When I know no one, When I like no one, When I think of no one, I'm revealing, A new me... The Other Side of Me..
About Me
- Anarif88
- Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor
Love Them!
Terbaru PBAKL 2017
Jenguk2 sini...
NOVEL DI PASARAN
Thursday, July 22, 2010
Ini Bubur Cinta: Bowl 15
Chan termenung sendiri di kaunter kedai itu yang agak lengang. Dia menongkat kepalanya seraya melepaskan keluhan perlahan. Jika apa yang berada di dalam fikirannya terpampang di dahinya, pasti di dahinya akan kelihatan selirat wayar atau urat yang bersilang-silang, tanpa permulaan atau akhiran yang pasti.
Namun yang pastinya, wajah Isabelle, Nek Zizah, Tuk Khalid, dan Aman akan terpampang jelas. Dia menoleh apabila bunyi pintu kayu yang menghubungkan rumah dan kedai itu dikuak. Ibunya, Ah Liu yang berpakaian agak kemas menghiasi pandangannya. Ah Liu menghampiri anak lelakinya satu-satunya itu.
“Ni yao bu yao qu?”
Chan geleng lemah.
“Bu yao le. Isabelle dan Aman mesti ada di sana…” Chan meletakkan dagu di atas tangan, lemah.
Ah Liu menggeleng tidak setuju.
“Mama tak suka tengok Chan macam ni. Sakit hati mama tau. Kalau kamu balik rumah nak tunjuk muka macam ni, baik jangan balik, Chan.” Keluh Ah Liu seraya menghilang di balik pintu itu semula.
Chan terdiam. Bukan sekali dia mendengar ibunya marah. Ah Liu memang begitu. Kurang tenang, tidak seperti Ah Tong.
Kenduri anak bongsu Busu hujung kampung yang dimaksudkan ibunya. Tidak lama kemudian, kedengaran bunyi motor, menandakan Ah Tong dan Ah Liu sudah berangkat, meninggalkan dia seorang di situ, menjaga kedai. Ah Mei, kakaknya sudah ke pekan bertemu kawannya.
Chan mengeluh lagi. Sampai bila dia akan begini?
**********
“Chan mana aunty?” Isabelle memanjangkan leher ke kiri kanan namun kelibat Chan tidak kelihatan.
Ah Liu senyum tawar.
“Dia jaga kedai.” Jawabnya ringkas.
Hakikatnya, dia mahu mengelakkan Isabelle kerana dia tahu pasti soalan itu akan bertamu di bibir gadis itu. Namun mereka bertembung juga. Ah Liu mula resah.
Isabelle terangguk-angguk. Riak hampa cuba dijauhkan, namun terpampang juga di wajahnya.
“Nek Zizah datang?”
Isabelle angguk seraya menunjuk ke satu arah.
“Dengan nenek Lijah.”
Ah Liu angguk faham sebaik dia melihat ke arah itu.
“Aunty nak jumpa isteri Busu kejap. Aunty pergi dulu ya…” Ah Liu pantas meminta diri.
Dia tidak betah menghadap wajah itu, walaupun hakikatnya bukan dia yang terjerat dalam silangan itu. Tapi Chan anaknya, dia turut terasa kelatnya.
Isabelle angguk. Selepas dia membantu kaum wanita di belakang rumah, dia kini punya banyak masa lapang. Lazimnya, Isabelle akan terus pulang sebaik selesai rewang di mana-mana kenduri. Walaupun dia membesar di situ, Isabelle tahu dia masih belum diterima orang lain. Dengan rupanya, sukar untuk penduduk kampung menerima hakikat bahawa dia juga sebahagian dari mereka.
Penduduk kampung yang sudah tua mungkin senang dengannya, tapi tidak golongan muda. Kerana itu Isabelle jarang bercampur dengan mereka, tambahan pula sejak Chan dan Aman mula menjauh darinya.
Isabelle terfikirkan sesuatu. Dia menghampiri Nek Zizah dan membisikkan sesuatu.
Nek Zizah angguk.
“Ok, nanti ambil nenek di sini ya..”
Isabelle angguk seraya meminta diri.
Motor Tuk Khalid ditujunya. Bagi mereka yang belum pernah melihat dia, pasti ramai yang memandangnya tidak lepas. Namun Isabelle sudah alah dengan semua itu.
Enjinnya baru dihidupkan apabila ada suara menegurnya. Dia menoleh.
“Aman..”
“Kau nak ke mana?” Aman yang berpakaian kemeja dan jeans kelihatan segak dari biasa hari itu.
“Erm, nak jumpa Chan.”
Berkerut-kerut dahi Aman.
“Chan balik?”
Isabelle angguk. Entah kenapa, Isabelle dapat menangkap nada pelik dalam suara Aman.
“Aku nak ikut.”
Isabelle angguk lambat-lambat.
“Ok.”
Aman beredar dari situ. Isabelle tahu dia ke motornya. Tanpa berlengah, Isabelle memulas minyak menuju ke kedai Ah Tong.
“Isabelle…” Chan menyapa sebaik saja Isabelle terpacak di depannya, namun nadanya seperti tidak senang.
Terguris hati kecil Isabelle namun dipendamkan saja. Ada yang dipendamkan Chan, dan Isabelle pasti ianya masalah yang berat. Bukan sengaja Chan berkelakuan begitu. Dia terbawa-bawa oleh masalahnya.
“Kau sorang ke?”
Belum sempat Chan menjawab, bunyi motor lain kedengaran di luar kedai. Kedua-dua mereka menapak keluar. Wajah Chan berubah tatkala pandangannya melihat Aman. Aman turut tersenyum kelat.
Mereka berjabat tangan dan berpeluk sambil diperhatikan Isabelle dalam suasana yang agak janggal.
Kali pertama mereka bertiga bertemu setelah peristiwa berdarah bertahun lalu.
“Kau tak cakap pun kau balik?” soal Aman.
Chan senyum tawar. Tahu Aman sekadar berbasa-basi.
“Aku balik kejap je ni.”
“Macam selalu.” Tambah Aman, ada nada sinis di situ.
Chan tidak membalas lagi. Isabelle melihat mereka silih berganti apabila keduanya senyap tiba-tiba.
“Apasal korang sekarang lain hah?” tegur Isabelle tidak puas hati.
Chan jungkit bahu.
“Lain apa?”
Aman memandang ke arah lain.
“Lainlah. Dulu korang tak macam ni. Lain sangatlah…” tambah Isabelle, tidak puas hati.
Bukan ini yang dijangkanya. Setidaknya kemesraan dulu akan terpamer, tetapi lain yang terjadi. Dingin. Aneh.
Aman mengerling Chan, sebelum menumpukan perhatiannya pada Isabelle.
“Jom lepak tepi sungai. Dah lama tak lepak.” Ajak Aman tiba-tiba.
Chan dan Aman berbalas pandang, seolah-olah masing-masing mencabar masing-masing. Chan angguk tiba-tiba, yakin wajahnya.
“Jom. Kejap, aku tutup kedai.” Sekejap saja kedai itu sudah ditutup.
Isabelle tidak membantah. Dia tertanya-tanya punca semuanya menjadi sedingin dan sekaku ini. Dulu mereka tidak begini.
Chan menunggang motornya sendiri. Aman tidak mempelawa. Isabelle tidak terkata apa-apa lagi. Di tepi sungai, mereka mengambil tempat masing-masing. Isabelle di tengah-tengah, antara mereka. Isabelle tidak mahu membuka mulut. Dia mahu melihat permainan mereka. Dua sahabat baik. Dahulunya. Firasatnya jelas mengatakan semuanya sudah berubah. Mengapa dan bila semuanya berubah, dia tidak pasti tentang itu.
“Kau kerja apa hah?” Aman tiba-tiba bertanya.
“Aku dah cakap la hari tu. Site engineer.” Jawab Chan sambil membaling sebiji batu kecil ke dalam parit yang lebih berupa sungai itu.
Isabelle terfikir sendiri. Aman lupa Chan keja apa? Pelik.
“Oh, ingat dah tukar kerja. Manalah tau kan.” Komen Aman.
Isabelle berkerut dahi lagi. Komen sebegitu memang biasa di kalangan kawan-kawan, namun komen itu bernada lain. Acuh tak acuh bunyinya.
Yang jelas, kedua mereka bertutur tanpa memandang wajah masing-masing.
“Aku nak kahwin hujung tahun ni.” Beritahu Aman tiba-tiba.
Pernyataan itu jelas menarik perhatian Chan dan Isabelle. Kedua mereka merenung Aman penuh rasa ingin tahu, terkejut juga dengan berita itu.
“Dengan siapa?” soal Chan dahulu sebelum sempat Isabelle membuka mulut.
Aman tidak terus menjawab, sebaliknya dia mengutip sebiji batu, dan dilemparkan ke dalam parit itu. Dia kemudiannya memandang Chan.
“Dengan Isabelle.”
Bukan Chan saja yang terkejut, Isabelle turut tersedak dengan air liur sendiri.
Mendengar jawapan itu, Chan mengalih pandang. Jelas dia terkejut, namun riaknya masih tenang.
“Kau ni merapu tiba-tiba kenapa?” marah Isabelle.
Sejak peristiwa pinangan Aman ditolak Isabelle, mereka memang sudah agak jarang bertembung di mana-mana. Sangka Isabelle, Aman memahami.
Aman tersenyum tawar.
“Rilekslah, aku gurau je. Saja nak cakap macam tu.” jawab Aman tanpa rasa bersalah.
Chan tersenyum kelat. Dia tahu tujuan Aman. Isabelle merengus perlahan.
“Aku peliklah korang ni. Aku rasa ada yang aku tak tau, yang dah jadi, kan? Kalau tak, takkan Chan pergi dari kampung ni. Dan sekarang, setelah lama kita tak berkumpul macam ni, korang macam ni pulak. Kalau korang nak lawan-lawan cakap macam ni, baik aku balik rumah je, tengok tv ke, dengar radio ke, taklah sakit hati aku tengok korang. Tau?” tanpa disedarinya, terluah isi hatinya sekali cakap.
Chan tiada reaksi, Aman saja yang gelabah sedikit. Namun apabila dilihatnya Chan seperti tidak kisah, dia turut cuba mengawal reaksinya.
“Tak ada apa-apalah…” jawab Aman ringkas.
Chan membuang pandang ke tengah parit yang beriak tenang.
“Aku tak ajak pun kau datang kedai.” Bicara Chan perlahan namun tetap jelas di telinga Isabelle. Aman yang turut mendengar juga mempamerkan raut wajah pelik.
“Jadi kau tak suka aku datang?” soal Isabelle tidak percaya.
Chan menoleh, membalas renungan tajam mata biru Isabelle.
“Aku minta maaf, tapi terus-terang aku cakap, semuanya dah berubah. Kau tak boleh terus mengharapkan keadaan antara kita akan kekal. Kau kena hadapi kenyataan, Isabelle. Kita dah dewasa, kan?”
Isabelle membesarkan matanya, tidak percaya dengan apa yang didengarinya.
“Jadi, selama ni, cuma aku saja yang mengharapkan kita akan kembali macam dulu? Macam tu?”
Chan tertunduk seketika.
“Lebih kuranglah..”
“Jadi, kau memang tak fikir apa yang aku fikir? Kau memang sengaja lari dari kampung ni? Lari dari kami? Itu maksud kau?”
Chan diam.
Entah kenapa, pilu menggigit tangkai hati. Isabelle kecewa. Rasanya kali ini lebih menyakitkan dari saat dia mengetahui Chan sudah keluar kampung. Pedihnya lebih perit dari tika itu.
“Ok. Kalau itu yang korang fikirkan, aku minta maaf. Maafkan aku… sebab selama ni, aku mengharapkan terlalu banyak dari korang. Aku…” Isabelle tidak mampu menyudahkan ayatnya.
Kolam matanya sudah terasa berat. Tanpa berlengah, Isabelle bingkas berlari ke motornya. Aman memandang Chan dan Isabelle silih berganti, namun tidak pula dia cuba mengejar Isabelle. Chan masih tenang, seolah-olah tiada apa yang berlaku.
Sebaik saja Isabelle sudah menghilang di hujung jalan, Aman merenung Chan tajam.
“Apa tujuan kau?”
Chan tersenyum tawar.
“Apa tujuan kau jugak sebenarnya? Dari tadi aku nak tanya. Kenapa kau cakap macam tu depan dia? Sengaja nak uji aku ke?” sindir Chan.
Aman tersenyum sinis.
“Nak uji kau? Tak perlu uji kau, Chan. Dari dulu lagi kau dah tunjukkan reaksi kau. Kenapa mesti aku bangkitkan hal dulu?”
Chan tersenyum seraya menggeleng. Dia memandang Aman yang merenungnya.
“Aman, aku kenal kau dah lama. Kau ingat aku bodoh?”
Aman pula tersenyum pahit.
“Aku tak nak ungkit hal dulu. Itu kisah lalu. Kenapa mesti aku ingatkan benda yang menyakitkan? Lagipun, tak ada gunanya aku ungkit pasal tu lagi. Dia dah tolak aku.” Ujar Aman seraya membuang pandang ke seberang parit, ke sawah yang terbentang luas.
“Maksud kau?”
“Dia dah tolak pinangan aku.”
“Kau betul-betul meminang dia??” soal Chan tak percaya.
Aman angguk dengan senyum kelat.
“Dia tolak. Kau tak nak cuba?” soal Aman, lebih kepada mencabar.
Chan menggeleng.
“Aku tak layak.”
Aman tergelak sinis.
“Tak layak? Habis, siapa yang layak? Paan?”
Chan turut tergelak kecil. Entah kenapa, perbualan ini semakin menarik.
“Paan? Entah apa dah jadi dengan dia.”
“Janji tinggal janji. Dia dah tak balik lagi sini. Aku dah agak akan jadi macam tu.” tanpa disedari Aman, dia mula meluahkan apa yang selama ini tersimpan di sudut hatinya.
Chan tidak membalas. Dia juga ingin tahu, namun dia tahu tak siapa yang tahu.
“Betul kau tak nak cuba?” soal Aman tiba-tiba.
“Cuba apa?”
“Pinang Isabelle.”
“Kau gila? Aku kan cina.” Sengaja dia memberi jawapan itu.
Aman tersenyum nipis.
“Chan, Chan, kau ingat aku bodoh ke nak tanya soalan macam tu kalau aku tak tau siapa kau sekarang, hah, Muhd Ihsan?”
Chan yang terkejut dengan kata-kata Aman menikam wajah itu dengan pandangan pelik.
“Apa kau merepek ni?” Chan melarikan matanya, cuba memberi dalih.
Aman masih tersengih.
“Suka hati kau lah. Tapi boleh aku tau, kau masuk islam sebab dia ke?”
Chan tidak menjawab. Kerana dia secara tak langsung, namun jawapan itu cuma terluah di hatinya.
Melihat Chan masih membisu, Aman melepaskan keluhan berat.
“Serius aku tak tau kenapa kita jadi macam ni. Hanya kerana dia kita nak kekal macam ni ke? Kau pergi dari sini kerana dia atau kerana aku?” bertalu-talu soalan Aman membuatkan Chan mula tidak senang duduk.
“Tak ada sesiapa pun yang jadi punca aku pergi.” Jawab Chan ringkas.
“Habis, kenapa tiba-tiba kau pergi? Ok, aku faham, masa tu, kita budak-budak lagi. Masa tu, pemikiran aku pun cetek lagi. Memang salah aku sebab cakap macam tu pada kau. Tapi bila kau pergi, aku terfikir sendiri. Salah aku ke? Aku bingung. Selama ni, aku tak pernah tanya bila kita terjumpa, sebab aku tau, pelik kalau tiba-tiba aku tanya sebab kita berakhir dengan benda yang tak baik. Kau pun buat tak kisah je. Tapi sekarang, aku rasa aku dah sampai masa kita berterus-terang.” Ujar Aman panjang lebar penuh harapan.
Namun hampa apabila jawapan yang diberi Chan cuma keluhan.
“Aku tak marahkan kau. Tak jugak Isabelle. Aku pergi sebab aku nak pergi. Bukan sebab sesiapa. Aku minta maaf kalau aku menyusahkan keadaan.”
Aman menarik nafas dalam dan melepaskannya.
“Kau… betul-betul dah mengalah?”
Chan tersenyum nipis. Dia tak pernah mengalah, tapi dia dikalahkan. Dan tak mungkin kekalahan itu dapat ditebus kembali.
“Aku takkan melangkah ke arah dia. Selama-lamanya. Walau apa pun, aku cuma akan melihat dia dari jauh.”
“Tapi kenapa? Kau ada peluang, dan aku rasa peluang kau lebih cerah berbanding aku.” Tukas Aman tidak puas hati.
Chan tersenyum pahit.
“Aku dah musnahkan peluang tu sejak dulu lagi, dan aku tak layak untuk peluang kedua. Aman, kalau kau nak kita kembali macam dulu, tolong jangan tanya apa-apa lagi.” Permintaan Chan di akhir katanya membuatkan Aman tidak jadi bertanya lagi.
Seterusnya, mereka sama-sama membisu, mengenang kembali saat dulu, tanpa kebimbangan, tanpa kerisauan, tanpa sesalan, tanpa mimpi buruk. Chan melepaskan keluhan berat. Sampai bila-bila pun dia akan menyimpan sesalan itu bersamanya. Biar dia saja yang menanggungnya. Selama-lamanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
ala
ReplyDeleteasal chan x pinang isabella
mana paan ni!!!
haish~~
aduhhhhhhhh........takkan chan, aman dan paan, ketiga-3 ni jatuh hati kat isabellle??????
ReplyDeleteso sweet..
ReplyDeletechan suka isabelle..
chan chan
actually saya ni confius......saspenlah
ReplyDelete