About Me

My photo
Full-time English Lecturer, Part-time novelist and freelancing editor

Love Them!

Terbaru PBAKL 2017

Terbaru PBAKL 2017

Jenguk2 sini...

NOVEL DI PASARAN

NOVEL DI PASARAN

Monday, September 9, 2013

Seindah Aurora: Ray 4





Adwa menggaru kening yang tidak gatal. Sekejap-sekejap dia memicit pelipisnya. Dia masih belum dapat mencari gadis bernama Azra, seperti yang disuruh Dr Firhad. Sudah puas dia menggunakan pengaruhnya dan pengaruh Dato' Rahmat, tetapi pencariannya masih buntu. Tidak ramai yang rajin mahu menyemak kembali senarai lama, memandangkan dia cuma ada satu nama. Azra. Tiada nama penuh, tiada juga nama ayahnya.

Ini usaha terakhirnya. Seorang rakannya di Wisma Putra yang memberi nombor ini kepadanya, kerana katanya lelaki ini pernah menguruskan pelajar Malaysia di Cardiff dulu. Dan dari lelaki ini, dia berjaya mendapatkan nombor rumah gadis bernama Azra yang didaftarkannya semasa di Cardiff. Adwa mula mendail, dengan doa yang tidak putus-putus. Sudah terbayang sindiran Dr Firhad jika dia gagal juga kali ini.

“Hello, assalamualaikum. Ini rumah Azra yang pernah belajar di Cardiff ke?” Adwa memulakan dengan sopan.

“Azra? Tak ada orang nama Azra di sini. Dan orang di rumah ni cuma belajar agama je. Tak ada yang ke negara orang putih laknat tu.” Balasan itu berbaur sinis di telinga Adwa, walaupun penuturnya jelas sekali seorang wanita.

“Cik pasti ke? Saya dapat nombor ni dari kawan saya di Cardiff dulu, dan saya betul-betul perlu cari Cik Azra. Kalau cik tau di mana dia sekarang, boleh beritahu saya?”

“Eh, awak ni tak faham bahasa ke? Tak ada Azra di rumah ni!” Kedengaran gagang diletak kasar.

Adwa merenung telefonnya tidak percaya.

“Kot ye pun, tak payahlah nak marah. Ish, perempuan saja, tapi tak ada adab. Kalau student aku ni, siaplah aku kerjakan.” Bebel Adwa sendiri, sambil meletakkan telefonnya kasar ke atas meja.

Belum hilang sakit kepalanya dengan kebiadapan wanita tadi, telefonnya berbunyi nyaring.

Nombor yang tidak dikenali. Adwa menarik nafas panjang dan berat. Walaupun dia tidak menyimpan nombor itu, tapi dia sudah kenal benar dengan pemiliknya.

“Hello, you nak apa?” tanpa salam, Adwa terus saja bertanya.

“Amboi, garangnya? You kan tunang I. Salah ke I telefon ni?” sinis bicara Yanny membuatkan Adwa mengurut keningnya lagi sambil memejamkan matanya rapat.

“Tak salah tapi tak perlu pun.”

“Ad, sejak kita bertunang, you tak pernah call I pun. Bila I call, I pulak kena marah? I tau you tak nak pun hubungan ni, but show some effort please. I bukan tunggul, dan ini bukan kemahuan I jugak.” Keras bicara Yanny membuatkan Adwa semakin serabut.

“Yelah, yelah, you nak cakap apa? I sibuk ni.”

“Mama ajak makan sama malam ni. Kita saja, without your parents. I think they have been told about this already.”

“Sorry, I tak dapat datang. Kirim salam saja la.” Laju dia menolak.

“Ad.” Panggil Yanny keras, namun Adwa sudah enggan lagi berdiplomasi.

“You made plans without asking me. Sekarang ni siapa yang nak kahwin sebenarnya?”

“Alright. Another day, maybe? Bila you free?” Yanny mengalah dalam terpaksa.

“I tak free. Bila I free, I bagitau. Bye Yanny. Got to go.” Terus dimatikan talian tanpa menunggu lama.

Sekali lagi telefonnya dicampakkan ke atas meja kasar. Kiri kanan nak menyusahkan aku. Adwa mengeluh kasar.




Arham mengatur langkah tanpa arah tujuan. Mungkin rata-rata pengunjung pasar malam itu juga tiada tujuan sama sepertinya, bezanya mereka mencari makanan, pakaian, atau alat-alatan dan perkakas dapur, sedangkan dia mencari seseorang. Aurora.

Besar juga pasar malam ini. Pertama kali dia menjejakkan kaki ke sini, setelah nombor telefon Raid berjaya diperolehinya dari pakcik kepada Yanny, dan semuanya kerana dia mahu menjejaki Ara. Dia mahu bersua kembali dengan Ara. Yang paling penting, dia mahu tahu kenapa Ara di sini dan bukan di institusi pengajian tinggi? Setahunya, Ara bukan calang-calang pelajar. Dia merupakan pelajar cemerlang tajaan JPA di Cardiff dulu. Sekurang-kurangnya itu yang dia tahu dari Bunyamin, rakan baik Ara semasa di sana, orang yang bertanggungjawab memperkenalkan mereka berdua.

Semasa mereka bersua dulu, Ara tidak berapa mengendahkannya. Mungkinkah kali ini semuanya akan berubah? Tanpa disedarinya, harapannya sudah tinggi menggunung. Dia mahu Ara menyebut namanya nanti. Itupun kalau Ara masih ingat.

Dalam aturan langkahnya yang tidak pasti dan minda yang memetakan seribu satu kemungkinan pertemuan mereka kelak, pandangannya disapa satu wajah yang dicari-carinya di sebalik asap makanan dan orang yang semakin ramai. Kini langkahnya semakin laju. Hatinya bagai mahu melompat-lompat girang. Ara sudah berada di depannya.

Sekejap saja, dia sudah berdiri di depan gerai sate Raid. Raid sedang membungkus sate seorang pelanggan dengan lincahnya, sedang Ara membakar sate di bahagian belakang sedikit, tanpa memanggung wajah. Arham menelan liur. Dia menanti pelanggan sebelumnya itu membuat bayaran dan beredar, sebelum dia bergerak ke hadapan, dan tersenyum dengan hujung bibir yang sedikit menggeletar.

“Sate dik? Nak berapa cucuk?” soal Raid spontan sambil mencapai kertas pembungkus.

Arham memandang Raid yang merenungnya, dan Ara yang tidak melihatnya langsung, silih berganti.

“Erm, boleh jugak. Bagi saya 20 cucuk.” Pintanya dengan senyum kelat.

Raid tersenyum sumbing.

“Boleh jugak? Kalau awak tak nak beli sate, awak terpacak depan gerai ni buat apa?” usikan Raid akhirnya membuatkan Ara mengangkat muka, namun sekilas sahaja dia melihat Arham, tanpa sebarang perubahan riak wajah.

Arham hampa.

“Sebenarnya... saya macam kenal cik sate tu.” Beritahunya di luar sedar. Mungkin kerana dia terlalu kecewa Ara cuma melihatnya sepintas lalu, laju saja mulutnya berbicara.

Raid angkat kening mendengar pengakuan jujur itu. Dia menoleh ke arah Ara yang jelas tidak mendengar perbualan mereka. Dia memandang ke hadapan kembali, menyambut not 50 Arham.

“Ara? Awak kenal adik sedara saya tu?” soal Raid penuh minat. Selama Ara berniaga dengannya, ini kali pertama pelanggannya mengaku mengenali Ara. Teruja Raid sekejap.

Arham angguk lagi seraya menyambut bakinya.

“Tapi tak apalah. Dia tak ingat saya kot.” Arham sudah mahu berlalu, tetapi Raid pantas menahan.

“Ara!” panggil Raid sedikit kuat, dan Ara panggung muka memandangnya dengan dahi berkerut.

“Kawan Ara ni?” ditunjuk ke arah Arham yang cuma melihat adegan itu dengan penuh minat, dan harapan yang tinggi. Tak sangka Raid akan bertindak demikian.

Ara memandang ke arah itu, dan Arham menanti. Lama mereka bertatapan, tetapi riaknya masih sama.

“Siapa eh?” soal Ara dengan suara yang sedikit kuat, dengan mata yang dipicingkan.

Jatuh bahu Arham, dan senyum kelat diukir. Malu pula bila ditanya begitu di tengah-tengah orang ramai begini. Seorang pelanggan lain muncul di sebelahnya, dan Arham terpinggir tanpa diminta. Raid terus melayan pelanggan itu tanpa berlengah, dan Arham masih belum mahu mengangkat kaki. Ara menjelingnya sekejap-sekejap, tetapi gadis itu tidak menunjukkan tanda-tanda mahukannya di situ. Dalam erti kata lain, Ara tidak mengingatinya.

Bingung seketika Arham di situ, sebelum akhirnya dia mengatur langkah pergi. Gunung harapannya hancur, musnah dalam sekelip mata. Jika Ara tidak mengingatinya, mustahil dia akan dapat memulakan semuanya kembali. Mustahil. Kerana dia masih ingat betapa kerasnya gadis yang bernama Ara itu.




Raid memerhatikan sekeliling, tetapi lelaki tadi sudah tiada. Dihampiri Ara yang sibuk mengatur cucuk sate baru di atas pemanggang. Peluhnya diseka dengan kain di tangan dengan pantas.

“Ara tak kenal laki tadi tu?” soal Raid lagi.

Ara geleng kepala.

“Tak. Siapa entah. Apa dia cakap dengan abang Raid?”

“Katanya dia kenal Ara. Cik sate.”

Ara angkat kening.

“Suka hati je panggil Ara cik sate. Pernah nampak kat pasar malam lain kot.” Tingkahnya tidak berminat, sekaligus mematikan tanda tanya di minda Raid. Apabila Raid tidak lagi bertanya, Ara melepaskan nafas lega tanpa disedari Raid.

Kenapa lelaki tu harus muncul di sini? Tolong jangan datang lagi. Doanya tidak putus-putus. Dia tidak mahu apa-apa jua perkara atau manusia yang berkaitan dengan masa lalunya muncul di depannya sekarang. Dia belum bersedia. Semuanya terlalu pahit untuk dikenang. Sangat pahit.



“Assalamualaikum...” Ara panggung muka mendengar salam itu.

Dia terus memandang ke sekeliling dengan mata meliar. Setelah dipastikan Raid masih belum kembali, Ara  mengerutkan dahinya.

“Waalaikumussalam. Nak apa?” soalnya acuh tak acuh.

Arham tersenyum tawar. Tidak sia-sia dia datang kembali. Dia tetap mahu memastikan Ara benar-benar tidak mengingatinya. Tak sangka pula Ara akan berseorangan tanpa Raid.

“Mana tokey?”

Ara tidak terus membalas, sebaliknya dia membuang pandang ke arah lain, tanda tidak berminat mahu melayan.

“Solat.”

Arham angguk mengerti.

“Awak... Ara kan? Betul awak tak ingat saya?”

Ara menoleh pantas, riaknya jelas menunjukkan dia terganggu dengan kehadiran lelaki ini.

“Dah cakap sekali dah kan? Awak ingat kalau awak tanya saya seribu kali lagi, jawapan tu akan berubah ke?” sinis bunyinya, membuatkan Arham tersengih malu.

“Taklah. Sebab saya rasa taklah lama sangat masa berlalu sejak kita jumpa di Cardiff. Belum sampai setahun pun. Saya kawan Bunyamin, dari website The Eyes of Beholder. Awak tak ingat?” Arham mencuba lagi, tetapi gadis itu memandang ke hadapan kembali.

“Tak. Sorry. Pelanduk dua serupa kot. Dan saya tak kenal mana-mana orang nama Bun.” Bicaranya di bawah nafas.

Arham tersenyum.

“Saya tak cakap pun nama dia Bun. Saya sebut Bunyamin.”

Ara kulum liur. Alamak. Terlepas pulak.

“Awak saja je buat-buat tak kenal saya, kan?” Arham terus mencuba.

Akhirnya Ara merengus kasar. Dia melihat ke arah surau sekali lagi, memastikan Raid masih belum selesai. Dia tidak mahu Raid melihatnya dengan lelaki ini.

“Fine. I know you. Puas hati? Sekarang boleh tak awak pergi? Saya tak nak bos saya tengok saya bercakap dengan awak.”

“Kenapa? Boyfriend awak ke?”

Bulat mata Ara mendengar tekaan yang lebih berbaur tohmahan itu.

“Saudara saya la. Dah, pergi.” Halaunya lagi.

“Saya boleh jumpa awak lagi?”

“Tak boleh.”

“Kenapa pulak? Dah lama saya cari awak.”

Ara angkat kening.

“Kenapa awak cari saya? Carilah Bun. Awak kan kawan dia?” sinis bunyinya, membuatkan Arham semakin yakin ada yang tidak kena antara Ara dan Bun.

“Bun dengan saya dah lost contact. Sejak dia balik Malaysia, dia pun senyap je. Awak tak contact dia?”

Ara mengeluh panjang.

“This is what I don't want. Tracing the past. Saya harap saya takkan jumpa awak lagi. No, I don't want to. Tolong faham, kalau awak faham bahasa.”

Arham mengerutkan dahinya.

“Eh, kata tak kenal?” entah bila Raid menghampiri, Ara sudah menepuk dahi.

Menyesal melayani Arham.

“Kawan Ara, kan?” Raid bertanya lagi, apabila keduanya menyepi sebaik saja dia tiba.

“Hai bang, saya Arham.” Ara membuang pandang ke arah lain. . Sebetulnya dia sudah tidak ingat nama lelaki ini. Dia cuma mengenali wajahnya.

“Raid. Kenal Ara di mana?” soal Raid lagi selepas bersalam ringkas, jelas ditujukan soalan itu kepada Arham apabila Ara cuma menunduk di kerusinya.

“Erm, saya kenal kawan Ara semasa di Cardiff dulu. Ada jumpa sekali.”

Raid mengangguk faham sambil menjeling Ara yang sudah membisu. Mengertilah dia, Ara tidak mahu melayan Arham di depannya tadi kerana lelaki itu berkait dengan masa lampaunya yang tidak pernah diceritakan langsung kepada Rasha dan dirinya sejak Ara bekerja dan tinggal bersama mereka.

“Oh, erm, nak sembang lagi ke?” soalan Raid membuatkan Ara menoleh pantas.

“Tak, tak ada apa-apa dah yang nak dibincangkan. Jom balik bang. Ara lapar.” Ajak Ara tanpa menunggu lama, sekaligus mematikan niat Arham untuk berbual lebih lama.

Ara sedang melarikan diri. Itu saja yang dapat Arham fikirkan sekarang. Raid cuma menggeleng apabila Ara sudah masuk ke dalam kereta tanpa mempamit Arham selamat tinggal.

“Nanti mesej abang. Ada nombor abang kan? Abang bagitau lokasi esok. Datang tau.” Ajak Raid di luar dugaan Arham. Arham mengangguk dalam keliru.

Pucuk dicita ulam mendatang. Hairan juga dia dengan tindakan Raid yang mengalu-alukan kedatangannya, tetapi dia tidak mahu menolak ajakan itu. Dia yakin Raid akan membantunya, walau dengan apa cara sekalipun, walaupun mereka baru pertama kali bersua.

Arham menghantar Raid pergi dengan senang hati. Hairan. Kenapa Ara begitu? Memang dinginnya masih sama, tapi kali ini bicaranya bernada bimbang, seolah-olah Arham bakal membawa masalah kepadanya. Apa sebenarnya yang menyebabkan Ara begitu defensive? Hairan. Dia benar-benar hairan.



Arham membelek Nicon di tangan dengan hati yang senang. Dia yakin hari ini Ara tidak mampu menghalaunya jika Raid sudah memberi keizinan untuknya menyertai mereka. Dia mahu merakamkan gambar gadis itu sebanyak mungkin. Mungkin ini saja peluangnya. Mungkin ini kali terakhir mereka akan bersua.

Seperti yang diberitahu Raid, Arham tiba di tapak pasar malam Taman Sentosa tepat jam 5 petang. Sekali lagi dia memulakan pencarian di celahan orang ramai, mencari gerai sate Raid. Apabila Arham terpacak di depan gerai, Raid menggamitnya untuk masuk ke sebelah dalam. Bulat mata Ara melihat Arham menyertai mereka.

“Abang Raid!” suara Ara sedikit keras, tapi Raid tidak mengendahkannya.

“Hai, awak.” Ara membalasnya dengan jelingan tajam.

“Tepilah! Orang nak buat kerja!” marahnya pada Arham yang sedikit menghalang laluan.

Arham meminggir, bingung sekejap.

“Nah, duduk sini.” Raid menolak sebuah bangku ke arahnya, dan Arham tersenyum akur.

Ara cuma menjeling kedua mereka dari ekor matanya. Malas mahu melayan. Dia tahu Raid sengaja mahu memancingnya untuk bercerita. In his dreams!

“Busy ke?” soal Arham berbasa-basi pada Ara yang sedang sibuk mengipas bara.

“Tak nampak? Dah buta ke?”

Arham tersengih mendengar balasan sinis itu. Disediakan Niconnya tanpa disedari Ara. Sekejap saja beberapa keping gambar sudah tersimpan dalam memori kad. Berbunga-bunga hati Arham dapat melihat Ara. Buat masa ini, biarlah hati Ara tertutup untuknya. Dia yakin dia masih punya masa kelak untuk menambat hati Ara.

Apabila angin tiba-tiba bertiup ke arahnya, Arham terbatuk-batuk kecil kerana asap dari pemanggang itu menyelubunginya. Ara tersenyum puas.

“Nak sangat menyibuk kat sini kan? Rasakan asap tu. Sedap tak?”

Arham masih tersenyum dalam perit tekak dan pedih mata.

“Berbaloi sebab dapat tengok awak setelah sekian lama nampak dalam mimpi je.”

Ara meluruskan kembali bibirnya. Sekali lagi Arham dijelingnya tajam. Selepas itu, Ara berdiam saja. Arham pula rancak bercerita dengan Raid sambil menolongnya membungkus sate, walaupun sedikit terkial-kial. Di luar jangkaan Ara, Arham menolong mereka sehingga habis. Apabila mereka sudah dalam perjalanan pulang, Ara terus menyerang Raid.

“Abang Raid, kenapa abang panggil dia? Ara tak suka.”

Raid tersenyum nipis.

“Abang tau. Tapi abang nak Ara berhenti melarikan diri dari masa lalu. Apapun yang dh jadi, abang tak tau, tapi abang dan kak Rasha kesian dengan Ara, dan kami nak Ara berkawan. Sejak Ara dengan kami, Ara tak ada kawan lain selain si Nini tu. Abang rasa bagus jugak Arham ni ada dengan kita. Sekurang-kurangnya Ara ada kawan.”

“If I need anyone, Ara akan cari. For now, Ara tak perlukan sesiapa. I want to be alone.” Tingkahnya perlahan.

Raid menggeleng.

“Ara, abang tak pernah mintak apa-apa dari Ara, kan? Kali ni, abang mintak tolong dengan Ara, jangan seksa diri sendiri. Lagipun Arham tu budak baik. Abang tak nak Ara layan dia macam tu. Kesian dia.”

“Abang nak dia datang ke tapak pasar malam lain jugak ke?” soal Ara tidak percaya.

Raid mengangguk.

“Abang dah mesej dia, lokasi full kita.”


Ara menepuk dahinya. Dia akan berjumpa Arham hari-hari. Satu perkara yang tidak pernah dijangkanya. Wait. Macam mana Arham boleh cari dia?





PLEASE TAKE OUT WITH PERMISSION AND PROPER CREDITS TO BLOG AND AUTHOR. ALL RIGHTS RESERVED.

No comments:

Post a Comment