Isabelle menghabiskan ayat terakhir yang sedang dibacanya dalam al-Ma’thurat. Kedua tangan ditadah dan mulutnya mula terkumat-kamit membaca doa. Amalan yang sudah diterapkan sedari kecil dipegangnya hingga kini, dan takkan sekali-kali ditinggalkannya.
Sempat dia menghadiahkan doa buat Dato' Dini, Datin Rahmah, Tuk Khalid dan Nek Zizah yang sudah lama pergi.
Siti yang sedang masak di dapur dihampirinya.
“Pagi tadi kau dah masak. Ni masak lagi?” tegur Isabelle.
Banyak betul lauk yang dimasak Siti. Macam membazir pulak rasanya.
Siti tersengih.
“Hari ni kan encik Nazri ada? Kena masak special sikit, lagipun nanti diorang semua akan makan di rumah. Termasuklah encik Paan.”
Isabelle melopong.
“Oh, macam tu ke?”
Siti mencuitnya tiba-tiba. Hampir nak terlepas tomato di tangan yang baru diambil dan sedang dipegangnya.
“Kau masuk bilik duduk diam-diam boleh tak? Aku dah tak larat nak tolong cover kalau Nasha dengar suara kau lagi.”
Isabelle meletakkan tomato itu ke atas meja.
“Tak nak aku tolong?” suaranya lebih perlahan, seolah-olah berbisik. Siti tersengih. Sedar Isabelle sedang mengusiknya.
“Tak payah. Kau pergi seterika baju kat dalam bilik. Nanti aku hantar ke atas.” Arah Siti.
Isabelle angguk akur. Dia mula angkat kaki masuk ke dalam bilik. Lega bila tidak perlu keluar.
Menjelang maghrib, dia dapat mendengar riuh-rendah di ruang tamu. Isabelle menyarung uniformnya dan keluar dari bilik. Siti sudah siap memasak dan semuanya sudah terhidang di meja.
Dia berdiri di sebelah Siti yang terpacak di ruang makan.
“Kenapa riuh sangat?”
Siti yang terkejut dengan kehadirannya memukul bahu Isabelle perlahan.
“Kau diam boleh tak?”
Isabelle tersengih. Suka pulak melihat Siti gelabah.
Rupa-rupanya, encik Nazri baru pulang dan Nasha sudah berlari keluar mendapatkan ayahnya. Nasha masuk ke dalam rumah sambil memeluk pinggang ayahnya mesra dan manja. Melihat mereka, perasaan kecilnya tersentuh.
Tuk Khalid...
Mujurlah wajahnya tidak kelihatan. Jika dia menangis pun tak siapa tahu.
“Sayang ayah ni makin beratlah.” Usik encik Nazri.
Nasha memuncung.
Mereka mengambil tempat di sofa di ruang tamu. Siti sudah masuk ke dapur semula, meninggalkan Isabelle yang masih memerhatikan dua beranak itu.
“Ayah tu dah lama tak balik, bila balik tau nak mengutuk Nasha je. Abang pun sama.” Rajuk Nasha.
Encik Nazri mengelus rambut Nasha mesra.
“Sebab lama tak nampaklah ayah nak mengusik.” Tambah encik Nazri lagi menyebabkan muncung Nasha semakin panjang.
Dia bersandar di bahu encik Nazri sambil memeluk lengannya erat. Isabelle masih setia memerhati.
“Mana ibu?” encik Nazri memanjangkan lehernya, mencari-cari wajah isteri yang diharapkan ada di rumah bila dia pulang. Hampa.
“Ibu biasalah, dengan persatuan tak habis-habis.” Rungut Nasha.
“Tak balik lagi?”
Nasha geleng.
“Tak. Ayah tau, ibu ada orang gaji baru.” Nasha memaklumkan.
Berkerut dahi encik Nazri.
“Orang gaji baru?”
Nasha angguk. Dia mengangkat muka, dan pandangannya menangkap susuk Isabelle yang terpacak ruang makan.
“Tu, kak Fatimah, sini lah.” Nasha mempamit.
Isabelle hampir mahu menjawab, mujur dia teringat. Bergegas dia mendapatkan mereka.
“Ni kak Fatimah, ibu kata dari Iran.”
Encik Nazri melirik Isabelle atas bawah membuatkan dia kurang selesa.
“Kenapa ibu ambik orang gaji lagi?”
Nasha jungkit bahu.
“Tak tau. Katanya sekejap je. Ibu tak cakap dengan ayah?”
Encik Nazri terdiam seketika, memikirkan kebenaran pertanyaan itu.
“Abang mana?”
Muncung Nasha bertambah panjang.
“Entah. Abang tu asyik nak marah Nasha je.” Adu Nasha tiba-tiba.
Isabelle serba-salah di situ. Nak pergi atau terus tunggu?
“Nasha buat salah kot...”
Nasha geleng laju.
“Tak. Mana ada. Orang mintak tumpang pun nak mengamuk macam apa. Abang tu benci Nasha ke?” telah Nasha.
Encik Nazri menggeleng laju.
“Taklah, dia stress tu. Kan kerja dia banyak..”
Nasha mencebik.
“Ayah tak marah Nasha pun?”
Encik Nazri tersenyum mesra seraya mengucup kepala Nasha mesra.
“Sebab ayah tak selalu jumpa Nasha. Kenapa ayah nak marah, kan?”
Isabelle mengundurkan diri perlahan-lahan. Dia menghela nafas lega apabila Siti muncul bersama air minuman. Cepat-cepat dia beredar.
“Habis, abang benci Nasha sebab hari-hari dia tengok muka Nasha?” sempat Isabelle menangkap bicara Nasha.
Entah kenapa, perasaannya benar-benar terganggu melihat dua beranak itu. Isabelle terus ke bilik. Dadanya terasa sesak. Dia terduduk di tepi katil. Tutup mukanya dibuka, dan dia menarik nafas dalam.
Senang hati melihat kemesraan mereka, dan ada rasa aneh juga. Mengapa Haliza dan Nazri begitu berbeza?
Tuk Khalid... Bayangan tua itu mula menjelma di tabir mata. Air matanya mula bergenang.
Siti tiba-tiba masuk ke dalam bilik membuatkan Isabelle gelabah sendiri.
“Hei, kau kenapa?” tegur Siti apabila dilihatnya wajah itu keruh.
Isabelle menggeleng laju.
“Tak ada apa-apa.”
Siti menghampiri dan dia dapat melihat mata itu berkaca-kaca.
“Kau menangis?”
Isabelle menggeleng lagi seraya memalingkan mukanya.
“Tak, tak, habuk ni bilik ni. Aku terbersin banyak kali tadi.” Dalih Isabelle.
Siti akhirnya mengalah. Dia keluar kembali. Isabelle kelegaan. Entah kenapa, tangannya gatal mencapai beg di bawah katil, yang berisi peti peninggalan Nek Zizah. Diamati peti itu lama sebelum selaknya dibuka.
Pertama kali isi peti itu dilihatnya sejak Nek Zizah menunjukkan peti itu padanya.
Ada beberapa keping gambar. Isabelle mengamati satu persatu gambar itu.
Gambar Nek Zizah dan Tuk Khalid juga ada di situ, bersama dua orang lagi yang umur mereka mungkin lebih kurang saja tetapi amat asing pada Isabelle.
Mungkin ini atuk dan nenek aku yang sebenar.
Isabelle tersenyum kelat. Kalau bukan kerana mereka, apa agaknya yang akan jadi dengan aku sekarang?
Gambar seterusnya pula ditatap. Seorang lelaki muda Melayu, agak kacak. Dan seorang wanita muda cantik berambut sepertinya, keperangan. Isabelle kaku seketika.
Itu ayah dan ibunya. Cepat-cepat dia meletakkan gambar itu di bawah sekali. Matanya tertangkap objek lain dalam peti itu. Diambilnya dan dipegang. Lastik yang sudah lama kelihatannya namun masih bagus. Paan. Entah sejak bila lastik itu berada dalam peti itu, Isabelle tidak pasti. Mungkin sudah lama, kerana dia sudah terlupa tentang lastik itu.
“Paan bagi lastik kat kau.” Terngiang-ngiang ayat itu di telinganya, suara Chan dan Aman setiap kali mereka berbicara tentang Paan, dulu, sebelum segalanya berubah, sebelum Tuk Khalid pergi.
Direnung lastik itu lama. Dipusingkan, dan matanya tertancap pada sebaris ayat di situ.
Nama mereka terukir di situ. Isabelle, Paan.
Tapi Cuma setakat itu saja ingatannya. Paan berikan lastik itu padanya ketika dia berpindah dari kampong ke sini.
Tapi itu bukan cebisan ingatannya. Cuma kutipan dari bicara mereka.
Isabelle mengeluh perlahan.
Semua barang itu dimasukkan kembali ke dalam peti. Kala itu juga Siti masuk lagi ke dalam bilik.
“Eh, kenapa kau ada benda tu?” tegur Siti.
Isabelle tercengang-cengang.
“Benda apa?” direnung Siti dan peti dalam tangannya silih berganti.
Siti menghampirinya dan dikeluarkan lastik itu dari peti itu, ditunjukkan pada Isabelle.
“Ni encik Paan punyalah.” Ujar Siti seraya mahu berlalu.
Entah kenapa, pantas Isabelle menahan, dan lastik itu dirampasnya kembali. Giliran Siti terkebil-kebil dengan tindakannya yang agak di luar jangkaan.
“Ni aku punyalah.” Isabelle membela diri. Lastik itu dimasukkan kembali ke dalam peti itu lalu dikunci tutupnya dengan selak.
Berkerut dahi Siti, merenung peti itu tidak lepas.
“Kau punya?”
Isabelle angguk. Bukan kedekut, tapi entah kenapa, rasa bengang bila Siti merampas lastik itu begitu saja.
“Sejak bila kau ada lastik tu?”
“Dari kecik.” Yakin dia menjawab. Peti itu disumbat ke dalam beg yang kemudiannya disumbat ke bawah katil kembali.
Bulat mata Siti.
“Dari kecik? Tapi aku nampak kat bilik encik Paan.”
Isabelle dan Siti masing-masing kebingungan.
“Mana aku tau. Tapi tu aku punya. Dah lama dengan aku. Aku tak tau menahu pasal encik Paan punya lastik. Kenapa dia main lastik lagi? Dia kan dah besar.” Isabelle menyoal pelik.
Siti jungkit bahu.
“Entah, tapi aku jamin, aku nampak yang tu lah dalam bilik dia, adalah sekali tu, sebijik macam yang kau ada.”
Isabelle tidak membalas. tidak tahu apa yang patut dijawabnya.
“Puan dah balik?”
Siti angguk.
“Jomlah keluar. Nanti dia cari, susah pulak.” Ajak Isabelle, sekaligus membiarkan isu lastik itu tidak berjawab.
*********
Paan membuang pandang ke luar tingkap pejabatnya. Kertas-kertas dan fail yang bertaburan di atas mejanya dibiarkan sepi.
Dia kelelahan. Hari ini, ayahnya pulang setelah seminggu tidak ada di rumah. Sepatutnya waktu begini dia sudah pulang demi menyambut kepulangan ayahnya tapi dia masih di sini. Memang dia mengejar masa sekarang, tapi dia lebih rela di sini dari pulang dan menghadap wajah ibunya.
Pintu biliknya dikuak. Faiz, teman sepejabatnya dan juga rakan seuniversiti masuk tanpa dijemput lalu mengambil tempat di kerusi kosong yang tersedia.
“Hei, kawan, termenung kenapa ni?” tegur Faiz apabila Paan tidak mempedulikannya.
Paan melepaskan keluhan berat sebelum memusingkan kerusinya, menghadap Faiz.
“Tak ada apa-apa. Nak balik dah ke?”
Faiz angguk.
“Jom. Lepak dulu.”
Paan geleng.
“Tak boleh la. YB balik rumah hari ni.”
Faiz angguk faham.
“Ok. So, kau nak balik dah la ni?”
Paan tidak menjawab sebaliknya dia melirik meja yang bersepah.
“Entah. Ingat nak siapkan projek dulu.” Dalihnya.
Faiz geleng.
“Aku kenal kau bukan sehari dua. Itu alasan kau je. Kenapa kau nak balik lambat-lambat? Kan ayah kau ada kat rumah?” Faiz jelas tidak bersetuju dengan tindakan Paan.
Paan tidak terus menjawab, sebaliknya, dia mengeluh lagi.
“Tengoklah.” Jawabnya lemah.
Faiz menggeleng laju.
“Ish, ish, ish. Apa tak kena dengan kau ni? Lately aku tengok makin tak bermaya je. Macam ada yang tak kena. Ada apa-apa jadi ke?”
Paan meraup wajahnya. Pen di tangan dicampak saja ke atas meja.
“Aku pun tak tau. Aku pun rasa macam tu tapi aku tak tau apa. Tak sedap. Macam ada benda buruk yang jadi tapi aku tak tau apa.”
Berkerut dahi Faiz.
“Paan, kau balik la awal hari ni, rehatkan kepala otak. Kau tak cukup rehat ni.” Cadang Faiz yang jelas prihatin.
Paan menongkat kepala di meja.
“Ataupun... kau ambik cuti.”
Anak matanya menerjah muka Faiz dengan pandangan pelik.
“Cuti? Kenapa nak cuti?”
Faiz tersandar dengan senyum nipis.
“Cutila kawan. Kau punya otak tu dah tak betul tu. Asyik kerja je.” Faiz membuat kesimpulan.
Paan mencebik.
“Kau pandai cakap eh. Mentang-mentang bos tu bapak kau..” ujar Paan menyindir.
Faiz tersengih mendengar sindiran itu.
“Itulah gunanya jadi anak bos. Sekarang, dengan kuasa yang ada pada aku, aku nak kau bercuti 2 hari. Ok? Duduk rumah, pergi pantai ke, masuk hutan ke, tenangkan fikiran.”
Paan tergelak kecil.
“Pandailah kau. Kerja ni?”
Faiz menegakkan duduk.
“Aku kan ada? Don’t worry my friend. Sekarang, kau kemas barang, pergi balik. By the way, aku suruh kau cuti, bukan galak ber’modeling’ ya. I mean, cuti dari semua benda. Ada faham?” Faiz menegaskan.
Paan akhirnya mengangguk lemah.
“Baik boss.”
Faiz bingkas dari duduknya.
“Oklah, aku gerak dulu. Nanti bising pulak minah tu, aku lambat.”
Paan angguk mengerti.
“Thanks Faiz.”
Faiz yang sudah membuka pintu bilik mengenyitkan sebelah mata.
“No prob.”
Paan tersandar kembali.
Cuti? Nak buat apa pulak kat rumah? Bergaduh dengan ibu? Aduh...
waaaaa.....
ReplyDeletex sbr nk tggu smbngn strusnya...btw sye 1st kmen ke...hehhehhee
yeyyy..! suka... bila nampak IBC update ja dkt dashboard blog tu mesti hati jdi excited.. senyum sampai ke telinga... XD
ReplyDeletebest2!
wah boleh la paan perhatikan Isabell 2 hr cuti tu. mntau kenangan lama muncul semula. he... ;D
ReplyDeleteble nk smbung x sbar nk bce
ReplyDelete