Bab penuh |
Kau ibarat bulan…
Muncul di malam kelam
Tika aku kehilangan
Telefon pintar lipat
berwarna pink dan berkelip-kelip lampunya itu ditenung dengan mulut yang
sedikit ternganga. Tauke kedai yang sedari tadi memerhatikannya pasti sedang
bersorak-sorai di dalam hati kerana gadis itu sudah tangkap cintan habis dengan
telefon tersebut.
“Comelnya! Nak tengok! Berapa ni eh?”
Soalnya dengan nada yang cukup teruja.
Ini padahnya kalau shopping
seorang diri. Tak ada orang nak berikan buah fikiran. Tak ada orang nak menahan
aku supaya jangan cakap, ‘Waa! Cantiknya! Waa! Comelnya! Waa! Murahnya!’ Tengoklah, akhirnya semua yang cantik, comel,
murah tu ikut aku balik rumah. Nasib kaulah Darin...
Smartphone pink itu
kini berada dalam tangannya. Betul-betul teruja Darin melihatnya biarpun tadi
membebel sendiri. Sesekali dipicitnya butang yang berwarna putih dan merah
jambu berselang-seli. Bertambah teruja apabila melihat permukaan telefon itu
berkelip-kelip dengan bintang-bintang dan juga rama-rama.
“Dua ratus saja. You mahu
angkat ini, sayakasi murah lagi lor.” Lelaki Cina itu cuba menarik perhatian
Darin dengan tawaran diskaun, kononnya.
Gadis itu menjuihkan bibirnya.
Macamlah dia tak tahu, harga sebenarnya mestilah jauh lebih murah jika harganya
boleh diturunkan lagi. Takkanlah kedai itu tidak mengaut untung langsung.
Entah-entah, mereka beroleh untung yang lebih banyak dari jangkaan pembeli. Dia
mengecilkan matanya ke arah penjual itu.
“Berapa?”
“Seratus sembilan puluh.”
“Sepuluh ringgit je turun?
Aiyooo...murah lagilah...”
“Tak boleh lor. Saya bukan tauke ini
kedai. Ini boss saya punya kedai ma.”
Balasan itu membuatkan Darin mencebik.
Taktik je tu!
“Ala, murah lagi la…” Darin memujuk
lagi. Handphone itu sudah berada kejap dalam genggamannya. Gayanya
seperti sudah tidak mahu dilepaskan lagi. Comel sangat!
“Tak boleh lor. Seratus sembilan puluh
sudah sangat murah lor. Nanti big boss marah saya ma…”
Bersungguh-sungguh dia memberi alasan.
Gadis itu mencebik lagi. Setelah
beberapa kali lagi cubaannya untuk menawar harga, akhirnya terkeluar juga
RM190.00 dari dompetnya dan bertukar tangan kepada penjual itu yang sudah
tersenyum lebar. Tanpa sebab munasabah, handphone itu kini berada dalam
tangannya.
“CIK Darin!
Kenapa beli handphone cokia ni?” Suara lantang Iris, adik bongsunya
membuatkan bahu Darin terenjut sedikit dek terkejut.
Hajat hati mahu menayang dan berbangga
dengan telefon itu di depan Iris terus terbantut. Terus saja handphone
itu dijauhkan daripada Iris.
“Biarlah! Duit aku kan? Suka hati je
nak marah-marah aku…” Nada suaranya yang lantang pada awalnya terus mengendur
di hujung. Dia juga tidak mahu kalah. Dia kakak!
Iris duduk di sebelahnya dengan
henyakan kasar.
“Berapa ni?”
“Satu sembilan kosong je.”
Bulat mata Iris memandang Darin.
“Je? Kau ni kan Ngah, tahulah dah
kerja. Tapi jimat-jimatlah sikit. Kita cuma ada pencen babah je nak hidup. Gaji
kau tu simpan-simpanlah. Memanglah kau tak ada keperluan lain lagi buat masa
sekarang, tapi masa depan kita tak tahu. Ni membazir namanya. Entah apa-apa la
kau ni.”
Bebelan Iris membuatkan air wajah
Darin berubah.
Kala ini, bagai bukan Iris yang berada
di sebelahnya tetapi arwah babah. Kerana babah juga selalu membebel padanya.
“Hah, tulah, baik hati sangat. Apa nak
jadi entah. Kan lelaki dah tinggalkan kamu. Cuba fikir kenapa tak ada lelaki
yang nak lekat. Sebab tak guna otak. Baru je nak berkawan, semua benda angah
nak bagi. Ingat babah ni tauke TM ke? Babah kuli je kat situ tahu, habis semua
benda bagi lelaki. Agaknya, kalau kamu ni tak ada iman, dah termengandung
agaknya kamu ni, angah?”
Masih terngiang-ngiang bebelan babah
di telinganya, seperti baru semalam ia berlaku. Semuanya gara-gara sikapnya
yang dikatakan berakal pendek. Baru saja kenal, sudah dia angan-angankan
sebagai suaminya. Sudahnya, berangan sajalah. Habuk pun tak dapat, bau pun tak
tinggal.
“Berangan!” Iris menolak bahu Darin
kuat, membuatkan kenangannya dan babah hilang begitu sahaja.
Kalaulah babah masih hidup...
Hei...babahlah yang tolak bahu aku ni...
“Kau ni tak habis-habis berangan la
Ngah.”
“Ish, dahlah. Aku beli benda ni sebab
comel. Nak bagi kau je. Yalah, handphone kau pun dah tak betul sangat
kan. Kalau kau tak nak, tak apa. Tak payah nak marah-marah aku. Serabut tahu
tak?” Herdiknya kembali. Tak fasal-fasal alasan yang tidak pernah ada itu
diwujudkan.
Darin sudah menunduk sambil menekur handphone
comel itu yang masih dalam genggamannya.
Mengenangkan arwah babah dan bebelannya yang
tak pernah habis memang sedih. Tapi, kerana bebelan babah juga hidupnya jadi
begini. Berdikari dan tidak mudah tunduk pada lelaki. Tidak mudah perasan
dengan lelaki yang mahu dekat dengannya.
Dia cuma hidup untuk diri sendiri dan
adik-beradiknya, Lily, kakaknya dan Iris, adiknya. Dah malas dia mahu
memikirkan soal lelaki dan perkara wajib yang mengiringi lelaki dalam hidupnya,
iaitu cinta.
Iris menggigit bibir apabila melihat
perubahan wajah Darin. Rasa bersalah mula memagut dirinya.
“Bak sini. Betul ke nak bagi aku?”
“Yalah.” Terpaksa juga dia menyerahkan
telefon itu kepada Iris demi mematikan leterannya. Lagipun, handphone Iris
memang sudah rosak. SMS kadang-kadang tidak diterima. Panggilan pun
kadang-kadang tidak dapat dijawab. Memang parah.
Sudahnya, Darin cuma mampu memendam
rasa tatkala Iris yang tadinya garang bagaikan singa sudah tersenyum simpul
sambil berlalu pergi dengan telefon comel itu di tangannya.
Darin terus rebahkan dirinya di sofa.
Macam nak menjerit saja. Argh! Lepas ni, aku takkan tunjuk apa aku beli dekat
Acu dah! Bulan depan aku akan beli lagi! Sumpahnya di dalam hati.
Tetapi beberapa hari kemudian, Darin
terpacak lagi di depan kedai tersebut. Bukanlah kedai pun, tetapi cuma sebuah booth
saja di tengah-tengah shopping complex ini.
“Hari tu I baru beli handphone
ni. Tapi bateri cepat sangat habis la. Lepas tu, phonebook tak boleh add
new contact. Apa fasal ni?” Soalnya dengan suara sedikit meninggi.
Sudahlah dibebel oleh Iris selepas handphone
itu dibeli. Bila dah rosak begini, bertambah-tambah bebelan Iris padanya. Mana
tak hangat hati dia.
Dengan riak tak bersalah, lelaki Cina
itu menyambut handphone tersebut dan dibelek-beleknya luaran telefon tersebut
dengan pandangan curiga. Darin menegakkan dirinya. Hatinya bertambah panas
dengan pandangan lelaki itu yang seolah-olah mahu mengatakan dia punca telefon
itu rosak. Dahinya dikerutkan lagi. Ingat aku suka gamaknya datang ke sini?
Buang duit, buang masa!
“You tak ada jatuhkan ini handphone
ka?” Nada sinis lelaki Cina itu bertanya membuatkan Darin mencekak pinggangnya
garang. Ada jugak yang makan pelempang tengah-tengah hari buta ni!
“You tengok ada calar-calar ke?
You ingat I guna handphone ni main tuju kasut ke, hah?
Mana ada! Dari hari pertama lagi dah buat hal! I tak kira! Ada warranty
kan? I nak tukar one to one! Kalau tak, you pulangkan
balik duit I! Belum sampai empat hari pun I guna handphone ni,
tahu!” Suaranya semakin meninggi.
Seperti mahu saja dihempuk lelaki itu.
Berbeza dengan bicara manisnya tempoh hari semasa menjual handphone
tersebut. Muka dia sekarang seolah-olah Darin mahu menjual besi buruk pulak.
Orang yang beli besi buruk lagi manis muka daripada dia ni agaknya.
Lelaki itu buat tidak endah saja
dengan tengkingan Darin, sebaliknya dia terus membelek telefon itu lagi.
Akhirnya, handphone itu diserahkan kembali kepada Darin selepas
‘pemeriksaan’nya.
“You keluar sini, masuk kiri,
ada kedai sebelah kanan you. Situ tauke kedai ini punya kedai. You
cakap sama dia masalah you,” beritahunya acuh tak acuh.
Darin melepaskan keluhan kasar sambil
menggenggam telefon itu erat. Ceh! Kalau cakap dari tadi kan senang. Saja je
nak cari gaduh dengan aku agaknya. Dengan rasa sebal, Darin terus berlalu ke
arah yang ditunjukkan.
Snippet yang diterbitkan di blog ini merupakan sebahagian dari bab sebenar dalam versi cetak. Dilarang sama sekali menerbitkan mana-mana bahagian ini di mana-mana dalam bentuk apa sekalipun tanpa kebenaran bertulis dari penerbit.
PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.
No comments:
Post a Comment