kehilangan orang yang tersayang sejak dia bernafas dengan roh kurniaan Allah, tak terhitung lagi pilunya. Isabelle redha. Tanpa ujian, seseorang muslim itu takkan lengkap.

Jika selama ini, dia tidak pernah membayangkan masa depannya, kini Isabelle dapat melihat dengan jelas masa depannya. Kabur, kelam, gelap, tanpa sesiapa di sisinya. Tanpa Nek Zizah, tiada Chan, Aman, mahupun Paan. Pastinya Isabelle tidak tahu, manusia merancang, Dia juga merancang, namun rancangan Allah pastinya yang teragung. Kerana itu manusia bergelar manusia. Kerana mereka lupa, Allah itu ada pada yang mencariNya.

***********

Paan menggaru kepala. Kebelakangan ini, kerjanya sentiasa tidak menjadi. Pelik. Hatinya juga resah. Mahu marah juga dia kerana dia tidak pernah secemerkap begini dalam kerjayanya. Dalam kerjanya mahupun bidang glamor yang diceburinya. Namun kali ini ada saja teguran yang diterima dari jurukamera dan pereka pakaian. Hampir mengamuk juga dia namun mengenangkan dirinya juga yang salah, malas dia mahu memanjang-manjangkan cerita.

Mungkin dia tidak tahu, nenek yang selama ini disanjung dan disayanginya sudah pergi, bersama janji Paan untuk kembali ke kampung, yang tak pernah ditepati.

***********

Haliza membetulkan sanggul rambut yang berharga RM500 itu. Di mana cantiknya, tiada yang tahu. Mungkin orang seni saja yang tahu. Mungkin. Sudah lama dia menanti di pejabat peguam itu.

Sejak dia menerima panggilan mengatakan Peguam Rashid mahu bertemunya, dia sudah dapat meneka tujuan pertemuan itu diatur. Pasti ibunya juga sudah meninggalkan dunia fana ini. Dan harta sebanyak itu pasti menjadi miliknya. Dia satu-satunya anak mereka. Siapa lagi yang akan mewarisinya kalau bukan dia? Itu saja di dalam fikirannya. Tiada sekelumit rasa kesal kerana tidak sempat meminta maaf dari ibunya untuk kali terakhir.

Tiada langsung rasa marah kerana tidak dimaklumkan awal. Semasa kematian ayahnya pun, dia tidak kisah mahu pulang. Marahnya masih beraja. Kerana Isabelle, keluarganya menjadi taruhan.

“Puan Haliza?” seorang lelaki segak berkot bersama beg bimbit berwarna hitam terpacak di depannya.

Haliza tersenyum manis. Dia sudah dapat membayangkan harta sebanyak itu menjadi miliknya.

“Ya, saya..”

“Lama puan tunggu?”

“Eh, tak, tak apa, sekejap je. Tak apa…” manis mulutnya.

Rashid mengangguk.

“Jom, masuk ke bilik saya..” pelawa Rashid.

Haliza akur. Kehadirannya ke sini tidak diketahui suaminya. Sengaja dia merahsiakan dari suaminya. Lagipun, ini cuma hal kecil. Banyak lagi hal lain yang suaminya tidak tahu tentangnya. Jika dia tahu, bertalaklah mereka.

5 minit kemudian, Haliza terpaku di kerusi berhadapan Rashid. Di hadapannya wasiat Nek Zizah. Dia tidak terkata apa-apa.

“Impossible…” hanya itu yang terluah.

Rashid tersenyum tawar.

“It’s possible. Ini permintaan terakhirnya.” Ujar Rashid tenang.

Hakikatnya, dia kesal kerana Haliza tidak bertanya sedikit pun keadaan Nek Zizah. Masuk saja terus dia bertanya tentang harta peninggalan arwah. Memang mengecewakan. Jauh di sudut hati, Rashid kerisauan mengenangkan nasib Isabelle kelak.

“No, I can’t have her in my house!”

“Yes, you can. Unless you want to forgo the property and let her have it all. it’s your decision.” Tenang Rashid menerangkan.

Haliza mengetap bibir. Sampai ke sudah orang tua tu nak menyusahkan aku! Dah mampus pun nak kacau hidup aku lagi!

“So?” Rashid menyoal lagi.

Haliza terhenyak ke belakang. Dia menggeleng-geleng tak percaya. Rashid turut menyandar, setia menanti jawapan wanita yang lebih layak bergelar anak derhaka itu.

***********

Isabelle memanggung kepala apabila bunyi derap tapak kaki kedengaran di tepi rumah.

“Kau…” tegur Isabelle sepatah apabila dilihatnya susuk itu menghampiri.

Chan senyum kelat. Dia melabuhkan punggung di anak tangga terakhir.

“Kau ok ke?” soal Chan prihatin.

Dia pasti berita dia ke surau untuk solat jenazah belum sampai ke telinga Isabelle. Itu lebih baik.

Isabelle tidak membalas. Dia merenung ke kejauhan.

“Isabelle…”

“Aku menyesal Chan…”

Chan terdiam. Matanya tertumpu di wajah itu yang tidak memandangnya. Jelas kelihatan sepasang mata biru itu berkaca.

“Aku patut temankan nenek semalam. Tapi aku masuk tidur macam tu je. Dia nak bercakap, bersembang dengan aku. Tapi aku…” suara itu lirih, dan seketika kemudian, sedu-sedu kecil mula kedengaran.

Chan tertunduk. Dia tidak betah juga melihat Isabelle begitu. Namun jika kehadirannya boleh membuatkan Isabelle berkata-kata, itu sudah jauh lebih baik dari yang dijangkanya sejak peristiwa semalam.

“Jangan simpan rasa kesal kau. Kau tak bersalah. Ajal maut di tangan Tuhan.”

“Tapi kalau aku dengan nenek, sekurang-kurangnya aku boleh hantar dia pergi dengan tenang. Aku… aku macam tak percaya bila aku tengok nenek terkujur atas sejadah, dengan telekung yang masih di kepala, dia terbaring kaku di situ. Dah berapa lama dia macam tu, aku tak tau. Kesian nenek. Sepatutnya aku bersama dia di saat-saat akhirnya, tapi aku tak ada.. aku tak ada…” Isabelle terus-terusan memuntahkan isi hatinya.

Sejak semalam, ini kali pertama dia berbicara sepanjang itu dengan manusia. Selama ini dia menangis di atas sejadah, memohon kekuatan dari Rabbul Izzati. Mungkin kerana dia tahu Chan sahabatnya, dan Chan akan mendengar luahannya.

“Isabelle, percayalah, kau kena lepaskan segalanya. Jangan dikenang lagi. Kalau tak, sampai bila-bila pun, kekesalan tu akan memburu kau, dan hidup kau takkan tenang. Percayalah cakap aku…” ujar Chan, lebih kepada menasihatkan diri sendiri.

Isabelle tidak bersuara lagi. Yang kedengaran cuma esak tangisnya.

Chan mahu berkata-kata lagi namun niatnya terbantut apabila bunyi deruman enjin kereta menyapa cuping telinganya.

Isabelle turut memanggung muka. Dia kenal benar dengan kereta itu. Rashid keluar dari kereta dengan simpati yang menggunung. Apa nasib Isabelle di rumah Haliza kelak?

“Pakcik…” Isabelle sudah mengeringkan air matanya.

“Isabelle, apa khabar?”

Isabelle angguk. Pandangan Rashid terarah pada Chan. Ada riak curiga juga. Cepat-cepat Isabelle menerangkan.

“Ini Chan. Kawan saya. Nenek kenal.”

Mereka bersalaman.

“Isabelle, pakcik ada hal nak cakap dengan kamu. Jom, kita naik atas.” Isabelle akur.

“Kau balik dulu. Aku ada hal dengan pakcik Rashid kejap.”

Chan angguk. Isabelle dan Rashid menghilang ke atas, namun Chan bukan senaif itu. Dia naik ke anak tangga teratas, terlindung dari pandangan Isabelle dan Rashid di ruang tamu. Dia mahu mendengar hal yang akan diperkatakan oleh lelaki itu.

“Ada apa pakcik?”

“Kamu sihat?”

Isabelle angguk dengan senyum tawar. Sisa air mata sudah mongering di pipinya, membuatkan pipinya terasa melekit pula.

“Ada apa pakcik datang ni?”

Rashid mengeluarkan sesuatu dari beg bimbitnya. Dihulurkan pada Isabelle kertas itu. Seperti satu masa dulu, ketika dia datang untuk kali pertama ke rumah ini demi menyerahkan wasiat Dato' Dini. Kini sejarah berulang. Bezanya, Isabelle yang menjadi penerimanya kali ini. Dan wasiat itu ditulis oleh Nek Zizah.

Isabelle melarikan matanya di satu persatu baris ayat yang tertulis. Apabila dia sudah menghabiskan bacaannya, dia terpempan di situ. Matanya merenung Rashid, meminta penjelasan, sedang dia faham benar isi wasiat itu.

“Tapi, pakcik…”

“Ini permintaan nenek kamu. Takkan kamu nak bantah?”

“Tapi pakcik, saya tak kenal pun makcik Haliza. Saya tak pernah jumpa dia pun. Macam mana saya nak duduk rumah dia?” bantah Isabelle dengan suara yang perlahan.

Rashid tersenyum nipis.

“Kalau ada apa-apa jadi pada kamu, beritahu saja pakcik. Pakcik percaya, Nek Zizah dah pertimbangkan keputusan ni baik-baik. Dia sentiasa nakkan yang terbaik untuk kamu. Begitu juga pakcik. Dan pakcik cuma jalankan tanggungjawab pakcik pada datuk kamu, dan Nek Zizah.”

“Datuk saya? Tuk Khalid?”

Rashid menggeleng.

“Dato' Dini. Kamu tanggungjawab pakcik. Dan pakcik akan pastikan kebajikan kamu terjaga. Kamu boleh percayakan pakcik. Walaupun kamu tak ada ayah sekarang, pakcik amat berharap kamu boleh anggap pakcik macam ayah kamu, dan kamu boleh cakap dengan pakcik tentang apa-apa saja. Kamu boleh janji dengan pakcik?”

Kata-kata Rashid mengundang sebak Isabelle. Air matanya menitis laju.

“Terima kasih pakcik. Saya janji…”

Rashid mengangguk sayu. Malang betul gadis ini. Di mana Zainal? Tidakkah dia rindukan anaknya ini? Marriot pula ke mana? Sudah berbelas tahun berlalu. Begitu tegar mereka membiarkan anak ini begini.

“Pakcik..”

“Ya..”

“Makcik Haliza, kenapa dia tak datang bila nenek meninggal?” sudah lama soalan itu berlegar di mindanya.

Haliza anak Nek Zizah. Mengapa dia tidak berkunjung langsung? Semasa hidup, mungkin boleh difahamkan. Namun kini dia sudah pergi, tetap juga tak kelihatan batang hidung Haliza. Dan Paan. Keluargakah itu?

“Dia tau lambat. Dia pun sedih bila dengar, dan dia kesal sebab dia tak tau.”

Isabelle mengangguk. Dia tahu Rashid berbohong, namun malas dia mahu mempersoalkan.

“Dia terima saya ke?”

Rashid mengangguk pula.

“Ya. Dia bersedia terima kedatangan Isabelle.”

Isabelle tertunduk. Dirinya yang belum bersedia menerima kehadiran keluarga lain selain yang telah pergi. Selama ini, cuma mereka berdua di sisinya. Sukar untuk dia menerima kehadiran orang baru dan meninggalkan rumah ini yang banyak memberi kenangan manis padanya.

“Bila saya kena pergi?”

“Bila-bila Isabelle bersedia.”

Isabelle terdiam. Jika begitu, sampai-sampai bila-bilapun dia tidak akan bersedia. Nenek, kenapa nenek pergi tanpa sebarang kata? Isabelle rindu nenek.

Setitis air matanya menitis lagi.

4 comments:

  1. sedeynyaa..
    siyan isabelle.. sib bek wasiat bkn suh kawen dgn paan
    kikikiki

    aFaiSh

    ReplyDelete
  2. sgt2 berharap isabelle kawen dgn chan..huhuh

    ReplyDelete
  3. bagaimanakah nasib isabelle selepas ini.......????

    ReplyDelete
  4. huhuhu...
    cian isabella..
    haliza tu x kng budi..

    ReplyDelete