Fakhri sudah tersenyum lebar.
“Jangan lupa, untuk tujuh hari.”
“Betul?” Hajah Faridah tambah teruja.
Tidak sempat langsung Darin nak menjeling geram pada Fakhri. Sejurus itu Hajah
Faridah memaut lengan Darin dan Fakhri di kiri kanannya erat.
“Tujuh hari...Darin tinggal dengan
kami la ya...”
Cepat-cepat Darin menggeleng. Fakhri
tergelak kecil. Bertambah geram rasa hati.
“Tak boleh, nek. Saya ada adik
perempuan di rumah. Saya tak boleh tinggalkan dia di rumah sendirian.”
“Habis, masa awak di Genting tu?”
“Itu kejadian tak diingini.” Tegas dia
meningkah soalan Fakhri, sebelum kembali memandang nenek.
“Tapi saya minta maaf nenek. Saya
betul-betul tak boleh tinggal dengan nenek. Saya kena balik rumah.” Darin
benar-benar berharap nenek takkan bertanya lagi.
“Nek, tujuh hari tu memang dia
sepatutnya bekerja, tapi kalau nenek nak dia temankan nenek, I can arrange
that. Bos dia akan buat apa saja yang Fakhri nak. So, basically, we can
do anything.”
Bagai nak tercekik Darin mendengarnya.
Can do anything? Dia ingat aku ni buruh kasar dia ke? Kalau nak escort,
pergilah kelab malam! Fakhri ni memang saja nak tengok aku mengamuk, kan?
Gatal mulut Darin mahu membebel,
tetapi tersekat semuanya. Tidak sampai hati pula dia melihat nenek bersedih
atau susah hati juga. Jadi, Darin hanya mampu menahan rasa geramnya dan
memendam isi hatinya jauh di dalam.
“Nek, saya akan teman nenek kalau
kerja saya dah selesai. Tapi saya minta maaf. Saya betul-betul tak boleh
tinggal di rumah nenek. Maaf ya nek…”
“Tak apa. Terima kasih Darin, sudi
temankan nenek. Nanti kita jumpa lagi, ya?” Hajah Faridah senyum.
Darin kelegaan. Nenek tidaklah terasa
hati dengannya.
“Ya, insya-Allah. Nenek jangan risau.”
Fakhri kemudiannya mengarahkan pemandu
kereta sewa untuk menghantar nenek pulang, sementara dia sendiri akan
menghantar Darin. Darin terus bersetuju kerana ada banyak perkara yang mahu dia
bebelkan pada Fakhri.
“Awak saja kan perangkap saya depan
nenek?” tempelaknya garang sebaik saja mereka masuk ke dalam kereta mewahnya.
Fakhri jongket bahu tanpa rasa
bersalah.
“Mana ada. saya cuma nak awak
berterus-terang. Tu je.”
“Awak ugut saya!”
“Awak bersetuju dengan rela hati. Awak
cakap sendiri tadi. Ada ke saya paksa awak? Tak ada kan?” Fakhri melirik Darin
tanpa rasa bersalah.
Darin terdiam. Duduk di sebelah Fakhri
dalam kereta yang sama di Genting tempoh hari memang membawanya kembali ke saat
penuh trauma.
“Orang berduit macam awak memang macam
ni. Hanya kerana awak ada duit, awak boleh buat ikut suka hati awak. Kalau awak
tak macam tu, awak takkan paksa saya ke sana ke mari dan ugut saya untuk terima
assignment tu.” Darin mengomel perlahan.
“Oh, jadi sekarang ni semua salah
saya? Awak ni tak ikhlas buat kerja ke apa sebenarnya ni?” tingkahnya keras.
Darin menjeling lagi. “Bukan tak
ikhlas. Hidup saya tak pernah tunggang-langgang macam ni tahu. Walaupun saya ni
anak yatim piatu, saya tak pernah tersepit dalam hidup macam sekarang. Pendek
kata, sejak saya jumpa awak, hidup saya kelam-kabut!” Saja dikuatkan perkataan
hujung tu, supaya Fakhri terasa.
Fakhri tergelak kecil.
“Awak ingat hidup awak je yang
kelam-kabut? Saya menyesal sampai sekarang sebab layan awak malam tu. Patutnya
saya biar je awak di situ. Who cares, right? Tapi saya ni manusia jugak.
Dan saya balik ke sini dengan nama bersih. Kalau ada benda-benda tak elok, it
will disrupt my business doing. Memandangkan banyak benda boleh jadi pada
awak yang memang tak berapa betul saya tengok malam tu, saya tolong awak. One
thing leads to another. Sekarang, saya tengah tolong awak lagi ni, awak tak
sedar ke?”
Sakit hati Darin sebab Fakhri gelak
kecil lagi.
Snippet yang diterbitkan di blog ini merupakan sebahagian dari bab sebenar dalam versi cetak. Dilarang sama sekali menerbitkan mana-mana bahagian ini di mana-mana dalam bentuk apa sekalipun tanpa kebenaran bertulis dari penerbit.
PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.
No comments:
Post a Comment