About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Thursday, August 6, 2009

Anaknya, Anakku Jua 7

Nisa' memarkir keretanya di hadapan rumah Mak Su. Wajahnya dibelek dengan melihat cermin pandang belakang, mahu memastikan tiada kesan-kesan dia menangis. Lipatan tudung dibetulkan. Dia perlu kelihatan seperti biasa.

Nisa' keluar dari kereta.

“Assalamualaikum,” Nisa' memberi salam lalu masuk melalui pintu rumah yang terbuka. Demam Hana sudah kebah. Lega Nisa'. Sekurang-kurangnya, bila Hana sihat dia tidak terbeban sangat.

Irfan di ruang tamu, sedang menonton television. Melihat Nisa' datang, Irfan mengukir senyum. Nisa' mengukir senyum juga, namun jelas senyumnya tawar.

“Ha, Nisa', baru sampai?” Tanya Mak Su yang baru muncul dari dapur.

“Haah. Hana dalam bilik?” Tanya Nisa'.

“Haah, mana lagi dia nak duduk. Dia bukan boleh berjalan lagi.” Seloroh Mak Su. Nisa' tersenyum saja mendengar usikan itu.

“Eh, Nisa', duduklah dulu. Mak Su ada buat kuih sikit. Kuih lepat pisang. Minum dulu ya?” pelawa Mak Su. Nisa' serba salah. Akhirnya, dia mengalah. Mak Su ke dapur kembali.

Nisa' melabuhkan punggung di sofa. Kekok juga dia kerana Irfan juga di situ. Nisa' tidak memandang Irfan sebaliknya dia merenung television. Kosong. Irfan yang sedari tadi memerhatikan Nisa' mematikan television.

Namun Nisa' tidak mengalih pandang. Masih merenung kotak television walaupun sudah tiada apa yang bermain. Irfan merenung Nisa' lama.

“Nisa',” panggil Irfan, perlahan namun agak lantang.

Nisa' tersentak. Dipandang television yang sudah mati.

“Eh, dah tutup ke?” Tanya Nisa', tidak menyedari yang gelagatnya diperhatikan. Begitu asyik dia bermenung hingga tidak perasan television sudah dimatikan.

Nisa' memandang Irfan yang tersenyum kecil.

“Dah lama dah tutup, awak tak perasan.” Ujar Irfan.

Nisa' terdiam. Betul ke? Irfan ketawa kecil melihat Nisa' yang termangu-mangu.

“Awak ok ke tak?” Tanya Irfan setelah ketawanya mati.

“Hah? Ok je.” Jawab Nisa', jelas tidak bersemangat.

“Macam tak ok je?” korek Irfan lagi. Nisa' mengukir senyum untuk Irfan. Dia tidak mahu Irfan
tahu apa yang telah berlaku. Dia orang luar, tidak perlu dia tahu.

“Saya ok la.” Jawab Nisa', bersungguh-sungguh. Irfan diam mendengar jawapan itu. Dia tahu Nisa' tidak ok namun dia tidak mahu mendesak. Lagipun, siapalah dia di mata Nisa'?

***************

Nisa' mematikan enjin sebaik keretanya masuk ke perkarangan rumah keluarganya, rumah Haji Bustaman dan Hajah Rubiah. Nisa' kaku di tempat duduk. Resah kerana kepulangannya kali ini pasti mencetus kemarahan ibunya.

Ya Allah, lembutkan hati ummi. Nisa' sempat menitip doa.

Nisa' melangkah keluar dari kereta dan pandangannya menangkap kelibat Fazil di bawah rumah. Barangkali sedang bermain dengan Putih, kucing mereka yang jinak.

“Assalamualaikum, Zil.” Panggil Nisa'. Fazil mengangkat muka.

“Eh, kak Nisa'! bila sampai?” Fazil bingkas mendapatkan Nisa' lalu dicium kedua tangan kakaknya itu.

“Lama dah, Zil tak perasan. Buat apa tu?” Tanya Nisa'. Fazil pelajar lepasan SPM, adik bongsu Nisa' dari 3 adik beradik. Nisa' yang kedua.

“Zil tengah kemas buku. Harap-harap tak akan tengok dah buku sekolah menengah.” Fazil tersengih-sengih. Nisa' menepuk bahu Fazil perlahan.

“Hah, cakaplah macam tu. Benda lagi nak jadi tau kalau cakap macam tu.” Nisa' mengingatkan. Dia melangkah ke keretanya. Fazil mengekor dengan sengih meleret. Nisa' ke belakang kereta. Sangkanya Fazil mengikutnya.

\“Zil, mana ummi dan abah?” Tanya Nisa', tidak berjawab. Dijenguk Fazil di sebalik but, rupa-rupanya Fazil sedang leka melihat ke dalam kereta, ke tempat duduk sebelah pemandu. Fazil memandang Nisa' tidak berkelip.

“Akak, anak siapa tu?” Tanya Fazil teragak-agak. Nisa' menghampiri Fazil bersama senyum nipis. Dijeling Hana yang lena di tempat duduknya, di kerusi bayi.

“Nanti akak beritahu ya? Sekarang tolong angkat barang-barang akak? Akak nak dukung Hana.” Pinta Nisa'.

“Hana? Nama baby ni?” Tanya Fazil. Menunjuk ke Hana.

“Ye lah, sapa lagi.” Fazil mengekor Nisa' ke belakang kereta, mengangkat beg-beg Nisa'.

Nisa' menutup but lalu bergerak ke pintu tempat duduk sebelah pemandu. Dibuka pintu itu lalu dikendong Hana perlahan dan cermat. Tidak mahu Hana terjaga.

“Mana ummi dan abah?” Tanya Nisa' lagi. Mereka memanjat tangga beriringan.

“Ummi dan abah pergi kenduri kat kampung sebelah. Kejap lagi balik.” Beritahu Fazil.
Nisa' mengangguk tanda faham.

“Eh, kak, abang Daniel tak balik ke?” Tanya Fazil. Nisa' terdiam. Tidak tahu jawapan
apa yang patut diberikan.

“Fazil, abang Daniel mungkin dah takkan datang sini.” Beritahu Nisa'. Dia meletakkan Hana di atas kusyen sementara dia memasang tilam Hana di atas tikar getah. Fazil yang sudah meletakkan beg Nisa' di tepi dinding menghampiri Nisa'.

“Apa maksud akak?” Tanya Fazil.

“Hmm, kitorang dah tak ada apa-apa lagi. Dah putus. Cuma kawan je sekarang.” Nisa' mengeluh kecil. Entah Daniel masih mahu berkawan lagi dengannya, dia pun tidak pasti.
Apabila Hana sudah selesa di tilamnya, Nisa' menyandar di kusyen. Fazil mendekat dengan Hana.

“Laa, kenapa pulak akak?” Tanya Fazil lagi. Nisa' memejamkan matanya. Tolonglah diam, Fazil. Akak pening ni. Nisa' merintih di dalam hati.

“Sebab Hana ke?” Nisa' membuka matanya kembali mendengar tekaan Fazil. Dijeling Fazil yang masih menanti jawapan.

“Zil, diam boleh? Kejap ke. Akak penat ni.” Pinta Nisa'. Fazil terdiam. Dia mengalihkan perhatiannya pada Hana pula.

Mahu saja ditanya anak siapa itu namun apabila mengenangkan permintaan Nisa' sebentar tadi, Fazil tidak jadi bertanya lagi. Akhirnya, dia turun kembali ke bawah rumah menyambung kembali kerjanya yang terbengkalai.

Azan maghrib sudah berkumandang. Nisa' yang baru selesai membersihkan diri memanggil Fazil untuk bersolat berjemaah. Ibu bapa mereka masih belum pulang.

Usai solat, barulah kedengaran bunyi enjin motor di bawah rumah, menandakan kepulangan ibu bapanya. Nisa' berdebar sendiri.

Telekung dilipat dan sejadah disusun. Nisa' menanti di ruang tamu.

“Assalamualaikum.” Terjengul wajah Hajah Rubiah di muka pintu. Nisa' menghampiri umminya seraya menghulurkan tangan.

“Dah lama kamu sampai Nisa'?” berpeluk cium mereka di pintu.

“Lama jugak. Asar tadi.” Beritahu Nisa'.

“Hah Nisa', apa khabar kamu?” Haji Bustaman pula muncul di muka pintu. Nisa' bersalam dengan abahnya pula.

“Baik. Abah sihat?” Haji Bustaman melabuhkan punggung di sofa, di sisi Hajah Rubiah. Jelas mereka kelelahan.

“Hmm, kami sihat, macam ni lah. Eh, Daniel tak balik?” Tanya Haji Bustaman. Fazil menoleh pantas ke arah Nisa' yang gelisah.

Nisa' turut duduk di sofa tunggal, berhadapan dengan ibu bapanya.

“Err, tak.” Jawab Nisa'.

Hajah Rubiah yang mengesan air muka Nisa' berubah pantas bertanya.

“Kamu bergaduh lagi dengan Daniel?” Nisa' terdiam. Membalas renungan tajam ibunya.

“Ummi, ummi dan abah tak solat lagi kan? Lepas solat kita makan. Nisa' dah masak gulai ikan. Kita makan sama ye?” Nisa' mengubah topic cepat.

Hajah Rubiah mengeluh panjang. Mengertilah dia.

“Hmm, kamu ni, Daniel tu baik benar. Cubalah jangan berbalah dengan dia. Tak lama lagi nak bertunang. Macam mana nak bertunang kalau asyik bergaduh je?” Hajah Rubiah memberi ceramahnya yang sudah acap kali singgah ke telinga Nisa' sekiranya dia pulang bersama Daniel.

“Hmm, dahlah tu ummi pun. Budak tu baru balik. Jom solat. Maghrib dah nak habis ni.” Ajak Haji Bustaman. Dia bingkas. Hajah Rubiah menjeling suaminya. Dia bingkas juga, mengekori langkah suaminya. Nisa' menghela nafas lega.

Dia akan memberitahu semuanya selepas mereka solat isyak nanti. Hana di bilik lena tidur di dalam kelambu, tidak berkutik. Nisa' sibuk menghidangkan makan malam dengan dibantu Fazil.

“Kak, Hana anak sapa?” Tanya Fazil. Nisa' masih sibuk menyiapkan meja, tidak begitu mempedulikan soalan Fazil.

“Zil, Hana tu anak kawan kakak. Dia anak yatim piatu.” Beritahu Nisa', ringkas. Kalau dipanjangkan cerita pun bukannya Fazil akan memahaminya.

“Ooh, jadi sekarang, akak jaga dia?” Tanya Fazil lagi. Dia mengambil beberapa biji pinggan makan dan diletakkan di atas meja.

“Hmm, lebih kurang macam tu lah Zil. Eh, dah lah, nanti tertumpah pula gulai ni, asyik bersembang.” Fazil tersengih-sengih. Mendiamkan dirinya kembali.

Hajah Rubiah yang baru selesai solat datang ke dapur. Dia menarik sebuah kerusi lalu duduk.

“Hmm, ummi ni rasa macam mengigau, tak jugak, tapi ummi asyik terdengar suara bayi merengek lah. Kamu tak dengar ke?” Hajah Rubiah bersuara, bertanya kepada Fazil dan Nisa'.

Mereka berpandangan sesama sendiri. Nisa' pantas meninggalkan mangkuk gulainya yang baru separuh berisi lalu keluar dari dapur. Fazil tercengang-cengang di situ, menahan pandangan mata hairan umminya.

“Eh, kenapa dengan kakak kamu tu?” Tanya Hajah Rubiah. Fazil menjungkit bahu. Tidak mahu masuk campur.

Nisa' pantas berlari masuk ke dalam bilik. Hana sedang merengek kelaparan.
Pantas dia mencapai botol susu Hana dan tin susunya lalu dibawa ke dapur. Saat ini, dia sudah tidak menghiraukan apa-apa lagi. Dia perlu menyediakan susu Hana dan menidurkan Hana kembali.

Hajah Rubiah mengerutkan dahinya melihat botol susu di tangan Nisa'.

“Eh, Nisa', kenapa kamu beli botol susu? Siapa yang nak minum?” Tanya Hajah Rubiah. Nisa' menjeling ibunya sekilas.

“Ummi, nanti Nisa' ceritakan. Nisa' nak cepat ni.” Dia mengisi air panas sedikit lalu dimasukkan susu dan air sejuk sedikit. Digoncangnya seraya berlalu keluar. Hajah Rubiah bingkas, menurut langkah Nisa', melewati Haji Bustaman yang terpinga-pinga di muka pintu.

“Kenapa dengan ummi kamu tu?” Fazil menjungkit bahu lagi.

“Ya Allah Nisa'!” suara Hajah Rubiah menampar gegendang telinga Haji Bustaman dan Fazil di dapur. Tanpa berlengah, mereka pantas mengangkat kaki ke arah suara itu.

“Anak siapa ni?” Nisa' meletakkan jari di mulut.

“Ummi, nanti Nisa' cakap boleh? Nisa' nak tidurkan Hana dulu.” Pinta Nisa'. Dia menepuk-nepuk Hana perlahan.

Haji Bustaman yang baru muncul di muka pintu bilik Nisa' juga tergamam, namun dia pantas menarik isterinya keluar, meninggalkan Nisa' dan Hana sendirian di bilik.

No comments:

Post a Comment